Menggunakan apa sahaja kemahiran memasak yang kamu miliki pastinya akan membuatkan si dia jatuh hati pada kamu. Si dia akan terpikat pada kesedapan masakan kamu.
Lelaki mencari pasangan yang mahir memasak. Kerana bagi mereka, memakan masakan seorang isteri lebih baik berbanding makan di luar. Selain menjimatkan, ia akan mengukuhkan perhubungan sebagai suami dan isteri.
Isteri yang bijak memasak akan mudah mendapatkan kasih sayang daripada suaminya. Sudah tentu kamu sendiri mahu berikan pasangan kamu hidangan yang teristimewa. Dengan menghidangkannya masakan kamu, pasti si dia akan bertambah gembira.
Usah risau jika masakan kamu kurang sedap. Kamu boleh dapatkan nasihat daripada ibu, kakak, rakan atau sesiapa sahaja yang mahir dalam bidang masak-memasak. Pelajarilah satu menu yang kamu dapat kuasainya dengan mudah.
Tetapi, bagaimana pula kamu mahu menghidangkan masakan tersebut kepadanya
Usah risau, kamu boleh membawanya sebagai bekalan dan mengajak si dia makan bersama-sama kamu dan rakan. Dengan cara ini, kamu tidak akan kekok untuk menghidangkan masakan tersebut kepadanya.
Boleh sahaja kamu rancangkan dengan teman baikmu untuk mengajaknya makan bersama-sama.
Tetapi, jangan pula kamu mengajak ramai teman untuk makan bersama-sama. Memadai seorang yang kamu boleh percayai. Begitu juga dengan si dia. Jika boleh, kamu jemputlah si dia bersama rakannya sekali.
Sedap atau tidak, itu adalah perkara kedua yang perlu kamu fikirkan. Keutamaan yang perlu kamu fikirkan pada masa ini adalah untuk memastikan si dia menerima isyarat cinta kamu.