BANDUAN AKHIR - 17
HIDUPNYA seakan-akan sudah ditakdirkan akan berakhir di dalam kurungan Penjara Taiping sehinggalah 2 Aidilfitri lalu apabila satu temu bual dalam akhbar New Straits Times menampakkan sedikit sinar pada penghujung terowong panjang penuh kegelapan. Sesudah menghabiskan 27 tahun di dalam penjara sejak 1976 garagara satu rompakan bersenjata di Baling, Kedah, setahun sebelumnya, apalah erti masa depan bagi Pak Rashid atau nama sebenarnya Salleh Talib.

Namun, dia tidak pernah berhenti berdoa mahupun mengharap. Barangkali itulah saja yang mampu dilakukannya pada ketika harga teramat mahal terpaksa dibayarnya bagi satu kesilapan - hayatnya sendiri. Bezanya, Pak Rashid tidak dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, sebaliknya penjara hingga ke akhir hayat yang menuntutnya menghembuskan nafas terakhir di dalam kurungan - berbanding dengan hukuman penjara seumur hidup (maksimum 20 tahun yang lazimnya dikurangkan kepada 14 tahun atas kelakuan baik).

Satu-satunya peluang untuk Pak Rashid mengecap kebebasan semula adalah melalui pengampunan kerana tiada peruntukan undang-undang untuk hukuman penjara sepanjang hayat dikurangkan sekalipun atas keinsafan atau kelakuan terpuji. Begitupun, 2 Aidilfitri lalu memungkinkan perubahan nasib buatnya apabila tersiar hajat Pak Rashid agar hari raya 2004 itu adalah yang terakhir untuknya selaku tahanan paling lama di Penjara Taiping.

Semakin hampir datangnya hari raya, semakin sedih saya rasakan, kata Pak Rashid dalam temu bual muka depan NST itu yang menyentuh perasaan ramai rakyat Malaysia yang turut sama mengharapkan dia akan dibebaskan kesudahannya.

Seiring dengan itu, pelbagai janji dibuat peguam dan ahli politik, termasuk Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Chia Kwang Chye, yang berikrar untuk memberikan bantuan agar permohonan Pak Rashid untuk mendapatkan pengampunan dapat disegerakan. Majlis Peguam turut tidak ketinggalan mendesak agar hukumannya dapat dipendekkan sambil Pengerusi DAP, Karpal Singh, menyarankan supaya hukuman penjara sepanjang hayat digantikan dengan penjara seumur hidup dengan maksimum 20 tahun tanpa pengurangan.

Di sebalik semua itu, Pak Rashid masih menghabiskan Aidilfitri berikutnya di dalam kurungan, hanya untuk dilawati bapanya yang lumpuh, Talib Arabullah, 78, tanpa ditemani isteri, Ramlah Ibrahim, yang meninggal dunia beberapa bulan sebelumnya. Barangkali kepada sebahagian anggota masyarakat, Pak Rashid tidak pun berbeza dengan banduan lain yang menjalani hukuman penjara - buat seketika atau selama-lamanya - atas pelbagai kesalahan berbeza.

Harus juga pelbagai sebab dan desakan yang mendorong mereka melakukan kesalahan jenayah yang berkisar antara pilihan singkat untuk beroleh habuan, digelapkan mata oleh kemewahan tanpa banyak usaha dan kesempitan hidup sebagai alasan mudah tenggelam punca. Bagi Pak Rashid pula, hidup penuh kegelapannya adalah gara-gara cubaan merompak wang gaji Felda di Baling yang menerbitkan penyesalan dalam dirinya untuk tempoh 30 tahun berikutnya.

Saya seorang yang panas baran, tiada pekerjaan dan miskin dan saya memilih untuk mengambil jalan mudah, katanya dalam temu bual pada 2004 itu.

Tetapi tolonglah beri saya peluang kerana saya tiada niat untuk melakukan jenayah lagi.

Setahun sesudah rayuan terbukanya itu, menjelang Aidilfitri tahun lalu, pengampunan yang diharap-harapkannya belum berjawab. Mungkin juga sesudah menghabiskan 28 tahun dalam kurungan, setahun atau dua lagi tidak memberikannya banyak perbezaan. Cuma, Pak Rashid tidak pernah berputus asa.

Selama 28 tahun dipenjarakan dan sejumlah lapan rayuan pengampunan kemudian bermakna dia sudah menghabiskan hidupnya lebih lama di dalam kurungan berbanding 27 tahun sebelumnya ketika kartu banduannya menyerlahkan gambar seorang anak muda sasa. Bukanlah juga menghairankan, dalam salah satu temu bual, Pak Rashid mengakui pernah terlintas di fikirannya untuk menamatkan sendiri hayatnya disebabkan kekecewaan dan putus harapan, apatah lagi lambat-laun itulah penghujung buatnya.

Tetapi, seperti diakuinya, dorongan agama menghindarkannya daripada meneruskan niat berkenaan dan keyakinan yang samalah yang menonjolkannya selaku tahanan terpuji dengan memimpin solat dan bacaan al-Quran di kalangan tahanan seagama selain mengimamkan solat tarawih sepanjang Ramadan.

Saya sudah insaf dan berilah peluang untuk saya kembali kepada masyarakat. Memang saya sedih tetapi apalah daya saya melainkan berdoa kepada Tuhan dan merayu pengampunan sekali lagi tahun depan, katanya dalam satu lagi temu bual setahun lalu.

Saya hanya berharap dapat meluangkan masa untuk menjaga bapa yang lumpuh dalam saki-baki hidupnya. Selama 30 tahun di sini sudah mengajar saya banyak perkara.

Kini, Pak Rashid tidak perlu merayu lagi dan Aidilfitri yang bakal menyusul kira-kira dua minggu lagi harus amat istimewa buatnya setelah dibebaskan dari Penjara Taiping - tempatnya bermastautin selama 30 tahun, 11 bulan dan sembilan hari. Selasa lalu menamatkan penantian panjang buatnya sesudah sembilan rayuan pengampunan dikemukakan sebagai petanda tahanan sepertinya - seorang yang ditakrifkan amat berbahaya sebelumnya - tidak dilupakan begitu saja. Ini dengan sendirinya menolak tanggapan bahawa bekas banduan sepertinya tiada tempat dalam masyarakat, didasarkan kepada simpati ramai dan kesediaan segelintir untuk membantunya memulakan hidup baru.

Barangkali sudah nasibnya untuk merengkok di dalam penjara sekian lama untuk menikmati semula kebebasan pada usia selewat 57 tahun pada ketika ada sebilangan lain terlepas daripada hukuman tanpa perlu membayar harga suatu kesilapan. Seharusnya juga ia mengukuhkan keyakinan bahawa sesiapa saja berhak diberikan peluang kedua asalkan ada keinsafan serta kesungguhan untuk memperbetulkan atau menebus kesilapan yang dulunya suatu keterpaksaan.

Peluang Kedua Buat Sesiapa Saja 08/10/2006