FIZIK-LAH! - 16
Ramai orang faham radiasi adalah satu bentuk ancaman. Biasanya ancaman nyawa akibat sebaran gas beracun daripada mesin ataupun bahan-bahan tertentu. Itu sebenarnya kurang tepat. Contoh simbol bahaya radiasi adalah seperti pada gambar. Adakah itu simbol radiasi Apa sebenarnya maksud sebenar radiasi

Radiasi adalah proses pergerakan ataupun pemindahan tenaga melalui ruang. Jadi, simbol di atas dinamakan sebagai radiasi pengionan (ionizing radiation). Simbol tersebut merupakan salah satu simbol yang menunjukkan bahaya (hazard). Bahaya yang diberikan amaran bukanlah radiasi, tetapi pengionan.

Pengionan yang biasanya dihasilkan oleh sinaran X ataupun sinaran ultra-lembayung (ultraviolet) mampu merosakkan sistem sel tubuh. Proses pengionan itu sendiri yang membahayakan manusia, bukannya radiasi.

Kita sentiasa terdedah dengan radiasi. Bahaya ataupun tidak bergantung kepada radiasi apa yang dibawa. Matahari memberikan haba kepada manusia melalui radiasi. Api memberikan kehangatan kepada manusia melalui radiasi.

Selain radiasi, tenaga boleh bergerak dengan proses lain juga iaitu konduksi (conduction) dan perolakan (convection). Konduksi adalah pergerakan atau pemindahan haba melalui bahan. Contoh paling mudah, sewaktu memasak menggunakan kuali, kuali akan panas kerana tenaga haba bergerak melalui kuali tersebut. Pegang sebatang sudu dan letakkan di atas api. Tangan kita akan berasa panas walaupun tangan kita tidak menyentuh pun api tersebut. Sewaktu menyeduk nasi yang baru lepas ditanak menggunakan senduk aluminium, pemegang senduk itu akan panas walaupun pemegang itu tidak sentuh pun nasi tersebut.

Tidak semua bahan mempunyai sifat konduksi. Bahan yang tidak mempunyai sifat konduksi tidak mampu mengalirkan tenaga dan bahan ini dipanggil sebagai bahan penebat (insulator). Antara bahan penebat adalah seperti plastik, seramik, gelas dan getah. Antara bahan konduksi adalah seperti besi, kuprum dan aluminium.

Perolakan adalah pergerakan tenaga melalui bendalir (fluid). Bendalir yang dimaksudkan di sini adalah cecair dan gas. Tenaga bergerak selari dengan pergerakan bendalir. Ini bermaksud, pada waktu bendalir ini bergerak, ia membawa sekali tenaga. Begitulah tenaga bergerak melalui proses perolakan.

Perolakan mempunyai dua jenis iaitu perolakan secara semula jadi dan perolakan yang dipaksa. Antara contoh perolakan semula jadi adalah seperti belon udara. Pembakaran yang dilakukan menghasilkan tenaga haba, lalu udara yang membawa tenaga tersebut memenuhi belon. Contoh perolakan yang dipaksa adalah kipas atau pam digunakan untuk meningkatkan pergerakan bendalir.