MOLOTOV KOKTEL - 16
Jika dikira menggunakan jari, saya perlu meminjam beberapa pasang tangan lagi dari rakan-rakan lain untuk menghitung entah berapa kali saya telah (dan bakal) naik untuk berucap di pentas ceramah parti politik. Sejak awal 2012 hingga hari ini kecuali Sarawak; saya menjelajah ke hampir semua negeri yang ada di peta Malaysia.

Memberi ucapan bernahu politik bukanlah untuk mewakili mana-mana parti, sebaliknya mewakili tuntutan diri sendiri ke atas masyarakat dan bakal calon pilihan raya. Saya tidak pernah layak untuk mendakwa bahawa saya mewakili seluruh mahasiswa di negara ini.

Mengunjungi pelusuk daerah yang kadangkadang namanya sendiri saya tidak pernah dengar memberi peluang buat saya mendalami masyarakat yang sedang menghadam idea perubahan landskap politik negara.

Sepanjang pengalaman itu, tutur perkataan yang sering kali saya dengari dari mulut penceramah parti masing-masing ialah MANIFESTO yang dipromosi sebagai modal menarik undi masyarakat.

Ternyata tidak lama sahaja lagi tarikh yang begitu dinanti-nantikan oleh sekalian rakyat bakal menjelma. Saat rakyat akhirnya berpeluang untuk meletakkan sedikit suara mereka di celah-celah ruang demokrasi tempang negara.

Mendepani tarikh tersebut, setiap parti politik berhempas-pulas untuk menonjolkan betapa setiap mereka mempunyai mekanisme dan tawaran serba menarik buat rakyat. Maaf, saya mungkin masih gagal untuk mendapat peluang mendengar manifesto dari pihak kerajaan sedia ada. Yang ada cuma kilasan-kilasan terhadap dakwaan pembangkang kepada mereka yang diselangi dengan tidak lain hanya perkataan fitnah dan liwat.

Saya cuma berpeluang mendengar tawaran dan manifesto parti pembangkang atau Pakatan Rakyat. Dalam hal ini, mereka telah bersedia beberapa tahun lebih awal. Ertinya, kempen untuk menarik undi sebenarnya sudah dijalankan sejak 2008 lagi.

Dari agenda koalasi Pakatan Rakyat, membawa kepada Buku Jingga dan terbaharu, Manifesto Rakyat yang dieja dengan huruf besar, rakyat diberi peluang untuk betul-betul menilai setiap perkara yang cuba ditawar. Manifesto Rakyat mungkin masih belum menjadi sebutan seperti Buku Jingga, namun secara umumnya, pelbagai agenda dari segenap sektor disentuh dengan lebih teliti berbanding versi sebelumnya; dari sekecilkecil isu seperti kamera AES hinggalah ke isu berkaitan pemecahan hegemoni ekonomi, rombakan sistem Parlimen, mahupun proses rekonstruksi pemikiran masyarakat berbilang agama dan etnik.

Buat penyokong yang tegar, letaklah apa sekalipun manifesto dalam bentuk apa jua sekalipun, pastilah ia bakal diterima sebulat-bulatnya. Dalam situasi yang semakin panas dan genting seperti hari ini; tidak mungkin mereka mahu dan punyai masa untuk membincangkannya. Maka terus dijaja ke seluruh negara; baik oleh wakil kecil -kawasan seperti kampung mahupun oleh gedebe handalan yang sering menyampaikan ceramah merata-rata tempat.

Sehari selepas Manifesto Rakyat dibentang, ternyata ia tidak lagi dilambung pujian seperti Buku Jingga. Yang pertama terguris perasaan ialah orang kelainan upaya, kemudiannya rasa tercicir oleh beberapa lagi golongan termasuk masyarakat India (melalui Hindraf), pendokong tuntutan royalti minyak di Pantai Timur Semenanjung, dan beberapa lain termasuk segolongan mahasiswa yang sebenarnya cuba mencuri peluang meletakkan cap jari mereka dalam perdebatan tersebut.

Maka dari itu, kita sedari, Manifesto Rakyat tidak lagi mudah ditelan hadam oleh masyarakat yang perlu kita akui; semakin kritikal, teliti dan tidak mudah disogok.

Manifesto Rakyat digubal berdasarkan empat tonggak utama Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat. ini intipati utama yang dijadikan asas manifesto, maka jika mahu dibahas, ia harus ditumpu kepada tonggak utama yang dicanangkan itu.

Kunci utama empat tonggak ialah perkataan rakyat. Sedari dahulu koalasi parti pembangkang menggunakan perkataan itu sebagai daya penarik dan imejan utama mereka. Maka bertanyalah kembali, sejauh manakah sebenarnya Manifesto Rakyat benar-benar melibatkan rakyat

Tuntutan rakyat pelbagai. Segenap pihak yang berteraskan rakyat atau masyarakat mempunyai pandangan dan impian berbeza-beza; dari sekecil-kecil impian sehingga ke sebesar-besar harapan. Hari ini, sudah ada perbezaan dan garis yang lebih jelas antara rakyat dan pendukung parti.

Pendukung parti boleh menerima apa sahaja kata-kata atau wahyu pimpinan atasan tanpa perlu dibahas. Yang dilakukan hanya mengolah persetujuan. Rakyat yang memiliki hubungan lebih longgar dengan parti politik lebih ke hadapan dalam situasi berhadapan dengan tawaran parti politik.

Perlu akui, dalam landskap politik dan sosial negara dewasa ini, telah lahir ramai orang yang benar-benar memperjuang isu dan tuntutan secara genuine tanpa perlu dihasut oleh manamana agenda parti. Dan, dari sudut inilah kita lihat kembali sejauh mana merakyatnya manifesto tersebut.

Ambil contoh selain yang pernah disuarakan oleh golongan orang kelainan upaya, pendokong sekolah-sekolah vernakular dan sebagainya; ada beberapa perkara lain yang nampaknya tidak selari dengan tuntutan golongan bukan dari parti politik.

Acukan teropong pula ke isu alam sekitar. Tidak boleh dinafikan, selepas kuning, hijau adalah warna paling popular untuk diasosiasikan dengan gerakan yang melibatkan tuntutan rakyat. Isu kilang Lynas berkali-kali dan secara konsisten diperjuangkan. Begitu juga dengan isu Projek Rapid di Pengerang, Johor.

Walaupun sebelum ini, melalui banyak acara; termasuklah Himpunan

Kebangkitan Rakyat, isu seperti Kilang Lynas dan Rapid Pengerang berkali-kali dijanjikan penyelesaiannya. Jalan penyelesaian yang dipinta ialah penamatan operasi projek dan idea itu dilaungkan juga oleh pemimpin pembangkang.

Namun, ia tidak kelihatan dalam Manifesto Rakyat. Akhirnya melalui beberapa kenyataan susulan; diketahuilah bahawa kilang Lynas hanya dihenti setelah benar-benar disahkan risikonya manakala Rapid Pengerang hanya akan dikaji semula. Tuntutan rakyat akhirnya masih kalah bila berhadapan dengan tekanan pemodal besar asing. Tiada hitam putih untuk dipegang oleh rakyat dalam menuntut penyelesaian isu.

Bagaimana pula tuntuan seperti gaji minimum yang juga diperjuang oleh golongan buruh sejak sekian lama Tawaran RM1,100 yang dikemukakan melalui Manifesto Rakyat secara adilnya boleh diangkat sebagai permulaan baik untuk melegakan golongan pekerja.

Namun, berhadapan dengan realiti ekonomi semasa negara dan rakyat sendiri, tuntutan RM1,500 yang dicadangkan sekian lama jauh lebih relevan dan sesuai untuk dilaksanakan berbanding jumlah yang ditawar. Perbezaan sedikit itu boleh mengubah banyak keadaan. Tuntutan lama ini harus perlu diterima pakai kembali oleh Pakatan Rakyat.

Apakah perbezaan RM400 boleh merosakkan rencana Pakatan Rakyat Andai harga kereta boleh diturunkan, apalah sangat kenaikan RM400 untuk golongan pekerja Melalui kerangka besar pelan ekonomi yang digariskan oleh Manifesto Rakyat yang menjangka keuntungan buat pengusaha dan majikan, gaji minimum RM1,500 bukan angka membebankan.

Mungkin secara am, Pakatan Rakyat mendahului pesaingnya yang mungkin masih mencari tukang taip untuk menaipkan manifesto mereka. Namun, dalam realiti baru, Pakatan Rakyat bukan hanya berhadapan dengan Barisan Nasional

mahupun jentera kerajaan yang disalah guna sebaliknya rakyat yang sememangnya berkira-kira untuk mengundi mereka.

Terdapat perbezaan pola pemikiran berbanding pilihan raya 2008 dahulu. Memperbanyakkan lagi perbincangan dengan stake holder yang tidak bersyarikat bakal memberi kelebihan besar kepada Pakatan Rakyat jika dilaksanakan secara menyeluruh. Pilihan raya kali ini menyaksikan kesediaan rakyat ke arah perubahan, dan peluang sebegini mungkin tidak datang lagi.

Rakyat yang tidak menyembah parti politik harus mampu untuk jadi lebih vokal dalam menuntut hak melalui pilihan raya. Reputasi Pakatan Rakyat dalam melayan tuntutan rakyat biarpun dianggap gerakan populis; namun realitinya menguntungkan rakyat. Dalam masa berbaki beberapa minggu sebelum pilihan raya, rakyat tidak harus terus terlopong mendengar ceramah semata-mata.

Dalam situasi hari ini, kita adalah stake holder. Kita adalah majikan yang sedang meneliti resume yang dibentang oleh bakal pekerja. Sebagai orang yang menggaji mereka, kita berhak meletakkan harapan dan jangkaan yang lebih tinggi ke atas mereka. Banyak perkara lagi yang boleh dituntut melalui Manifesto Rakyat. Jika Manifesto Rakyat yang dieja dengan huruf besar tidak memuaskan, mungkin ada baiknya kita tuliskan sendiri manifesto rakyat yang ditulis dengan huruf kecil.