Ia menghadirkan satu penyesalan.
Aku mendapati aku kini dikelilingi empat jasad yang masih tersarung sut angkasawan di tubuh mereka. Aku lekas-lekas mengengsot ke belakang. Entah mengapa, hatiku terdetik untuk memeriksa bekalan oksigen yang masih bersisa. Anehnya, bekalan oksigen milikku telah kosong. Bagaimana aku boleh bernafas lagi
Mereka berempat terlentang dengan relungan kaca yang menutup wajah mereka telah tertanggal dan bersepahan di atas lantai gua. Aku pula masih kalut dengan bekalan oksigen yang sentiasa ada biarpun meter sudah menunjukkan ia sudah habis.
Jadi kau masih hidup suara itu kedengaran samar-samar pada mulanya. Ia seolah terbit dari kepalaku. Bagai mimpi.
Kau tak mimpi. Kau sedang mendengar apa yang aku katakan. Kau sedang bernafas dan setiap nafas kau konsisten, aku dapat dengar degup jantung kau, tak berhenti
Mengertilah aku ada satu entiti yang lain di dalam gua ini selain dari kami berlima. Identitinya tak aku ketahui. Aku tak pasti sama ada terdapat sekumpulan angkasawan lain yang menuruti kami dari belakang. Apa yang aku tahu, aku rimas sudah dengan sut angkasawan ini. Setiap anggota tubuhku seolah menjerit pinta ditanggalkan setiap fabrik yang menyalut tubuh ini. Aku, tanpa berfikir panjang, menuruti kehendak hati. Aku tanggalkan satu-persatu komponen sut angkasawan dengan berpandukan rasa kesakitan yang menjalar. Ia seolah-olah ada sesuatu yang merayap di bawah kulit dan mendesakku agar mengeluarkannya dari apa jua halangan yang ada. Ia menggigit-gigit. Pedih dan meracuni. Sedar tak sedar aku kini hampir-hampir bercelana sahaja.
Aku sedar kini aku masih dapat bernafas. Di dalam gua ini barangkali ada oksigen yang mencukupi untuk manusia. Tidakkah ia mustahil Tatkala udara di luar dilambakkan dengan karbon dioksida yang mampu membunuh, aku di dalam gua menghirup oksigen tanpa sebarangan kesukaranpun. Bahkan aku merasa lebih segar begini. Aku mula membayangkan diri ini dimutasi oleh sesuatu yang aku tak fahami sepenuhnya lagi.
Kau akan jadi sebahagian dari kami, dan kami akan jadi sebahagian dari kamu. Kita akan menjadi jambatan antara dua kehidupan yang berbeza. Razali bukan Aku tak tahu makhluk seperti kau memerlukan nama untuk mengenalpasti antara satu sama lain
Ketika itu, aku nampak kujuran tubuh Simon bangkit dari perbaringan. Pada wajahnya yang separa rentung itu, aku dapat lihat sesuatu sedang bergerak di bawah kulit mukanya. Ia seolah bergelombang dan tampak ngeri. Aku khuatir sekiranya wajah itu akan mengoyak dan membuakkan darah dan nanah tanpa henti. Namun ia tidak berlaku. Bahkan ia berhenti setelah beberapa ketika. Simon, menyalakan lampu-lampu dari sistem sut angkasawan yang telah dilucutkan di depan aku. Ketika itulah raut wajah dan susuk tubuhnya kelihatan jelas. Aku teringat akan wajah itu. Ya, dia seorang yang pendiam tetapi wajahnya itu sering kelihatan di makmal-makmal komuniti. Aku ingat lagi bagaimana kami berkomunikasi perihal kerja dan melakukan perbincangan demi perbincangan. Bagaimana aku boleh lupa namanya Ya, dia tidak begitu signifikan.
Simon adalah seorang yang sedih. Nak dengar pengalaman kali pertamanya menginjak ke Marikh ini Oh, kau patut bersusah hati. Manusia ini terlalu banyak pembohongan dan kesedihan yang cuba dilindungi sebaik mungkin. Aku rasa ini adalah tanggungjawab aku untuk masuk ke dalam komuniti kamu dan membetulkan apa yang tidak selari dengan nilai yang kamu tanamkan
Apa maksud kau Kau bukan Simon
Aku adalah parasit pada definisi kau tetapi punya kebijaksanaan. Kamu semua dalam jajahan aku. Aku akan kawal kamu seperti mana yang aku sukai
Bagaimana hendak aku memberi reaksi dengan apa yang aku hadapi ini Aku yakin manusia di depanku ini adalah Simon, tetapi dari juluran objek seperti ular yang tertanam di bawah kulit lehernya sehingga ke tengkorak, aku yakin, tubuh itu bukan lagi milik Simon.
Algoritma. Aku faham struktur kamu dengan menjajah sebegini rupa. Kamu merasakan diri kamu kompleks tetapi sebenarnya tidak. Aku seronok dapat faham setiap seorang dari kamu dengan penjajahan ini
Kau jajah kami dengan algoritma
Itu hanya terma manusia. Kami hanya meniru sesuatu yang berada dalam konteks yang kamu fahami. Ya kami jajah kamu dengan algoritma. Kami salin setiap DNA kamu dan kami teliti corak pemikiran kamu dan juga persepsi
Ketika itulah aku lihat bagaimana ular yang bergerak di bawah kulit Simon itu bergerak dari atas dan ke bawah tanpa henti.
Kami berbicara secara telepatik, meniru tubuh kamu dengan algoritma, menyorok dari persepsi kewujudan apabila nampak kamu. Kami berpeluang untuk berhubung dengan manusia apabila kami dapat menyentuh kamu secara tak sengaja. Seperti apa yang terjadi hari ini
Simon menggerakkan kedua belah tangannya dan menatapnya dengan pandangan takjub. Sesudah itu, dia menekup kepalanya dengan kedua-dua belah tapak tangannya yang diregangkan jari-jemarinya.
Aneh, dalam kepala ini kami dengar suara. Kami dapat lihat pelbagai imej. Tapi tak dapat disentuh langsung
Dia tidak berhenti di situ. Dia bergerak pula ke arah Sumiryati. Aku tak tahu apa yang hendak dilakukannya ke atas Sumiryati. Namun begitu, sebaik sahaja dia mendekati Sumiryati, dari kedua belah tapak tangannya, sejenis ular yang berwarna kelabu, ukur lilitnya umpama ular tedung selar, menjalar keluar lalu bergerak ke dalam mulut Sumiryati yang ternganga luas. Panjangnya ular itu tidak terkira, barangkali semeter cecahnya. Makhluk serupa ular itu, tidak pula berkepala. Ia umpama cacing, cuma bezanya dari hujung ke hujungnya terdapat satu struktur yang runcing bilahnya, memang dikhaskan untuk menerobos objek lembut seperti tisu daging manusia.
Herrr, kami tahu apa yang ada dalam kepala Simon & Sumiryati. Jasad mereka mati tetapi memorinya kekal. Manusia adalah makhluk yang aneh. Mereka tak harmoni, tetapi mahu duduk dalam satu komuniti. Mereka penuh hipokrasi, tetapi mahu berlagak mereka punya hati murni. Oh, aku baru saja bacakan perspektif Simon terhadap manusia.
Simon kata, dia sunyi kerana tak dapat berinteraksi dengan komuniti dengan baik
Seraya itulah Simon ketawa terbahak-bahak. Entah yang melucukan dengan ujaran kata-katanya itu, aku sendiri tak mengerti. Sesudah itu dia menangis pula. Bahkan tangisnya begitu galak, sehingga jatuh bergelimparan di atas lantai gua.
Ini emosi. Aneh, reaksinya
Bagaikan mimpi ngeri yang tiada akhirnya, aku lihat Sumiryati juga bangkit. Wajahnya yang hancur dijamah bara mentari mula memulih dengan kadar yang pantas. Makhluk yang menjajah jasad itu nyata mahu meletakkan tubuh itu dalam keadaan yang boleh dianggap berfungsi dengan baik. Aku membayangkan, adakah Sumiryati dan Simon sedar tubuh mereka sedang dijajah sebegini Jika roh telah dicabut, adakah mereka mampu melihat penjajahan sebegini rupa berlaku ke atas tubuh mereka Adakah mereka sedih atau ketakutan
Sambil-sambil itu, mataku melilau persekitaran untuk mencari jalan keluar. Tiada. Gua ini tertutup sepenuhnya. Biarpun begitu, aku percaya makhluk-makhluk ini telah menukar suasana di dalam gua ini agar dapat dihuni oleh manusia tanpa perlu bantuan alat bantu hidup. Mereka sedang melakukan uji kaji serasanya, untuk menelaah sifat seorang manusia tadi. Aku tak berani membayangkan matlamat mereka.
Apa yang aku tahu, aku harus cari jalan untuk melarikan diri dari tempat ini. Aku tak rela jasadku dijajah mereka.
Kau tahu apa yang Simon nampak Imej ini terpahat dalam memorinya, satu pengulangan yang bersepahan
Apa yang kau nampak aku jadi curiga.
Seorang demi seorang sahabatnya jatuh ke bawah gaung dek kerana tiupan angin ribut yang melanda tiba-tiba. Dia berusaha menyelamatkan kamu semua. Dia percaya dia dapat menyelamatkan kamu seorang demi seorang sedangkan ia tak berlaku. Ya, semua jatuh ke bawah gaung. Namun menariknya, Simon masih percaya, pasukan ini telah berjaya melepasi cabaran ribut pasir ini. Dalam kepalanya, ekspedisi ini sedang mendaki Gunung Sharp.
Oh ya, setiap seorang dari kamu berkomunikasi seolah kamu semua adalah kawan lama. Aneh, oh aneh. Aku tak rasa kamu semua berkawan baik begitu.
Mungkin ini adalah khayalan Simon
Hatiku tersentuh. Simon, seorang pendiam punya semangat setiakawan sebegitu. Sedangkan kami semua hanya bekerjasama atas dasar menjaga kepentingan masing-masing di atas permukaan Marikh ini. Ketika ini, air mata bergenang di kelopak mata, aku cuba tahankan. Aku tak mahu air mata ini menjadi satu sebab makhluk asing ini mahu menjajah tubuhku. Mereka makhluk yang punya rasa ingin tahu yang tinggi. Aku tak mahu jadi bahan eksperimen mereka.
Simon oh Simon.
Ketika sampainya di Marikh, dia menyendiri dan berharap boleh bina persahabatan dengan rakan semanusianya. Semua abaikan dia, dan memanggilnya ketika ada tugasan saja. Interaksinya dengan orang di sekeliling hanyalah sekadar untuk tujuan kerja, bahkan apabila dia hendak berkongsi perasaan gembira atau sedih, dia akan mengasingkan diri, dan menuliskan perasaan itu di dalam diarinya.
Aku tak tahu apa diari yang dimaksudkan ini. Dalam sut ini tak ada diari yang dimaksudkan itu
Aku tak pasti juga apakah bentuk diari yang dibawa Simon. Dalam zaman serba canggih ini, masih ada juga rupanya yang menulis diari. Kesepian adalah puncanya. Simon, satu nama yang selama ini tak signifikan langsung dalam kamus diri ini, kini memegang satu status yang penting. Aku berharap aku akan dapat mengenalinya lagi, tetapi apakan daya, Simon yang berdiri di depan aku ini hanyalah hos. Dia hidup tetapi rohnya tiada di situ. Tanpa penjajahan makhluk ini ke atas jasadnya, entah bilalah akan diketahui hati budi seorang lelaki bernama Simon itu.
Situasi ini mengingatkanku pada Padang Masyhar. Kami diadili dan paparan kisah silam kami didedahkan dan dibicarakan sebab-musababnya. Ini mungkin sekadar satu peringatan bagiku. Satu hari nanti, aku akan dibangkitkan dari kubur dan diadili di depan Allah S.W.T.