Jadi, mungkinkah pendedahan awal ini menyumbang kepada pilihan kerjaya saya sekarang Mungkin ya, mungkin tidak. Seingat saya, ibu bapa saya tak pernah secara terangterangan memaksa saya mengikuti jejak langkah mereka. Ironinya, semasa kecil, saya tak ingin menjadi seorang pensyarah! Maka, mungkinkah, pengalaman bersekolah di luar negara Semasa saya mula berada di UK ketika ibu bapa saya mula kajian PhD mereka, saya teringat saya pernah belajar lebih banyak semasa darjah 1 di Malaysia, berbanding silibus semasa mula bersekolah di UK. Saya ingat, persekolahan di sana sangat santai, setiap hari murid duduk dalam kumpulan dan diberi tugasan harian. Seingat saya tiada jadual mingguan yang tetap dan tiada peperiksaan pada peringkat sekolah rendah. Jika tugasan harian telah siap, murid boleh menghabiskan masa bermain, contohnya dengan Lego sehingga tamat sesi persekolahan. Saya tak ingat sebarang kerja rumah pernah diberi. Selain pembelajaran yang bersifat lebih akademik, sekali-sekala ada projek menarik, seperti mempelajari tentang tamadun Mesir, mahupun setiap murid bercerita tentang perayaan masing-masing, saya sendiri pernah bercerita tentang Aidil Fitri kepada rakan-rakan lain.
Mungkinkah suasana masyarakat itu sendiri Seingat saya memang budaya membaca dipupuk. Perpustakaan di sana sangat mesra bagi semua peringkat umur. Mungkin saya sendiri yang tak suka sangat membaca Saya ingat, antara hadiah yang sangat saya hargai dari ibu bapa saya, iaitu sebuah ensiklopedia kanak-kanak. Mungkin antara faktor saya lebih gemar bacaan berbentuk fakta, berbanding fiksyen (pengakuan: saya hanya pernah baca satu novel sahaja setakat ini: Jurassic Park. Kan saya dah kata hanya mahu berkongsi, ambillah yang jernih sahaja!).
Adakah personaliti saya sendiri Mungkin juga. Secara, jujurnya boleh dikatakan saya seorang nerd (walaupun saya tak gemar stereotaip). Saya suka menyendiri, melukis, bermain dengan Lego (Technic ya). Tetapi rasanya saya gemar juga banyak perkara yang dikongsi oleh generasi saya (yang pernah hidup di luar negara ketika kecil): Anime, Manga, Manhua, Sentai, permainan video Namun kecenderungan kepada aktiviti teknikal mungkin lebih. Saya ingat pernah buat model KOMTAR menggunakan kad manila bagi tugasan pendidikan seni. Komputer yang dihadiahkan kepada saya semasa berumur 12 tahun, saya sendiri yang maintain dan upgrade, zaman modem dan MS-DOS, saya pernah buka VCR, radio, Walkman, laptop, monitor CRT saja dulu tak berani buka. Cuba Google kalau tak pernah dengar teknologi zaman 80-an, 90-an ini. Aktiviti petang saya selepas sekolah, selain bermain dengan benda-benda di atas, acap kali saya merayau di tapak pembinaan Queensbay Mall (tanpa menghiraukan sama ada kawasan tersebut dilarang masuk atau tidak!) dan melihat sendiri jentera pembinaan di sana (yang saya cuba buat model menggunakan Lego setelah pulang ke rumah).
Apa yang saya nak cerita ya Oh ya, pilihan kerjaya saya. Hmm setelah pulang ke Malaysia semasa darjah 5, boleh dikatakan saya agak terkejut dengan perubahan kaedah persekolahan (walaupun pengalaman yang ditulis di atas adalah setelah berada kembali di tanah air). Alhamdulillah; saya berjaya dapat 4A dalam UPSR dan memasuki Penang Free School, sekolah yang bersejarah di Pulau Pinang, dengan bangunan awal abad ke-20 yang ikonik. Namun, mungkin atas pelbagai faktor, saya masih tak dapat bayangkan masa depan saya ketika itu. Sekali lagi, saya berterima kasih kepada ibu bapa saya yang mendorong saya menduduki ujian kemasukan ke MRSM, dan alhamdulillah saya telah diterima masuk ke MRSM Taiping pada tahun 1998. Dari situ, haluan masa depan nampak lebih jelas, semasa temuduga MARA, pilihan saya (rasanya) adalah bioteknologi, kejuruteraan komputer dan perubatan. Kenapa kejuruteraan dan bukan sains komputer Mungkin saya boleh salahkan pelajar kejuruteraan UIA yang datang beri taklimat kepada kami ketika itu
Alhamdulillah semula, saya berpeluang mengikut pengajian A-Level di Kolej Matrikulasi Yayasan Saad (sekarang dikenali sebagai Kolej Yayasan UEM). Di sana, nampak gaya tak ada had sejauh mana saya boleh corakkan masa depan saya The skys the limit! Maka saya mencuba nasib mengikuti temuduga dan peperiksaan bagi kemasukan ke University of Cambridge. Oleh kerana saya tak yakin sangat dengan temuduga, saya ambil peperiksaan tambahan AS-Level. Saya diterima masuk ke University of Cambridge dalam bidang kejuruteraan pada tahun 2001 dan tamat dengan ijazah M.Eng. dalam kejuruteraan informasi dan komputer pada tahun 2005.
Namun ketika itu, baru saya sedar sedikit, mungkin terlalu lama mengelamun dalam dunia sendiri, apa halatuju masa hadapan saya Sebenarnya pengajian saya di Cambridge tak lah begitu cemerlang, saya hampir tak dapat ijazah saya. Cuma saya tahu ketika tersebut, saya masih ingin mencuba nasib menyambung pengajian pada peringkat Ph.D. Mungkin disertakan tanggapan saya ketika itu berkenaan kerjaya sebagai pensyarah universiti, saya pun mencuba nasib di beberapa universiti tempatan, disamping atas desakan ibu bapa, mencuba juga nasib di beberapa syarikat. Saya akhirnya diterima masuk kerja sebagai tutor dan kemudiannya pensyarah sementara pada tahun 2006 di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem, Fakulti Kejuruteraan, UKM.
Pada ketika itu, saya masih belum jelas tentang bidang kajian PhD saya. Sebelum saya masuk UKM, saya pernah mencuba nasib dalam bidang bioinformatik (malah pernah merenung untuk menceburi bidang agama, renung saja, rasanya rugi pengajian saya sebelumnya). Bila tiba masanya untuk melamar penyelia berpotensi, akhirnya saya pilih bidang pemprosesan pengimejan perubatan, walaupun ada permintaan untuk sambung dalam bidang komputer yang lebih umum. Antara faktor pilihan saya adalah: minat, pengajian sebelumnya.Projek M.Eng. saya berkaitan dengan ultrasound 3D, serta pernah ambil subjek berkaitan dan saya rasa ia adalah antara aplikasi teknologi yang bermanfaat bagi manusia.
Kemudian, saya memulakan PhD di University of Surrey pada tahun 2008 dan baru timbul kesedaran betapa banyaknya ilmu yang saya tak tahu! Mungkin hal ini unik kepada bidang saya, namun saya perasan semasa pengajian PhD saya, bercambahnya kajian dalam fokus bidang yang sama, yakni kompensasi pergerakan dalam pengimejan perubatan. Mungkin kerana ia topik penting dan terkini pada ketika itu Pernah ada sesi tersendiri bagi topik kajian ini pada persidangan terkemuka dikenali sebagai SPIE Medical Imaging pada tahun 2010.
Semasa buat PhD saya jumpa batasan saya. Ada kalanya rasa seperti nak ketuk kepala disebabkan ada formula yang saya tak faham. Bila saya akhirnya faham, tertampar pula dengan konsep yang lebih sukar (rasanya sama saja sampai sekarang). Penyelia saya agak membiarkan saya meneroka sendiri halatuju kajian saya, namun mencantas juga bila sudah tersasar daripada objektif asal. Kemudiannya, saya sendiri menukar halatuju bila dirasakan ia terlalu sukar atau menghala jalan buntu, walaupun telah menghabiskan banyak masa menyelidik sesuatu perkara. Akhirnya, saya memaksa diri untuk tamat PhD, bila sedar isteri yang telah bercuti tanpa gaji selama 3 tahun (walaupun saya ke UK sebelum beliau), pulang ke Malaysia dengan dua cahaya mata kami. Elaun biasiswa KPT pun sudah tamat, saya hampir perlu bayar sendiri yuran pengajian, namun tak dikenakan dengan ihsan penaja saya (syukur!).
Alhamdulillah, saya selamat menjalani peperiksaan lisan viva voce (selama 4 jam!) pada hujung tahun 2012 dan secara rasminya mendapat ijazah Ph.D. pada pertengahan tahun 2013, setelah pembetulan tesis yang agak berat, berkat pemeriksa luar saya yang merupakan antara tokoh terkemuka dalam bidang pengimejan perubatan, yang telah mendapat anugerah IEEE Marie Sklodowska-Curie pada tahun 2014.
Bila pulang semula ke Malaysia pada hujung 2012, datang kembali di benak fikiran, apakah halatuju seterusnya Amat mudah untuk merasakan diri sudah tahu semua, namun sebenarnya lautan ilmu lebih luas lagi; Ph.D. hanya fokus pada suatu titik kecil saja lautan tersebut. Perkembangan teknologi masa kini amat pantas, tak terkejar. Berbekalkan sedikit pengalaman, ilmu, semangat (yang masih ada) serta sedikit geran yang diperolehi (syukur lagi!), saya cuba mengikuti perkembangan tersebut. Saya lihat penyelidik seantero dunia, yang jauh lebih bijak, berpengalaman dan gigih, mengejar dan mengembangkan sempadan ilmu dan teknologi. Pernah ada sesi di persidangan antarabangsa barubaru ini (hujung 2015), seorang penyelidik dari National Institute of Health (NIH), Amerika Syarikat, berdebat dengan syarikat pengimejan perubatan tentang capaian data bagi tujuan penyelidikan. Saya duduk diam sahaja, terasa diri jauh lagi, sambil menikmati kudapan percuma...
Merantau mencari ilmu
Zaman sekarang banyak penyelidikan rentas disiplin. Pengimejan perubatan secara umumnya memang bersifat rentas disiplin. Selain bidang perubatan, ia juga melibatkan bidang fizik. Penciptaan computed tomography (CT ataupun CAT scan) bergantung kepada komputer bagi membentuk imej dan terkini membantu doktor perubatan membuat diagnosis serta mencapai keputusan terbaik bagi pesakit. Saya datang dari latar belakang bidang komputer (mula bermain dengan pengaturcaraan QBasic pada komputer tanpa Windows semasa sekolah menengah lagi), namun memilih untuk fokus dalam penyelidikan pengimejan perubatan. Walaupun rentas disiplin, saya berpendapat untuk membina kepakaran perlu ada fokus tersebut. Pada pengamatan saya, ada sudut tertentu dalam bidang ini yang amat memerlukan kemahiran berkerja dengan komputer dan bahasa pengaturcaraan, dan kemudiaanya memerlukan pemahaman mendalam aplikasi kemahiran tersebut.
Setakat ini, saya mengajar dua subjek tersebut kepada pelajar di jabatan saya (sama seperti penyelia saya di UK!). Pada hemat saya, dalam bidang sains dan teknologi (terutamanya kejuruteraan elektronik), selain asas sains dan matematik, kemahiran menggunakan komputer amat berharga. Sedar atau tidak, hampir semua orang pada masa kini ada komputer dalam poket masing-masing (baca: telefon pintar) dan anda ada kelebihan jika faham dengan lebih mendalam bagaimana ia berfungsi (atau kenapa ia tak berfungsi dengan baik...).
Untuk kerjaya sebagai pensyarah Baru-baru ini (awal 2016) ada seorang rakan saya, yang pernah membuat penyelidikan dengan NASA dan bekerja di Amerika Syarikat, tegur bahawa istilah pensyarah tak menggambarkan sepenuhnya lingkup kerja beliau, beliau memperkenalkan diri sebagai saintis lebih dahulu. Kalau nak menggambarkan bidang cakup kerja yang meliputi pengajaran, mungkin istilah faculty atau ahli akademik lebih sesuai. Pengajian sehingga peringkat Ph.D. pula tak semestinya berkerja dengan universiti, walaupun tak banyak syarikat atau institut yang memerlukan kepakaran pada peringkat tersebut, namun pada pengamatan cetek saya, ia akan lebih diperlukan pada masa hadapan, bila sektor R&D berkembang.
Dalam kita mengejar teknologi, pada dasarnya ia harus digunakan bagi tujuan bermanfaat. Rasanya kalau pandangan alam jelas mengenai matlamat hidup ini, inilah kesimpulan asas yang pasti dicapai berkenaan potensi dan bahaya teknologi. Inilah juga pemangkin semangat bagi saya menguasai teknologi, bukan hanya menjadi pengguna membuta tuli. Teknologi hanya alat, ia boleh memberi nilai tambah pada hidup, ataupun hancurkan kita semua. Jikalau pandangan alam terhad pada kehidupan fizikal ini pun akan sampai kepada kesimpulan ini (contohnya yang diutarakan oleh Future of Life Institute), apatah lagi jika pandangan alam kita menjangkau dunia yang fana ini...
Akhir kalam, mungkin perjalanan hidup para pembaca tak seindah kisah saya di atas (yang jauh lagi perjalanan), saya hormati mereka yang terpaksa menghadapi dugaan yang lebih mencabar, namun percaya yang pengalaman bakal mendewasakan kita. Pendek kata, kejarlah ilmu sehingga ke hujung dunia (baca: mengharung lambakan maklumat masa kini), bagi manfaat umat manusia sambil tak lupa asal dan tujuan hidup kita. Dalam ingatan dan kemaafan atas segala keterlanjuran: keluarga, para guru, rakan dan semua yang mengenali diri ini sepanjang hidup ini. Sekian nukilan dari seorang fakir yang banyak kelemahan dan masih banyak perlu pelajari...
Biodata
Dr. Ashrani menerima ijazah B.A. dan M.Eng. dalam bidang Kejuruteraan Maklumat dan Komputer dari University of Cambridge, United Kingdom (UK) dan Ph.D. dari University of Surrey, UK dalam bidang Pengimejan Perubatan. Beliau adalah seorang Pensyarah Kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kecenderungan penyelidikan beliau secara umumnya adalah tertumpu kepada bidang Pengkomputeran Pengimejan Perubatan, dan secara tak langsung menyentuh bidang Visi Komputer serta Pembelajaran Mesin. Dr. Ashrani adalah ahli graduan Lembaga Jurutera Malaysia, IEEE dan SPIE.