New case Dr. Ringkas, padat dan tepat dari jururawat tadi.
Setelah dipersilakan duduk, bertanya nama mereka dan memperkenalkan diri Dr. Jamal serta memperkenalkan kami 3 pelajar perubatan yang membuat attachment di Child Psychiatry Clinic HKL hari ini, dan akhir sekali bertanya tujuan kehadiran ibu muda beranak dua tersebut ke klinik.
Setelah dihantar ke sekolah tadika. Cikgu sekolah anak saya kata, anak saya ni hyperactive. Entah di mana silapnya, ibu muda itu menitiskan air mata. Menangis teresak-esak serta tak mampu untuk meneruskan kata-kata seterusnya. Kami pelajar perubatan kaget. nasib baik ada Dr.Jamal, Child psychiatrist itu, dia menghulurkan kotak tisu kepada ibu muda itu. Setelah agak lama berdiam diri, Dr. Jamal mencuba kali kedua dan berjaya mengorek rahsia.
Anak kecil itu dipanggil Abang berusia 5 tahun. Guru-guru di sekolah katanya tidak dapat mengawal kenakalan Abang yang selalu mengacau pelajar lain. Abang tidak langsung menghiraukan keadaan di dalam bilik darjah, memang dia tidak belajar. Suka juga mengamuk jika ditegah daripada melakukan sesuatu. Merajuk tidak usah dikira lagi. Keadaan yang sama terjadi di rumah.
Contohnya Dr., saya melarang Abang dari bermain dengan adiknya sebab saya tahu nanti adiknya akan menangis. Terus dia merajuk dan mengamuk, baling semua barang dalam rumah, meninggikan suara kat saya. Lepas tu dah tak dengar apa orang nak cakapkan lagi, kata ibu Abang masih bersisa air mata.
Kemudian Dr. Jamal pula bertanya, Suami puan biasanya buat apa jika keadaan ini terjadi Betul, kami pun curious.
Menangis lagi. Abang yang duduk di sebelah ibunya memandang ibunya. Dan paling mengejutkan kami, Abang menggenggam tangan ibunya tanda ibu jangan sedih.
Suami saya buat endah tak endah sahaja. Dia lagi memanjakan anak kami. Kadang-kadang tu,.. Ibu muda itu tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dr. Jamal mengangguk tanda faham situasi ibu muda ini.
Dr. Jamal meminta untuk suaminya dipanggil masuk. Yalah, masalah ini masalah bersama, bukan isteri sahaja yang harus menanggung semua ini. Jika perlu menangis, menangis dengan suami sekali.
Dari cara ibu Abang melarang suaminya dibawa masuk, seperti tersirat sesuatu. Seperti cuba menyembunyikan daripada kami semua. Dr. Jamal cuba mengorek lagi, tapi tidak juga berhasil. Tak mengapa, pertemuan lain, masih ada.
Selepas lima belas minit sesi bertanya. Dr. Jamal beralih kepada Abang pula.
Abang, cuba hulurkan kertas yang doktor kasi tadi, doktor nak tengok apa yang Abang tulis ni. Oh kertas kosong.
Hmmm, abang tak tulis apa-apa pun. Okey, cuba Abang ikut apa yang doktor buat ni. Dr. Jamal membuat garisan dan bulatan untuk Abang tiru. Hasilnya, nampak macam berjaya adalah senget sikit, boleh dimaafkan.
Seterusnya tiru huruf Z A Q, tiru nombor 3 5 9. Hasilnya okey saja. Itu sahaja yang dilakukan Dr. Jamal. Tidak pula Dr. Jamal menguji Abang dengan mengenal objek di tapak tangan atau medical term nya adalah graphesthesia.
Beginilah puan ya, pada penilaian saya, Abang ni anak yang baik. Henti seketika dan menyambung kembali. Betul, kerana apa, saya dah pernah tengok anak hyperaktif yang lain. Memang aktif, tidak duduk diam. Tak macam Abang, duduk elok je di kerusi.
Tidak doktor, ini sebab dia tak biasa dengan doktor, ada akak-akak student lagi. Memang dia baik. Ibu muda itu memotong.
Begini ya puan, lumrah anak berusia 5 tahun macam itu. Terutama sekali jika dia berasa disisihkan setelah kelahiran adik yang baru dilahirkan. Dia mula buat perangai nakal untuk mendapat perhatian puan dan suami. Di sekolah pula, kerana dia terbiasa perhatian akan diberikan jika nakal, jadi dia mula mencari perhatian guru dan rakan sekelasnya. Ini tidak bermakna Abang hyperaktif. Berhenti sejenak untuk ibu itu hadam dan untuk kami pelajar perubatan hadam. Jadi puan, saya bagi tempoh 2 bulan untuk puan datang semula ke klinik. Dalam tempoh 2 bulan, puan kena ubah cara mendidik Abang. Kalau puan meninggikan suara ketika melarang Abang, seperti mana diceritakan puan, Abang tidak akan berubah. Beri kasih sayang kepada Abang. Memang ianya sangat berbeza membesarkan setiap anak-anak puan. Lakukan bersama suami puan. Saya pun lihat Abang sayang kepada puan melihat cara Abang pandang ibunya, pegang tangan ibunya. Pause Jadi saya khuatir untuk diagnose Abang sebagai hyperactive atau kami sebut penyakit ADHD kerana ini membabitkan masa depannya. Habis kata-kata Dr. Jamal.
Ibu dan anak itu pun berlalu pergi. Insya Allah ketemu lagi tetapi dengan keadaan yang berbeza mungkin.
*ketukan pintu*
Haaaa, Assalamualaikum Puan Adila, oh Encik Syukri pun ada. Assalamualaikum Adam. Dr. Jamal memberi salam dengan wajah ceria kepada setiap orang yang memasuki pintu bilik konsultasi.
Kali ini kes apa agaknya ya. Kami bermonolog.
Adam tidak duduk di kerusi yang disediakan, tetapi berlegarlegar di dalam bilik itu. Sesekali dia duduk di sofa, berdiri, berlari, melompat-lompat, menarik tangan mamanya. Sesekali pula, mengajak kami mewarna buku di ruangan khas bilik tersebut. Pokoknya, budak Adam itu tidak boleh duduk diamlah.
Kami tidak melarang malah kami enjoy kerana kami dapat melihat dua kes yang berbeza pada pagi itu.
Berbeza kelakuan anak-anak itu, berbeza penerimaan ibu mereka, berbeza sokongan yang diberikan bapa mereka, berbeza juga situasi di dalam bilik itu.
****
Attention Deficit Hyperactivy Disorder (ADHD) adalah salah satu gangguan tingkah laku yang paling kerap dilaporkan oleh kanak-kanak. Ciri-ciri penting mengenai gangguan ini ialah; tidak memberi perhatian, terlalu aktif dan impulsif.
Faktor-faktor risiko yang diperbincangkan dalam garis panduan ADHD oleh Malaysia seperti;
Kanak-kanak lelaki lebih kerap dilaporkan.
Anak pertama dalam keluarga.
Faktor genetik di mana ibu bapa juga ADHD.
Kelahiran pramatang, kanak-kanak dilahirkan dengan kurang berat, kanak-kanak yang mengalami komplikasi sewaktu neonatal.
Cara hidup ibu ketika mengandung mempengaruhi anak di dalam kandungan; merokok, mengambil dan menggunakan dadah (contohnya heroin, ganja, ice, serta alkohol).
Ibu yang mengalami tekanan perasaan atau stress ketika mengandung juga menyumbang kepada faktor anak ADHD.
Pendedahan kepada televisyen pada usia kurang dari 3 tahun menyumbang kepada masalah menumpukan perhatian pada usia 7 tahun. (Linnet KM et al, 2003) Di dalam kajian pula menerangkan bahawa kanak-kanak seharusnya diberi masa sebanyak 1-2 jam sahaja untuk menonton televisyen terutamanya kanak-kanak usia kurang dari 2 tahun.
Seperti mana yang diterangkan sebelum bahawa, institusi keluarga adalah penting untuk mendidik ahli keluarga yang bermasalah. Hal yang sama juga terhadap kanak-kanak ADHD.
1. Psychoeducation: Mendidik ibu bapa dan anak tentang ADHD dengan menyampaikan nasihat untuk mempertingkatkan pencapaian akademik anak serta memperbaiki kelakuan anak.
2. Latihan kepada ibu bapa; Disampaikan oleh profesional untuk memperbaiki simptom anak dengan menekankan kepada ibu bapa cara-cara menghadapi anak mereka.
3. Pemakanan: Ibu bapa haruslah sentiasa memantau rutin pemakanan anak ADHD mereka dan mengenal pasti jika makanan tertentu mempengaruhi kelakuan anak.
Walau bagaimanapun, anak-anak adalah istimewa dan dianugerahkan tuhan untuk dijaga oleh ibu bapa. ADHD bukan sebab menghalang ibu bapa tidak mencurahkan kasih sayang secukupnya kepada anak-anak mereka.