Salah satu faktor yang membawa kepada malnutrisi ialah kemiskinan. Kelaparan dan kemiskinan saling berkait rapat. Kemiskinan membawa kepada kelaparan, kurangnya tenaga untuk bekerja dan seterusnya mengurangkan kemampuan seseorang untuk belajar dan bekerja. Akhirnya, mereka terus dihimpit kelaparan dan kemiskinan. Pelbagai langkah telah diambil oleh badan-badan NGO seperti International Food Policy Research Institute, Action Against Hunger dan sebagainya untuk membantu mengurangkan jurang kemiskinan dan malnutrisi terutamanya bagi kanak-kanak serta mencari sumber protein yang lestari bagi menyelesaikan isu ini
Terdapat pelbagai sumber protein yang boleh didapati daripada haiwan dan tumbuhan. Lembu dan ayam adalah antara sumber protein yang popular bagi golongan kelas pertengahan, tetapi ianya bukanlah sumber yang sesuai bagi mereka yang kurang berkemampuan. Dengan harga yang sama bagi sekilo ayam, mereka boleh mendapat bekalan beras yang mungkin boleh bertahan lebih lama berbanding sekilo ayam. Begitu juga dengan daging lembu yang harganya dua kali lebih mahal.
Ikan juga adalah salah satu sumber protein. Jika di pasar, harga sekilo ayam bersamaan dengan sekilo ikan selayang basah. Malah, ikan kembung lebih mahal daripada sekilo ayam. Jikalau kita imbas kembali 15 ke 20 tahun yang lalu, harga ayam melebihi harga ikan laut di mana ayam telah dikategorikan sebagai makanan yang mewah. Sedangkan harga setin sardin juga sudah semakin mahal pada hari ini apatah lagi ikan yang segar. Mengapakah situasi ini terjadi
Persoalan di atas berkait rapat dengan kata-kata seorang sejarahwan iaitu Thomas Fuller, Kita tidak akan tahu nilai sebenar air sehinggalah telaga itu kering. Ini bermakna, kita juga tidak akan menghargai hasil alam sehinggalah ianya habis atau musnah. Oleh sebab itu, kelestarian sumber alam sangat penting dan ia juga berkait rapat dengan kemajuan sains dan teknologi.
Manusia adalah makhluk Tuhan yang sangat unik. Kita sentiasa mencari jawapan kepada setiap masalah. Menemui teori baru, mencipta dan mengkaji setiap kemungkinan yang boleh mendatangkan hasil serta mengubah dunia. Di situlah bermulanya sains dan teknologi. Dengannya, manusia mampu meneroka perut bumi, menggunakan sumber-sumber yang ada tetapi malangnya ada di antara kita yang rakus sehingga lupa kepada generasi seterusnya. Inilah masalah yang kita hadapi dengan hidupan laut.
Hidupan laut terutamanya ikan bukan sahaja ditangkap untuk sumber protein bagi manusia, tetapi juga haiwan ternakan, seperti ayam dan juga ikan yang diternak di sangkar. Permintaanya semakin tinggi, namun hasilnya telah berkurangan kerana tiada pemantauan dan tindakan yang tegas untuk mengawal penangkapan ikan laut. Masakan tidak harganya melambung di pasaran pada hari ini. Tangkapan ikan kembong seumpanya, di Malaysia menurut lawan web Jabatan Perikanan Malaysia, pada tahun 2001, sebanyak 99,000 tan metrik ikan dapat dinaikkan dan jumlahnya semakin berkurangan pada tahun 2012 kepada 70,000, manakala penghujung 2014, jumlahnya menyusut hingga 57,000 tan metrik sahaja. Di sebabkan situasi ini juga, persatuan pemeliharaan marin di Britain telah mengklasifikasikan ikan kembong sebagai ikan yang telah ditangkap secara berlebihan dan mungkin berada di ambang kepupusan jika tidak dikawal sama seperti yang telah terjadi kepada ikan tuna.
Mengambil langkah yang lebih proaktif untuk menghasilkan sumber protein yang lestari, industri akuakultur telah diwujudkan sejak 6,000 tahun sebelum masihi. Akuakultur yang bermaksud penternakan organisma akuatik termasuk ikan, molluska, krustasia dan tumbuhan akuatik ini berkembang seiring dengan perkembangan sains dan teknologi. Sehinggalah ke abad 21, banyak penyelidikan telah dijalankan untuk meningkatkan kualiti produk marin dalam industri akuakultur ini. Sekaligus dapat menampung kekurangan stok ikan di lautan yang dijangka mengalami kepupusan.
Pelbagai aspek mengenai akuakultur telah dijalankan, samada dari segi pembiakan, kawalan penyakit, sistem penternakan dan sebagainya diambil kira dalam menghasilkan sumber protein yang berkualiti dari industri akuakultur. Disebabkan ingin mencari jawapan bagi persoalan protein ini, penulis mengambil langkah untuk mempelajari bidang sains khususnya akuakultur dan terjurus kepada nutrisi ikan dengan mencari sumber protein berkualiti dan lestari bagi ikan komersil. Dengan inspirasi ini, penulis merasakan manusia juga boleh mendapat sumber protein dari haiwan akuatik yang murah serta membantu menjana ekonomi pernternak ikan dengan menghasilkan makanan ikan yang lebih ekonomikal.
Melihat kepada potensi bidang akuakultur di Malaysia, minat penulis bukan sahaja kepada mengkaji tentang sumber protein makanan ikan ini, tetapi juga turut menyebarkan ilmu yang didapati semasa membuat kajian supaya ianya dapat memberi manfaat kepada orang lain. Disebabkan Malaysia masih lagi kekurangan pakar dalam bidang sains, terutamanya bidang pertanian dan perikanan, penulis berharap lebih ramai pelajar berminat untuk menceburi cabang sains ini kerana dunia memerlukan lebih banyak penyelidik berkaitan makanan samada bagi manusia atau haiwan.
Tepung ikan atau fishmeal merupakan salah satu komponen utama dalam makanan ikan kerana kandungan protein dan nutrisinya yang tinggi, sesuai untuk keperluan tumbesaran ikan. Pada masa kini, kebanyakan pengeluar makanan ikan menggunakan tepung ikan dalam produk mereka disebabkan kandungan amino asid yang sesuai untuk makanan ikan dan dalam masa yang sama menghasilkan kadar tumbesaran ikan yang pantas serta penghadaman yang bagus. Ikan yang digunakan adalah ikan-ikan kecil di lautan yang kurang digunakan oleh manusia. Salah satu ikan yang terkenal untuk digunakan sebagai tepung ikan ialah ikan bilis Peru atau dikenali sebagai Peruvian anchoveta yang banyak didapati di antara Peru dan Chile. Namun, hasil tangkapan sumber ini tidak tetap kerana jumlahnya yang semakin berkurangan. Ini disebabkan pelbagai faktor antaranya tangkapan berlebihan dan faktor cuaca yang tidak menentu menyebabkan penurunan kadar reproduksi.
Tepung ikan telah mula digunakan sebagai makanan lembu, kambing, unta dan kuda sejak kurun ke-14 mengikut catatan Marco Polo. Menganjak ke abad ke-21, sains dan teknologi telah mengubah lanskap dunia pemakanan ikan. Menurut Edward Teller Sains pada hari ini adalah teknologi pada hari esok. Dengan sains, manusia boleh meramal masa hadapan. Masyarakat Eropah terdahulu hanya menggunakan lebihan ikan Herring yang tidak dimakan sebagai sumber minyak, dan sisa lebihannya dijadikan baja. Mereka hanya tahu kepentingan tepung ikan sebagai makanan haiwan di awal abad ke-20. Kini, dengan mengetahui sains di sebalik tepung ikan, manusia boleh mencipta, menambahbaik serta meneroka hasil-hasil lain selain tepung ikan untuk dijadikan makanan ikan.
Pelbagai sumber protein lain telah dikenalpasti mampu menggantikan tepung ikan samada secara separa atau 100%. Sumber protein dari tumbuhan seperti soya dan jagung adalah komoditi lain yang mampu menghasilkan tumbesaran ikan yang hampir sama seperti diberi makan tepung ikan. Walaubagaimanapun, terdapat juga faktor-faktor yang menolak penggunaan protein tumbuhan ini. Selain dari faktor antinutrisi pada sumber protein tumbuhan, faktor lain seperti kelestarian alam ialah salah satu faktor yang menolak penggunaan protein tumbuhan ini.
Umum mengetahui ladang soya dan jagung memerlukan berekar-berekar tanah untuk ditanam. Populasi manusia pula bakal menjejaki 9 billion orang pada tahun 2050. Berapa ekar tanah yang perlu dibuka untuk menanam soya dan jagung. Tanaman ini bukan sahaja untuk diberi makan kepada manusia, tetapi juga haiwan ternakan (sumber protein bagi manusia). Inilah masalah yang sedang dihadapi para saintis masa kini. Sumber protein yang baik dan boleh diberi makan kepada manusia, sebaliknya diberi kepada haiwan ternakan yang bakal mereka makan kemudian hari, tetapi pada masa yang sama ramai manusia lain yang sedang kebuluran kerana kekurangan protein.
Di dalam dunia sains, dengan hanya bertanya mengapa dan bagaimana akan banyak idea-idea inovatif berdasarkan fakta-fakta sains terdahulu yang boleh merungkai permasalahan yang dihadapi manusia seterusnya lahirlah teknologi yang mengubah kehidupan. Dengan persoalanpersoalan kepada masalah protein tumbuhan ini, penulis mencari jawapan dengan memilih sumber yang lebih mampan, kurangnya kesan rumah hijau, sesuai dengan iklim tropika dan pada masa yang sama boleh menjana pendapatan kepada penternak ikan atau mereka yang berada dalam industri perikanan.
Jawapan kepada persoalan di atas ialah serangga. Secara biologikal-nya, ikan terutamanya omnivor dan karnivor merupakan haiwan yang memakan serangga. Campaklah sebarang serangga ke dalam kolam, pasti akan disambar oleh ikan. Malah ikan arowana, sering diberi makan serangga yang hidup seperti belalang, cengkerik, larva nyamuk dan sebagainya kerana kandungan protein-nya yang tinggi. Ia juga boleh menangkap serangga yang bergantungan di tepi dahan pokok berhampiran permukaan air di tasik. Ternyata, serangga memang menjadi kegemaran mereka. Oleh itu, penulis mengambil fakta ini untuk menjadikan serangga sebagai salah satu sumber utama makanan ikan dan diproses untuk menjadi tepung serangga.
Usaha mengkultur serangga sebagai makanan ikan kini adalah satu kajian protein yang baru dan telah mendapat sambutan dari saintis di seluruh dunia samada dari negara-negara maju mahupun membangun. Orang-orang di Thailand, Mexico, Jepun dan beberapa negara Afrika telah lama memakan serangga sebagai sumber makanan mereka, namun ianya bukanlah sesuatu yang normal di negara-negara lain. Oleh kerana itu, serangga boleh dibiakkan dan diberi makan kepada ikan dan haiwan ternakan lain.
Serangga adalah salah satu kumpulan haiwan yang paling banyak spesisnya direkodkan. Ia boleh membiak dengan cepat, kurang penggunaan tenaga, air dan kawasan penternakan serta boleh hidup dengan memakan sisa makanan manusia yang tidak lagi digunakan. Yang lebih penting, ia mengandungi kandungan protein yang tinggi. Secara perbandingan, cengkerik mengandungi 21% protein untuk 100g cengkerik manakala daging lembu pula sebanyak 26% bagi jumlah berat yang sama. Ini menunjukkan kandungan protein yang hampir sama dan boleh digunakan sebagai sumber protein. Kini, terdapat banyak ladang ternakan serangga yang mengeluarkan produk untuk keperluan industri, antaranya cengkerik, lalat hitam (black soldier fly), dan larva kumbang (mealworm).
Minat penulis untuk menghasilkan produk yang lestari dalam memajukan industri akuakultur telah membawa kepada kajian mengenai serangga yang sesuai untuk dikomersilkan dalam skala yang besar dan ekonomikal. Ia juga haruslah sesuai dengan keperluan nutrisi ikan serta tidak memberi kesan fisiologi yang boleh membahayakan. Hasilnya, pertumbuhan ikan haruslah lebih baik dari yang hanya diberi makan tepung ikan sahaja atau hampir sama. Pada masa ini, penternakan serangga di Malaysia masih baru kerana tidak ramai yang tahu kepentingan serangga ini dalam kuantiti yang banyak. Adapun, serangga hidup hanya dijual di kedai-kedai ikan untuk diberi makan kepada haiwan peliharaan. Oleh itu, kos nya masih tinggi.
Di sini lah kepentingan sains dan teknologi di war-war kan kepada orang luar dari komuniti saintis. Kepentingan serangga sebagai sumber protein ini telah banyak mendapat liputan di luar negara sehingga industri serangga tumbuh seperti cendawan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Perancis, Spain dan United Kingdom. Terdapat juga beberapa syarikat yang telah memasuki pasaran Malaysia tetapi jumlahnya masih kurang kerana kurangnya pengetahuan rakyat Malaysia tentang industri ini.
Melalui bidang sains dan teknologi, saintis bukan sahaja dapat mengatasi masalah kebuluran yang dialami oleh manusia pada hari ini, tetapi kita juga dapat mencari penyelesaian tentang masalah ini dengan tidak memusnahkan alam. Seorang orang asli di Amerika pernah berkata, kita tidak mewarisi dunia ini dari nenek moyang, sebaliknya hanya meminjamnya dari anak cucu kita.
Mungkin kajian tentang protein pada serangga ini dilihat kecil dan kurang impaknya pada mereka yang berfikiran kecil berbanding mencari penawar kepada barah atau carigali sumber minyak. Namun begitu, penulis percaya bahawa sumbangan kecil ini, bukan sahaja dapat mengurangkan masalah kebuluran dan meningkatkan kualiti hidup terutamanya bagi mereka di negara-negara membangun, apa yang lebih penting, bumi kita dapat diselamatkan untuk diserahkan kepada generasi seterusnya dengan baik.
Biodata
Norhidayah Mohd Taufek berada di tahun terakhir pengajian PhD dalam bidang Bioteknologi di Universiti Malaya. Penyelidikan penulis menjurus ke arah bidang nutrisi akuakultur khususnya dalam penghasilan produk makanan untuk ikan yang lebih lestari dengan menggunakan tepung serangga sebagai sumber protein utama. Tumpuan utama penulis dalam bidang penyelidikan ialah meneroka sumber makanan yang kurang diberi liputan tetapi boleh memberi manfaat kepada manusia tanpa merosakkan ekosistem dunia dan pada masa yang sama boleh membantu menjana ekonomi mesyarakat. Penulis gemar mengumpul buku dari pelbagai genre dan membaca. Selain itu, penulis juga minat menulis dan mengasah bakat dalam bidang penulisan terutamanya dalam menghasilkan artikel berkaitan bidang sains.