MOLOTOV KOKTEL - 17
Hai engkau Malaysia, apa konsepsi yang engkau berikan kepada umat manusia, apa

konsepsi yang engkau berikan kepada rakyat di Kalimantan Utara Atau rakyat di Malaya

atau rakyat di Singapura Apa konsepsi yang engkau keluarkan Republik Indonesia tegas

mengeluarkan konsep, PANCASILA, MANIPOL USDEK, BERDIKARI, TRISAKTI, NASAKOM..

Malaysia adalah suatu negara kalau boleh dinamakan, negara TANPA KONSEPSI. Suatu negara tanpa ideologi!

Ini antara petikan ucapan popular oleh Presiden Republik Indonesia, Presiden Soekarno pada sekitar 1963, ketika zaman konfrontasi Indonesia-Malaysia. Kasar, keras, menghina, namun pahitnya; benar.

Jika hanya mengambil kira latar cerita di belakang pengungkapan tersebut, ramai akan mendakwa ungkapan tersebut tidak lagi kontekstual untuk diletakkan selari dengan zaman ini. Benar, ketika zaman konfrontasi, permusuhan antara dua negara ini sentiasa menyebabkan pemimpin dari kedua-duanya saling bertikam lidah dan menghina satu sama lain. Merendahkan negara lawan adalah perbuatan biasa dalam perang dan gerak saraf. Indonesia yang mempunyai hubungan dengan Soviet melihat Malaysia sebagai budak Amerika, mengikut jalur imperialis Barat tersebut. Projek Malaysia adalah projek neo-kolonialisma. Kehadiran Lyndon B Johnson tidak lama selepas bermula konfrontasi juga menguatkan lagi dakwaan tersebut. Namun di atas kertas; mahupun di dalam konteks realiti hari ini, lama selepas Perang Dingin tamat, lama selepas konfrontasi terhenti dengan kudeta ke atas Soekarno, Malaysia masih gagal meletakkan konsepsi, apa lagi ideologi untuk dinilai masyarakat dunia dan digenggam masyarakat sendiri; dulu, kini dan mungkin buat selamanya.

Sebuah negara tanpa konsepsi; ini jentikan pemikiran yang anehnya tidak langsung diangkat sebagai wacana umum oleh sesiapa pun dalam negara ini ketika konfrontasi berlaku. Dan ia berterusan tanpa dibicarakan sehingga hari ini. Malaysia menyerang dengan menghina kekusutan ekonomi Indonesia ketika itu, kerana itu kelemahan mereka di seberang sana; maka demikian juga Indonesia. Dalam menyerang, maka dipilihnya kelemahan Malaysia; ketidak-wujudan konsep sebenar negara ini. Malangnya, kelemahan Malaysia yang sudah ditunjukkan oleh Soekarno ini tidak cuba diperbaiki, di saat Indonesia apabila diserang hari ini telah pun sebaik mungkin berusaha mengatasi kelemahan mereka.

Apabila yang disebut itu adalah pembentukan ideologi dan konsepsi negara, ramai yang akan datang melontarkan segenap ilmu dari buku yang dimiliki untuk memeriahkan perbincangan dan diskusi berkaitannya. Teori-teori dari segenap cendekiawan terkemuka dunia akan mulai cuba disesuaikan dengan keadaan negara ini. Idea-idea negara tidak kira dari jalur mana akan cuba diikat mengikut sosio-politik dan iklim ekonomi dewasa. Namun apabila sampai ke saat menzahirkannya; ramai juga yang akan mulai menarik diri dan terus berdiam. Memecahkan dogma bukan kerja mudah, malah bukan juga kerja yang akan disukai oleh masyarakat, apalagi masyarakat yang berpandukan nilai tradisional yang diwarisi tanpa mereka sendiri menyedari sebab-musabab nilai tersebut disuap pada mereka. Dan sayangnya juga, masyarakat bernilai lama ini ramai dan boleh jadi adalah majoriti. Tidak hairan ramai yang memencilkan diri dari cuba memecah dogma tersebut. Menanggung tekanan dari majoiti yang masih tersangkut dengan dogma lama ini bukan kecil sengsaranya.

Dalam saat vakum seperti inilah, akan muncul pelbagai pembentukan nilai dan konsepsi yang datangnya entah sengaja entah tidak. Negara ini terutamanya punya masalah dan bahaya yang jelas. Sejak dilepaskan tali ikatan daripada koloni British, pemerintahan masih tetap diterajui oleh satu blok politik yang sama; parti berasaskan kaum dan warna kulit. Idea warna kulit ini mirip idea apartheid. Tidak perlu mendabik dada dengan teks sejarah yang diajar di sekolah yang kononnya Malaysia melalui Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman adalah antara negara terawal yang turut ikut memperjuangkan pembebasan Afrika

Selatan dari dasar apartheid; sedang realiti hari ini, kita masih menjalankan hukum dan dasar berdasarkan pemisahan etnik dan agama. Hukum yang ternyata tidak saksama. Orang Melayu masih jadi bangsa istimewa. Bukan Melayu dan bukan Islam terusmenerus jadi beg tinju dalam sebarang sandiwara melagakan kaum, sedang kemiskinan tidak pernah mengenal kaum dan agama. Adakah ini dasar dan konsepsi yang ingin diguna pakai ke atas negara yang belum punya identiti jelas ini Terbukti, kegusaran banyak pihak termasuk parti-parti kiri seperti Parti Rakyat dan juga kenyataan beberapa ahli politik lain seperti Tony Pua daripada DAP mempunyai asasnya. Jika terus dibiakkan lagi pemikiran dan jalur sebegini; mungkin akhirnya kita akan menjadi sebuah negara fasis.

Konsepsi tidak hanya pada jalur politik dan sosial; konsepsi juga terbentuk melalui teori ekonominya. Apa mekanisma ekonomi yang mahu digunapakai ke atas negara ini. Dasar pemerintah hari ini kabur dan celaru. Pasaran bebas tidak pun bebas, asset milik negara langsung diswastakan. Kegagalan untuk meningkat baik ekonomi negara mahupun ekonomi rakyat sendiri adalah hasil daripada ketidaktentuan dan kecelaruan landasan atau jalur ekonomi yang ingin dipraktikkan. Sekejap berhembus ke Barat, sekejap berhembus ke Timur. Ini bukan fleksibiliti, ini adalah ketidakmampuan untuk membuat keputusan dan dasar; semuanya kerana tidak pernah ada konsepsi jelas. Mungkin kecuali di zaman Mahathir Mohamad yang agresif menjual aset-aset negara kepada pihak swasta, dapat dilihat sedikit jalur praktik ekonominya. Namun ternyata gagal, hanya omong kosong dan lompong. Gah hanya pada nama dan rupa fizikal. Dasar Pandang ke Timur hanya cubaan untuk meniru, tidak lebih daripada itu. Tidak ada pelajaran yang dikutip oleh Malaysia dari Jepun. Kita hanya melakukan imitasi, atau lebih teruk lagi plagiat ke atas apa yang dilakukan di Jepun, dengan cara kita sendiri. Idea dan teori di sebalik ekonomi Jepun tidak pernah pula dibincangkan. Lebih banyak kekaguman ke atas budaya, teknologi dan kilang kereta Jepun berbanding teori ekonomi yang diguna pakai.

Kegagalan menemui konsepsi ini akan terus meletakkan kita dalam keadaan kaku dan tidak berhala tuju. Lupakan idea negara bangsa; kita tidak ada pegangan untuk digenggam bersama. Identiti kita terus menerus bergantung pada bangunan dua tongkol jagung bernama KLCC. Lupakan cita-cita menjadi negara maju; kita tidak ada panduan ekonomi yang jelas dan tuntas. Sejak merdeka sehingga hari ini, kita masih belum memuktamadkan bentuk negara ini. Mengaku sebagai negara Islam namun Perdana Menterinya sendiri tidak kenal bentuk najis. Mengaku sebagai negara majmuk namun meletakkan keistimewaan satu bangsa di atas bangsa lain. Andai sahaja pada 1963 kita menyahut ungkapan Soekarno sebagai satu bentuk kritik yang penting, mungkin hari ini tulisan ini tidak perlu terbit. Negara ini tidak memerlukan menara baru, tidak juga landasan kapal terbang baru, apa lagi undang-undang bodoh yang baru. Negara ini cuma memerlukan konsepsi yang tuntas.