Atau di tengah kesibukan bertugas, ada keluarga pesakit yang datang untuk bertanyakan perkembangan pesakit sedangkan sudah berkali-kali kau mengulang perkara yang sama pada orang yang berbeza. Jika tidak dilayan maka mereka akan membuat aduan kononnya doktor tidak mesra. Ini belum ditambah dengan karenah pesakit yang menolak rawatan yang diberi, yang tidak mahu pembedahan, yang bertegas untuk pulang walaupun tidak stabil ataupun yang meminta minta untuk dimasukkan ke wad walaupun tidak perlu.
Kau terperangkap dalam mainan perasaan. Simpati, kasihan, sedih, geram, marah, tertekan dan sebagainya. Kau ingin menangis kerana kepenatan, kau ingin marah kerana terluka dan kau ingin meluahkan perasaanmu pada yang benar-benar peduli pada dirimu.
Doktor doktor... doktor!
Baru sahaja kau ingin melabuhkan punggungmu di kerusi, adaada sahaja suara yang memanggil. Kau memandang sekeliling. Jururawatkah Pembantu Perawatan Kesihatankah Pesakitkah Keluarga pesakitkah Doktor pakarkah Kawan-kawan kamukah
Ada masa, kau pandang ia sebagai satu perkara yang remehtemeh. Ada masa kau buat acuh tidak acuh atau tidak enteng. Mungkin kau cuba untuk kebalkan dirimu dari mudah tersentuh dengan penderitaan.
Ah!
Bukankah itu bererti kau tidak mempunyai nilai empati pada pesakit
Noritta sudah tujuh hari dimasukkan ke dalam wad setelah berak berdarah, sakit-sakit perut dan tidak berselera untuk makan. Pemeriksaan colonoscopy dijalankan dengan memasukkan kamera khas yang disambung pada kabel gentian optik melalui lubang dubur. Hasilnya, terdapat banyak luka-luka pada usus. Ada yang berdarah dan ada yang sudah mulai sembuh. Sampel usus diambil dan dihantar untuk ujian khas dan juga dilihat di bawah mikroskop.
Selang beberapa hari kemudiannya, keputusan pemeriksaan darah dan tisu histopathology menunjukkan dia menghidap inflammatory bowel disease ataupun keradangan usus yang disebabkan oleh penyakit tisu. Sel-sel badan menjadi musuh dan menyerang tisu badan sendiri. Akibatnya, usus menjadi berdarah, pesakit mengalami kesakitan yang amat sangat.
Sering kali Noritta merintih kesakitan. Tatkala dia melihat Dr. Nizam melalui katilnya, dia akan memanggil doktor muda tersebut.
Doktor doktor... doktor....
Dr. Nizam menoleh dan memberi senyuman ringan.
Tolong doktor! Sakit perutku.
Pesakit sudah pun mempunyai dua jenis ubat tahan sakit. Paracetamol dan Tramadol yang diberi secara regular.
Dr. Nizam mengarahkan agar IV morphine sebanyak 2 mg diberikan kepada Noritta dan dia akhirnya tidur dan tidak merengek lagi.
Wad high dependency unit memang sibuk dan dipenuhi dengan lima orang pesakit. Dua darinya bernafas menggunakan mesin dan seorang darinya kritikal dan menanti masa untuk menghadap Ilahi. Seorang pesakit denggi, seorang malaria dan terakhirnya adalah Noritta.
Namun, Dr. Nizam juga terpaksa merawat pesakit di wad lain dan terpaksa berkejar ke sana dan ke sini. Makannya tidak teratur, misai dan janggutnya tidak terurus dan bajunya penuh dengan kedutan.
Doktor! Wad Male Medical telefon. Ada patient collapse sana, jerit SN Emmy.
Arghhh
Hari ini, sudah tiga pesakit collapse dan memerlukan resusitasi. Dia bingkas bangun untuk ke wad perubatan lelaki.
Doktor doktor doktor Tolong doktor. Noritta tersedar dari tidurnya dan merintih kembali.
Dr. Nizam tidak mempedulikan panggilan tersebut dan terus ke wad perubatan lelaki. Di sana, pesakit tersebut sebenarnya dimasukkan ke wad selepas meminum racun organophosphate. Jantungnya sering kali berdenyut perlahan dan keadaannya tidak pulih selepas diberikan ubat atrophine dan pralidoxime. Dia juga sudah menjalani dialisis sebanyak dua kali tetapi keadaannya tiada perubahan.
Intubasi segera dilakukan dan CPR dimulakan. Selepas dua minit, jantungnya kembali berdenyut. Akan tetapi, selang beberapa ketika ia berhenti lagi dan CPR dimulakan kembali. Keadaannya tidak stabil. Hampir sepuluh kali mereka melakukan CPR sehinggalah akhirnya mereka membuat keputusan untuk berhenti.
Dr. Nizam pulang ke wad medical high dependency unit untuk menyelesaikan tugasannya yang berbaki. Lagi setengah jam dia akan pulang.
Doktor doktor doktor.... Tolong. Sakit!!! Noritta merengek lagi tatkala melihat Dr. Nizam.
Dr. Nizam yang kepenatan berasa stress. Sudah bermacam ubat tahan sakit diberi tetapi Noritta masih merengek kesakitan.
Ah... MANJA-litis betul pesakit ni. Dengus Nizam. Baginya, pesakit tersebut hanya buat-buat sakit. Ini kerana, menurut jururawat yang bertugas, Noritta tidak merengek sebegitu andai Dr. Nizam tidak berada di wad.
Noritta, saya ada banyak lagi pesakit lain yang tidak stabil. Bukan awak seorang sahaja yang sakit di sini. Macam mana saya nak buat kerja kalau awak asyik menangis macam tu! Cuba la awak bawa berzikir banyak-banyak. Dr. Nizam seakan tidak tahan lagi. Kepenatan yang melanda dirinya membuatkan dia begitu mudah sekali marah.
Doktor tolong saya. Saya sakit, balas Noritta lagi, enggan mengakui bahawa kesakitannya itu dibuat-buat.
Staff Nurse, tolong bagi IV Morphine 3 mg dekat pesakit Noritta ni. Suara Dr. Nizam sedikit tinggi. Dia betul-betul stres.
Doktor jangan marah saya. Saya betul-betul sakit. Saya tak bohong.
Dr. Nizam hanya mendiamkan diri. Dalam hatinya, ada sedikit rasa kesal kerana meninggikan suara pada Noritta. Tetapi dia benar-benar penat dengan tugasan hariannya itu dan Noritta pula tidak habis-habis merengek. Baki tugasan yang ada segera disiapkan dan dia terus pulang ke rumah. Esok, dia on call dan hanya perlu menjaga wad medical high dependency unit selepas waktu pejabat sahaja.
Pulang ke rumah, dia perlu melayan kerenah keluarga dan juga menyediakan keperluan harian. Siapa yang tidak stres. Tambahan pula jika hari on call sibuk.
Terbukti, dia memang jonah, dari pagi hinggalah jam lima dia berulang-alik ke Jabatan Kecemasan untuk melihat pesakit baru. Selain itu, ada pula pesakit di wad yang tidak stabil. Hanya pada jam enam dia ke wad Medical High Dependency Unit.
Alangkah terkejutnya dia apabila melihat Noritta sudah tidak sedarkan diri. Dia disambung pada mesin ventilator dan sudah pun tidak mempunyai pernafasan sendiri. Tekanan darahnya rendah iaitu 87/60. Denyutan nadinya juga lemah iaitu hanya 48 denyutan dalam masa seminit. Walaupun menggunakan tetapan ventilator yang tinggi tetapi kepekatan oksigen hanyalah 88% sahaja. Dr. Nizam menelan air liur dan melangkah menuju ke kaunter jururawat.
Mar... kenapa dengan Noritta Suaranya perlahan dan tersekatsekat.
Doktor, Noritta berubah keadaannya tengah hari tadi. Dia tiba-tiba berak darah dengan cukup banyak dan mengaduh kesakitan. Tiba-tiba dia terus asystole. Lepas 40 minit CPR baru kami dapat ritma jantungnya balik. Tapi keluarga dah ambil keputusan untuk Do Not Attempt Active Resuscitation (DNAR). Mereka dah redha dengan keadaannya dan merelakan pemergiannya. Mereka pun tak sanggup untuk melihat Noritta terus menderita.
Ya Allah! Apa yang sudah aku lakukan ni Getus Dr. Nizam di dalam hatinya. Dia pantas menuju ke katil Noritta dan diperhatikannya gadis itu dari atas hinggalah ke bawah. Tidak ada lagi suara Noritta memanggilnya untuk mengadu kesakitan.
Kan bagus kalau pesakit bernafas dengan mesin dan tidak merengek. Terngiang-ngiang amukkan hatinya sebelum ini tatkala mendengar rengekan Noritta. Ternyata, kini dia rindu akan rengekan tersebut.
Doktor... doktor... doktor....
Ternyata suara itu sudah tidak lagi kedengaran. Benarkah ini yang dia inginkan. Diam dan sepi melainkan bunyi mesin ventilator.
Dr. Nizam terpana, bagaikan dalam wayang, Noritta akhirnya menarik nafas terakhir dan skrin cardiac monitor terus menunjukkan asystole. Dr. Nizam melihat jamnya.
Time of death 6.20 PM
Ya Allah, apa yang ingin kau tunjukkan padaku Kenapa Noritta seakan sengaja memilih untuk menghembuskan nafasnya di sampingku. Aku menyesal kerana marah Noritta. Dan aku menyesal kerana menggelarkan dia manja. Dia memang dalam kesakitan Ya Allah! Dia sakit! Kenapa aku sebagai seorang doktor boleh menuduhnya mengganggu aku bekerja. Sepatutnya aku lebih faham akan keadaannya. Maafkan aku Noritta! Maafkan aku, Ya Allah!
Doktor doktor doktor.