Sepanjang bulan puasa aku lebih banyak beli juadah di Bazar Ramadhan atau singgah di masjid UKM kerana ada sahaja orang menderma makanan di sana. Seronok makan bersama-sama penuntut yang lain.
Semakin dekat Aidilfitri, maka suasana di universiti pun meriah dengan pelbagai aktiviti. Ia termasuklah tawaran balik kampung, jualan baju Melayu, pakaian dan kad raya berbagai bentuk. Kemeriahan lebih dirasakan oleh siswa dan siswi kerana mereka tidak sabar untuk balik kampung bagi menyambut aidil fitri bersama keluarga.
Raya ini aku rancang untuk balik Taiping dan ke rumah mertuaku di Kluang. Kenalah adil kerana keduanya penting bagiku. Walau sekejab asal kedua pihak aku ziarahi. Sambil ziarah aku ingin bermaafan-maafan.
Abang sulungku sangat penting dalam hidupku kerana beliau telah banyak memberi dorongan untuk aku mencapai kejayaan atau menghadapi selok belok dunia ketenteraan.
Sementara kakak iparku (Taibah binti hj Bashir) pula yang aku panggil Bahuj merupakan pendengar yang baik. Tidak pernah dia menolak untuk berbual dengan aku dalam talipon dan beliau tidak pernah jemu memberi nasihat.
Dia saorang yang penyabar dan cukup dedikasi serta sentiasa berusaha menjaga serta menyelesaikan masalah kami. Apa lagi bila dia masak kuih thokua (sejenis kuih bangkit) yang di cicah dengan sejenis lauk bernama thethee. Saya salute padanya.
Aku juga mempunyai abang dan kakak yang lain yang aku sangat hormati. Sumbangan mereka bukanlah sedikit dalam membina kredabiliti serta karisma dalam diriku sehingga aku menjadi seperti sekarang ini.
Adik lelaki bungsu aku (Manzur Ahmad) merupakan saorang yang baik tapi sungguh pendiam. Beliau yang nama gelarannya Mithu merupakan seorang yang cukup perahsia. Dia taklah simpan rahsia negara seperti aku, tapi dia tidak suka berkongsi masalahnya dengan orang lain
Sejak dari kecil beliau suka mengalah bila bermain atau bertengkar dengan ku. Aku sentiasa mengamalkan sikap dominasi terhadapnya. Kepatuhannya menyebabkan aku sering mengambil kesempatan untuk meringankan kerja-kerja ku. Yes..! kira-kira autokratik la tu..
Perkara itu aku sedari apabila aku mula tinggal jauh darinya iaitu apabila apabila aku memulakan kerjaya ketenteraan. Rasa terkilan pun ada. Tapi aku kira ia hanyalah satu rentetan pengalaman dalam hidupku.
Beliau sebenarnya adalah seorang yang pemalu dan low profile terutamanya terhadap kaum hawa. Ibu aku meninggal dunia ketika aku berusia satu tahun setengah dan adik aku berusia 54 hari.
Menurut sumber yang aku percayai ibuku meninggal disebabkan oleh demam panas. Pada usia semuda 54 hari apalah yang dia tahu. Tiada ratapan kehilangan seorang ibu atau sedih hiba kerana kasih sayang seorang ibu tidak kami perolehi. Hanya tangisan biasa seorang bayi yang kelaparan atau sebab-sebab lain yang juga dialami olah bayi yang lain.
Beliau dan aku sendiri dibela oleh kakak iparku yang menjaga dan membesarkan kami dengan penuh kasih sayang. Aku tidak pernah berpisah dengan adikku sehingga umurku 15 tahun. Itupun selama 2 tahun kerana aku bersekolah di Temerloh. Kemudian kami duduk serumah semula.
Apabila kami sama-sama meningkat dewasa, kami bertambah akrab dan saling berkongsi pendapat. Beliau lebih senang dengan diriku dan suka bergurau senda. Kami juga selalu bersama ke surau atau majlis-majlis kenduri di kampung.
Kami pernah bena rumah dari reban ayam yang terpakai yang boleh muat 4 orang sahaja. Cantik rumah itu. Tidak ada kos langsung untuk menyiapkan rumah tersebut. Cuma paku, kayu terbuang serta keinginan untuk melihat rumah tersebut di siapkan.
Paling best adalah bila rumah tersebut dah siap, kami raikan bersama teman-teman yang turut sama tertarik dengan reka bentuk rumah tersebut oleh erkitek muda lulusan University Of Sekendi (kampung kami la tu..). abang aku bernama Nizam yang 2 tahun lebih tua dari aku juga turut membantu serta memberi sokongan.
Satu perkara yang aku hairan pada adek aku itu ialah, dia cukup tidak suka perempuan mendampinginya. Di sekolah, pelajar-pelajar perempuan sering duduk di sebelah meja dan cuba mendapat perhatian darinya. Namun beliau akan memberi kata dua agar mereka tidak mengganggunya.
Jika dibandingkan dengan diriku, beliau lebih kacak dan disenangi oleh ramai pelajar perempuan (akupun disyaki kacak juga). Tapi beliau yang sememangnya pendiam suka bersendirian. Aku membuat kesimpulan mungkin faktor kehilangan ibunya menyebabkan beliau agak pasif terhadap wanita.
Aku tak kisahlah sebab beliau selesa dalam keadaan sedemikian. Satu peristiwa yang aku tak boleh lupa iaitu ketika aku berada di darjah 2 dan dia di darjah satu. Masa itu sekolah mengadakan acara sukan tahunan, dia telah kehilangan duit dan sangat kelaparan.
Beliau telah datang dalam keadaan teresak-esak meminta sedikit makanan dariku. Aku sendiri tak ada duit pada ketika itu. Aku telah meminjam 20 sen dari kawanku bernama Hisham dan aku belikan dia roti.
Kemudian aku dapatkan air percuma untuknya. Begitulah akrabnya kami berdua. Aku hanya dapat pulangkan duit 20 sen tersebut ketika umurku 18 tahun (10 tahun kemudian). Tapi Hisham halalkan sahaja.
Bila aku meninggalkan kampung halaman bagi mencorak masa depanku sebagai anggota tentera beliau juga telah melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia di Sintok. Tapi beliau terkandas.
Bukan beliau tidak boleh menghabiskan pelajaran, tetapi melalui aduannya terhadapku, beliau tidak boleh belajar bidang yang tidak sesuai dengannya. Beliau juga tertekan dengan harapan tinggi dan desakan dari salah seorang abangku agar dia terus cemerlang.
Abang aku itu memang cemerlang tetapi dia seharusnya faham dan memberi kebebasan kepada orang lain untuk menjana kecemerlangan mengikut acuan serta kemampuannya sendiri. Bila itu tidak berlaku, maka tinggilah risikonya.
Katanya padaku cemerlang tidak semestinya menjadi A Student. Tapi yang lebih penting ialah menguasai bidang tersebut secara menyeluruh dan boleh mengaplikasikan dalam dunia pekerjaan kelak.
Beliau memulakan kerjaya dalam syarikat kawan abangku dan menunjukkan prestasi yang tinggi. Pencapaian baik yang diperolehi memberi keuntungan yang tinggi pada syarikat. Beliau tidak ambil kisah tentang orang lain. Segala usahanya dibuat adalah untuk syarikat. Beliau juga sangat jimat dalam berbelanja.
Namun kerjaya beliau tidak disenangi oleh beberapa rakannya. Ada yang cuba menjatuhkan reputasinya. Namun rezeki datangnya dari Allah. Ada juga rakannya yang berkongsi kejayaan dengannya.
Satu hari aku terima panggilan talipon dari abangku (Nizam) yang memaklumkan bahawa beliau telah jatuh sakit dalam perjalanan ke Kedah dari Kuala Lumpur. Beliau telah singgah di Tapah dan terus muntah-muntah. Beliau pengsan di rumah kakakku (Radiah) di Tapah. Adik beradikku yang terdekat telah bergegas ke Hospital Tapah untuk melihat keadaannya.
Beliau menatap wajah kakak iparku yang membelanya sejak beliau kecil. Seperti ada sesuatu yang ingin dimaklumkan kepada kakak iparku. Namu tiada apapun terkeluar dari mulutnya. Tiba-tiba air matanya mengalir laju.
Keadaan beliau menjadi tandatanya. Aku lewat terima maklumat tersebut. Pada pagi jumaat iaitu 2 minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri aku terima panggilan dari abangku yang menceritakan keadaan adikku. Bila aku tahu dia ada di Tanjung Karang (di rumah kakak ku Safiah), aku segera ke sana.
Entah kenapa hatiku berat untuk pergi menziarahinya walaupun aku ada kuliah pada itu. Setibanya di rumah abang iparku terus aku memeluknya dan bertanya apa yang terjadi. Beliau hanya tersenyum tawar melihat ke arahku penuh makna.
Pandangannya seperti memintaku agar memahami penderitaan yang sedang dialaminya. Seperti ada sesuatu yang ingin disampaikan tapi tidak terluah dari mulutnya.
Aku memang rapat dengannya dan aku mudah memahami body language yang cuba ditunjukkan. Kami kemudian naik ke tingkat atas untuk berbual secara private. Dia seperti senang dengan pelawaanku dan kami sama-sama naik ke atas.
Dia yang kelihatan begitu cengkung dan tidak bermaya. Bila aku tanya kenapa lambat bagi tahu tentang sakitnya. Selamba beliau jawab nanti saya mati datanglah tengok. Aku tepuk bahunya di atas guraunya tadi. Sedikitpun aku tidak mengesyaki apa-apa.
Aku berbual panjang dengannya. Tapi dia tidak memberi maklum balas yang banyak. Aku cuba memahaminya. Mungkin beliau masih belum sembuh sepenuhnya. Entah kenapa terkeluar dari mulutku kalau ada perkara yang tidak baik pernah engkau buat segeralah bertaubat. Tapi kalau ada perkara baik yang diamalkan baik diteruskan.
Aku juga menasihatinya agar banyak berzikir mengingat Allah. Beliau seperti memahami nasihatku dan merenung tajam ke arahku. Aku masih tidak dapat merungkai apa masalah sebenar yang beliau alami.
Hari sudah petang. Aku terpaksa balik ke UKM semula sebab besok masih ada kuliah. Selepas bersalam aku peluk sebelah badannya. Memberi semangat serta mendoakan agar segera sembuh. Beliau seperti memaksa senyum untuk menjaga hatiku. Aku menghidupkan enjin kereta dan meninggalkan rumah kakakku itu. Harapan aku agar dia akan cepat sembuh.
Sepanjang seminggu keadaan berjalan seperti biasa. Sesekali aku talipon bertanya khabar adikku itu. Beliau tidak menunjukkan tanda-tanda keadaan bertambah teruk. Cuma kesihatannya masih belum stabil. Aku jangka beberapa hari lagi beliau akan sembuh seperti sediakala.
Selepas 6 hari aku melawatnya iaitu pada hari khamis beliau menunjukkan tanda-tanda yang agak menghairankan. Pada sebelah pagi beliau menggerakkan mesin jahit kakakku.
Apabila ditegur oleh kakakku, takut-takut jarumnya patah, beliau mencabut jarum tersebut dan menyerahkan pada kakakku dan terus menggerakkan mesin tersebut.
Perubahan mendadak dalam dirinya tidak disyaki apa-apa oleh kakak dan abang iparku.
Hari tu telah masuk malam jumaat terakhir pada Ramadhan tahun tersebut.
Pada sebelah malam selepas berbuka puasa, tiba-tiba beliau muntah dan badan beliau telah menjadi lemah. Lebih kurang jam 9 malam Abang iparku telah membawanya ke hospital. Tapi segalanya telah terlambat kerana beliau telah menghembuskan nafas terakhir di dalam kereta abang iparku.
Malam itu malam jumaat. Selepas solat isyak aku tertidur di rumah seorang diri. Lebih kurang jam 2350 malam aku dipanggil oleh jiranku yang juga merupakan mahasiswa UKM. Kata mereka ada panggilan talipon dari abangku (Nizam). Dalam keadaan mengantuk yang amat sangat aku ke rumah sebelah untuk menjawab panggilan tersebut.
Bila abangku memberi tahuku bahawa adikku Manzur telah meninggal dunia, jantungku berhenti untuk seketika. Aku sungguh tergamam. Aku Tanya lagi untuk mendapatkan pengesahan. Aku tidak berlengah lagi. Segera aku mandi dan bergerak ke rumah abangku, Dr Shakor Ahmad di Fasa 3 Bangi. Dari situ kami bergerak ke Shah Alam untuk ambil abang Nizam.
Lebih kurang jam 3 pagi kami bergerak ke Sabak Bernam bersama abang sager yang mengekori kami dengan keretanya. Jenazah masih berada di hospital Tanjung Karang.
Abang sulungku berusaha menggunakan saluran kenalannya agar jenazah adikku tidak di bedah siasat dan tidak akan mendakwa di atas apa-apa perkara.
Bila kami sampai di rumah abangku (Shakil Ahmad) di Sabak Bernam jam 0615 jenazah adikku telahpun sampai dengan selamat. Aku segera mengerjakan solat subuh dan membaca yassin untuk arwah. Beberapa kali aku menatap wajahnya. Sesungguhnya aku masih lagi terkejut dengan kejadian tersebut.
Ramai sanak saudara dan penduduk datang untuk menziarahi jenazah adikku. Wajah tenang yang tergambar pada wajahnya menampilkan kemuliaan jenazah. Apa lagi kematiannya di bulan Ramadan dan di hari jumaat.
Aku berusaha agar jenazah dikebumikan sebelum solat jumaat. Kain kapan dan peralatan masih belum sampai kerana ia dipegang oleh abang iparku.
Atas nasihatku, abang aku yang juga tuan rumah telah setuju membeli satu set lagi kain kapan dan peralatannya. Maka urusan terhadap jenazah telah dapat disegerakan. Syukur ke hadrat Allah kerana jenazah arwah adikku telah dikebumikan sebelum solat jumaat di sebelah kubur ibuku.
Suasana sedih masih lagi kami rasakan. Tanda soal masih bermain di fikiran kami. Petang itu aku balik semula ke rumah sewaku. Aku sungguh tertekan dengan apa yang terjadi siang tadi. Semuanya begitu pantas berlaku.
Kata-kata arwah adikku agar aku menziarahinya bila beliau meninggal menghantui fikiran ku. Aku benar-benar tertekan dan sedih. Malam itu selepas terawih aku tidur di rumah jiranku.
Aku doakan agar Allah mencucuri rohnya. Semoga beliau di tempatkan bersama orang-orang yang beriman dan mendapat keredhaanNya.
Melalui sumber yang aku terima adek aku telah disantau oleh rakannya di tempat kerja. Ia adalah soal cemburu di atas kecemerlangan adek aku itu. Namun kami tidak bercadang untuk mencari lelaki tersebut kerana balasan membunuh itu sangat pedih dan dia akan dapat balasannya di akhirat kelak
Satu peristiwa telah berlaku di rumah abang aku setelah kami pulang dari kubur iaitu apabila salah saorang saudara aku telah berselisih faham dengan aku. Namun pertelingkahan tersebut hanya seketika kerana salah faham.
Firman Allah di dalam al-Quran. Wahai orang yang beriman peliharalah hartamu dan anakmu dari api neraka, yang bahan bakarnya adalah dari manusia itu sendiri.
Semoga kita terus menjadi orang yag bersyukur dan takutkan Allah, kerana azab Allah pada orang-orang yang kufur amatlah pedih. Aku berharap agar sentiasa mendapat perlindungan illahi dari sebarang kemungkaran dunia dan akhirat.