Sebentar tadi, aku ajar topik tambah dan tolak. Tambah dan tolak ini sebenarnya topik yang sangat kacang kerana tidak memerlukan ilmu Pengamiran dan Pembezaan dalam menyelesaikannya. Untuk nilai tambah yang kurang dari angka 10, Fateem boleh handle lagi walaupun sampai ulang tiga empat kali juga. Namun bila dah upgrade sikit ke hasil tambah yang main belas-belas, Fateem mula gagap, cemas dan keliru.
Hampir lapan jenis kaedah aku tunjuk supaya dia faham konsep tambah yang melebihi angka 10. Tak cukup jari tangan, jari kaki aku suruh dia kira, tak lepas jugak. Mungkin cara ajaran aku yang lebih ke arah fasilitator berbanding lilin membakar diri, kefahaman lambat nak sampai.
Setelah kesalahan demi kesalahan dilalui oleh Fateem sepanjang proses pembelajaran Matematik yang tinggi sikit, darah muda aku pula mula menyirap apabila 8 + 9 sama dengan berapa pun nak kena mengira sampai ke kaki. Sedikit demi sedikit suara aku makin menaik, makin garang, makin tegas dan Fateem pula makin rapuh, makin lemah daya tahan dan makin merosot tumpuan.
Entah berapa kali aku sound Serius Fateem! Fokus! Fokus! Tengok ayah ajar ni betul-betul!
Shahir tahu semua! Belajar Matematik liat!
Fateem mula demoralize. Namun ego seorang ayah mesti dipertahankan. Aku teruskan pengajaran diselang seli dengan marah bila Fateem buat silap. Akhirnya, setelah beberapa ketika Fateem putus asa.
Ateem nak lari dari rumah la.
Aku dan Cikgu Kuala Kubu berpandangan sesama sendiri. Dan memegang konsep ibu bapa mesti ada ego, kami membuat keputusan - Drama melayu dan sinetron Indonesia memang neraka. Mereka perlu dipersalahkan!