FIZIK-LAH! - 17
Ramai orang salah faham dengan konsep sejuk. Kalau ada penghawa dingin, ramai yang faham peralatan itu memberikan angin sejuk kepada manusia. Kalau peti sejuk, ramai yang faham peti sejuk itu memberikan hawa sejuk pada makanan. Okey, sebelum kita memahami konsep sejuk, eloklah kita faham terlebih dahulu dengan hukum termodinamik kedua.

Hukum ini menyatakan entropi sentiasa bertambah selari dengan masa. Okey, apa itu entropi

Entropi bermaksud kadar ketidak seimbangan atau kadar kecelaruan. Secara umumnya, hukum ini menggambarkan alam ini akan terus berada dalam kekacauan (chaos), rawak (randomness) dan ketidak seimbangan (disorder) selari dengan peredaran masa.

Hukum inilah yang membuatkan alam berada dalam keadaan yang tidak simetri sejak bermula penciptaannya. Antara contoh yang kita boleh lihat berkenaan hukum termodinamik kedua ini adalah bangunan yang semakin rapuh apabila semakin lanjut usianya, tubuh kita yang semakin uzur apabila semakin lanjut usia dan makanan yang semakin basi apabila dibiarkan lama. Susunan yang semakin tidak teratur dan rosak lebih mudah berlaku daripada susunan teratur dan semakin baik.

Proses kerosakan ini tidak memerlukan tenaga fizikal untuk berlaku. Bangunan tidak memerlukan tenaga fizikal untuk menjadi rapuh, tetapi memerlukan tenaga fizikal untuk membaiki kerosakan. Tubuh badan kita tidak memerlukan tenaga fizikal untuk uzur, tetapi perlu jaga macam-macam untuk memeliharanya. Bilik tidak memerlukan tenaga fizikal untuk bersepah, tetapi memerlukan tenaga fizikal untuk mengemas.

Bangunan tidak akan menjadi lebih kukuh apabila dibiarkan. Manusia pun tidak akan menjadi lebih sihat apabila dibiarkan. Ia tidak akan berpatah balik melainkan tenaga fizikal digunakan.

Hukum termodinamik kedua ini begitu agung sehingga dibincangkan ke peringkat falsafah fizik. Hukum termodinamik ini bersangkut paut dengan kewujudan konsep masa mempunyai arah.

Baiklah, kita kembali ke konsep sejuk. Tenaga haba akan mengalir ke kawasan yang bersuhu rendah. Ini menjadikan mengapa secara semula jadinya, ais apabila dibiarkan akan menjadi air. Tetapi air tidak mampu menjadi ais apabila dibiarkan. Tenaga haba tidak akan berpatah balik pengalirannya.

Macam konsep bangunan dan tubuh tadi, air memerlukan tenaga fizikal untuk menjadi ais. Tenaga itu adalah peti sejuk. Konsep peti sejuk dan penghawa dingin adalah songsangkan (reversing) proses semula jadi. Maksudnya, nak songsangkan proses pengaliran haba.

Apabila air dimasukkan ke dalam peti sejuk, peti sejuk akan menarik tenaga haba daripada air sehingga air membeku menjadi ais. Tenaga haba itu tadi akan dipindahkan ke luar peti sejuk. Sebab itu apabila kita pegang bahagian sisi ataupun belakang peti sejuk, ia berasa panas. Kawasan sekeliling peti sejuk pun akan berasa panas.

Konsep penghawa dingin pun begitu juga. Penghawa dingin menarik keluar tenaga haba dalam bilik. Jadi, konsep sejuk bermaksud ketiadaan haba. Sejuk itu sendiri wujud kerana ketiadaan haba. Sejuk tidak mewujudkan kesejukan. Tiada angin yang menghasilkan kesejukan dalam peti sejuk ataupun dalam bilik berpenghawa dingin. Ia cuma menarik tenaga haba keluar. Angin yang dihasilkan oleh penghawa dingin sama seperti fungsi kipas. Ia tidak mempunyai tenaga sejuk.

Selain penghawa dingin, kita gunakan kipas untuk sejukkan tubuh badan kita. Kipas ini sebenarnya membawa proses perolakan (convection) yang kita bincangkan sebelum ini. Badan kita rasa sejuk kerana kipas menghasilkan angin yang mengalihkan tenaga haba pergi daripada badan kita. Penghawa dingin lebih sejuk daripada kipas kerana penghawa dingin bukan saja mengalihkan tenaga haba, malah menarik tenaga haba itu keluar daripada bilik.

Tambahan lagi, tiada mesin yang mempunyai 100% efisyen. Jadi, peti sejuk atau penghawa dingin tidak memanfaatkan tenaga mereka 100%. Tenaga yang tidak dimanfaatkan itu akan menjadi tenaga haba yang dihasilkan oleh mesin.