Jangan harap, Razali.
Aku sudah menolak kemungkinan kami akan diselamatkan. Cuma aku kecewa kerana aku tidak dijamah maut sepertimana mereka yang lain. Tidak, aku tak patut menanamkan fikiran begitu.Setiap yang terjadi ada hikmahnya. Aku beroleh kembali tenagaku tanpa sebab-musabab yang jelas. Udara di dalam gua ini begitu segar dan punya aroma yang aneh. Ia terapeutik tenang mengelus jiwa dan degup jantung sekata dibuatnya. Aku dapat lihat bagaimana mayat-mayat rakanku kembali pulih dari cedera. Ia sesuatu yang sukar diterima akal. Ketika inilah aku teringat akan hujah Luke mengenai akidah yang harus didakap seorang angkasawan yang mahu menjelajahi angkasa nan luas.
Kita harus ada satu akidah. Satu komuniti angkasa tidak boleh punya lebih dari kepelbagaian akidah kerana ia akan buatkan kita musnah. Dan akidahnya, adalah, tiada Tuhan di angkasa ini. Tiada ruang untuk agama!
Ketika itu aku berdiam diri sahaja. Selaku seorang Muslim yang minoriti di dalam komuniti angkasa ini, seeloknya aku cuba meminimumkan penampakan aku selaku Islam kerana tak mahu masyarakat yang punya kepelbagaian kepercayaan di sini menolak kehadiranku.
Bayangkan situasi berikut:
Kita berdepan dengan makhluk asing yang punya teknologi dan kebijaksanaan yang menyerupai kebolehan Tuhan yang kita ketahui dari kitab-kitab silam. Kepercayaan kita akan dimanipulasi mereka dengan mudah. Agama akan menjadi alat utama untuk mereka memperalatkan kita. Maka kita harus menolak agama dari prinsip kehidupan kita di angkasa ini. Kita adalah peneroka yang tidak ada batasan. Kita akan melangkaui apa yang Tuhan telah tetapkan pada kita. Kita akan lari dari kiamat, oh, lupa, kiamat tak wujud
Berseloroh benar bunyi Luke menutur hinaan demi hinaan ke atas agama-agama yang tidak digemarinya. Aku hanya tersengih. Bukan kerana aku terhibur atau menyampah, tetapi aku sedar ini adalah perspektif seorang yang anti agama dan menjiwai sains selaku pegangan hidupnya.
Jika aku ketemui makhluk asing sebegitu, adakah akidah aku akan berubah Melihat kepada makhluk parasitik Marikh yang kini menjajah jasad-jasad setiap ahli pasukanku ini tidak meletakkan makhluk sebegitu di tempat Tuhan. Mereka tetap makhluk. Andaian Luke tak benar.
Namun begitu, sekiranya benarlah terdapat makhluk asing yang dapat mengadakan simulasi syurga dan neraka seperti yang terdapat dalam penceritaan agamawan, adakah akidahku akan goyah Memikirkannya sahaja sudah cukup menggerunkan.
Mataku melilau lagi mencari sebarang jalan untuk keluar dari kawasan gua ini. Aku bangkit tanpa mengendahkan penjajahan makhluk parasitik itu ke atas mayat-mayat rakanrakanku itu. Ketika itulah keempat-empat mereka bangkit jua seolah mahu menghalangku. Renungan mata mereka, walaupun tiada sinar sukma terpancar dari bebola mata mereka, cukup untuk membuatkan hatiku gentar. Mereka sudah mati, tetapi entah mengapa, dari mata yang mati itu terpancar kegilaan. Mungkin kegilaan itu milik makhluk parasitik itu, tetapi aku tak ada cara untuk membuktikannya.
Seeloknya kau duduk diam di situ, Razali. Kami sedang menganalisa fizikal rakan-rakan kau. Kami akan bantu kau balik ke komuniti kau. Kau akan jadi penghubung kami kepada komuniti kau. Kau patut berbangga jadi pengantara yang bersejarah ini ujar Luke. Ah, nadanya aneh sekali.
Aku tak nak dijajah makhluk lain. Aku ada perasaan dan maruah. Aku takkan biarkan jasadku ditakluk kamu semua!
Anggaplah ini selaku asimilasi mulia, Razali! Kami akan jadikan tubuh kau sesuai untuk melangkah di permukaan Marikh tanpa perlu alatan-alatan khas kamu yang kuno itu. Kau akan jadi manusia hebat! Kau akan jadi sebahagian dari kami!
Aku menyedari sejak beberapa ketika aku berada di dalam ruang ini, terdapat banyak lagi perubahan yang telah terjadi kepada ruang ini. Lumut mula kelihatan membiak di beberapa bahagian dinding gua. Lantainya pula mula lembab. Selaku seorang saintis, aku ralat kerana aku tidak membawa peralatan yang secukupnya untuk melakukan kajian. Ah, peralatan kami semua telah musnah dek kerana ribut. Aku berharap makhluk parasitik itu turut membawa peralatan kami ke dalam ruang gua ini, tetapi aku tak nampak tanda-tanda ia ada kelihatan di mana-mana.
Secara taakulan, aku menelaah pilihan makhluk parasitik ini hanyalah berlegar pada sifat biologikal yang jasad kami bawa. Oleh kerana itulah, kami diheret masuk ke dalam gua yang kemas tutupnya ini, dengan membiarkan alatan kami di luar kawasan.
Harapan sebenarnya masih ada. Sekiranya perkakas kami dan juga kenderaan kami masih berada di luar gua, ia bermakna proses pengesanan koordinat terakhir kami masih dapat dilakukan. Aku membayangkan beberapa pasukan penyelamat sedang dihantar ke arah tempat kami ditimpa bencana dan sedang menjalankan penyiasatan. Namun mereka barangkali hanya mampu untuk mendapatkan kembali kenderaan itu. Nasib kami pula mungkin tidak sebaik mana. Kami dikurung di dalam gua yang tertutup kemas tanpa ada sebarang bukaan untukku melarikan diri.
Hati mendesak diri agar berbuat sesuatu. Ia mungkin sejenis mekanisme perlindungan diri yang mahu memastikan aku bebas dari cengkaman makhluk asing parasitik ini. Setelah dirasakan tenaga pulih sepenuhnya, aku kepal penumbuk seeratnya. Lalu aku meluru ke arah Luke dan mengacukan penumbuk ke arahnya. Tindakanku itu tidak dapat dijangka mereka dan dalam masa seimbas, Luke tersungkur di atas lantai. Aku tampak keberkesanannya. Luke menggelupur di atas tanah untuk beberapa detik dan segera mengalami pemulihan semula pada wajahnya yang telah ditumbuk aku itu. Tanpa menunggu lama, aku merempuh Simon pula. Aku tolak tubuhnya ke dinding sebelum memberikan 3 das penumbuk tepat ke perutnya. Simon tersungkur juga sudahnya.
Kedengaran suara Sumiryati menjerit, tetapi bunyinya aneh sekali. Barangkali dia cuba untuk menentangku tetapi makhluk parasitik yang mengawal tubuhnya tiada kemampuan untuk menjanakan tenaga tersebut. Dengan pantas, aku meluru ke arahnya, lalu menunjal kepalanya ke dinding. Aku harus melupakan perihal erti belas kasihan. Aku bukan lagi berdepan dengan manusia. Mereka ini merupakan musuh yang berbahaya kepada komuniti manusia itu sendiri. Entah apalah yang akan mereka lakukan apabila mereka berjaya menyusup masuk ke dalam komuniti manusia di Marikh ini nanti. Tak berani aku membayangkannya.
Sebelum sempat aku berpaling, Robert merempuhku dari belakang. Aku didakapnya sekuat hati sehinggakan aku rasa tulang-temulangku akan patah.
Aku tidak peduli akan kesakitan yang menyinggah itu. Namun apa yang aku takuti kini adalah Robert mengangakan mulutnya seluas mungkin. Bau busuk nafasnya yang aku jangka sudah mula mereput menusuk lubang hidung. Loya tekakku dibuatnya. Ia tidak berakhir di situ. Aku tampak sembulan suatu objek yang menyerupai bonjolan kelabu yang berlekit dengan darah terbit dari anak tekaknya.
Makhluk parasitik itu mahu menyerangku secara terus. Ataupun jika dilandaskan pada apa yang aku fahami adalah makhluk itu mahu menjajah tubuh ini. Situasi getir belum berakhir di sini. Tatkala aku bergelut mahu menutup mulut Robert dari terus ternganga begitu, aku dapat rasa keduadua belah kakiku telah dibelit oleh sesuatu. Apabila aku berpaling, aku dapati makhluk-makhluk parasitik itu telah menjalar hingga ke paras pinggangku. Aku berasa geli dan gerun pada masa yang sama. Aku berusaha sedaya upaya untuk meleraikan belitan mereka, tetapi nyata kekuatan mereka itu jauh mengatasi kudratku selaku manusia ini. Dalam masa sedetik cuma, mereka telah berjaya menyekat gerakku. Kini keempat-empat makhluk berupa ular parasitik itu sedang membelit tubuhku seeratnya tanpa sebarang ruangpun untukku bergelut melawan mereka.
Pada kepala mereka yang pada asalnya membujur bulat itu, terbit pula beberapa sesungut yang membentuk jarijemari manusia. Ia menjalar ke bibirku lalu membuka mulutku seluasnya. Aku pasrah ketika itu dek kerana tidak mampu melawan. Tanpa menunggu lama, salah satu dari makhluk itu menerpa masuk ke dalam mulutku. Aku menggeletar dan nafasku sesak. Kesakitan yang terbit itu sukar untuk digambarkan. Aku percaya salur pernafasanku sudah pecah. Tatkala ia masuk ke dalam salur penghadaman aku, ia meronta-ronta di dalam perutku lalu kesakitan lain pula menunjal dari dalam. Ia mengoyakkan organ-organ dalamanku tanpa belas kasihan. Darah membuak keluar dari tekakku disusuli pula dengan rongga-rongga yang lain.
Ya Allah, aku akan mati. Dalam diam aku lafazkan dua kalimah syahadah. Sekurang-kurangnya ajalku melayang tatkala aku masih seorang Muslim. Air mata mula jatuh berderaian lalu pandanganku bertukar gelap.