SIDANG SERANGGA - 17
SETELAH LLB H mati kena racun serangga yang disemburkan kepadanya oleh seorang pelacur maka LLB G pun mencari jalan dan ikhtiar bagaimana dia boleh berundur dari tingkap bilik hotel kecil di lereng Genting Highland itu.

Hanya beberapa hari saja lepas kejadian yang masih sangat menyedihkannya maka datanglah sepasang muda-mudi Melayu menyewa bilik itu. Pemuda itu anak seorang pekebun kecil di Kampung Janda Baik dan temannya berasal dari Kampung Karak, pekan kecil di tengah jalan hala ke Temerloh.

Daripada percakapan mereka berdua yang mesra dan gembira itu LLB G dapat mengetahui bahawa pemuda yang kacak itu baru dapat banyak duit daripada sekeping tanah seluas tiga ekar yang telah dijualnya kepada seorang tokoh politik di Kuala Lumpur dengan harga $40,000.00 satu ekar, iaitu tanah pusaka dari ayahnya yang telah lama meninggal dunia. Daripada jumlah sepuluh ribu ringgit itu pemuda yang kacak dari Kampung Janda Baik yang akan dijadikan sebuah lagi Wilayah Persekutuan, telah membeli sebuah motokar Honda Civic untuk berulang-alik ke Genting Highland; bukan untuk berjudi tetapi hanya untuk bersukaria dengan teman wanitanya yang hitam manis, bertubuh tinggi lampai.

Pada suatu petang LLB G telah dapat menyelitkan dirinya di dalam kereta kecil comel itu yang membawanya ke Kampung Janda Baik dan dari situ ia telah dapat lari ke sebuah bukit di mana ia telah bersua, dengan seekor labah-labah gajah, Yakni sejenis labah-labah yang besar yang merentang jaringnya di pintu sebuah gua di lereng bukit itu.

Mula-mulanya LLB G sangat gerun melihat labahlabah yang besar dan bengis rupanya itu, tetapi tak lama kemudian ia pun disambut dan diberi tempat di sudut pintu gua itu.

Awak dengan saya adalah satu bangsa, keturunan daripada al-Ankabut, dan kerana itu janganlah takut kepada saya. Mengikut kajian-kajian seorang Jepun, kaum bangsa kita ada 3800 jenis dan kami yang tinggal di sekitar Kampung Janda Baik ini ialah jenis yang terbesar. Tetapi kami pun akan terpaksa pindah dari sini kerana tempat ini akan dimajukan sebagai Wilayah Persekutuan. Demikian labah-labah besar itu meramalkan.

Gua-gua macam ini ada banyakkah dalam wilayah yang dinamakan Janda Baik ini Apakah asalnya nama Janda Baik Bolehkah saya mengirim satu perutusan ke Kuala Lumpur untuk memberitahu rakan-rakan saya di sana tanya LLB G

Kalau nak diceritakan semuanya asal usul kampung yang terpencil ini amatlah panjang. Oleh sebab itu tak usahlah saya ceritakan. Gua-gua seperti tempat saya ini ada banyak dan semuanya berisi dengan baja tahi kelawar yang digunakan oleh orang-orang Cina yang bertanam halia dan sayur-sayuran di wilayah ini. Nun jauh di lembah sana ada beberapa buah kolam untuk menternak ikan-ikan air tawar seperti jelawat, lampam jawa dan lain-lain. Tidak berapa lama lagi, apabila kawasan ini dijadikan satu Wilayah Persekutuan maka bukit-bukit di sini mungkin akan diratakan kerana satu lebuh raya yang menyambungkannya dengan daerah Hulu Kelang akan dibina.

Saya dengar cerita dan dapat tahu daripada berbagai-bagai sumber, istimewa selama saya tinggal di Genting Highland, semenjak tiga empat bulan yang lalu, iaitu ramai orang-orang Melayu di Kampung Janda Baik ini telah menjualkan tanahtanahnya. Kenapa jadi begitu.

Awak hantarlah dulu perutusan yang nak disampaikan kepada rakan-rakan awak di Kuala Lumpur itu, kemudian bolehlah saya jawab panjang lebar pertanyaan awak itu sampaikan salam dan hormat takzim saya Prof. Dr. Mentadak Mentadu, kepada Lipas Putih dan rakan-rakan awak yang lain. kata labah-labah gajah itu.

Tuan tahukah apa yang kami telah buat semenjak satu tahun yang lalu tanya lagi LLB G dengan kehairanan.

Lebih kurang saya tahulah, sebab kita kaum serangga, burung-burung, keluang dan kelawar dan juga lain-lain haiwan, yang besar dan kecil, dikurniakan oleh Tuhan Yang Maha Kuasa dengan alat-alat perhubungan atau komunikasi antara satu dengan yang lain yang masih bersih, yakni belum cemar, seperti alat-alat sebaran am yang diciptakan oleh manusia, yang dinamakan media elektronik, seperti televisyen, video dan lain-lain yang merosakkan kehidupan manusia yang asalnya amat suci murni. Itulah satu daripada beberapa sebabnya yang telah mendorong orang-orang Kampung Janda Baik itu menjualkan tanah-tanah padi, kebun-kebun getah dan dusun-dusun mereka, labah-labah gajah menerangkan.

Sejurus kemudian LLB G telah dapat menghubungi ketuanya dan rakan-rakannya yang berpusat di taman kecil di sekitar Restoran Rakyat dekat Dewan Bandaraya, Bank Negara, Masjid Jamek dan Bangunan Mahkamah Tinggi itu.

Memang saya dikehendaki datang ke Kampung Janda Baik ini untuk membuat kajian-kajian daripada hal sosioekonomi para penduduknya, tetapi rakan-rakan saya di Kuala Lumpur tidak dapat menghubungi saya sebab cuaca kurang baik. LLB G menyatakan dengan gembira kepada labahlabah gajah yang tersenyum-senyum.

Itulah saksi dan buktinya bahawa sesungguhnya ada Tuhan Yang Maha Kuasa, tetapi lebih baiklah awak berehat dulu. Jangan susahkan apa-apa, makanan ada banyak di sini, musuh-musuh kita tidak ada tetapi kiranya mustahak sangat awak hendak dengar cerita asal usul orang-orang Melayu di sini maka saya bolehlah ceritakan serba sedikit.

Ceritakanlah, tuan, ceritakanlah LLB G mendesak. Saya hendak rakamkan kisah-kisah itu untuk dibawa balik kuala Lumpur, tambahnya.

Maka labah-labah gajah itu pun berceritalah:

Lebih kurang 70 tahun yang lampau, mengikut kata seorang tua di Kampung Janda Baik ini, Muhamad Lazim bin Abas namanya, ada satu syarikat lombong kepunyaan orang-orang Barat (Inggeris) telah mengorek dan menggali tanah-tanah kampung Melayu di Ketari, dekat Bandar Bentong dan Kampung Bunus. Syarikat itu telah menggunakan kapal-kapal korek yang besar untuk mengaut bijih timah yang banyak ada di situ. Akibat usaha-usaha mencari bijih itu maka beberapa orang penduduk Kampung Ketari dan Kampung Bunus telah terpaksa mencari sebuah kawasan yang lain untuk berkampung halaman, menanam padi, pokokpokok buah buahan serta memelihara binatangbinatang seperti kerbau, lembu, kambing dan ayam itik dan juga membuka kebun-kebun getah.

Dengan menggunakan beberapa buah perahu besar mereka itu telah mudik ke hulu Sungai Bunus. Pada masa iu air Sungai Bunus masih daam dan banyak ikan, berbagai-bagai jenis ikan, besar dan kecil dalam sungai iu. Maka aman dan mewahlah semula hidup mereka itu dan biaklah keluarga-keluarga mereka itu. Sebaliknya, kampung-kampung lama mereka itu di Ketari dan di Bunus, sebelah kiri hala ke Pekan Karak, sampai sekarang pun punah-ranah, menjadi kawasan berpasir dan berair yang tidak boleh ditanam dengan benda-benda makanan.

Pada masa yang lampau, sebelum adanya lebuh raya Kuala Lumpur-Karak, jalan raya hala ke Pantai Timur Semenanjung, melalui bandar Bentong, Raub dan Jerantut, melalui jalan masuk ke Kampung Janda Baik. Di situ dulu ada kedai-kedai kopi, kedai makanan dan warung-warung berjual buah-buahan. Sekarang pondok-pondok buah-buahan itu sudah beralih ke sebelah sana terowong, lebih dekat ke Kuala Lumpur. Kereta-kereta dan bas-bas tidaklah sebanyak yang ada sekarang. Hidup di Kampung Janda Baik pada masa itu sangat aman dan mewah. Tetapi daam masa darurat dulu ramai orang-orang Cina yang telah dipindahkan ke kawasan di luar Kampung Janda Baik itu hinggalah berkekalan sampai sekarang.

Dengan terbukanya pula Genting Highland maka golongan muda dari Kampung Janda Baik itu mulalah gelisah. Ramai mereka itu telah berhijrah ke Kuala Lumpur mencari pekerjaan dan keseronokan hidup cara moden.

Semenjak lima enam tahun yang lampau beberapa keping tanah kepunyaan Melayu kampung ini telah dijual kepada orang-orang Melayu yang kaya-raya di Kuala Lumpur, iaitu seperti pegawai-pegawai bank, pegawai-pegawai tinggi kerajaan. Orang-orang Melayu sendirilah yang menjadi broker menjualkan tanah-tanah di sini, termasuk seorang pemuda yang bernama Robert Homini. Apa yang akan berlaku kepada orang-orang Melayu kampung ini hanyalah Tuhan sahaja yang mengetahui. Khabarnya jikalau terdesak sangat maka mereka itu akan berpindah pula ke suatu kawasan yang bernama Sungai Kenaboi.

Tetapi, tuan, mengapakah kampung ini dinamakan Kampung Janda Baik tanya LLB G.

Ahh, itu adalah satu cerita Iain yang ramai belum mengetahuinya dan oleh kerana itu eloklah juga saya ceritakan kepada awak untuk dirakamkan. Tetapi benar atau tidak cerita asal nama Janda Baik itu saya tidaklah dapat menunjukkan bukti-buktinya. Kisahnya lebih kurang begini:

Lama sebelum orang-orang Melayu dari Kampung Ketari dan Kampung Bunus berpindah ke sini maka kawasan hutan rimba di sini telah didiami oleh kaum-kaum orang asli. Kisah ini yang sebenarnya sangat elok diketahui oleh para penduduk Malaysia sekarang, khasnya oleh kaum bumiputera yang beragama Islam.

Kononnya, seorang Tuk Batin daripada satu suku Kaum Asli di sini telah terpikat kepada seorang anak dara dari suku Iain yang mendiami kawasan Hulu Kenaboi. Oleh sebab gila dan berahinya Tuk Batin itu kepada anak dara jelita di Hulu Kenaboi itu maka dia telah menceraikan isterinya dan berkahwin dengan gadis yang sangat memberahikannya itu. Menurut cerita selanjutnya Tuk Batin itu sangat kaya, ada menyimpan banyak emas dan berbagaibagai alat senjata purba.

Tetapi akhirnya Tuk Batin itu telah jatuh papa kedana kerana mengikutkan segala kehendak isterinya yang sungguh cantik itu. Dan apabila harta kekayaannya sudah habis dan usianya pun sudah tua maka isterinya itu telah lari meninggalkannya mengikut seorang pemuda lari ke bandar Jelebu, Negeri Sembilan. Maka baliklah semula Tuk Batin itu ke Kampung Janda Baik di mana didapatinya jandanya ada menunggu akan dia dan bersedia menerimanya semula sebagai suaminya, hidup semula serumah dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh jandanya itu. Maka itulah sebabnya nama kampung ini dinamakan Janda Baik. Betul atau tidak cerita itu tak usahlah kita pertikaikan sebab nama itu - Janda Baik - berkekalan hingga sekarang.