DOC & ROLL - 16
Saya ada 3 orang anak. Zariff Imran, Zaira Maryam dan Zaim Ashraff. Merekalah sumber ilham, pemangkin semangat, pengubat duka dan refleksi diri serta isteri saya.

Hampir satu tahun setengah selepas kami berkahwin, isteri saya diberitahu oleh pakar obstetrik (sakit puan) yang dia mungkin mengalami kesukaran untuk mengandung kerana mempunyai satu keadaan yang dipanggil Poly Cystic Ovarian Syndrome. Sekiranya mahu, terdapat beberapa jenis rawatan yang boleh dicuba.

Sewaktu itu kami berdua bekerja di Sarawak. Teringat lagi betapa sedihnya isteri saya pada waktu mendapat perkhabaran berita itu. Tidak mempunyai selera makan dan tidak banyak bercakap.

Kami tidak banyak bercakap tentang perkara itu cuma seingat saya, adalah saya berkata sekali, Janganlah sedih ya. You still have me and Ill be with you. We grow old together and everyday is a honeymoon for us.

Hanya dia sahaja yang tahu perasaannya ketika itu. Sebagai seorang suami, saya memang berhati-hati bila berbicara soal anak ketika itu. Isteri saya membuat keputusan untuk tidak melakukan sebarang rawatan pada ketika itu kerana masih belum bersedia. Hanya doa yang kami panjatkan pada Ilahi.

Semasa bertugas di Sarawak juga, saya kerap ditugaskan untuk melakukan perkhidmatan pergigian ke sekolah-sekolah rendah dan menengah serta sekolah kanak-kanak kurang upaya.

Pada ketika bertugas, terutamanya sewaktu menjalankan rawatan kepada kanak-kanak sekolah ini, kerap juga saya berdoa agar Allah memberikan kami rezeki untuk memperoleh zuriat.

Hampir genap 2 tahun berkhidmat di Sarawak, pada suatu hari saya telah mendapat perkhabaran dari Universiti Malaya yang menawarkan saya untuk kembali berkhidmat di sana. Pada hari itu juga, isteri saya muntah-muntah teruk dan ujian kehamilan yang dilakukan menunjukkan dia positif hamil. Segala pujian bagi Allah.

*********************

Kala Jengking

Teringat lagi sewaktu saya menyewa di No.10, Rubber Road West 1 Satok, rumah kami sering dimasuki kala jengking. Ada sekali, di waktu awal kehamilan isteri saya, rumah kami sekali lagi dimasuki kala jengking pada tengah malam. Terkejut betul saya bila isteri saya kejut dan beritahu ada kala jengking masuk ke bilik tidur. Apa yang saya selalu buat ialah ambil air panas dan simbahkan ke arah kala jengking tersebut.

Tapi pada 1 Jun 2015, saya dikejutkan sekali lagi. Tapi kali ini bukan oleh isteri saya, tapi anak bongsu saya, Zaim Ashraff.

Masa itu saya sedang sesi pengajaran di klinik bersama pelajarpelajar saya. Punyalah terkejut saya sejurus saya masukkan tangan ke dalam poket baju scrub saya bila terpegang mainan kala jengking yang dimasukkan Zaim. Saya punyalah terkejut tu hingga melompat ke belakang, terlanggar troli ubat sambil melontar kala jengking tersebut.

Zaira Maryam dan sindrom anak kedua

Zaira Maryam adalah anak nombor dua saya. Nombor dua daripada 3 adik-beradik sama seperti saya dan isteri saya. Yang paling berlainan karakternya berbanding abang dan adiknya.

Sebagai anak perempuan manja pada ayahnya pun boleh tahan juga. Seperti kata pepatah, a father is the daughters first hero. Berbeza dengan abangnya, Zaira sejak lahir memang tidak pernah berpisah dengan kami. Daripada lahir terus tinggal di Hong Kong dan menjadi satu-satunya anak perempuan memang ada kelebihan sedikit sebab tiada saingan daripada adikberadik lelaki lain.

Dulu-dulu Zaira ni gemar menyuruh saya mengikat rambutnya. Tapi realitinya, mengikat rambut anak perempuan ni antara benda yang paling mencabar bagi seorang ayah. Sanggul senget, terlalu rendah, terlalu tinggi, ketat sangat dan sebagainya. Sampai kadangkala tu hingga masam muka dia sepanjang hari dengan saya. Buat pembedahan pun tak susah macam ni.

Semasa hari pertama Zaira dengan kaca mata, dia ada bertanya saya sama ada saya lebih suka dia dengan kaca mata atau tidak. Mestilah saya kata dengan kaca mata sebab dia akan nampak lebih cool. Dalam hati sebenarnya happy sebab budak lelaki selalunya jarang tengok budakbudak perempuan yang pakai kaca mata.

Sekarang pula semakin kurang masa saya bersamasama anak-anak. Tapi kehidupan sememangnya sebegini. Semakin besar tanggungjawab, semakin banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. I may not have all the time in the world for you lately, but Ill make sure each available time spent with you will be memorable.

Bila mengingatkan Zariff dan Zaira tentang kerja rumah dan perlu rajin belajar, saya selalu bercerita tentang hidup saya sebagai doktor, pensyarah dan pengetua, tanggungjawab dalam pekerjaan yang prinsipnya sama saja macam menuntut ilmu, ikhlas dan bersungguh-sungguh. Insya Allah bermanfaat.

Kadang-kadang tu soalan-soalan yang sama wajib ditanya setiap hari pada Zariff dan Zaira; Hows school What you both had for lunch Any homework Need my help Mommy knows better right

Ada sekali, Zaira jatuh sakit secara tiba-tiba. Terbangun di tengah-tengah malam meraung kesakitan yang teramat di bahagian kepala. Meraung kesakitan hingga muntah-muntah. Allah sahaja yang tahu perasaan saya dan isteri pada ketika itu. Zaira sejak berumur 8 tahun kadangkala ada mengadu kepada saya yang dia pening kepala semasa di sekolah tetapi sekejapsekejap sahaja.

Tak terbayang kesakitan yang dilaluinya pada ketika itu. Bayangkan, melihat budak perempuan berusia 8 tahun menahan sakit. Unimaginable and heartbreaking. Jadi seawal pagi esoknya, isteri saya pun pergi membawa Zaira untuk berjumpa dengan doktor kanak-kanak yang biasa kami kunjungi. Rasa seperti jantung saya berhenti berdenyut seketika bila mendapat mesej daripada isteri yang Zaira dinasihatkan untuk mengambil CT scan bagi memastikan tiada apa-apa yang bahaya pada bahagian kepala dan otak. Alhamdulillah Zaira sihat sekarang tapi masih lagi memerlukan rawatan susulan. Terima kasih kepada keluarga dan sahabat-sahabat yang mendoakan kesihatan Zaira pada ketika itu.

*********************

Catatan Untuk Zariff Imran

Cerita ini mungkin panjang sedikit. Saya memulakan pengajian saya di Hong Kong pada Ogos 2007. Saya dan isteri mengambil keputusan untuk mencuba perhubungan jarak jauh dengan saya pergi ke Hong Kong dahulu seorang diri, manakala isteri dan anak saya yang pada ketika itu berusia lebih kurang 6 bulan tinggal bersama keluarga mertua di Kuala Lumpur.

Kenapa doktor tak bawa semua sekali dengan doktor pada ketika itu

Begitulah soalan yang sering ditanya kepada saya. Kenapa Tiada jawapan yang betul-betul tepat yang saya boleh berikan. Jika diikutkan, saya akui yang saya telah membuat kesilapan dalam membuat pilihan.

Mungkin kerana takut tidak berkemampuan untuk menyara isteri dan anak pada ketika itu. Maklumlah sebagai seorang pelajar jurusan Master atau kepakaran dalam bidang klinikal, kami cuma hidup dengan bantuan biasiswa kerana sebagai pelajar dari luar negara, kami tidak boleh membuat kerja lain selain menjalankan tugas yang sememangnya demanding bagi seorang surgical trainee di Hong Kong. Malah menjalankan tugasan on-call pun tidak dibayar. Berbeza dengan trainee tempatan di Hong Kong ataupun jika membuat bidang kepakaran di dalam negara. Jika di dalam negara doktor-doktor yang sedang membuat kepakaran masih boleh locum dan kalau on-call juga ada yang masih mendapat bayaran.

Jadi bayangkanlah jika saya perlu bawa isteri dan anak bersama, hidup pula dengan bantuan biasiswa sahaja. Dengan mengambil kira komitmen kewangan saya di Malaysia pada ketika itu, mungkin saya ada beberapa pilihan. Sama ada jual rumah dan kereta yang telah dibeli atau mencari penyewa. Walaubagaimanapun, mengambil kira harga rumah yang semakin meningkat pada ketika itu dan kesukaran untuk membeli semula selepas tamat pengajian di Hong Kong, kami membuat keputusan untuk mencari penyewa kerana sekurangkurangnya dapatlah meringankan bebanan kewangan.

Di sini sebenarnya memang tersangat penting bagi pasangan yang baru berkahwin untuk membuat perancangan kewangan dalam keluarga mereka. Saya selalu beri nasihat pada adikadik yang masih menuntut untuk mulakan perancangan kewangan daripada awal. Selepas tamat belajar, belilah rumah dulu sebelum membeli kereta. Jika hendak beli kereta, belilah yang berkemampuan dulu. Tambahlah ilmu tentang langkah penjimatan dan bagaimana untuk menjana pendapatan serta pelaburan hartanah daripada muda.

Daripada hari pertama saya jejakkan kaki ke Hong Kong saya rasakan penyesalan yang tak sudah. Kenapalah saya ambil keputusan sebegitu. Berjauhan dan tinggalkan isteri serta anak yang baru berusia 6 bulan. Bayangkanlah jika sebegini selama 3 tahun di Hong Kong. Boleh kata setiap hari saya dan isteri sering berhubung, bertanya khabar masing-masing dan bercerita tentang perkembangan Zariff. Zariff dah mula cakap dah pandai cakap papa Zariff dah boleh berdiri Zariff selalu menangis, Zariff suka dengar azan, Zariff demam dan macammacam lagi. Dan setiap kali selepas tamat perbualan telefon atau berbalas mesej di Internet saya akan menangis. Menangis dan menyesal.

Perasan rindu pada isteri dan anak memang satu perkara yang sukar digambarkan. Ada kawan saya di Hong Kong yang sampai demam dan ada juga yang tamatkan pengajian secara mengejut kerana tidak sanggup berjauhan dengan keluarga, Begitulah antara cabaran nak sambung belajar di luar negara. Sebenarnya ramai lagi rakan-rakan saya dan orang lain yang pernah melalui situasi ini. Masing-masing ada cerita dan pengorbanan yang tersendiri.

Selepas berfikir masak-masak, hanya selepas 6 bulan saya di Hong Kong, saya telah bernekad untuk bawa isteri dan Zariff ke Hong Kong secepat mungkin.

Jika adik-adik semua pada suatu ketika perlu membuat pilihan antara karier dan keluarga, pilihlah keluarga. Ingat ya, pilihlah keluarga. Our life begins and ends with family. Insya Allah jika adik pilih keluarga, Allah akan permudahkan jalan karier adikadik di sekeliling foundation kehidupan keluarga adik-adik.

Keluarga adalah asas pada segalanya di dunia ini. Agama, tanggungjawab, kasih sayang dan segala nilai-nilai utama kemanusiaan adalah bermula dalam keluarga. Jadi kenapa Zariff masih kena tunggu 2 tahun baru dapat bersama saya di Hong Kong

Rezeki dan ujian Allah. Di sebalik kesukaran isteri saya untuk hamil, saya telah mendapat perkhabaran gembira bercampur kejutan semasa bulan kedua saya berada di Hong Kong yang isteri saya telah hamil anak kedua kami. Alhamdulillah. Tiada apa yang kami boleh katakan selain bersyukur ke hadrat Allah kerana bakal dikurniakan cahaya mata lagi.

Sebenarnya selepas Zariff Imran lahir, saya dan isteri telah mengambil keputusan untuk tidak membuat perancangan keluarga. Bayangkanlah Allah telah kabulkan doa kami untuk memperoleh cahaya mata setelah hampir 2 tahun berkahwin. Jadi sekarang perancangan untuk bawa isteri dan Zariff telah berubah kerana perlu mengambil kira isteri saya yang sedang hamil pada ketika itu.

Banyak yang perlu kami fikirkan dan cari jalan penyelesaian; faktor kewangan untuk menyara isteri dan 2 anak, tahap kesediaan isteri untuk menjaga 2 anak-anak kecil di negara orang, karier isteri, pembantu rumah, tawaran kedua-dua belah ibu bapa untuk menjaga Zariff, kebarangkalian untuk teruskan perhubungan jauh sehingga tamat pengajian selama 3 tahun dan sebagainya.

Selepas berfikir masak-masak, kami telah mengambil keputusan untuk isteri saya datang dahulu bagi bersama saya dan mencari kerja di firma perakaunan di Hong Kong, dalam tempoh yang sama Zariff tinggal bersama datuk dan neneknya di Malaysia.

Di sinilah sebenarnya saya mula nampak ketabahan hati seorang isteri dan ibu pada diri isteri saya. Bayangkanlah pada ketika sedang hamil, beliau ingin juga jalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri untuk bersama suami. Hendak mencari kerja di Hong Kong pula bukanlah satu perkara yang mudah. Seorang wanita, muslimah, yang sedang hamil, lulusan universiti tempatan Malaysia ingin mencari pekerjaan sebagai seorang akauntan di bumi asing yang majoritinya hampir 100% bukan muslim, di samping budaya kerja yang sangat kompetitif.

Perasaan takut pun ada pada ketika itu. Takut ada anggapan negatif tentang wanita beragama Islam dan menjadi liabiliti kepada majikan kerana bakal cuti bersalin. Ya lah, bayangkan baru kerja beberapa bulan dah kena cuti 4 hingga 5 bulan dengan gaji dibayar.

Sememangnya Allah itu maha mengasihani dan maha kaya. Isteri saya berjaya mendapatkan kerja sebagai akauntan di firma perakaunan antarabangsa yang bertempat di tengah-tengah kota metropolitan Hong Kong di daerah Central. Saya ingat lagi isteri saya bercerita yang perkara pertama yang dia minta di firma tersebut ialah tempat solat kerana dia adalah satusatunya pekerja yang beragama Islam dan Alhamdulillah, beliau diberikan pantri kecil untuk ruang solat.

Banyak yang saya pelajari daripada pengalaman isteri saya ini. Kita perlu banyak bersyukur dan redha atas kurniaan serta ujian Allah. Percaya yang setiap sesuatu yang terjadi pasti ada hikmah di sebaliknya. Melihat ketabahan isteri saya, inilah pandangan jujur saya pada seorang wanita terutama yang telah berkahwin, berkeluarga dan berkarier; tiada apa yang mustahil untuk dilakukan malah adakalanya ketabahan seorang wanita adalah lebih kuat daripada seorang lelaki. Dengan niat dan jalan yang betul, insya Allah pasti ada ruang untuk menjadi wanita yang berjaya di dunia dan akhirat. Bayangkan betapa besarnya balasan serta nikmat yang Allah bakal berikan kepada wanita atas tugasnya selaku isteri dan ibu.

Selepas Zaira lahir, kami mengambil seorang pembantu rumah bernama Hidayati yang kini telah 9 tahun bersama kami. Apabila Zaira sudah besar sedikit hampir berusia 2 tahun, barulah kami membawa Zariff untuk tinggal bersama-sama kami di Hong Kong. Begitulah ceritanya kenapa Zariff perlu tunggu sehingga hampir 2 tahun sehingga baru dapat bersama kami di Hong Kong.

Masih terngiang-ngiang di ingatan, semasa Zariff kecil, hampir 2 hingga 3 bulan sekali neneknya datang bawa Zariff ke Hong Kong dan duduk bersama kami selama lebih kurang 2 minggu.

Dan setiap kali kami hantar Zariff dan nenek ke balai berlepas di lapangan terbang Hong Kong, memang terlalu sukar untuk saya dan isteri hendak lepaskan pelukan pada Zariff. Setiap malam isteri saya akan menangis bila teringat pada Zariff di Malaysia dan saya pada ketika itu memang terpaksa kuatkan semangat untuk menjaga isteri saya dan Zaira serta fokus pada pengajian saya.

Saya tidak boleh mengubah masa yang telah lalu tetapi saya sangat bersyukur kepada Allah yang memberikan peluang kepada saya dan isteri untuk memperolehi masa semula bersama Zariff sekarang.

Pada ketika saya menulis bahagian ini, hari ini 16 Februari 2016 iaitu hari jadi Zariff yang ke 9, saya di dalam kapal terbang dalam perjalanan pulang daripada Korea ke Kuala Lumpur. Tidak sabar betul hendak jumpa Zariff malam ini. Mungkin bila saya sampai ke rumah, Zariff, Zaira dan Zaim sudah tidur. Tapi sebagai seorang ayah, akan saya cium dahi Zariff, Zaira dan Zaim sewaktu mereka sedang tidur dan berdoa agar mereka membesar menjadi anak-anak yang soleh, sentiasa mentaati perintah Allah, menghormati orang tua dan berjaya di dunia dan akhirat.