SIDANG SERANGGA - 16
PADA suatu pagi Isnin, Tijah yang sedang teramaiamai mengantuk di mejanya, tiba-tiba terperanjat kerana di antara surat-surat yang baru sampai ke mejanya ada sepucuk surat yang dialamatkan kepadanya dari Palembang, Sumatra Selatan, Republik Indonesia. Sarung surat istimewa itu dibukanya dengan cermat, dan tak lama kemudian dibacanyalah dengan cermat dan penuh minat, dari awal hingga akhirnya:

Adikku yang disayangi,

Abang sudah hampir satu minggu berada di Kota Palembang, sesudah selesai melawat Aceh, Bukit Tinggi, Medan, Brastagi, Danau Toba dan kampungkampung di sekitar bandar-bandar itu.

Adapun daripada hal kajian-kajian dan risik selidik abang dalam bandar-bandar dan daerah-daerah Sumatra Utara, Sumatra Tengah dan Sumatra Barat, (Pekan Baru dan sekitarnya), abang akan ceritakan kemudian kelak.

Ketika menulis surat ini, yang sulung semenjak abang meninggalkan Kuala Lumpur, ibu kota Malaysia, yang semakin maju dan indah, abang berada di Kuala Meringin (dingin) yang di hulunya ialah Bukit Segantang yang amat masyhur ceritanya dalam kitab Sejarah Melayu, iaitu darihal Wan Empuk dan Wan Malini yang bertanam padi berbuahkan emas, berdaun Perak dan batang-batangnya dari suasa.

Abang menjadi tetamu bagi seorang tua, yang sungguh tua, seratus dua puluh tahun lebih usianya, tetapi masih sihat dan segar. Tak usahlah abang nyatakan panjang lebar darihal orang tua itu, sebab yang lebih perlu abang terangkan ialah darihal ilmu pengetahuannya mengenai bangsa Melayu yang katanya, dalam zaman Kerajaan Sri Wijaya dulu, sesudah kuasa Majapahit dapat dikalahkan, telah mencapai kemajuan dan kejayaan yang sangat cemerlang dan mengagumkan kuasa-kuasa dunia yang lain yang wujud pada zaman itu.

Di antara sebab-sebab besar yang telah melemahkan, dan akhirnya menjahanamkan keagungan bangsa Melayu, ialah ilmu-ilmu sihir dari India, oleh mahaguru-mahaguru Hindu, dan kemudian oleh ajaran-ajaran Buddha, dan termasuklah juga ceritacerita dongeng daripada bangsa Arab dengan kisahkisah Seribu Satu Malam dan sebagainya.

Misalnya, kata orang tua yang sungguh bijak bestari itu, ialah dongeng Wan Empuk dan Wan Malini yang konon-kononnya telah menanam padi di Bukit Seguntang yang berbuahkan emas, berdaun perak dan berbatang suasa itu.

Yang sebenarnya datuk nenek kita pada zaman kegemilangan Kerajaan Sri Wijaya dulu sudah mencapai berbagai-bagai kemajuan. Di antara kemajuan-kemajuan itu ialah mencipta sistem perairan hingga boleh menaikkan air dari lembah hingga ke lereng-lereng bukit seperti Bukit Seguntang yang berhawa dingin itu dan juga menciptakan satu jenis padi yang terbaik.

Benih-benih padi jenis yang terbaik itu telah dihantar ke beberapa daerah di pantai barat Tanah Semenanjung Melayu, tetapi kebanyakannya telah dapat dibinasakan oleh bangsa-bangsa lain yang sangat bimbangkan pengaruh dan kekuatan Kerajaan Sriwijaya. Benih-benih padi yang berbuahkan emas, berdaun perak dan batangnya seperti suasa itu telah dikirimkan sebanyak-banyaknya untuk ditanam di pulau Langkawi, Perlis dan Kedah. Tetapi telah dibinasakan oleh Ianun-lanun dan laskar-laskar dari Siam (Thailand sekarang), dan itulah cerita usul asalnya padi terbakar yang hingga kini masih ada di Padang Masirat di Pulau Langkawi.

Di Kembayat Negara pula, atau Kemboja, dan sekarang bernama Kampuchea pula, bangunanbangunan, astaka-astaka, istana dan mahligaimahligai yang indah permai yang telah direka bentuknya dan dibina oleh tukang-tukang binaan bangsa Melayu pada zaman dahulukala, telah diubahsuaikan oleh kaum Buddha, bertukar menjadi rumah-rumah berhala yang dinamakan Angkor Vat (wat-wat atau tokong-tokong Buddha).

Bangsa Melayu telah dilemahkan juga dengan cerita dongeng Singapura dilanggar todak dan Iain-Iain.

Dalam zaman kerajaan Melaka pula sekali lagi bangsa Melayu telah dikhayalkan dengan ceritacerita Hang Tuah, kisah Puteri Gunung Ledang oleh orang-orang beragama Buddha dari China dan India.

Hingga sekarang, zaman kemajuan dan pemodenan, bangsa Melayu terus dikhayalkan oleh orang-orang Hindu dengan ilmu transcedental meditation and Mind Control dengan cerita-cerita dongeng, ilmu silap mata, bermain ular dan sebagainya dari India dan China.

Adikku yang disayangi,

Abang akan tinggal lama di Palembang, dan mungkin abang akan dapat satu pekerjaan istimewa di sini dalam bidang perusahaan minyak yang dikendalikan oleh syarikat Caltex. Ada beberapa hal yang sangat penting yang abang perlu kaji dengan teliti.

Hanya beberapa hari yang lalu, sebelum abang menulis surat yang panjang lebar ini, Pak tua yang sungguh banyak ilmu pengetahuannya, yang abang sedang kaji sekarang, telah menerangkan bagaimana sastera Melayu telah disalahgunakan oleh cerdik pandai Melayu yang mengaku cendekiawan, intelek dan bijak bestari.

Cuba dengar usul asal pantun-pantun dan pepatahpetitih yang aku nak sebutkan pada kau sekarang, katanya, dan orang tua itu pun berpantunlah.

Tinggi-tinggi si matahari, anak kerbau mati tertambat; Sudah lama kita mencari, baru sekarang kita mendapat.

lnilah asalnya pantun Melayu yang punya makna dan maksudnya sangat baik, tetapi sudah ditukarkan oleh para sasterawan kita sendiri yang sangat terpengaruh oleh kisah-kisah Cinta berahi yang disebarkan oleh bangsa-bangsa lain. Baris pantun ini yang ketiga dan keempatnya sudah ditukar kepada sudah lama saya mencari, baru sekarang saya mendapat. Dan maksud negatif dari pindaan itu ialah yang baru didapati itu ialah wanita, kekasih yang diberahikan, kalau lelaki, perempuanlah, dan kalau wanita, lelakilah, kata orang tua itu.

Adapun maksud asal pantun ini ialah sekiranya anak-anak keturunan bangsa Melayu yang pada zaman dulu telah maju dalam berbagai-bagai ilmu pengetahuan, daya usaha meningkatkan mutu benda-benda makanan, kesenian dan kebudayaan, ilmu pertukangan, perkapalan, menternak binatang, seperti kejayaan Wan Empuk dan Wan Malini telah berjaya mengahwinkan berbagai-bagai jenis padi hingga tercipta oleh mereka itu sejenis padi yang daunnya seakan-akan warna perak, batangnya seperti suasa dan buahnya kekuning-kuningan seperti emas sepuluh.

Dengan kata-kata lain, yang telah didapati oleh Wan Empuk dan Wan Malini itu ialah petua dan ilmu pengetahuan yang sangat berguna, dan satu lagi ialah jikalau dan apabila anak-anak Melayu suka bangun daripada tidurnya meninggi hari, hingga pukul 11.00 pagi pun belum bangun maka bukan saja anak-anak kerbaunya mati tertambat, malahan anak-anak mereka pun akan mati kerana tidak minum dan tidak makan. Demikian ayah angkat abang itu, Pak Jamal namanya, telah menerangkan maksud asal pantun tinggi-tinggi si matahari, anak kerbau mati tertambat itu kepada abang, yang pada hemat dan pengertian abang itulah yang sebenarnya, yakni bukan cinta berahi semata-mata!

Kemudian Pak Jamal berpantun lagi: Sesudah anak kerbauku mati tertambat, aku pelihara pula anak-anak lembu; sesudah satu ilmu itu aku dapat, Aku cari pula lain-lain ilmu . . .

Sama ada tafsiran Pak Jamal itu akan diterima oleh para sasterawan Melayu zaman moden sekarang ini, yang kini sedang leka dan mabuk dengan puisi-puisi moden, tiadalah dapat abang ramalkan.

Setakat yang abang sudah risik di daerah-daerah

Sumatra Utara maka abang dapati cita-cita Dunia Melayu atau Nusantara sedang berkembang di sana, tetapi mereka juga menghadapi berbagaibagai masalah yang rumit seperti kita di Malaysia, di antaranya ialah masalah-masalah ekonomi, penagihan dadah, bertambahnya perbuatanperbuatan jenayah, gila kebendaan dan hiburan.

Waktu di Medan abang telah diberikan beberapa maklumat yang mungkin jarang diketahui oleh orang ramai di Malaysia, iaitu daripada hal beberapa orang Melayu yang melaburkan kekayaannya di Sumatra.

Seorang Datin, kata mereka itu, kerap kali berulang alik ke Medan dari Kuala Lumpur, membawa banyak wang tunai dan barang-barang kemas. Datin itu telah membeli beberapa keping tanah di kampung asal ayahnya, dari suku Minangkabau, membina rumahrumah sewa dan lain-lain pelaburan.

Bila abang tanyakan siapakah nama Datin itu, isteri siapa atau janda siapa, orang-orang di Medan tidak mahu menyebutkannya. Barangkali Jah tahu, sebab Jah juga berasal dari Sumatra, bukan

Jangan berkecil hatilah, Jah. Bukan semuanya orangorang Minangkabau yang rancak dilabuh. Yang ramai berniaga di Wisma Yakin itu bukankah baikbaik belaka

Sesudah selesai semua kerja abang di Palembang ini, kiranya abang dapat peluang maka abang akan pergi pula ke Jakarta, Yogyakarta, Bandung, Surabaya dan lain-lain. Kemudian abang akan pergi ke Sulawesi pula. Jikalau abang ada peluang maka lepas lawatanlawatan itu abang akan pergi pula ke Filipina. Abang mungkin balik ke Kuala Lumpur pada hujung tahun 1984 ini ikut Tokyo, Korea Selatan dan akan singgah di Hong Kong untuk merisik darihal skandal BMF di sana.

Pendeknya, jangan jawablah surat abang ini. Abang berkirim salam dan peluk cium pada Jah yang abang sungguh sayangi. Kirim peluk cium dari jauh tidak salah, Jah. Kita tidak akan didakwa berkhalwat.