Kenapa ni Nira Tanya Pak Maidin yang hairan melihat wajahnya yang gelisah sakan.
Err..tak ada apa-apa Pak Maidin. O..orang kat meja nombor empat tu tak nak sirap, dia..dia nak air nescafe suam. Ujarnya tergagap-gagap memberitahu.
Oh nak nescafe suam. Kejap Pak Maidin siapkan. Ujar lelaki itu tanpa mengesyaki apa-apa. Selang beberapa minit kemudian, minuman itu sudah berada di hadapan kaunter. Mahu tak mahu sekali lagi dia terpaksa menghantar minuman itu ke meja yang sama.
Dia cuba bertenang. Nafasnya ditarik perlahan. Biar siapa pun lelaki-lelaki itu, dia tidak boleh membiarkan dirinya berada dalam ketakutan seperti sekarang. Silap-silap haribulan lelaki-lelaki itu mungkin akan mengesyaki sesuatu.
Ini airnya encik. Ujarnya lalu meletakkan gelas nescafe itu di hadapan lelaki berambut kerinting itu. Lelaki itu tersengih memandangnya.
Terima kasih adik comel. Ujar lelaki itu sambil tersenyum. Dia terdiam. Entah kenapa, ketawa kedua-dua lelaki itu menyengat perasaannya. Dia amat pasti kedua-dua lelaki itu bukan orang yang baik.
Hah, itupun dia dah sampai. Lelaki bercermin mata yang duduk di hadapan lelaki berambut kerinting itu tiba-tiba mencelah. Dia turut sama menoleh. Seorang lelaki berjaket hitam gelap sedang menuju ke arah mereka.
Melihat lelaki itu, wajahnya serta-merta berubah. Dia hampir pitam. YA ALLAH! Wajah ayahnya segera terhimbau dalam ingatan. Kejadian yang berlaku hampir setahun yang lalu kini menghambat rasa cemasnya. Pandangannya tiba-tiba gelap. Melihat lelaki itu selamba sahaja melewatinya tanpa memandangnya, dia hanya mampu memejamkan matanya. Nafasnya terlontar resah. Pasrah!
Malam itu dia sukar mahu melelapkan mata. Fikirannya asyik melayang teringatkan lelaki bertatoo yang ditemuinya di warung Pak Maidin petang tadi. Sukar dia mahu percaya yang dia akan bertemu lelaki itu semula. Lelaki yang penuh tanda tanya. Lelaki yang sering membuatkan tidur malamnya terganggu. Kematian ayahnya apakah benar-benar berkait dengan lelaki itu Salah apakah yang dilakukan ayahnya sehingga dibunuh dengan kejam
Ayahnya seorang bapa dan suami yang baik. Lelaki itu tidak pernah melakukan kesilapan ataupun mencari musuh dengan sesiapa pun. Semua pelajar-pelajar ayahnya menyayangi lelaki itu. Dia apatah lagi. Tanpa dipinta, sekali lagi airmatanya mengalir laju menuruni cerun pipi.
Kak, kenapa kakak nangis Naufal tiba-tiba muncul di muka pintu. Menyedari kemunculan adiknya, dia cepat-cepat menyeka airmata yang semakin lebat bertamu.
Kenapa belum tidur lagi Hari dah lewat ni, esok Naufal sekolah.
Naufal dahaga kak. Naufal terasa nak minum. Ujar anak itu.
Dia terdiam. Matanya dilarikan ke arah jam di dinding biliknya yang sudah menjengah pukul 11.30 malam.
Tak apalah, Naufal masuk bilik dulu. Nanti kakak bawakan air. Ujarnya lalu bingkas bangun dari katilnya.
Dia perlahan-lahan menuruni anak tangga lalu menuju ke tingkat bawah. Kakinya dihela ke suatu arah. Namun sewaktu dia mahu menuju ke arah dapur, telinganya tiba-tiba mendengar suara orang sedang berbual-bual di ruang tamu. Langkahnya terhenti seketika. Entah kenapa, suara yang sedang bercakap-cakap itu membuatkan dia berminat mahu mencuri dengar.
Diam-diam dia mengintai dari sebalik sudut. Di situ dia menemukan kelibat pakcik dan makciknya sedang berbual-bual di ruang tamu. Suara gelak ketawa pakciknya jelas kedengaran.
Berjaya juga kita dapat apa yang kita hajatkan Leha. Gelak Kamal. Musliha turut sama tertawa.
Yalah bang, nasib baik otak abang tu bergeliga. Kalau tak saya tak terfikir kita boleh dapat semua harta-harta Adnan dengan Zahlia tu. Sampuk Musliha pula.
Dia yang bersembunyi di belakang pintu tercengang jadinya. Kata-kata makciknya Musliha membuatkan dia diterpa perasaan hairan. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan wanita itu
Sekarang, undang-undang pun tak boleh sentuh kita. Kita dah dapat rumah ni, termasuk duit-duit Adnan dan semua tanah-tanah mereka. Semuanya dalam genggaman kita Leha. Ujar Kamal.
Tapi sah ke tandatangan si Zahlia tu dalam keadaan dia yang gila tu
Kamal ketawa besar. Bodohlah kamu ni Leha, abang reti la nak buat macamana supaya tandatangan ni jadi sah. Orang akan sangka Zahlia tandatangan semua surat-surat tu sebelum dia jadi gila.
Sekali lagi dia tersentak mendengar kata-kata Pak Longnya. Peluh dingin mula memercik di dahinya. Meskipun dia masih muda, namun dia bukannya bodoh. Dia bagaikan dapat menghidu lelaki itu sedang merencanakan sesuatu untuk menganiayai ibunya. Menganiayai mereka semua!
Tanpa berfikir panjang, dia keluar dari tempat persembunyian dengan niat mahu bersemuka dengan pasangan suami isteri itu.
bersambung
Bab akan datang :
Adakah Danira akan berdepan dengan Kamal dan Musliha untuk bertanyakan tentang perbualan mereka itu