Aku juga membekalkan sedikit duit, nasihat serta ingatan agar belajar rajin-rajin. Bas meluncur laju dan aku dapat melihat dia melambai sayu. Air matanya tidak dapat dibendung lagi. Apa tidaknya. Pada 2 hari pertama aku sampai dia masih tersipu-sipu kerana dah lama kami tidak bersama. Bila dah nak mesra, terpaksa berpisah semula.
Tapi aku percaya dia tetap tabah menghadapi semua ini. Ini bukanlah kali pertama kami bertemu dan berpisah sepanjang dia menuntut di luar negeri. Sampai sahaja di lapangan terbang aku cuba talipon isteriku. Tiba-tiba aku sedari tiada satu sen pun duit pound dalam simpanan ku. Hah sudah macam mana aku nak talipon dia. Duit Malaysia tak boleh guna. Semua duit telah aku serahkan pada isteri aku.
Aku mula gelisah sebab aku perlu memberitahunya bahawa aku dah sampai dan menenangkannya, kerana dia pasti kesunyian di atas kepulangan aku.. Tiada pilihan selain mencari kalau-kalau ada orang Malaysia di lapangan terbang Hethrow.
Nasib aku baik! Aku melihat seorang hamba Allah yang seperti orang Malaysia. Aku memberi salam dan bertanya adakah dia orang Malaysia. Katanya dia orang Kg Pandan Kuala Lumpur dan menuntut disini.
Gembira tidak terkata lalu meminta untuk menukarkan RM 10.00 dengan duit satu poun. Pada masa itu satu paun sama dengan 7 ringgit duit Malaysia. Dia kata tak apalah ambillah duit ini. Aku ucapkan terima kasih di atas budi baiknya itu.
Lantas aku talipon isteriku. Dia menangis meraung dan memohon ampun jika ada apa yang aku tidak senang sepanjang aku berada disini. Katanya bila balik semula ke bilik dia benar-benar merasa kehilanganku. Rasa bersalah pulak kerana tidak membekalkan duit Paun.
Aku menenangkannya dan menyatakan tiada apa yang kurang. Malah aku cukup gembira sebab dapat berjumpa dengannya. Aku terus menenangkannya menasihatinya agar pergi ke rumah temannya bagi menghilangkan kesunyian sambil menyatakan salam rindu aku tamatkan perbualan.
Inilah situasi yang aku perlu hadapi lagi dan lagi sepanjang perjalanan perkahwinan kami. Bukan kecil cabaran emosi yang perlu dihadapi. Cuma aku berharap agar suatu hari nanti aku boleh sentiasa bersama keluargaku dan menikmati kebahagiaan yang sejati.
Penerbangan aku dijangka 2 jam lagi. Aku turun ke bahagian bawah untuk solat zohor dan naik semula ke atas dan duduk di kerusi. Lelaki yang memberi 1 pound tadi menjemput aku makan karipap yang dibawanya dari rumah. Sambil berbual akupun menjamah kuih tersebut. Inilah rezeki namanya. Perut kosong sejak pagi tadi terisi juga sedikit.
Bila tiba masanya akupun meminta diri kerana pesawat akan berlepas. Dia pun mendoakan agar aku selamat sampai ke Malaysia. Kali ini penumpang penuh dan aku terpaksa duduk berhimpit dengan orang sebelah (orang Australia) yang berbadan besar. Dia seorang yang peramah dan tahu banyak tentang Malaysia.
Perjalanan 13 Jam tidak lama aku rasakan. Dari singapura aku terus ke Subang dan naik teksi ke Bangi. Dari sana aku di ambil oleh teman serumahku, Mejar Azlan.
Aku besyukur kerana telah sampai dengan selamatnya di Malaysia. Buah tangan untuk teman serumah tidak aku lupakan. Malam itu kami berbual panjang. Pengalaman di London sangat mahal harganya. Tambahan pula aku pergi dengan titik peluh aku sendiri.
Pada keesokan harinya aku menghadiri kuliah seperti biasa. Pensyarah juga memperli aku dan mengalu-alukan aku kembali ke Malaysia. Cuma aku tidak dapat membeli ole-ole untuk semua orang. Bukannya sikit sahabatku dan bukannya boleh aku bawa banyak sangat barang dari sana.