Pada 26 Dis 2004, gelombang ombak besar telah melanda di sekitar Lautan Hindi apabila gegaran sekuat 6.0 hingga 9.0 pada skala Richter yang berlaku di kawasan seluas 250 kilometer ke barat daya Sumatera telah mengorbankan lebih 286,000 orang di selatan Asia dan sebahagian Afrika.
Tidak ramai daripada kita mengenali apa dia fenomena tsunami, sehinggalah ombak besar itu membawa bencana alam baru-baru ini. Tsunami hanyalah sebahagian daripada bencana alam. Terdapat banyak bencana alam tetapi empat kejadian besar ialah gempa bumi, letupan gunung berapi,banjir besar dan taufan.
Mungkin gempa bumi dan gunung berapi tidak berlaku di negara kita tetapi kesannya dapat menimpa Malaysia sekiranya terjadi di negara jiran. Tetapi kita di Malaysia sejak awal lagi, telah ada pemahaman sendiri bahawa kita bebas daripada bencana alam.
Apabila berlaku bencana kecil seperti tanah runtuh, selalu dianggap ia kejadian sekali sahaja atau kes terpencil. Bagaimanapun, rakyat Malaysia sepatutnya mengubah paradigma tersebut memandangkan sejak 10 tahun kebelakangan, beberapa kejadian tanah runtuh yang besar berlaku dan terbaru dilanda ombak besar tsunami,.
Malaysia bukan kawasan yang bebas bencana, walaupun Malaysia bukan dalam lingkungan kawasan berlakunya bencana, tetapi terdedah kepada bencana disebabkan kita terletak dalam kawasan laut terbuka. Justeru bencana seperti ombak besar dan angin taufan dari kawasan luar boleh melanda negara bila-bila masa seperti yang dibuktikan oleh fenomena tsunami.
Sebuah institusi perlu diwujudkan bagi memantau sebarang perkembangan berkaitan bencana yang berlaku di luar negara bagi membolehkan pengawasan dan pemantauan dilakukan. Pada masa sama, institusi tersebut dapat menghimpunkan kepakaran dalam pelbagai bidang berkaitan bencana alam yang akan menilai dan meneliti setiap rekod bencana yang diterima.
Catatan saintis geologi menunjukkan bahawa tidak kurang 500,000 gegaran berlaku setiap tahun di seluruh dunia iaitu di kawasan Lingkaran Api Pasifik tetapi kebanyakan mgnitudnya agak kecil dan tidak dapat dirasai.
Gegaran kepingan batu lautan setebal kira-kira 30 kilometer yang menjunam masuk ini dihalang oleh kepingan benua tetapi apabila ia berjaya masuk merempuh halangan tersebut, pelepasan tenaga berlaku. Tenaga yang dibebaskan ini memampatkan air laut menyebabkan berlakunya ombak besar.
Ombak besar ini dinamakan ombak kelautan kerana ia bukan berpunca daripada tiupan angin seperti lazimnya ombak di permukaan laut. Ombak ini sangat besar dan boleh berkelajuan mencapai 800 kilometer (km) sejam. Berdasarkan rekod yang berlaku di Indonesia, ombak tsunami boleh mencapai ketinggian sehingga 35 meter.
Dua gempa bumi besar yang menyebabkan tsunami ialah pada 1896 di Jepun yang mengorbankan 22,000 orang dan di Alaska tetapi hanya mengorbankan 131 orang. Pada tahun 1883 pula, ombak tsunami yang berpunca daripada letupan gunung berapi Krakatoa di Indonesia antara yang terbesar dan membunuh ramai mangsa di Jawa.
Struktur bumi di sekitar Lautan Hindi tidak aktif dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berlakunya sebarang gempa bumi yang besar terutamanya di bawah aras laut. Itulah antara sebab utama amaran awal tidak dapat dikeluarkan kerana tiada siapa menduga kejadian sebegitu buruk akan berlaku. Sebelum ini bencana yang sebegini besar memang tidak pernah berlaku atau direkodkan dalam sejarah.
Walaupun demikian rekod menunjukkan terdapat lebih kurang 30,000 gegaran berlaku di sekitar Lautan Hindi dan Lautan Pasifik sekitar 1961 sehingga 1967. Gegaran berkenaan adalah kecil dan tidak dapat dirasai serta tidak memberikan sebarang kesan struktur bangunan.
Bagaimanapun gempa yang berasal daripada dasar lautan amat jarang berlaku dan jika berlaku, ia akan memberikan impak yang besar. Gempa bumi yang berlaku bawah permukaan laut pernah direkodkan bermula 0 kilometer sehingga 700 km bawah laut. Semakin dalam gempa yang berlaku, semakin kuat kesannya.
Gempa bumi yang berlaku di dasar laut akan mengakibatkan gelombang ombak besar dan menyebabkan pelbagai kerosakan besar di kawasan tepi pantai. Biasanya pertembungan antara benua lautan dan daratan (dua jisim berlainan) akan menghasilkan kekuatan yang amat luar biasa. Pertembungan berkenaan akan menghasilkan gegaran kuat di lautan yang kemudiannya dijelmakan dalam pepejal.
Kemudian tenaga disebarkan kepada jisim air yang membentuk serakan dan apabila sampai ke pantai menghasilkan gelombang besar dan dengan cepat menghempas pantai dan memusnahkan apa saja yang ada di depannya, katanya.
Biasanya sesuatu perkara yang jarang berlaku akan menghasilkan magnitud lebih kuat berbanding gegaran yang berlaku di daratan yang lebih kerap. Makin jauh pusat gempa di bawah paras laut semakin kuat gelombang yang dihasilkan di permukaan.
Gegaran berkenaan dapat dirasai hingga ke India, Sri Lanka dan sebahagian benua Afrika mungkin kerana dipengaruhi oleh arah dan kelajuan tiupan angin. Biasanya terdapat beberapa siri gegaran selepas gempa bumi dan akan stabil dalam masa satu atau dua minggu.
Adakalanya beberapa tempat mungkin mengalami gegaran kuat di daratan dan menghasilkan kemusnahan besar seperti Di California, Amerika Syarikat. Ini berlaku apabila ada zon sasar di mana lapisan bumi akan bergesel antara satu sama lain dan ada rekahan. Bagaimanapun kita harus mengambil iktibar mengenai apa yang telah berlaku telah mula mendapat kejadian alam luar biasa yang lebih kerap berbanding tahun 60-an.