Mak Cik Vijaya lekas melihat jemuran. Angin semakin kuat dan sesekali beliau memandang langit yang semakin menambah gelap.
Faduli hanya melayan perasaan petang itu. Elok sahaja pintu rumah dibuka, Leman sudah pun menantinya. Kau yakin ke kau nak buat ni Leman tanya Faduli.
Ya, tak apalah aku kalah pun. Yang penting aku berani buat. Leman nampak bersedia walau raut wajahnya sudah pun menampakkan kerisauan besar.
Mereka menanti bas di seberang jalan untuk menuju ke pekan Mentakab. Kemudiannya perlu berjalan kaki ke jalan kecil untuk sampai ke jeti pertandingan yang diguna hanya setahun sekali itu. Kelihatan Bahari juga sudah sampai di stesen bas. Masingmasing diam melayan perasaan di antara takut dan kecewa. Saat bas sampai pun masing-masing mengambil tempat dan bersendiri. Leman lebih lagi terkumat-kamit berdoa supaya hari hujan dan pertandingan ini dibatalkan.
Sedang elok berjalan kaki menuju ke jeti, Raslan dan rakanrakannya juga berjalan kaki dari arah jalan Mok Hee Kiang. Raslan membawa bala tentera seramai lebih dua puluh orang untuk menjadi tukang sorak. Makin berdebarlah tiga sahabat ini untuk penentuan maruah siapa yang lebih tinggi.
Di rumah, Cikgu Muhammad duduknya serba tidak kena. Sekejap-sekejap mundar-mandir ke depan dan ke belakang. Mak Cik Vijaya terpelik-pelik melihat suaminya.
Kita kena ke pekan, jom-jom! Abang tak sedap hati!
Mak Cik Vijaya lekas menyambar selendang dan terus mengambil beg tangan kecil dan memegang erat tangan Cikgu Muhammad. Terus sahaja dada Mak Cik Vijaya berdegup kencang. Tidak mahu bertanya lebih. Takut lebih bimbang mendarat di hatinya. Sudah mengenali suaminya ini bertahuntahun, jika ada apa-apa yang merunsingkan baik diam sahaja dan menuruti semuanya dengan sebaiknya.
Mereka berjalan laju menuju ke perhentian bas. Angin semakin kuat. Tercampak songkok Cikgu Muhammad dan Mak Cik Vijaya memegang kuat baju dan selendangnya. Mereka kembali ke tempat duduk. Bas masih tidak kelihatan.
Leman dan Raslan sudah berada di dalam air. Masing-masing sedang terapung menanti pengadil membunyikan wisel. Awan makin gelap, debaran Faduli dan Bahari makin terasa.
Piiit! Bingit wisel ditiup, maka bersungguh-sungguhlah Leman dan Raslan berenang menuju ke Kerayong. Lama kelamaan bayang Leman makin menghilang, Faduli dan Bahari berlari mengikut dari denai yang sentiasa ada di tebing sungai.
Laju lagi Leman! Laju lagi! Bahari juga terjerit sama.
Raslan awal lagi sudah sampai ke jeti Kerayong sedang Leman masih berbaki lebih lima puluh meter. Raslan dan Leman berselisih dan sudah penampakan Leman semakin letih. Faduli memerhati betul-betul sahabatnya itu sudah hampir kehilangan tenaga.
Leman membuat pusingan-U saat tiba di Jeti Kerayong, sedang Faduli dan Bahari masih lagi memberi sokongan dengan terjeritjerit dari atas tebing. Tiba-tiba Leman berhenti. Jantung Faduli dan Bahari juga berhenti.
Tolong! Tolong! Kaki aku krem! jerit Leman.
Faduli terus terjun, berenang laju ke arah Leman dan merangkul tubuhnya sekuat hati. Terus mereka berpatah balik menuju ke jeti Kerayong. Raslan terus memecut hingga sampai ke jeti permulaan dan lekas berdiri memandang dari jauh.
Saat Faduli menghantar Leman yang sudah lesu ke jeti Kerayong, tiba-tiba kepala air menghampiri jeti, Raslan dan seluruh kawankawannya bertempiaran lari.
Baaam! Belum sempat lima saat, air itu sudah sampai ke jeti Leman dan Faduli. Leman sempat berpaut di kepala jeti, dipegangnya sekuat-kuat dan bingkas bangkit ke atas jeti yang tingginya hampir sedepa dari atas air. Di saat itu baru dia perasan tiada kelibat Faduli.
Duli!! Duli!!! Leman bangun dan berdiri. Kawan-kawan Raslan terus naik ke tebing dan menjerit supaya Leman juga lekas naik ke tebing. Bahari lekas mendapatkan Leman dan menariknya ke tepi tebing.
Tangan Leman menggeletar melihat sebesar-besar air sedang lalu di hadapan mereka. Bergulung-gulung dengan kayu besar, ranting-ranting dan segala jenis pokok dibawanya bersama. Air yang biasanya berwarna kristal jernih itu bertukar menjadi coklat pekat dan cukup menggerunkan. Leman memandang Sungai Semantan. Tangan kanannya menggapai-gapai.
Baha... Duli Ya Tuhan... Duli Leman terjelepok pengsan di riba Baha yang sudah pun menangis tidak henti-henti. Raslan dan kawan-kawannya mendapatkan Leman dan semuanya diam serentak saat sudah ketahui Faduli tidak ada bersama mereka. Raslan berlari laju menuju ke balai terdekat. Terus sahaja pegawai polis bertugas berkejaran mendapatkan mereka semua.