BINTANG AL-NILAM DI LANGIT MENTAKAB - 17
Pagi itu ada pengumuman di perhimpunan sekolah. Semua pelajar perlu dibahagikan kepada empat kumpulan mengikut warna. Sebelum cuti Tahun Baru Cina kali ini sekolah mahu adakan pertandingan sukan antara rumah-rumah. Leman berdoa sekuat hati semoga niatnya mahu rumah yang sama warna dengan Nurul dimakbulkan. Mana mungkin mereka perlu di rumah berasingan, pasti nanti berperang-perangan untuk menuju kemenangan.

Masing-masing beratur. Dimulakan dengan warna kuning, merah, hijau dan biru. Sesiapa yang paling hadapan akan ke rumah kuning, manakala yang kedua ke rumah merah, yang berdiri di barisan ketiga akan ke rumah hijau dan akhir sekali biru, kemudian diulang kembali hinggalah barisan itu habis.

Nasib tidak menyebelahi mereka semua. Hanya Faduli dan Nurul berada di rumah hijau, manakala Leman di rumah kuning dan Bahari di rumah merah.

Masing-masing perlu melalui beberapa saringan untuk mewakili rumah masing-masing. Nurul lebih dulu mengundur diri tidak mahu terlibat dalam mana-mana aktiviti sukan. Faduli pula terlebih kencang mahu memasuki tim bola sepak manakala Bahari dan Leman hanya mahu mencuba olahraga.

Elok sahaja sesi persekolahan habis, masing-masing pulang ke rumah dengan semangat waja. Petang ini mahu kembali ke sekolah dan melalui ujian saringan bagi mewakili rumah sukan masing-masing.

Leman lebih lagi yakin untuk mewakili sukan olahraga bagi tahun satu. Menentang kawan baiknya si Bahari. Sungguhpun Bahari agak gempal, tetapi kekuatan pecut Bahari tak boleh disangkal.

Masuk sahaja waktu Asar, Leman lekas menunaikan solat. Kemudian belum sempat minum petang, beliau sudah menyarung seluar sukan dan kemeja-T putih. Lantas terus berlari menuju sekolah. Kali ini sudah pun nafsi-nafsi, sikitsikit perli-memerli berlaku antara Faduli, Leman dan Bahari. Masing-masing gah dengan rumah sukan masing-masing.

Faduli gagal memasuki tim bola sepak. Kemudiannya diketawakan oleh Bahari dan Leman. Memang sudah dijangkakan lebih awal sebenarnya oleh dua rakan tersebut. Beliau duduk menghadap trek seratus meter untuk melihat saringan rakan-rakannya pula.

Bahari terlebih dahulu beratur untuk diuji. Saat papan diketuk menandakan permulaan larian, Bahari tersembam jatuh. Habis diketawakan semua yang ada di padang. Bahari bangun dan terus duduk di tepi bersama Faduli. Gagal juga.

Akhir sekali, Leman. Dengan lagak ala Tan Sri Dr. M. Jegathesan, Leman meramas jari-jemarinya. Kemudian tunduk konon mencecah lantai trek. Leman berdiri di laluan kedua dengan memandang tajam ke garisan penamat. Cikgu Muhammad lebih dulu melihat keletah anaknya ini dari jauh. Pam! Kayu diketuk dan Leman lari sekuatnya. Berdesup-desup ditinggalkan oleh semua lima pelari lain. Terus corot. Terus kalah mati dan gagal mewakili rumah sukan. Kali ini Leman pula menerima giliran diketawakan termasuk Cikgu Muhammad.

Aksi dan gaya Leman sudah mencukupi untuk menjadi pelari pecut, tetapi tidak dengan tenaga yang ada.

Aku rasa elok aku berolahraga dengan pensel sahajalah, jadi penulis! kata Leman. Faduli dan Bahari mengangguk setuju. Mereka kemudiannya dilambai Cikgu Muhammad dan ketigatiganya berlari untuk mengambil air yang disediakan.

Semua gagal

Semua serentak angguk.

Tak apa, yang penting semangat tu ada, tahniah!

Ketiganya terus bersyukur. Saat tadi diketawakan oleh semua orang, kini mendapat buah kata yang cukup dapat merawat hati masing-masing.

Nurul juga tidak mewakili apa-apa. Sekadar menjadi ahli penyokong sahaja. Imah juga begitu. Masing-masing hanya memandang prestasi buruk kawan-kawan dengan penuh ceria.

Itulah sukan. Seronoknya berganti-ganti walau kalah.