BANDUAN AKHIR - 16
MERINGKUK 22 tahun dalam penjara dan menjadi banduan kedua paling lama di negara ini menjalani hukuman penjara bukanlah satu pengalaman indah untuk diceritakan sepanjang zaman, tambahan pula menghadapi hukuman gantung kerana tuduhan membunuh.

Mungkin keadaan akan menjadi semakin memalukan kerana ketika ditangkap, dia masih berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia, malah menyandang jawatan pegawai berpangkat Leftenan.

Bagaimanapun, penyesalan dan keinsafan yang benar-benar ikhlas menjadikan Zainuddin Mat Lela, 46, manusia yang cukup berdisiplin, akur serta taat di dalam penjara menyebabkannya dilepaskan enam tahun lebih awal dan hanya berada dalam penjara selama 22 tahun.

Sebelum terjebak, dia adalah seorang anggota tentera sangat berdisiplin dan tidak pernah melakukan sebarang masalah sepanjang perkhidmatannya sehingga boleh merosakkan reputasi baiknya. Sayangnya, dia terperangkap dengan perangai buruknya yang suka berjudi dan bermain nombor ekor di luar waktu bekerja dan kerana sikap negatifnya itulah dia terjebak sehingga menyebabkan terbabit dengan jenayah pembunuhan.

Keengganan rakan baiknya yang turut berkongsi kegemaran berjudi untuk membayar habuan kemenangan sebanyak RM40,000 ketika itu membangkitkan kemarahannya sehingga menyebabkan dia hilang kawalan dan terpaksa bertanggungjawab atas kematian rakannya itu.

Dia masih ingat ketika api kemarahan yang membara dalam hatinya. Biarpun dicuba mengambus perasaan dendam yang sedang menguasai kewarasan akal fikiran, namun benaknya masih sebal dengan perbuatan khianat lelaki itu.

Selepas sekian lama menanti habuan hasil pertaruhan haram empat nombor yang dimenanginya, dia mulai bosan. Dia benci pada orang yang mungkir janji sehingga menyebabkannya terpaksa menagih haknya sendiri. Selagi dia berdiam diri, tidak bertindak mendapatkan wang pertaruhannya, Lim Chee Wah, lelaki Cina yang sebaya usianya ketika itu tidak mungkin membayar walau sesen pun.

Akhirnya dia mengambil keputusan berlembut dan bagi meredakan ketegangan antara mereka berdua, Zainuddin merencana melakukan aktiviti riadah kegemaran bersama, iaitu memburu dan kali ini babi hutan bakal menjadi mangsa buruan mereka. Di situlah segala kisah hitam itu bermula, tatkala kemarahan menguasai fikiran, tangannya terus mengacu senapang patah yang sepatutnya digunakan untuk berburu itu ke belakang badan lelaki Cina berkenaan sebelum sedas tembakan dilepaskan.

Bukan mudah untuk Zainuddin melupakan dosa dan kesalahan yang pernah dilakukan. Biar menyesal sehingga menitiskan air mata darah sekalipun, segala perbuatannya tidak mungkin dapat ditarik balik, tambahan pula jenayah yang dilakukan itu didorongi perasaan marah semata-mata.

Jatuh maruahnya sebagai seorang pegawai tentera ketika pihak polis menahannya di sebuah bengkel kereta milik seorang rakan berhampiran Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang kerana dituduh terbabit dengan kehilangan seorang lelaki Cina.

Selepas menjalani sesi soal siasat di Balai Polis Pekan, akhirnya Zainuddin mengaku membunuh lelaki berkenaan dengan menembaknya dari belakang di sebuah kawasan hutan di Jalan Kuantan - Segamat berhampiran Paloh Hinai dalam daerah Pekan. Dia kemudian membawa polis ke tempat kejadian lalu menemui mayat lelaki itu yang masih terbaring di situ. Berikutan penemuan itu, polis memfailkan dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Ketika mahkamah menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap dirinya pada 27 Oktober 1988, fikirannya hanya terkenangkan perasaan isterinya yang sarat mengandung anak ketiga mereka ketika itu serta nasib dua anak lelakinya yang baru berusia satu dan dua tahun. Perasaan kesal, pilu dan sebak menerjah di hatinya, tatkala melihat isteri yang dinikahinya pada 1980, Kariah Mat Arif, (kini berusia 54 tahun) tidak sedarkan diri ketika mendengar keputusan hakim dan juga ketika menatap wajah sedih ibu serta ayahnya yang turut hadir di mahkamah bagi mendengar keputusan hakim.

Sejurus mendengar keputusan mahkamah, dia yang sebelum ini sudah menjalani tahanan reman selama enam tahun di Penjara Kuantan, Jalan Penjara, Kuantan kemudian dihantar ke Penjara Pudu di Jalan Pudu, Kuala Lumpur untuk sementara bagi menanti hukuman gantung. Empat tahun menanti giliran untuk digantung, pelbagai pengalaman dirasai. Pelbagai ragam banduan hukuman gantung turut diperhati. Ada menakutkan, ada juga memberi keinsafan dan keadaan itu menggamit seribu penyesalan buat dirinya.

Saya masih ingat lagi, ketika menanti hukuman gantung di Bilik Gantung, Penjara Pudu, saya dihidangkan pelbagai ragam banduan yang akan menghadapi hukuman gantung di situ.

Ada yang meraung-raung tak tentu masa seperti orang gila dan ada juga yang hanya duduk diam dan asyik mengerjakan solat. Setiap malam, pasti ada yang menangis. Mungkin kerana takut atau menyesal dengan perbuatan sendiri."

Kami tidak diberitahu bila akan dikenakan hukuman gantung. Pihak penjara hanya akan memberitahu kami akan digantung 24 jam sebelum hukuman dijalankan

Setiap banduan yang dipanggil ke bilik Pengarah Penjara untuk dimaklumkan bahawa mereka akan digantung pada keesokan harinya, pasti terpaksa diusung pegawai penjara ke sel tahanan mereka selepas itu.

Tidak ada seorang pun yang dapat menerima keputusan penggantungan mereka dengan tenang. Mereka kemudian tidak makan, tidak minum, tidak membuang air kecil atau besar. Mereka hanya berbaring lemah sehingga dijemput pegawai penjara untuk menjalani hukuman.

Ketika hukuman dijalankan, kami menggendang tong air yang berada di dalam sel sekuat hati untuk menimbulkan bunyi bising supaya kami tidak terlalu gerun mendengar bunyi tali menjerut leher banduan ketika hukuman dijalankan.

Selain itu, kami juga menghiburkan banduan yang menjalani hukuman supaya mereka tidak terlalu sunyi dan menjadi semakin lemah ketika menjalani hukuman gantung, katanya.

Pada tahun 1990, Zainuddin cuba menulis surat rayuan kepada Mahkamah Tinggi meminta hukumannya diringankan, bagaimanapun permohonan rayuannya itu ditolak dan hukuman gantung dikekalkan. Biarpun sudah hampir berputus asa, dia tetap ingin cuba mengubah nasib buruk yang akhirnya menyebelahi dirinya. Ini berikutan abangnya mengambil inisiatif menulis surat rayuan kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, memohon supaya hukuman gantung yang perlu dijalaninya itu ditukarkan kepada hukuman penjara seumur hidup.

Ketika mendengar Pengarah Penjara membacakan titah Sultan Pahang yang berbunyi, Beta ampunkan rakyat beta daripada hukuman mati dan ditukar ke penjara 20 tahun, hatinya mengucap syukur yang tidak terhingga dengan keampunan itu.

Sejurus selepas itu, dia dipindahkan ke Penjara Kajang. Di situ, dia diajar pelbagai kemahiran. Dia yang sememangnya berminat dan mahir dengan kerja-kerja bengkel turut dipertanggungjawabkan mengendalikan peralatan di bengkel, selain mempelajari cara pembuatan besi dan memperbaiki alat-alat mekanikal.

Lima tahun menjalani hukuman di Penjara Kajang, dia kemudian memohon untuk dipindahkan ke Penjara Penor di Kuantan bagi memudahkan isteri serta anaknya datang menziarah dan permohonannya diluluskan pada 1997. Zainuddin kemudiannya menjalani hukuman penjara selama 15 tahun di Penjara Penor sebelum dibebaskan pada 18 Januari 2006 yang lalu. Dia menasihati remaja agar menjauhi jenayah.

Saya bersyukur mempunyai seorang isteri yang sangat setia dan menyayangi saya, biarpun menjadi seorang pembunuh sehingga terpaksa menjalani hukuman penjara.

Saya tidak berkesempatan melihat anakanak membesar dan paling menyedihkan ibu bapa saya meninggal dunia ketika saya masih lagi berdepan hukuman gantung di Penjara Pudu, kata Zainuddin Mat Lela, 46, banduan yang pernah menjalani hukuman penjara kedua terlama di negara ini.

Selepas dibebaskan hampir setahun lalu, Zainuddin kini kerap hadir ke sekolah rendah dan menengah, selain kem motivasi untuk memberikan ceramah kepada remaja dan belia mengenai sikap serta kesedaran yang perlu ada dalam mengawal kelakuan mereka. Remaja dan belia, katanya adalah golongan yang mudah dipengaruhi dan sering terdedah dengan pelbagai gejala membabitkan keruntuhan sosial termasuk penagihan dadah sehingga boleh menyebabkan jenayah lain.

Belia perlu bertindak bijak dalam mengawal emosi dan kelakuan, kerana jika gagal mengurus perasaan, tentu terpaksa menerima hukuman dan membazirkan kehidupan seperti pernah dialaminya.

Namun, saya gembira kerana isteri saya berjaya mendidik anak-anak saya menjadi manusia berguna dan paling menggembirakan apabila mereka semua dapat menerima saya selepas bebas daripada penjara awal tahun ini.

Anak sulung saya, Mohd Khaizari, 25, kini bertugas sebagai guru. Anak kedua saya, Mohd Khairul, 24, bertugas di Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang, manakala anak bongsu saya, Mohd Kamadi, 23, kini berkerja sebagai penyelia di Maxis, katanya.

Zainuddin berkata, kini beliau hanya ingin menjalani kehidupan yang baik dan menghabiskan sisa hidupnya dengan kerja-kerja berfaedah, selain membantu masyarakat di kediamannya di Kampung Sri Cempaka, Kempadang, Kuantan.

4 Tahun Tunggu Jerut Tali Gantung

Nurashiqin Omar 31/12/2006