Maafkan aku kerana melengah-lengahkan balasan yang memang engkau harap-harapkan. Berulang kali engkau lafazkan cinta. Aku sendiri sejujurnya kurang pasti adakah kau benar-benar memahami pengertian sebenar kalimat itu. Gabe, jangan mengucapkan kata cinta kepada perempuan sewenang-wenangnya. Itu kalimat bunuh!
Engkau melamarku, dan ini sudah masuk kali kedua belas, seingatku. Kau tidak akan mengalah bukan Baik, aku mahu terus melihat sejauh mana lelakinya engkau. Tunggu, dan jika kausanggup terus menunggu, barangkali bintang akan jatuh ke riba.
Aku masih ingat, segar, dan terkesan oleh pertemuan kita. Namamu, Gabriel Dario Papandrea, dari Buenos Aries, tetapi menuntut Kejuruteraan Elektrik di salah sebuah univesiti di Kitakyushu. Engkau pernah bercerita tentang kekaguman yang kaurasai di Jepun.
Kemudian, kita berbual panjang dan letih. Cerita tentang apa ya Argh, teringat, cerita tentang politik Argentina. Siapa, Peron bukan Yang katamu, perompak, bukan pemimpin negara. Atau Evita, isterinya yang kauragui kesucian seorang wanita pertama. Lantas kita terheret langsung ke dunia sastera Amerika Latin.
Engkau menyukai karya-karya Mario Vargas Lhosa, Isabella Allande, dan tentulah seniman besar benuamu, Gabriel Garciel Marquez. Semuanya seniman yang berbicara darihal kuasa dalam tulisan mereka. Kaugemar benar dengan halhal politik.
Kemudian, Gabe, kita bercakap-cakap pula hal yang bersangkut-paut dengan kepercayaan dan agama. Engkau gembira yang aku memberitahu betapa aku belum memilih sebarang pegangan kerana masih keliru. Engkau mempengaruhi supaya menurutimu. Gabe, engkau secara tidak kusedari menukarku menjadi seorang ateis.
Kita percaya pada kebebasan maksimum di dunia. Agama dan kepercayaan serta adat resam adalah candu. Dan aku ketawa, kita seperti pengikut Marxisme pula sedang di bahagian lain dunia, manusia sedang menolak komunisme dan meraba mencari agama memang terasa betul-betul gilanya itu sekarang. Lantas kita tidur bersama, beberapa kali, semacam kita yakini yang kita akan bertemu lagi. Aku pula seperti disihiri, bodoh dan mengikut, bukankah engkau dahulu tidak mempercayai perkahwinan dan institusi keluarga Jadi mengapa pula tiba-tiba meminta aku mengahwinimu Kalau sekadar seks, tidakkah engkau puas dengan aku Bolehkah aku mempercayai yang engkau tidak menyentuh wanita lain di sana
Aku temui seorang kenalan baru, dua tiga minggu lepas. Shevena namanya. Gadis Kadazan dari Kota Kinabalu. Dia bercerita banyak sekitar agama Kristian cabang Seventh Day Adventist. Pelik betul mazhab ini, hampir mempunyai persamaan dengan Islam. Tidak memakan daging khinzir, menutup aurat, dan seribu satu ajaran yang menyongsang sama sekali dengan apa yang diajari dalam Katolik dan Protestan.
Aku tiba-tiba berminat mendalami urusan agama. Aku mulai dengan Hindu, dan aku mendapati Buddha itu lebih kepada kepercayaan. Aku baca buku-buku tentang Sikh, Shinto, Bahai, dan sekarang aku gauli pula buku-buku seputar Islam. Dan kau akan terkejut, Islam bukan sekadar solat. Aku mendapati Islam adalah soal negara dan politik, ini agama yang hampir-hampir menepati minat kita, Gabe, iaitu politik dan kuasa. Dan kekuasaan mutlak hanya pada Allah.
Aku juga terkesan dengan dialog tuturan ahli sains Ellie Arroway, suatu watak lakonan kuat Jodie Foster dalam filem terbaru arahan Robert Zemeckis, adaptasi daripada novel Contact, begitu juga judul filemnya. Kata Ellie kepada kekasihnya.
For as long as I can remember, Ive been searching for some reason why were here, what we are doing here, who we are If this is a chance to find out even just a little part of that answer, I think its worth a human life, dont you
Ya Gabe, untuk apa kita di sini Alangkah sia-sianya hidup kalau wujudnya kita ini sekadar untuk suka-sukaan, tanpa sebarang peranan. Oh, Gabe, aku kembali keliru. Aku mencari Tuhan, Gabe!
Aku akhiri surat ini, Gabe, dengan sebuah puisi yang tibatiba terlakar tatkala aku sedang takjub melihat keindahan alam di luar Ulan Bator, Mongolia, bulan lepas.
Dunia ialah ranjang/ tempat aku bermimpi/ tentang pedih atau sedih/ tentang riang atau leka/ dan sering janin mimpi menyentak tergugur/ kala mendadak terjaga oleh ambang fajar/ malam/ pada bantal dan mantel/ aku menabur benih lena/ supaya ada mimpi yang lain-lain/ silih datang silih ganti/ hingga puas dikecapi/ dunia ialah ranjang tempat bermimpi/ tidak lebih daripada itu/ kerana dunia di atas katil ialah pembaringan sementara sebelum dikejut mentari/ Oleh itu Tuhan kurniakanlah aku tidur/ dan bekalilah aku mimpi seasyiknya supaya mudah keesokan hariku.
Gabe, seperti kataku tadi. Andai mahu, tunggu!
Yang kaurindui,
Rita Spencer
Althrop, United Kingdom.