Kehilangan Razief tidak merencatkan emosi Mama Juwita yang leka bercanda dengan penciptaan terbaharunya. Dia tahu Razief masih selamat; bahkan transponder yang tertanam di dalam batang tubuh anaknya itu semakin menjadi aktif apabila malam menjelma. Tentu sahaja Razief selamat di Dataran pembebasan; lebih-lebih lagi Pujangga mengenali ketua umat proto-Human di sana.
Pastikan tiada satu jujukan DNA pun yang tertinggal; bisiknya.
Juwita kadangkala kecewa dengan manusia; proto mahupun neo. Selagi mana manusia itu dilapiskan dengan perasaan, mereka tidak akan mampu menjadi manusia yang sempurna. Namun tujuan pengumpulan jujukan DNA rencam ini bukanlah untuk menghasilkan Cyborg mahupun Artificial Intelligence. Itu cerita kuno. Kalau ingin membina sebongkah robot, maka fabrikasi yang ditempa pada besi waja sahaja sudah mampu untuk melakukan itu.
Pastikan tiada satu jujukan DNA pun yang tertinggal; bisiknya.
Namun Juwita bukan wanita yang buta sejarah ataupun dongengan. Dia menghabiskan masa terluangnya dengan mengimpal kembali ciptaan dan gulungan sejarah terdahulu, termasuklah satu dongengan Timur Tengah yang mengisahkan tentang insan yang dipilih oleh Alif Lam Lam Ha.
Nabi Nuh namanya.
Menurut dongengan Timur Tengah yang dipelajarinya, Nabi Nuh itu melakukan satu penciptaan maha agung dengan membina satu bahtera mega yang membantunya merentasi aruhan ombak yang maha gila, barangkali segila Tsunami Raya yang menghempas Malaysia suatu ketika dahulu. Dia tidak mempercayai dongengan itu, namun dia terinspirasi daripada apa yang dilakukan oleh Nabi Nuh itu. Dia percaya, itulah jawapan kepada soalan yang tidak wujud, tetapi sering menghantuinya. Lalu;
Pastikan tiada satu jujukan DNA pun yang tertinggal; bisiknya.
Juwita...
Tinta Pujangga terbang membelah ruang Makmal Keabadian Kubah Gemawan untuk menghampiri Juwita; Srikandi itu sedang ralit melihat pancaran hologran susunan gene menari-nari di mejanya. Pujangga tersenyum, barangkali ada berita baik yang akan dijunjung.
Juwita, ayuh kita berjumpa dengan Razief!
Juwita tersenyum girang; Pastikan tiada satu jujukan DNA pun yang tertinggal; bisiknya.
***
Air-car itu mendarat perlahan di tengah padang Dataran pembebasan yang dikelilingi oleh khemah-khemah usang yang menjadi tempat tinggal gelandangan protoHuman. Kambing dan unta-unta yang berkeliaran serta merta melarikan diri saat jentera maha canggih itu mula menapak di kawasan itu; sekaligus menyebabkan protoHuman berpusu-pusu keluar menyaksikan.
Ini kali kedua rombongan dari neo-Kuala Lumpur bertandang ke kawasan mereka.
Baik wanita mahupun laki-laki yang berbeza usia, berdedai-dedai menghimpunkan batang tubuh mereka mengelilingi air-car yang diparkir perlahan-lahan. Dua orang pemuda proto-Human memegang erat cangkul dan joran mereka; kalau-kalau gerombolan yang keluar daripada perut air-car itu adalah bala tentera Jaafar yang maha kejam.
Ini kali kedua rombongan dari neo-Kuala Lumpur bertandang ke kawasan mereka.
Mereka terpegun dengan apa yang dilihatnya; sepuluh orang pemuda sasa memimpin dua orang wanita yang anggun berkebaya; seolah-olah sinar keindahan dan kecantikan rupa paras dibahagi sama rata. Kedua-dua wanita itu mula mencemar duli mereka, berpijak pada tanah gersang Dataran Pembebasan yang dahulunya adalah tapak Bangunan Sultan Abdul Samad. Ah, malang sekali tiada rangka untuk membuktikan apa-apa peninggalan.
Pujangga bersuara;
Sesungguhnya aku, Srikandi MahaUsaha Tinta Pujangga. Sesungguhnya aku, pemikir dan sejarawan neo-Kuala Lumpur. Sesungguhnya duli ku tercemar disini, maka bawakan apa mahu ku. Buhaira, sesungguhnya itu mahu sanubariku!
Juwita hanya diam memerhati.
Himpunan proto-Human yang mengelilingi mula bersurai; ada yang berlari-lari anak untuk mencari Buhaira. Barangkali di Rumah Ibadat. Pemuda yang dari tadi menggenggam erat cangkul dan joran tidak berganjak; malah semakin mendekati pasangan Srikandi itu. Tiada langsung riak takut yang terpancar.
Siapakah kamu dan / untuk apa kamu kemari
Juwita dan Pujangga saling berpandangan. Berdiri
di hadapannya adalah dua orang pemuda proto-Human yang berwajah seiras; masing-masing membawa alatan kuno yang digunakan untuk memancing dan bercucuk tanam. Apa yang lebih menghairankan, kedua-dua pemuda itu saling menyambung ayat masing-masing, seolah-olah mereka berkongsi daya akal yang satu. Kehairanan melihatkan protoHuman jenis ini, Pujangga mula bertanya.
Siapakah kamu, wahai proto-Human
Aku Jacob dan / aku Joseph. Adapaun kami ini / dilahirkan sebagai / dua manusia / dari benih yang sama. Apa mahumu / menjajah ke dataran kami
Jacob dan Joseph masih lagi menggengam senjata mereka.
Bawa aku bertemu Buhaira! Apa telinga proto kamu itu tidak berfungsi! Pujangga menjerkah keras pasangan kembar itu. Mereka berdua masih tidak berganjak, sepertinya gandingan Juwita dan Pujangga yang tidak pernah berganjak.
Kami ini bukan / barang herdikan manusia / seperti kamu! Adapun kami ini / baharu dilantik Buhaira mengawasi / Dataran Pembebasan kerana / serangan Israel dan Palestin mungkin sahaja / akan mencemari bumbung udara kami!
Apa kalian berdua walau punya dua otak, semakin bodoh jadinya Apa ini cara kamu menghadap sembah pasangan Srikandi seperti kami, dengan riwayatmu yang busuk lagikan hina! Maka apa kau fikir, dunia luar itu ambil kisah perihal tempat gelandangan ini!
Kami ini / tidak pernah gentar / dengan manusia
separuh mesin / seperti kamu!
Mata mereka bertiga tertancap penuh kemarahan, bagaikan ada dendam tersimpan pendam.
Jacob dengan pantas melibas cangkul yang digenggam erat sedari tadi; libasannya berjaya dielak, lantas Pujangga membetulkan kuda-kudanya. Lengan tuanya didepakan, lalu dia melenggokkan badan dan memperkemas kekuatan pehanya. Matanya menyinga; memerhati kalaukalau proto-Human yang hina itu ingin menyerangnya.
Srikandi MahaUsaha Tinta Pujangga bersilat gayung!
Joseph berlari melulu ke arah Pujangga namun tubuh pemuda itu berjaya dikilas oleh Pujangga, lantas muka Joseph disiku sebelum Pujangga menghempas satu tumbukan padu ke dada Joseph. Pemuda proto-Human itu tersungkur ke tanah, sambil meludah-ludah debu yang telah memasuki ruang mulutnya.
Air yang tenang itu, nyata di dasarnya penuh sang buaya!
Sepuluh pemuda yang mengiringi Juwita dan Pujangga cuba untuk membantu melawan serangan daripada pasangan proto-Human itu. Berundur, gelanggang ini, tempat pencakku. Pujangga memberi amaran. Barangkali sudah lama dia tidak mempertajam seni mempertahankan diri yang dipelajarinya; kalau-kalau terpakai untuk Jaafar nanti.
Jacob dan Joseph kini mengelilingi Pujangga; namun Srikandi neo-Human itu masih kekal tegap mengorak tari berpencak, malah bakal menyerang mereka pada bilabila masa sahaja.
Serangan seterusnya dilunaskan oleh Joseph. Satu hanyunan padu daripada genggaman tangannya diajukan tepat ke dada Pujangga, namun Srikandi itu sempat menepis dengan sikunya. Pujangga berundur sedikit kesan daripada hentaman pemuda gagah itu namun kekudanya masih lagi kukuh bertapak. Mencengkam genggaman tangan Joseph, dia melambung tinggi genggaman itu sehingga pemuda proto-Human yang kononnya seorang pendekar tadi rebah melutut di tangan Srikandi.
Mama Juwita yang dikelilingi oleh sepuluh orang pemuda kagum memerhati.
Jacob yang terkesima melihat wanita tua yang mampu bertarung, terus menerpa ke arah Pujangga sambil menghunus cangkulnya. Sedikitpun tidak terkulat, Pujangga membongkok saat libasan itu dihalakan ke batang tengkuknya; lalu dia mengaktifkan terompah anti-Graviti sebelum menendang kuat dagu Jacob, terpelanting pemuda itu lalu menyembah bumi hina Dataran Pembebasan. Darah mula mengalir keluar dari bucu bibirnya. Joseph masih berlutut, kesenakan. Mata pasangan kembar itu tertancap melihat corak tari silat gayung Tinta Pujangga.
Selayaknya dia dinobat sebagai Srikandi!
Pujangga kini terbang seolah-olah sang dewi bertakhta dan bakal mengusai riwayat manusia yang hina dina. Melihatkan keupayaan luar biasa Pujangga, Jacob dan Joseph kembali mendapatkan senjata masing-masing dan berundur ke belakang.
Bawakan aku Buhaira!!! Juwita terpana; tidak pernah dia melihat sisi sebegini pada Pujangga. Jacob dan Joseph masih lagi memegang perut dan dada mereka; siapa sangka Srikandi ratusan tahun itu berjaya menumpaskan dua orang pendekar proto-Human dalam sekelip mata.
Pujangga...
Buhaira...
Pujangga mula terbang turun perlahan-lahan, mematikan pengaktifan terompah anti-gravitinya. Terompah kayu berwarna merah itu berkeletak saat Pujangga mula berjalan perlahan-lahan merapati Buhaira.
Buhaira. Barang yang dipinjam harus dipulangkan kepada tuannya. Adapun duli ku tercemar sedari tadi, demi membolehkan kamu memulangkan apa yang telah kamu pinjam.
Pujangga... Apa benar itu pinjaman
Bukan kepunyaanmu, Buhaira!
Maka segala isi bumi dan petala langit itu, milik Alif Lam Lam Ha kesemuanya.
Demi galaksi yang tidak bertuhan ini, pergilah menghadap tuan pinjamanmu.
Tidak seperti kunjungannya kali pertama dahulu,
Pujangga kini ditemani oleh sepuluh orang pemuda neoHuman yang sasa dan tidak berbaju, melainkan bersampin songket semuanya; masing-masing membawa Keris Saber yang berbilahkan ketajaman laser, bukan lagi sebongkah besi yang ditempa-tempa. Di tengah-tengah bulatan sepuluh pemuda itu, berdiri tegak seorang lagi wanita (barangkali seusia dengan Pujangga) yang memakai persalinan mewah; ah barangkali seorang lagi aristokrat neo-Kuala Lumpur.
Buhaira merapati aristokrat itu.
Sesungguhnya aku Buhaira, dan rahmat Alif Lam Lam Ha buatmu.
Sesungguhnya aku, Srikandi MahaMencipta Mama Juwita, habis sudah duliku tercemar saat terompah ini memijak dataran milikmu. Adapun putera yang aku sayang, ternyata dijaga kamu. Setiap yang bermula, pasti akan berakhir, maka bukankah kamu terlebih dahulu mengetahuinya, bahkan digelar seorang nabi kepada proto-Human
Buhaira hanya tersenyum sebelum menjawab;
Adapun putera mu itu aku bela sebagai puteraku sendiri; maka dengan damai kamu datang, dengan damai itulah aku tunjukkan jalan pembawaan.
Buhaira...
Srikandi Mama Juwita... Sepuluh jari tersusun; tanda hormat sesama manusia.
Bukankah kaum mu mahir akan dongengan Timur Tengah
Di panggil agama, Srikandi. Tiada pun dongengan melainkan agama.
Apa kamu tahu Buhaira, bahtera Nabi Nuh dongengan kamu itu, akan terbang pula kali ini
Buhaira tercengang; Pujangga masih diam; Juwita tersenyum sendirian. Sepuluh orang pemuda tadi masih mengawasi Jacob dan Joseph, kalau-kalau cangkul dan rotan masih lagi menjadi senjata yang mencetuskan perbalahan. ***
Betulkah perancanganmu itu, Laksamanku
Benar. Kedua-dua srikandi tua itu fikir bahawa kecanggihan militari ku tidak mampu untuk mengesan pergerakan air-car mereka di bawah radar. Kebodohan mereka yang alpa itu memungkinkan aku berpura-pura lena; entah apakah rancangan jahat mereka, sehingga sanggup ke dataran hina itu untuk kali kedua!
Jangan-jangan...
Ya, mereka merancang untuk menakluki neoKuala Lumpur dan menggulingkan sistem
pemerintahan sedia ada!
Maka
Maka aku sebagai Laksamana; raja adil raja kusembah, raja zalim raja ku sanggah! Dataran ini dan segala hasil buminya, milik aku yang bersusah payah membina tiang-tiang negara!
Laksamanaku ...
Bongkarkan aku segala rahsia. Tunggu aku sehingga tujuh purnama. Maka neo-Kuala Lumpur akan jadi milik kita!
Menjunjung kasih, Laksamanaku.
Cigar dari Cuba. Tidak pernah dari mana-mana.
Imejan Lembaga yang seringkali berunding dengan Jaafar itu mula pudar perlahan-lahan; seperti pudarnya kepercayaan Jaafar terhadap kewujudan Tuan Pemerintah serta Keikhlasan Pujangga dan Juwita dalam membangunkan tamandun neo-Human di dataran neo-Kuala Lumpur ini.
Dia memang dicipta oleh Mama Juwita.
Namun penciptaan itu tidak memberi lesen untuknya menjadi buta; Jaafar tahu pengaruh Pujangga dan Juwita sangan kuat di mata Tuan Pemerintah, itupun kalau Tuan Pemerintah itu benar-benar wujud!
Tragedi itu berlaku terlalu lama. Cigar dari Cuba dihisap perlahan. Khusyuk.
Dia bersama bala tentera Cyborg menggila; mengangkut bunuh sisa-sisa proto-Human yang merencat ketamadunan neo-Kuala Lumpur. Usai naskah Kalam Tuhan dikumpulkan, mereka menyucuh bara api yang marak menggila; menghapuskan jejak-jejak Alif Lam Lam Ha yang selama ini menjadi doktrin kepada proto-Human.
Harapan baru untuk neo-Kuala Lumpur!
Dia tahu dia terhutang budi dengan Juwita. Pada masa itu, Buhaira membawa pengikut proto-Human yang masih hidup merentasi sebuah tasik maha dalam untuk ke suatu tempat yang dijanjikan bernama Dataran Pembebasan. Tentera Jaafar yang dibawa oleh air-glider memecut laju mengejar Buhaira dan pengikutnya merentasi tasik maha dalam itu.
Langit tiba-tiba mendung dan tasik itu tiba-tiba terbelah dua.
Apa mungkin dongengan seperti Musa itu berlaku di hadapan matanya sendiri! Namun sebagai seorang Laksamana ulung, Jaafar tidak harus menyerah kalah sebegitu mudah. Walaupun air-glider bala tentera mereka dipatahpatahkan oleh gulungan tasik yang kembali tercantum, kit bouyancy yang diperantikan di dalam tubuh Jaafar dan bala tenteranya menyelamatkan ribuan askar neo-Human.
Buhaira dan pengikutnya sudah tidak kelihatan, Jaafar berhutang nyawa dengan Mama Juwita.
Asingkanlah mereka untuk tampil lebih adil. Biar mereka menyuapkan kita...
Dia masih ingat ketika itu, Pujangga mewartakan satu dasar untuk memberikan Dataran Pembebasan dan Laut Kemakmuran untuk didiami oleh proto-Human; supaya pentadbiran neo-Kuala Lumpur tampil lebih saksama di mata dunia. Sebagai balasan, batang tengkuk proto-human itu akan menjadi kepunyaan neo-Human - lalu bekerjalah mereka membanting tulang sekerasnya untuk memenuhi tembolok separuh mesin umat neo-Human. Demi negara, Jaafar sanggup melakukan apa sahaja.
Dialah Hang Jebat yang sebenarnya!