DIAGNOSIS 3: MORTUARI - 17
Doktor Farid meneliti sekujur tubuh di hadapannya itu. Keadaan Pak Cik Samad sudah semakin teruk. Jangkitan kuman pada hati, paru-paru dan buah pinggangnya seakan kebal dengan antibiotik yang diberikan. Langsung tiada perubahan!

Fungsi buah pinggang juga semakin terjejas. Malam tadi, dia terpaksa menjalani dialisis untuk mencuci buah pinggang kerana kepekatan urea dalam darahnya sudah mencecah 30. Ia hampir empat kali ganda lebih tinggi berbanding bacaan normal. Dia dalam keadaan sedar dan tidak sedar.

Tekanan darah adalah 120/72. Itu pun dengan dibantu oleh tiga jenis ubat vasopressor dan inotropes yang berfungsi untuk meningkatkan tekanan darah. Dos Noradrenaline, Dopamine dan Dobutamine sudahpun maximum. Doktor Farid masih berkira-kira samada dia patut memulakan vasopressor ke empat iaitu Adrenaline.

Doktor Farid kasihan akan orang tua itu. Anak-anaknya masih belum sampai dan masing-masing sibuk dengan urusan duniawi biarpun bapa mereka terlantar kesakitan di hospital.

Kata mereka, paling awal pun mereka sampai adalah petang ini. Dr. Farid tidak pasti sama ada Pak Cik Samad dapat bertahan hingga ke tahap itu.

Andai ini adalah keluarganya, dia akan melepaskan Pak Cik Samad pergi menghadap Ilahi. Kematian itu adalah satu perjalanan yang bakal dilalui oleh setiap yang bernyawa. Sudah menjadi lumrah alam bahawa kita akan menjadi jenazah dan melalui alam kubur sebelum dibicarakan di alam akhirat. Tapi kenapa kita harus memusuhi kematian dan menganggap ia sebagai malapetaka Benarkah kematian itu musuh atau ia sebenarnya permulaan untuk perjalanan yang abadi

Tugas kita sebagai manusia bukan untuk takut akan kematian tetapi membuat amal ibadat agar kita mencapai bahagia sewaktu di akhirat. Itulah kehidupan abadi yang patut kita semua kejar.

Dr. Farid menamatkan review paginya terhadap Pak Cik Samad dan melihat pesakit yang lain. Selesai tugasannya, dia berkejar ke kantin untuk bersarapan sebelum memulakan tugasnya di klinik pakar.

Itulah tugasan seharian doktor di bahagian perubatan. Jika tidak on call, mereka akan ke klinik untuk melihat pesakit luar yang tidak perlu dirawat di wad. Jika ada kes, mereka akan ke unit endoskopi untuk membuat OGDS ataupun colonoscopy. Setiap satu minggu, akan ada pula sesi pembelajaran secara berterusan yang biasanya dibentangkan oleh houseman dan dinilai oleh doktor pakar.

Berselera benar Dr. Farid menjamah Coto Makassar dan minum teh Madras. Tambahan pula, dia tidak makan malam kerana balik lewat malam disebabkan ada pesakit tidak stabil. Nasiblah, siapa yang suruh dia jadi doktor. Rakannya yang jadi engineer bergaji 15 ribu ringgit sebulan padahal gajinya tidak pula sampai 1/3 dari gaji rakannya itu.

Kerja doktor bukanlah kerja yang menjanjikan kekayaan, glamor ataupun untuk dapat Tan Sri atau Datuk. Tetapi kerja ini memerlukan orang yang benar-benar sanggup berkorban masa, tenaga dan juga diri demi untuk menjaga nyawa yang menjadi amanah paling besar oleh Allah.

10 minit masa diambil untuk bersarapan, Dr. Farid terus bergegas ke klinik pakar. Sudah ramai pesakit yang menunggu giliran untuk dilihat oleh pegawai perubatan dan juga doktor pakar.

Simptom mereka perlu dilihat sekiranya bertambah baik atau berkurang, ubat-ubatan perlu dikekalkan, ditambah atau dikurangkan dan sesetengah pesakit juga memerlukan penyiasatan lanjut. Masa untuk melihat pesakit amatlah terhad, lebih kurang lapan ke sepuluh minit. Para doktor terpaksa menajamkan akal mereka agar segera dapat mengesan sebarang keganjilan pada pesakit dalam tempoh masa yang dekat.

Dr. Farid sudah pun memeriksa pesakitnya yang ke 56 sewaktu wad perubatan lelaki menelefonnya dan memberitahu bahawa Pak Samad semakin kritikal. Dia segera memberi isyarat kepada jururawatnya untuk menyerahkan baki-baki fail pesakit kepada pegawai perubatan yang lain kerana dia perlu segera naik ke wad. Arahannya itu dianggukkan sahaja oleh jururawat yang menemaninya di klinik.

Di wad, pernafasan Pak Cik Samad sudah pun tersekatsekat. Ada masanya dia bernafas dengan laju dan ada kalanya pernafasannya dalam dan lama. Tekanan darahnya kembali rendah. Dia mengarahkan agar satu lagi ubat inotropes ditambah.

3.30 petang! Tiada tanda-tanda anak Pak Samad akan muncul. Dr. Farid kecewa! Namun dia tidak boleh pantas menghukum. Mungkin sahaja anak-anak Pak Samad benar-benar ada urusan mustahak.

Sepuluh minit kemudian, tiba-tiba Pak Cik Samad merengus dan akhirnya diam. Cardiac monitor menunjukkan asystole. Dr. Farid pantas melakukan CPR dan menjerit agar jururawatnya menyediakan crash cart.

Proses intubasi selesai dan CPR dijalankan secara berterusan. Entah berapa banyak Adrenaline yang sudah disuntik ke dalam pembuluh darah Pak Cik Samad tetapi tiada sebarang reaksi positif.

Time of death, 5.05 PM. Cause of death, septic shock . Ulang Dr. Farid.

Tiba-tiba tabir ditarik dengan kasar. Tiga orang lelaki dan wanita bergegas masuk tanpa diundang. Mereka segera memegang mayat Pak Samad yang sudah pun terbujur kaku. Bapak! Bapak, jangan tinggalkan Ivy.

Bapak maafkan Daus kerana lambat sampai.

Doktor tolonglah hidupkan kembali ayah saya doktor. Herman menarik kaki seluar Dr. Farid sambil dia terbaring di atas lantai.

Kesemua mereka diselubungi rasa kesal kerana tidak sempat bertemu dengan arwah.

Tolonglah doktor, hidupkan dia balik. Herman merintih meminta tolong kembali.

Dr. Farid geram. Dia kecewa. Dia hampa. Dan dia juga terluka!

Kenapa baru sekarang mereka mahu datang setelah berkali-kali ditelefon. Sudah mereka katakan bahawa keadaan Pak Samad tidak bagus dan meminta agar anak-anak datang melawatnya. Tapi apa respons mereka

Tunggu dulu doktor.

Kami tiada masa lapang sekarang.

Doktor buatlah apa yang terbaik untuk ayah saya. Nanti kami datang.

Dr. Farid juga pasti bahawa Pak Cik Samad juga rindukan anak-anaknya. Dia sudah cuba untuk bertahan dan melawan penyakitnya kerana ingin bertemu anak-anaknya buat kali terakhir. Tapi sayang hajatnya tidak tertunai.

Dan kini, anak-anaknya menyesal. Apa kau ingat aku ini Tuhan yang bisa menghidupkan kembali sekujur tubuh yang sudah tidak bernyawa. Aku sendiri tidak tahu ke mana menghilangnya roh Pak Cik Samad. Mana bisa aku menangkapnya kembali dan memasukkan ke dalam tubuh ini.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Usah ditangisi hilangnya seri mentari andai kau tidak pernah menganggap matahari itu wujud. Setiap yang bernyawa pasti akan menemui ajalnya. Yang masih hidup, teruskan melakukan amal untuk dijadikan bekal ke medan akhirat.