Mencari Kiblat Cinta - 17
Itupun tuan punya warung itu membenarkan dia balik awal kerana dia masih bersekolah. Dengan lebihan lauk-pauk yang diperolehinya dari warung tersebut, dapatlah dia membawa makanan yang sedap-sedap untuk Naufal di rumah.

Hampir setiap malam juga dia menangis kerana rasa bersalah. Hatinya sedih kerana terpaksa meninggalkan Naufal berseorangan di rumah. Tapi apa dayanya Jika dia tidak bekerja, mana datangnya duit untuk membiayai perbelanjan sekolah mereka dua beradik Dia juga perlu membayar yuran PMR yang akan dihadapinya dalam masa beberapa bulan lagi. Untuk mengambil wang simpanan ayahnya, dia sendiri tidak tahu bagaimana caranya.

Sebelum Zaharah berangkat ke luar negara mengikut suaminya, wanita itu ada membekalkan sejumlah wang kepadanya. Namun entah dari mana, pakciknya Kamal mengetahuinya. Dan dengan wajah tidak bersalah, lelaki itu merampas wangnya sebaik Zaharah beredar dari situ.

Kata pakciknya, budak-budak kecil tidak boleh menyimpan banyak wang, nanti membazir. Namun setelah beberapa bulan berlalu, lelaki itu langsung tidak memberinya walau sesen pun wang yang dititipkan Zaharah kepadanya. Setiap malam mereka dibiarkan berlapar, sedangkan pasangan suami isteri itu dan anak-anak mereka makan makanan yang enak-enak.

Nira dan Naufal sihat Pertanyaan Zaharah singgah di pendengaran. Sejak berada di bumi New Zealand, Zaharah tidak pernah lupa menelefonnya setiap dua minggu sekali untuk bertanya khabar.

Dia hanya mengiyakan. Berpura-pura sihat dan gembira tinggal bersama Pak Long dan Mak Longnya. Sedangkan hakikatnya, hanya dia dan Naufal saja yang tahu betapa hidup bersama pasangan suami isteri itu bagaikan hidup di dalam neraka.

Pernah dia terfikir untuk mengadu pada Zaharah tentang layanan Kamal dan Musliha pada mereka. Tapi setiap kali dia terfikir yang dia hanya akan menyusahkan wanita itu, maka segala kesedihannya cuba ditelan sendiri.

Umi, bila umi nak sembuh Nira rindukan umi. Naufal juga sama. Kami berdua perlukan umi. Bisiknya ketika melawat ibunya petang itu. Keadaan wanita itu tidak banyak berubah sejak beberapa bulan yang lalu. Malah reaksi ibunya sangat pasif. Kalau dulu ekor mata ibunya akan bergerak-gerak setiap kali dia cuba berbicara dengan wanita itu. Namun kini, ibunya tak ubah seperti mayat hidup.

Ibu Nira masih lama di sini. Keadaannya masih belum pulih. Ujar jururawat yang sering ditemuinya jika dia melawat ibunya.

Kalau Nira nak bawa umi balik, boleh tak Kak Tun Tanyanya pada wanita itu. Zaitun dilihatnya terdiam.

Kakak rasa tak boleh Nira. Doktor mesti tak benarkan. Keadaan Puan Zahlia ni masih belum menampakkan perubahan. Ujar Zaitun, cuba menjelaskan padanya.

Dia mengeluh. Sebak hatinya melihat uminya yang dahulunya ceria dan suka ketawa kini berubah begitu. Umi, sembuhlah umi. Nira rindukan umi! Nira dah tak tahan hidup begini, keluhnya sebak.

Pusat rawatan itu ditinggalkan dengan hati hampa. Meskipun berat hatinya mahu meninggalkan perkarangan pusat rawatan itu, namun dia harus meneruskan hidupnya demi Naufal. Adiknya itu masih kecil dan tidak tahu apa-apa. Dia sebagai kakak harus melindungi Naufal.

Matahari yang tegak di atas kepala langsung tidak diendahkan. Dia masih sabar menanti bas di perhentian yang tersedia di hadapan pusat rawatan itu. Sesekali matanya mendongak ke arah terik mentari yang menyilaukan. Peluh renek mula menitis dari dahinya.

Tiba-tiba matanya seolah terpanggil untuk menoleh ke suatu arah. Dia memandang lama. Sebuah kenderaan baru sahaja melewatinya, lalu menuju ke arah pintu masuk pusat rawatan. Dahinya berkerut. Itu kereta pakciknya Kamal. Apa lelaki itu buat di sini Mahu melawat umikah

Dia mula diterpa perasaan hairan. Sejak bila lelaki itu mengambil berat soal ibunya Seingatnya sejak ibunya jatuh sakit, lelaki itu tidak pernah sekalipun mahu ambil peduli, inikan pula mahu menziarahi ibunya. Aneh!

DANIRA, hantar minuman ni kat meja nombor empat. Jerit Pak Maidin dari arah dapur. Dia yang sibuk mengutip pinggan mangkuk kotor segera menoleh. Pantas dia mengemaskan meja di hadapannya sebelum mula mengangkat dulang minuman ke arah kaunter dapur.

Kita kena jumpa dia malam ni juga. Urusan di Singapura tu harus dibincangkan dengan dia. Suara lelaki berambut kerinting di meja nombor empat itu mencuri masuk ke gegendang telinganya.

Aku akan bawa masuk senjata tu. Kau jangan bimbang. Sahut lelaki bercermin mata gelap itu pula.

Dia tersentak mendengarnya. Senjata Betulkah apa yang didengarinya Tangannya yang menatang dulang mula menggigil. Namun kakinya digagahi jua ke arah meja bernombor empat itu. Terketar-ketar dia cuba meletakkan dulang minuman di atas meja.

Lelaki berambut kerinting mendongak memandangnya. Wajahnya disorot tajam. Dia mula gugup. Hatinya membisikkan agar dia cepat-cepat beredar dari situ, namun secepat kilat pergelangan tangannya disentap pantas. Dia terpempan. Lelaki itu masih memandangnya. Tersengih.

bersambung

Bab akan datang:

Mengapakah lelaki itu menyentap pergelangan tangan Danira Adakah lelaki itu tahu bahawa Danira telah mendengar perbualan mereka