KARKUMA - 17
DALAM waktu sama, Maharaja Sutan Lembayung baharu pulang dari peperangan. Kepulangannya membawa berita gembira kepada seluruh rakyat Tanah Nabui. Baginda bersama bala tenteranya berjaya menakluki Brahmapur, Guntur dan Chennai di negeri Gangga. Tiga daerah tersebut kini berada di bawah naungan Kerajaan Tanah Nabui.

Mendengar sahaja perkhabaran itu, tanpa membuang masa, keesokannya Jameng menghadap Maharaja Sutan Lembayung dan memohon izin untuk menyerang orang-orang Nabui Arshi secara besar-besaran dengan bantuan bala tentera jin jongosjongor milik maharaja. Baginda memperkenankan permintaan Jameng sesudah termakan hasutannya yang mengatakan penduduk Nabui Arshi telah menderhaka.

Dengan keizinan itu, Jameng terus mengerah pasukan tenteranya bersiap sedia menyerang orang-orang Nabui Arshi yang dikepalai oleh Karkuma.

Tanpa diduga, selang beberapa malam selepas peristiwa di Madrasah Pagai, Jameng dan 210 orang-orangnya, yang didampingi 210 tentera jin jongosjongor, dengan mengejut datang menyerang rumah Karkuma.

Ketika itu Karkuma bersama 109 pengikutnya sedang menjalani latihan silat. Orang-orang Jameng datang berkuda dengan laju merempuh gelanggang silat.

Jangkaan Jameng, serangan mengejut itu akan dapat menumpaskan Karkuma dan pengikutnya dengan mudah. Namun jangkaannya salah, pengikut Karkuma ternyata sudah bersedia. Pasukan berkuda Jameng mendapat tentangan hebat.

Ketangkasan orang-orang Karkuma menyebabkan orang-orang Jameng bercempera terjun dari kuda lalu bermulalah pertarungan sebenar iaitu sama-sama di atas tanah. Orang-orang Karkuma yang mahir bermain keris, tidak gentar berhadapan dengan orang-orang Jameng.

Kaum perempuan bersembunyi di dalam rumah, tidak berani menjenguk pun. Mereka hanya dapat mendengar bunyi riuh rendah kerisi berlaga pedang.

Kehandalan dan ketangkasan pencak silat orang-orang Karkuma membuatkan Jameng dan orang-orangnya kehairanan. Tidak sangka pertarungan dua lawan satu antara pengikut Jameng dan pengikut Karkuma boleh bertahan begitu lama.

Semalaman mereka bertarung, Jameng hanya berada di atas kuda. Bibirnya terkumat-kamit membaca pelbagai mentera dan jampi, berbisik kepada seluruh bala tentera jin jongosjongor, berharap pedang-pedang mereka itu akan terbang mencari sasaran musuh dengan sendirinya.

Bagaimanapun, pada malam itu segala keajaiban kuasa jin seakan-akan tumpul. Sebaliknya semua orang Jameng terpaksa mengerah seluruh tenaga bertarung menentang orang Karkuma. Pedang-pedang mereka tidak lagi terbang dengan sendiri. Dan ternyata jangkaan Jameng bahawa dia boleh menang mudah kerana beranggapan orang Karkuma tidak memiliki apa-apa senjata, jelas meleset.

Melalui bacaan jampi serapahnya, Jameng diperlihatkan apa yang sedang berlaku. Semua tentera jin jongosjongornya tidak berada bersama pedang orang-orangnya tetapi berada di belakang setiap orang Karkuma. Jin-jin yang seharusnya mengejek-ejek orang-orang Karkuma dari belakang, bertujuan melemahkan mereka, bagaimanapun, gagal melemahkan keazaman dan keikhlasan orang-orang Karkuma. Sebaliknya jin-jin itu yang seolah-olah akur, dan berdiri tercegat sahaja di belakang Karkuma dan orang-orangnya.

Orang-orang Karkuma yang tangkas bertarung itu sebenarnya tidak sedar dengan gangguan tentera jin pendamping Jameng. Jin-jin itu berasakan semua pengikut Karkuma seperti dilindungi oleh suatu dinding umpama cermin yang telah memantulkan wajah hodoh dan jin-jin itu sendiri tidak gemar melihatnya, dan menyebabkan mereka terganggu untuk terus menghuru-harakan pengikut Karkuma. Terbukti sireh jampi yang dimakan oleh setiap orang-orang Karkuma berhasil menjadi pendinding mereka daripa kuasa tentera jin ganas kesedahannya.

Ditambah pula abu-abu kunyit bercahaya keluar dari setiap tengkolok orang Karkuma, amat mengganggu konsentrasi tentera jin jongosjongor untuk melaksanakan tugas.

Tidak lama kemudian, semua golongan jin tanah telah ghaib disedut masuk ke dalam tanah. Diikuti air merangkak laju tinggalkan tempat itu entah ke mana. Kemudian jin angin pula dalam sekelip mata, ploop berpisah tali perut dan usus yang berjerabai itu dari kepalanya dan lenyap ditelan angin.

Akhir sekali tentunya golongan jin api, yang paling ganas dan paling jahat. Tetapi pada malam itu kesemua berselerak terbakar hangus dimakan api jua penyudahnya. Apabila orang-orang Karkuma meludahkan air liur kunyahan sirih dari mulut mereka kepada jin-jin tanah pula, perselerakan jin-jin tanah menggali kubur sendiri, kesemuanya bertukar menjadi busut-busut di permukaan tanah.

Kesimpulannya, orang-orang Jameng tewas lagi dalam pertempuran, dan separuh daripada mereka terbunuh.

Cukup!! Jameng mengarahkan pengikutnya berhenti dan segera berundur. Mereka pun berhenti berlawan dan terus beredar dari situ. Berdesup riuh rendah bunyi kuda-kuda berlari tinggalkan kawasan rumah Karkuma. Rupa-rupanya semalaman mereka bertarung bermula tengah malam hingga hampir jam lima pagi. Orang-orang Karkuma bersorak gembira.

Usah mengkema bertitar-titar, bernaka-naka. Perang belum habis selagi belum terbang lalat. Seru Karkuma. Kelihatan di sekeliling rumah Karkuma dibanjiri darah dan 172 mayat manusia. Daripada jumlah itu, 128 mayat orang Nabui Huku, dan 44 mayat orang Nabui Arshi, bergelimpangan.

Sempurna akanlah mayat-mayat sahabat handai Nabui Arshi duluan. Karkuma memberi arahan dan dialah orang pertama yang memulakan kerja itu. Sesudah selesai semua mayat-mayat orang Nabui Arshi dikebumikan, setelah matahari di ufuk timur menjengah bumi.

Karkuma dan pengikutnya kembali ke rumahnya untuk menguruskan mayat-mayat orang Nabui Huku pula. Tetapi mereka terkejut, melihat sekeliling kawasan rumah Karkuma bersih, seperti tidak pernah ada pertempuran darah.

Kemudian mereka diberitahu oleh isteri-isteri mereka, bahawa mayat-mayat orang Nabui Huku itu semua telah dipungut dengan kereta lembu dari Bangkir Ghadabi. Dan limpahan darah yang membanjiri persekitaran kawasan rumah Karkuma itu telah diminum oleh sekumpulan jin-jin tanah yang berbusut-busut itu.

Kencang amat dema hapus dari tapak bumi nen. Sahih, pedang dema ada pendampingnya. Kata Karkuma sambil merenung jauh. Dia bersyukur dengan alamat awal yang diterima, agar senjata keris orang-orangnya harus diberi perlindungan dengan perahan jus kunyit hidup, telah berjaya memberi tentangan hebat terhadap bala tentera jin si Jameng.

Ajengan sari kunyit hidup, sireh jampi juga cakah congaknya. Jelas Khaufli dengan penuh rasa bangga pada ayahnya.

Ya. Jawab Karkuma tenang walaupun keletihan.

Malah mereka semua keletihan. Karkuma membenarkan orang-orangnya pulang ke rumah masing-masing sambil berpesan, mereka harus sentiasa berwaspada. Jameng tidak akan berdiam. Bila-bila masa dan di mana-mana sahaja dia akan datang menyerang semula.

Tapi apak, Khaufli bersuara sambil memandang keris di tangannya yang berlumuran darah. Banyak keris udah patah, sama yang daku punya nen. Senjata apa pula yang ada kalu kami harus berperang lagi

Utu yang membimbangkan daku. Karkuma memandang tepat wajah anaknya dan bertanya, Mentak dikau udah punya rencana

Karkuma meletakkan tanggungjawab itu di atas bahu Khaufli. Karkuma belum bersedia untuk membicarakan senjata seterusnya. Andai bercakap panjang lebar, dikhuatiri pula ia melemahkan semangat orang-orangnya. Sejak semalam, kaum perempuan Nabui Arshi dan kanak-kanak, bersembunyi di rumah. Mereka tidak dibenarkan ikut campur dalam pertempuran. Sepanjang hari, Karkuma, Teggal dan Khaufli asyik memikirkan strategi untuk menyelamatkan orang Nabui Arshi.

Kami dak punya banyak masa. Jameng pasti akan ulangi penyerangannya, kata Teggal.

Biar hilang nyawa dikandung badan, asal ajaran Arshi tetap dipertahan, kata Khaufli membara semangatnya.

Telak cakap dikau tu, Karkuma menepuk bahu anaknya dengan penuh kasih sayang. Andai kabeh orang Nabui Arshi terkorban, maka terkuburlah ajaran Arshi dalam hidup bangsa Nabui, tepat dan jelas kata-kata Karkuma itu membuatkan Teggal tertunduk diam mendengarnya. Khaufli makin tinggi semangatnya untuk tidak mengizinkan agama Arshi terkubur.

Keesokkannya, awal-awal lagi Khaufli sudah bertungkus-lumus memperbaiki keris yang patah, termasuk miliknya.

Dan tidak lama selepas peristiwa berdarah di rumah Karkuma, Jameng telah menyusun strategi berbeza untuk menghapuskan orang-orang Nabui Arshi. Dengar khabar, ramai orang-orang Nabui Arshi di daerah dan perkampungan lain di bahagian utara dan timur Pulau Nabui mati dihukum bunuh sewenang-wenangnya oleh Jameng. Mentang-mentang dia dan ayahnya, Lukut mendapat keizinan berbuat demikian daripada Maharaja Sutan Lembayung. Sungguh malang kerana di daerah sana itu tidak ada pemimpin Arshi yang berkarisma untuk mempertahankan penganutnya.

Berita tentang kelebihan kunyit hidup, daun sireh, pinang, kapur dan gambir telah sampai ke telinga Jameng. Arahan telah keluarkan bahawa bahan-bahan ini mesti dimusnahkan. Barang siapa yang memiliki bahan-bahan akan dihukum penjara, tidak kira samada mereka dari gulungan Nabui Arshi atau Nabui Huku.

Sementara itu, di Kampung Seruntum dan Madrasah Pagai yang selama ini menjadi pusat pengembangan agama Arshi, sudah berkurangan lelaki gagah untuk memperjuangkan agama itu, lebih-lebih lagi untuk menentang kerajaan. Sedang hampir semua orang-orang Nabui Arshi di semua daerah telah dihukum penjara dan dihukum bunuh. Ramai orang Nabui Arshi kini terpaksa dan terdesak kembali kepada agama asal, agama Huku.

Senjata keris orang Nabui Arshi kini banyak yang rosak dan patah. Senjata yang masih ada pun tidak sesuai lagi untuk digunakan. Ini kerana kandungan perak dan logam besi pada keris itu agak minimum, berbanding pedang musuh yang lebih kuat dan kukuh.

Bingung Karkuma dan orang-orangnya memikirkan. Menempah keris baru, tentulah mustahil. Hendak pecah kepala mereka memikirkan apa pula perancangan selepas ini. Setiap malam ketika sesi latihan silat, fikiran mereka diisi persoalan demi persoalan, dan mereka diminta berkongsi pendapat, seorang demi seorang melontarkan pandangan. Apa pun pendapat mereka, yang pasti keadaan semakin runcing.

Di Istana Bijinga, Puteri Dewi Manggis mengadu kepada ayahandanya mengenai Khaufli. Terhina perasaan Maharaja Sultan Lembayung mendapat berita itu.

Cis! Bedebah anak muda utu! Tempelak Sutan Lembayung.

Baginda sekejap duduk, sekejap bangun. Sekejap jalan laju, kemudian perlahan dan kadang-kadang terhenti.

Tangannya sekejap di belakang, ada kalanya mendakap dada pula. Sesekali tangan kanannya mengusap-ngusap hujung dagu yang mempunyai sejemput janggut.

Lukut! Sultan Lembayung memanggil Perdana Menteri Lukut, ayah si Jameng.

Ampun Yang Agung. Lukut menyahut.

Perintahkan panglima istana, meringkuk orang-orang utu mengadap kita, sekarang!! Perintah Sutan Lembayung.

Puteri Dewi Manggis juga memberitahu kepada ayahandanya bahawa Karkuma ayah Khaufli adalah ketua orang-orang Nabui Arshi.

Dan di saat itu juga api kemarahan Maharaja Sultan Lembayung terhadap Khaufli dan Karkuma menyala-nyala.

Seluruh orang Nabui Arshi akan tanggung akibatnya, sabib kecurangan anak beranak utu! Amarahnya.

Ternyata ada kebenaran firasat Karkuma, bahawa orang Nabui Arshi sedang melalui saat getir antara hidup dan mati.

Terserah kepada kalian apakah masih mau bersama ku atawa idak. Demikian atas nama Dianya, daku idak memaksa, Karkuma menarik nafas panjang berbicara kepada orang-orangnya sambil air matanya mengalir.

Apa juga kesimpulan dari kalian, daku mengaku di iris jiwaku, bahawa kalian adalah kaum kerabat ku hingga ke hari penghabisan. kata Karkuma dengan penuh ikhlas kepada seramai 66 orang pengikut setia yang masih bersama dengannya.

Mengkema sekalian adalah wira Arshi. Harus kami bangkit untuk menjaga maruah Nabui Arshi, sehidup semati, berkobar Karkuma mengangkat tangan diikuti oleh semua orangnya.

Biar mati kami bermaruah, bukan mati berserah! Tampakkan kepada kerajaan, orang Nabui Arshi bukan penderhaka, tapi baka pejuang ghair menuntut hak bebas beragama. Demikian pula Khaufli Shuhada berikrar, disahut penuh semangat oleh anak-anak muda seangkatannya. Karkuma dan semua orang tua yang ada, perhatikan mereka dengan penuh rasa besar hati dan megah. Kami dak akan mengalah hingga ke titisan darah terakhir! Sambung Khaufli lagi.

Dalam keadaan genting, bukan soal senjata yang menjadi perkara penting, tetapi moral dan semangat pengikut agama Arshi juga mesti dikukuhkan. Semangat mereka mesti menjadi waja dan mesti ditiup semula.

Mendengar suara yang berapi-api daripada Karkuma dan Khaufli Shuhada, semangat mereka pun kembali pulih. Masing-masing bersumpah tidak akan berganjak ke belakang walaupun setapak demi mempertahankan maruah bangsa dan agama Arshi. Mereka ikhlas untuk terus berada di sisi Karkuma.

Keesokannya, awal-awal pagi Karkuma dan pengikutnya memasuki hutan tebal untuk bersembunyi, bukan kerana takut tetapi untuk menyusun strategi agar mereka dapat menangkis serangan orang-orang Jameng yang didampingi oleh kuasa sihir hitam yang jahat. Dan pastinya selepas ini akan menjadi yang lebih jahat dan paling dahsyat yang akan Jameng aturkan untuk menyerang orang-orang Karkuma.

Mengamuk sakan si Jameng apabila dapat tahu Karkuma dan pengikutnya menyembunyikan diri. Penduduk Kampung Seruntum yang kebanyakannya pengikut Karkuma menjadi mangsa amukan Jameng.

Tiga hari tiga malam Jameng dan pengikutnya mencari Karkuma dan orang-orangnya, tetapi belum ditemui. Hulubalang istana turut gagal mencarinya kerana mereka tidak mengecam langsung wajah Karkuma.

Apa kena tongongnya mengkema hulubalang seramai inen idak mampu mencari si kawak terkutuk utu Tempelak Sultan Lembayung, sambil diperhatikan Permaisuri dan Puteri Dewi Manggis bersebelahannya.

Ampun Yang Agung. Dema sorokkan diri dalam belantara, jawab ketua hulubalang.

Cis! Mika sekalian sesungguhnya hampas! Kalu udah tau, susuli dema ke dalam belantara! Jerkah Sultan Lembayung kepada ketua hulubalang, dan kemudian ditendang terajangnya ketua hulubalang itu tersungkur ke lantai.

Setelah itu baginda membaca mantera, Jongol dongok, dompak domplangan adu, baragajul awak, bagih aku, aku sumpah jadi-jadian asu...fuh!

Ditiupnya mantera itu ke arah ketua hulubalang dan di saat itu juga manusia itu bertukar menjadi seekor anjing. Terkejut hulubalang lain yang melihatnya. Tetapi Permaisuri dan Puteri Dewi Manggis hanya mengukir senyum.

Hulubalang istana terperanjat bukan kerana tidak pernah melihat kejadian sebegitu, sebelum ini Maharaja Sultan Lembayung kalau melemparkan sumpah sihirnya kepada seseorang, hanya sekadar menjadi cacat, badan lumpuh sebelah, tempang atau bongkok. Tetapi kali ini bertukar jadi anjing. Kecut perut semua hulubalang. Sedarlah mereka bahawa Maharaja Sutan Lembayung terlalu murka dengan kegagalan ketua mereka itu mencari Karkuma.

Berambus mika sekalian! Usah kembali selagi titah kita belum disempurnakan! Mengerti! Bergema tempikan Maharaja Sultan Lembayung memberikan kata putus kepada hulubalang-hulubalangnya yang masih tercegat. Mendengar tempikan itu, masing-masing hulubalang berdesup-desup beredar dari balairung istana.

Puteri Dewi Manggis mengambil kesempatan untuk memberitahu ayahandanya bahawa dia boleh susul di mana Khaufli berada, dengan bantuan jin dampingan ayahandanya itu.

Katakan Maharaja Lembayung bersedia mendengar apa yang ingin disampaikan oleh puterinya itu. Ketika itu juga, Puteri Dewi Maggis pun mengeluarkan secebis serpihan kain dari genggamannya.

Inen milik Khaufli anak muda utu, Maharaja Lembayung terus memandang tepat pada wajah puterinya sambil mencapai serpihan kain itu dari tangan puterinya. Wajah mereka serius tetapi mata mereka tersenyum antara satu sama lain. Tidak perlu dibacarakan apa-apa lagi, bahawa dari bau yang terlekat di serpihan kain itu, jin dampingan Maharaja Lembayung akan menghidu di mana Khaufli. Dan tentunya Puteri Dewi Manggis telah mencuri serpihan kain pakaian itu ketika Khaufli berada di dalam kurungan istana tidak lama dahulu.

Kemarahan Maharaja Sultan Lembayung menjadikan semua hulubalang istana berserabut otak memikirkan bagaimana hendak mencari Karkuma dan Khaufli, kerana mereka tidak pernah melihat wajah dua beranak itu.

Dan mereka pula hanya mengenali orang-orang Nabui Arshi melalui pakaian dan cara membalut kain di kepala, tetapi sejak Karkuma dan pejuang-pejuang agama Arshi bersembunyi di hutan, semua orang-orang Nabui Arshi yang masih ada, di merata kampung memakai baju dan kain balut kepala yang sama seperti orang-orang Nabui Huku. Dan mereka lakukannya kerana permintaan Karkuma demi keselamatan masing-masing.

Kesudahannya hulubalang istana bergabung dengan Jameng mencari Karkuma. Jameng tidak ada masalah mencari Karkuma kerana dia mengenali dan mengecamnya, cuma usahanya pun belum berhasil.

Sudah masuk hari kelapan Karkuma dan pengikutnya berada di hutan belantara dan sepanjang lapan hari itu, Khaufli telah menghasilkan senjata baru. Dalam pada itu mereka hampir kehabisan bekalan makanan.

Usah berhati duka wahai kaum kerabatku, dalam belantara gana dengan makanan, Karkuma memetik buah-buah amra yang pohonnya tumbuh meliar di situ, dan berikan kepada semua pengikutnya. Kelebihan Karkuma berbicara dengan tumbuh-tumbuhan telah membantunya memilih tumbuhan atau buah-buahan mana yang tidak beracun untuk dijadikan makanan.

Sungguh hati ku girang harinen, kalian menang mencipta senjata baru, Karkuma bersuara melihat sebilah keris baru di tangan Khaufli.

Keris rekaan baru inen, senang dipegang. Berkata Khaufli sambil menghulurkan bentuk senjata yang baru dihasilkannya itu. Diikuti semuanya menjulang senjata di tangan masing-masing dengan penuh gah.

Senjata keris baharu itu diperbuat daripada akar tunjang pohon senderik, yang banyak terdapat di dalam hutan tebal. Akar tunjang pohon senderik sememangnya berkeluk-keluk, dan ia sangat liat dan keras, tidak mudah patah atau dibengkokkan.

Keris kini mempunyai tujuh keluk dan keluknya lebih melekung, berbanding pedang keris sebelum ini yang memilik sembilan keluk dan keluknya tidak semelengkung seperti lengkung pada keluk senjata keris. Dan ukiran pemegangnya tetap mengikut corak pemegang pedang keris asal yang diilhamkan dari bentuk kunyit hidup. Bezanya pemegang keris, kini diukir dari ranting pohon jati, dahulu pemegang pedang keris diukir dari tanduk lembu atau kambing.

Keris adanya semangat buat kami orang-orang Nabui Arshi, Karkuma membangkitkan semangat dalam diri seluruh pengikutnya.

Sepuluh hari sudah Karkuma dan pengikutnya bersembunyi sambil menyusun strategi memerangi Jameng. Satu malam Sirehpani bersama beberapa orang isteri pengikut Karkuma datang membawa makanan, seguni kunyit hidup dan beberapa pasu pokok sirih, seperti yang dipesan oleh Karkuma melalui perisik gelap.

Sirehpani turut membawa berita tentang amaran daripada Istana Bijinga yang telah disebarkan kepada rakyat jelata. Maharaja menitahkan bala tentera istana supaya menangkap sesiapa sahaja yang didapati menganut agama Arshi. Malah hukuman pancung menanti mereka. Dan sesiapa tahu di mana Karkuma dan pengikutnya bersembunyi, akan mendapat upah lumayan.

Itulah sebahagian berita yang didengarnya. Keadaan di luar sana iaitu Kampung Seruntum sememangnya dahsyat. Ancaman daripada Jameng dan amaran Sutan Lembayung memberi kesan kepada penduduk dan penganut agama Arshi.

Akibatnya, suasana pekan Pattek menjadi lengang. Pelabuhan diarahkan ditutup menyebabkan tiada lagi kapal dagang berlabuh. Perniagaan serbuk kunyit dan daun sireh orang-orang Nabui Arshi tergugat.

Beberapa kampung di sekeliling pekan Pattek turut lengang, terutama sekali Kampung Seruntum yang terdapat ramai orang-orang Nabui Arshi. Penduduk tidak lagi bebas bergerak di daerah dan di kampung masing-masing.

Ramai orang-orang Nabui Arshi atau penganut agama Arshi berkurung di rumah, tetapi ramai juga dari mereka nekad tidak mahu bersikap berpura-pura apabila mereka secara terang-terangan berulang-alik ke Madrasah Pagai melaksanakan sembahyang agama Arshi. Dan akibatnya ramai daripada mereka telah dihukum pancung.

Termenung panjang Karkuma dan semua pengikut setianya.

Khaufli, dakaplah emak sepuasnya, kata Karkuma kepada anaknya. Khaufli seperti yang diminta Karkuma, memeluk ibunya dengan erat. Pelukan itu seperti ada sesuatu yang tersirat dalam hati Karkuma.

Kemudian dia berkata kepada Sirehpani dan isteri orang-orang kuatnya yang menemani Sirehpani, iaitu Saruni isteri Teggal, Noin isteri Hakap, Mahsom isteri Jianok dan Entong isteri Balungga.

Puan-puan berangkatlah, ya. Mulai esok mengkema idak perlu datang lagi ke belantara. Kami akan berpindah tempat, hal makanan usah dibimbang. Karkuma menarik nafas, Beredarlah, kini ayahan ghair menjaga anak-anak. Usah berhenti sembah hajat kepada Dianya. Karkuma memandang satu persatu wajah wanita-wanita itu dengan serius. Mohon supaya Dianya perkenan akan kami sekalian bertemu muka lagi. sambung Karkuma.

Selesai memberikan kata-kata perangsang dan nasihat panjang lebar, Karkuma menarik nafas lega. Semua mereka memeluk pasangan masing-masing sebelum berpisah dari kawasan hutan itu. Karkuma memeluk Sirehpani seperti tidak mahu dilepaskan. Khaufli perhatikan ayah dan ibunya berpelukan sambil mengalir air mata. Penuh pengertian di dalam hatinya, bahawa ayah dan ibunya adalah pasangan suami isteri contoh buat manusia sejagat. Ketaatan Sirehpani kepada suaminya tidak perlu dipertikaikan. Pengorbanan demi kebahagiaan suami, Sirehpani sanggup mengadai nyawa sendiri. Begitu juga Karkuma.

Hebatnya percintaan antara Sirehpani dan Karkuma, setiap hari kehidupan mereka lalui seperti berada di syurga. Itulah jawapan Sirehpani pada Khaufli Shuhada tatkala dahulu anak mudanya itu pernah bertanya. Kata-kata itulah yang terngiang-ngiang di telinga Khaufli ketika melihat pahitnya saat perpisahan yang harus dilalui oleh ayah dan ibunya. Namun, dengan reda mereka sahut dugaan dari Tuhan.

Belum jauh sang isteri-isteri itu melangkah, Sirehpani patah balik. Berlari menerkam dan memeluk Khaufli Shuhada seerat-eratnya.

Tiba-tiba pohon-pohon besar di situ melambai-lambai dengan deras ditiup agin kuat. Deruan angin seolah-olah menghala ke arah mereka, tetapi angin terhenti pula dengan tiba-tiba juga. Suasan bertukar senyap, sesenyapnya. Mereka semua hairan memerhati sekeling. Karkuma pun terdengarlah bisikan-bisikan dari berbagai jenis tumbuhan di tengah belantara itu.

Lekas disuruh Khaufli beredargantikan baunya dengan pokok-pokok Karkuma terpaku. Sejurus kemudian datang lagi bisikan dari pohon lain pula, ada yang mengekori bau Khaufli...sangat dahsyat dendamnya..namun, kala Sirehpani mendakap Khauflibau telah tertutup, kini jin sedang berkeliaran keliru.

Tanpa buang masa Karkuma menyusun strategi. Dia mengerti apa yang disampaikan oleh pohon-pohon itu kepadanya.

Sekali lagi jin dampingan Maharaja Lembayung menjerit melolong tanda kemarahan kerana bau Khaufli hilang dari dera hidungnya. Rupa-rupanya pohon-pohon yang bergoyang bagai ditiup ribut tadi datangnya dari tempikan dan laungan jin itu.

Jin yang menyerupai seorang manusia berwajah bengis, hidungnya lebar melebihi pipi. Jin itu melompat-lompat umpama tupai, dari satu dahan ke dahan lain di tengah hutan belantara itu. Kini jin yang makin keliru terpaksa berpatah balik ke Istana Bijinga kerana bau Khaufli tidak dapat dihidu lagi.

Khaufli anakku, usah lupa akan emak, ya. Sirehpani memandang wajah anak mudanya itu, bergenang air mata. Dia seakan merasakan bahawa itulah kali terakhir dia bersama anaknya.

Daku bersumpah atas nama Dianya, selagi jiwa dikandung badan, emak tetap berada denganku, kata Khaufli penuh bersemangat sambil mengesat air mata ibunya. Diciumnya pipi orang tua itu berkali-kali dengan penuh kasih sayang. Sirehpani masih kelihatan jelita walau berusia.

Perlahan-lahan Sirehpani membuka beberapa langkah hendak beredar pergi dari situ, Khaufli memanggilnya,Emak! Tolong taburkan kuntuman bunga di pusara Bini. Cakap akan padanya bunga-bunga utu dariku ya, emak. Khaufli melambai. Sirehpani sayu mengangguk, wajahnya sungguh sedih, namun memaksa dirinya mengorak senyum demi menjaga hati Khaufli.

Grargghhhhh! Tempikan dan laungan jin kembali meriuhkan suasana hutan belantara. Jin itu berpatah balik, bau tubuh Khaufli kembali menyeru hidungnya.

Sirehpani dan sang isteri-isteri yang lain sudah meninggalkan hutan. Karkuma tahu dia tidak punya banyak masa, secepatnya dia memaksa Khaufli bertukar pakaian dengannya dan mengarahkan Khaufli pergi jauh dari mereka menyembunyikan diri di kawasan lain di tengah hutan belantara itu.

Usah digusar anak kupokok-pokok di belantara inen akan menolong dikau. Apak akan jejak dikau. Lekas beredar anak ku! Sergah Karkuma dengan penuh kasih sayang. Khaufli tidak pernah membantah, lalu beredar secepatnya dari situ.

Hilang sahaja Khaufli dari pandangan Karkuma dan lain-lain di situ, tiba-tiba muncul tegak seekor jin, ketinggiannya melebihi 8 kaki di depan mereka. Dengan ganasnya jin itu menerkam Karkuma, tetapi ditepis oleh berjela-jela akar-akar pohon besar yang berjurai dari pohon-pohon besar berhampiran. Jin itu terpelanting ke tanah, lalu dengan derasnya berjela-jela akar-akar tadi melilit jin itu. Berlaku pertempuran sengit antara juraian akar-akar pohon itu dan jin buat beberapa ketika.

Karkuma dan sahabat-sahabatnya memerhati sambil menyusun langkah, membaca jampi serapah, jikalau jin itu berjaya melepaskan dari lilitan akar-akar itu. Apabila lilitan akar-akar semakin tebal menyelubungi tubuh jin itu, dia kaku dan memohon agar dilepaskan. Mustahil permohonan jin itu akan ditunaikan. Sepanjang malam jin itu dibiarkan terpaku dalam lilitan akar-akar hinggalah matahari menjengah bumi, jin itu ghaib dengan sendirinya.

Berita jin dampingannya gagal menyusul Khaufli telah membuakkan kemarahan Maharaja Lembayung. Terus dipasungnya jin dampingannya itu. Jadilah jin itu, jin tidak bertuan, berkeliaran dalam keadaan lemah di muka bumi buat selamanya, sementara menunggu akhirat.

Sekurang-kurangnya Puteri Dewi Manggis dan Maharaja Lembayung sudah ketahui di mana tempat terakhir Khaufli berada. Maharaja Lembayung pun mengerah seluruh panglima terbaik yang ada dalam Istana Bijinga untuk mencari Khaufli. Pada keesokan harinya, 10 orang panglima istana diketuai oleh Puteri Dewi Manggis sendiri pergi menuju ke hutan belantara menjejaki Khaufli.

Derasnya bunyi kencang kuda-kuda berlari menuju hutan belantara, begitulah derasnya jantung Puteri Dewi Manggis berdenyut, untuk bertemu Khaufli.

Hampir dua malam Khaufli keseorangan di tengah hutan belantara. Tetapi dia tidak berdiam diri, dia menyusun strategi memikirkan nasib yang bakal menimpa orang-orang Nabui Arshi. Sempat dia mengukir beberapa bilah keris. Sambil itu ada terlintas di dalam fikirannya kalau-kalau Puteri Dewi Manggis jahat itu datang mencarinya

Firasat Khaufli selalu benar, sedang dia asyik mengukir keris, terdengar olehnya bunyi larian kuda, makin dekat dan dekat. Pantas Khaufli bangun memerhati sekelilingnya, belum ternampak apa-apa.

Tiba-tiba bunyi tapak kuda tidak lagi kedengaran tetapi, Wahai kekasih, suara Puteri Dewi Manggis menusuk ketelinga Khaufli. Diikuti kewujudan puteri itu tercegat berdiri di depan mata. Khaufli sedar bahawa ini kenyataan bukan jelmaan.

Kita datang dapatkan engkau, Puteri Dewi Manggis berkata sambil tersenyum.

Untuk apa Tanya Khaufli tenang.

Jadi jejenang kita. Puteri itu turun dari kudanya dan menghampiri Khaufli.

Idak pula untuk jadi Maharaja Pendua Tanya Khaufli pula dengan berani.

Usah engkau susupi kita, kupak padahnya! Agak marah sedikit nada puteri itu.

Selang beberapa saat kemudian, muncullah panglima-panglima tadi menyusun langkah mengelilingi Khaufli. Perlahan-lahan Puteri Dewi Manggis mendekati Khaufli sesudah pemuda itu berada dalam kepungan panglima-panglima istana.

Langkah mereka telah dibaca oleh Khaufli sejak awal. Dia sudah bersedia untuk menentang mereka. Khaufli bertekad lebih baik mati daripada menjadi abdi kepada syaitan kejam yang bertopengkan manusia, yang telah membunuh Bini kekasihnya. Kesempatan ini dijadikan medan untuk membalas dendam di atas kematian Bini.

Khaufli tidak mahu buang waktu, belum sempat panglima-panglima itu menyerang, dia lebih dulu menyerang mereka. Berlaku pertarungan hebat antara 10 orang panglima dan seorang anak muda yang berbekalkan semangat. Satu persatu panglima-panglima itu tumpas disepak terajang oleh Khaufli. Walaupun mereka bersenjatakan pedang dan Khaufli hanya sebilah keris buatan sendiri.

Puteri Dewi Manggis tersenyum memerhatikan sahaja pencak silat Khaufli dengan panglima-panglimanya itu. Malah dia kagum melihat kehandalan Khaufli. Rasa cintanya terhadap Khaufli masih membara, dia mahukan Khaufli hidup-hidup.

Sedang Khaufli masih bergelut, dan 6 orang panglima istana sudah terbunuh, Berhenti! Titah Puteri Dewi Manggis kepada mereka. Kesemuanya berhenti.

Kalu pertarungan inen terus berlangsungbalasungkawa akibatnya buat engkau-engkau panglima istana bodoh! Kata Puteri Dewi Mangis kepada 4 orang panglima yang masih hidup.

Mulih ke istana! Puteri Dewi Manggis pun memanjat ke atas kudanya, menitahkan mereka pulang ke istana bersama-samanya.

Mengasih wagau puti rupawan. Khaufli gembira dengan keputusan puteri itu. Diperhatikan Puteri Dewi Manggis beredar pergi sambil memberi tunduk hormat.

Dengan tidak semena-mena, Tinggallah wahai pemuda Arshi, jahanm! Tempelak Puteri Dewi Manggis, berpatah balik dan terus menghayun pedangnya melayang ke arah Khaufli.

Terpaku Khaufli di tempat dia berdiri, tercengang memerhatikan pedang melayang ke arahnya. Tidak menduga, sekelip mata kemudian pedang itu bertukar menjadi seekor ular senduk yang besar melilit tubuh Khaufli. Puteri Dewi Manggis dan panglima-panglima istana bergelak ketawa.

Khaufli meronta dengan tenang melawan lilitan ular itu. Mujur keris masih berada dalam genggamannya. Sedang ular menjelir-jelirkan lidah yang bercabang ke muka Khaufli, sepantasnya Khaufli menyelit keluar sebelah tangannya dan mencantas lidah ular itu putus. Sesaat kemudian, ular tadi bertukar menjadi pedang semula dan jatuh ke tanah.

Marahnya Puteri Dewi Manggis tidak terhingga. Dia mencapai pula sepasang gelang kaki dari pergelangan kakinya dan dilemparkan ke arah Khaufli. Sekelip mata kemudiannya, sepasang gelang kaki itu bertukar menjadi dua ekor biawak yang sangat besar menyerang Khaufli hingga rebah ke tanah. Bertubi-tubi biawak menyerang Khaufli, dan Khaufli melawan selagi terdaya. Tidak lama kemudian biawak-biawak itu makin lemah, begitu juga Khaufli makin tidak daya menentang biawak-biawak itu.

Puteri Dewi Manggis menitahkan pula panglima berempat menyerang Khaufli. Tanpa berlengah panglima berempat yang berkuda menuju ke arah Khaufli. Tetapi belum sempat mereka menghampiri Khaufli yang masih bergelut dengan dua ekor biawak jadian itu, tiba-tiba panglima berempat jatuh pengsan ke tanah.

Puteri Dewi Manggis tercungap-cungap hairan. Dua ekor biawak berguling-guling di tanah dan bertukar kembali menjadi sepasang gelang kaki. Puteri Dewi Manggis mula merasa cuak.

Rupa-rupanya Karkuma dan para sahabatnya muncul tepat pada waktunya menyelamatkan Khaufli daripada ditawan oleh puteri yang kejam itu.

Jahanam! Bagak engkau menentang kita! Jerit Puteri Dewi Manggis kepada Karkuma dan para sahabat lain.

Khaufli bangun berpelukan dengan ayahnya sambil membisik, Utulah perempuan puaka yang meragut nyawa Bini. Karkuma menarik nafas lega.

Mereka memandang tajam kepada wajah Puteri Dewi Manggis yang masih terkedu, menyedari bahawa dia dan jin dampingannya telah tewas. Puteri itu menitahkan panglima berempat yang baharu celik dari pengsan, mengiringinya pulang ke Istana Bijinga.