PERSEPSI TERBIAR SEPI - 18
TERLIHAT lagi dia di situ. Selama tiga hari, dia masih memakai pakaian satu warna. Dia pilih putih. Segala-galanya putih. Tudung, baju, kain, dan kasut putih semuanya. Sehingga wajahnya yang berlaga dengan sinaran mentari memanah silau mata-mata yang memandang. Cuma satu yang dia sisihkan dari warna yang satu itu. Sebatang pen berwarna hitam.

Kadang pen hitam itu dia diamkan dalam apitan jari manis dan jari kelingking. Kadang dia bawa menari bersama-sama gerakan jari yang saling berselisih. Sesekali dia berlaku kejam. Mata pen hitam itu dikaiskais atas permukaan batu. Batu yang dia duduk. Batu yang setia menampung tubuhnya bermenung acap kali dia hadir ke situ. Di hadapan laut Tegar Terpilih.

Aku selalu membayangkan dunia pasti aman dari noda andai semua manusia sama rata butanya. Dia bersuara.

Lafaz salam yang tersusun menjadi kaget. Sembunyi

di lorong getar suara. Jannah berdiri kaku di belakang gadis itu. Kehadirannya dirasai.

Aku Nur Jannah. Jannah menghulurkan tangan, menyimpul senyuman manis utusan jabat perkenalan.

Gadis itu masih mengadukan wajah ke rimba di seberang laut. Kemudian tunduk.

Cahaya syurga Pun masih tidak beralih wajah.

Jannah mengangguk, terus melangkah setapak lagi, kini bersebelahan dengan gadis itu, lalu duduk di atas pasir. Membiarkan lutut bertemu dagu. Dia menoleh sekilas, sedikit mendongak, melihat wajah sebenar gadis serba putih yang selalu terbias dengan pancaran cahaya yang diperhatikan dari jauh selama ini. Sepantas itu juga gadis itu membalas pandangan, menghadapkan wajah ke arahnya.

Subhanallah! Bidadari apakah yang Kau pinjamkan untuk kulihat ini Jannah terpempan. Soalan gadis itu masih dibiarkan sepi tanpa jawapan.

Aku Qudwah Hasanah. Tangan dihulur. Jannah segera menyambut.

Turut menghulurkan ucapan salam yang tertangguh. Gadis itu menjawab sopan. Namun, senyuman Jannah masih dibiarkan sendiri. Gadis itu tidak membalas.

Kenapa harus buta untuk mengimpikan dunia yang suci tanpa noda Soal Jannah, cuba menguji.

Dia tahu. Dia yakin. Qudwah Hasanah bukan gadis sembarangan. Dia harus bijak menyulam selembar kain putih awal perkenalan. Nanti, akan terhasil pula corak ukhuwah nan indah.

Kerana aku merasa aman ketika aku tidak berupaya melihat wajah dunia. Dia selalu khabarkan, alam ini serba indah. Penghuninya saling menyatu cinta. Dan ketika itu, aku selalu menafikan. Dia sengaja bercakap bohong kononnya aku ini tidak tahu perihal dunia. Ah, dia tidak tahu! Garis-garis emosi mula terjalin di wajah gadis itu.

Tidak tahu Dia siapa Jannah berlembut suara.

Dia yang menjadi temanku ketika aku buta. Satusatunya teman yang aku ada! Tapi dia tidak tahu. Dia tidak pernah tahu! Cekat tangan menerkup wajah. Kemudian dia menangis tersedu-sedu.

Jannah kelu.

Serba salah.

Harus memujuk atau meredup hiba gadis itu cuma dengan kata-kata penguat

Jannah keliru. Kata-kata penguat yang bagaimana pula harus dia tuturkan Kalau menokok sendu gadis itu, lagi Jannah khuatirkan. Dia masih kabur dengan keadaan sebenar gadis itu. Kenapa gadis itu berani bersuara, menjadikan dia sasaran meluahkan perasaan ketika dia datang mendekat

Jannah perlahan-lahan mendepa sebelah tangan, cuba untuk mengusap lembut belakang tubuh gadis itu.

Gadis itu tidak menyentak. Tangisnya beransur tenang. Kemudian dia mengadu lagi. Dia kenali aku cuma setelah aku buta. Setelah aku kehilangan segala yang aku ada selama ini. Dia tidak pernah tahu, bahkan tidak pernah aku khabarkan padanya bahawa aku pernah melihat dunia sebelum ini. Aku tahu perihal dunia. Tapi dia selalu menipu!

* * *

Ustazah Iryani kelam-kabut menanggalkan kain telekung. Tanpa sempat melipat pakaian solatnya, dia bergegas melangkah ke luar surau. Murid-murid yang baru sahaja selesai mengaminkan doa terpinga-pinga melihat gelagat Ustazah Iryani yang berwajah cemas. Sesetengah daripada mereka mula membuat andaian. Ada yang mendongak, cuba-cuba mencuri pandang kejadian yang berlaku di luar surau. Ada yang turut bingkas bangun dari saf, sibuk mengikut jejak Ustazah Iryani, namun ditahan oleh pengawas di pintu surau.

Majlis solat hajat malam itu tercemar dengan sebuah adegan yang tidak diduga. Seorang wanita sekitar 40-an datang bercekak pinggang sambil terpekik melontarkan kata-kata yang kurang senang didengar. Kelihatan Ustaz Sollehuddin cuba mengawal keadaan, menenangkan wanita itu, namun tidak berhasil. Qudwah Hasanah di sebelah diam kelu. Malu. Dia tunduk tidak berdaya membantah. Ustazah Iryani melangkah pantas, mendekati mereka yang berada 8 langkah di hadapan surau.

Tak perlu nak ajar anak aku! Aku mak dia. Tahulah aku cara nak didik dia! Perempuan tua itu masih berkeras.

Maafkan kami, puan. Kami tak rasa puan patut marah dia seperti ini. Tak salah dia cuba perlahanlahan mendekati agama. Ustazah Iryani tegas dalam berlembut.

Sedaya mampu mempertahankan Qudwah Hasanah. Telapak tangannya kuat menggenggam jemari halus Qudwah Hasanah. Qudwah Hasanah tersedu-sedu.

Tak patut Hei, dia menipu aku! Kau semua ajar perkara sesat! Ketika itu juga wanita tua tersebut menarik kain tudung yang dipakai Qudwah Hasanah.

Qudwah Hasanah hampir tersungkur. Selendang longgar yang disangkut di bahu wanita tua itu juga terlucut serentak kerana gerakan tangannya yang pantas. Terlihatlah susuk bahunya yang putih melepak. Hanya seurat tali singlet memaut di kedua-dua belah bahunya. Ustaz Sollehuddin pantas menundukkan pandangan. Istighfar. Dia semakin tidak senang berdiri dan berada di situ.

Dia menipu mungkin kerana takutkan puan. Takut puan tak izinkan dia ke sini. Maafkan dia, puan. Niatnya...

Kau jangan nak tambah-tambah alasan. Kami senang dengan dunia kami. Tahulah aku ajar dia agama nanti. Kiamat lambat lagi. Dah, balik!

Astaghfirullah! Mata Ustazah Iryani berkaca.

Belum sempat bibirnya melunaskan kalimat benar, wanita tua itu sudah menapak kasar, menarik Qudwah Hasanah lalu disentak ke dalam perut kereta Honda Accord berwarna silver di hadapan pintu pagar sekolah. Ustaz Sollehuddin menggeleng. Mereka akur, manusia tidak semuanya mengenal akan hak anggota badan mereka diciptakan. Yang bermata tidak semestinya melihat, yang bertelinga tidak semestinya mendengar. Mereka tuli. Mereka buta. Terpesona dengan warna-warna indah dunia yang tercorak oleh manusia-manusia penindas agama.

Seketika mereka berpaling, mahu menapak kembali ke dalam surau Sek. Men. Keb. Permai Kasih itu, satu dentuman kuat menyentak hiba kecewa mereka. Mereka saling berpandangan. Satu kemungkinan yang sama bermain di kotak fikiran mereka. Segera mereka melangkah, mendekati pintu pagar sekolah, menjengah ke gigi jalan.

Kereta yang dinaiki oleh wanita tua bersama Qudwah Hasanah itu tadi sudah pun berada dalam keadaan terbalik. Kelihatan minyak kereta mulai tumpah. Sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero telah terhumban separuh tubuhnya ke dalam parit.

Tanpa berlengah, Ustazah Iryani berlari pantas mendapatkan Qudwah Hasanah. Ustaz Sollehhuddin bertindak menelefon ambulans. Beberapa orang yang turut berada di kawasan kemalangan membantu mengeluarkan mangsa. Namun, wanita tua itu tersepit di tempat duduk pemandu. Nafasnya tercungapcungap. Stereng kereta menghimpit dadanya.

Tiba-tiba api kecil kelihatan memercik di bahagian enjin. Qudwah Hasanah segera dipapah, mara sejauh mungkin dari kenderaan tersebut. Begitu juga orangorang yang berada di situ. Masing-masing berlari pantas sejauh mungkin bagi mengelakkan sebarang bahaya yang mengancam nyawa. Tidak sampai 10 saat, api menyambar seluruh tubuh kenderaan Honda Accord berwarna silver itu. Wanita tua itu ghaib sertamerta dikepung marak api yang membakar.

* * *

Hari itu adalah hari pertama kali aku mengenakan hijab. Hari itu juga kali terakhir ibuku mengajar aku tentang dunia yang patut dinikmati sepuasnya. Perkara haram itulah pakaianku selama ini. Lalu segala-galanya tertuang dalam dunia serba gelap setelah kemalangan itu. Aku tidak lagi mampu melihat. Kedua-dua mataku dimasuki serpihan kaca tingkap kereta yang pecah. Aku hilang teman berhibur. Aku menyendiri. Dan ketika itulah... Gadis itu diam seketika.

Menarik nafas dalam-dalam.

Kemudian mengeluh.

Titisan jernih tenang mengalir di kedua-dua belah pipi.

Dan ketika itulah dia muncul. Memuntahkan katakata penguat tanpa aku raih. Dia perihalkan segala isi dunia yang serba indah. Kehidupan yang saling melengkapkan. Ah, dia terlalu banyak bercakap! Haha. Gadis itu tertawa kecil.

Apa yang dia bicarakan Jannah meraikan juga tawa kecil gadis itu dengan secebis senyuman.

Aku sudah terbiasa melihat dunia yang serba kotor sebelum deria mataku dimatikan sejenak. Namun, dia selalu memperihalkan, kekuasaan Allah mencipta alam dengan adanya tiap-tiap ibrah atas mereka. Cuma manusia perlu tahu menghargai, menilai dengan akal fikiran. Kemudian dia sering membacakan suatu ayat, Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan

Itu terjemahan surah al-Rahman, mengandungi 78 ayat dan diulangi sebanyak 31 kali dalam surah tersebut. Jannah menjelaskan.

Aku sesungguhnya kaum yang tidak mengetahui ketika itu. Dan kini, setelah aku boleh melihat semula, aku seakan hidup dalam ikatan tangis tiada sudah. Tangisan sesal. Sesal dengan kehidupanku yang dahulu. Mata yang aku pinjam ini, entah siapa pemiliknya. Sungguh, setiap kali aku membuka mata, aku selalu menemui pandangan yang meredupkan. Damai. Merasa kerdil di sisi Tuhan. Aku ingin berterima kasih kepada dia yang mendermakan. Malang, aku tidak mengenal siapa dia. Gadis itu berpaling wajah ke arah Jannah.

Seakan meminta Jannah meraikan persoalan hatinya itu dengan sesuatu yang memberi jalan menyingkir kebuntuan.

Jannah lebih bersedia dengan suatu kalimat hikmah untuknya, bukan dituju pada persoalan, tetapi pada sesal yang dia bicarakan. Siapa kita masa lalu tidak perlu ditangisi, tetapi siapa kita pada hari ini yang menjadi penentu siapa kita di hadapan Allah kelak, itu lebih bererti. Ingat, ...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada putus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.- Surah Yusuf ayat 87.

Gadis itu termenung panjang.

Pandangan kembali dilemparkan ke arah laut.

Diam memikirkan sesuatu.

Qudwah Hasanah, namamu itu...

Tidak pantas dengan kehidupanku itu kan Gadis itu ketawa kecil.

Dia salah faham. Jannah tidak bermaksud mahu mempertikai nama gadis itu. Namun gadis itu terlebih dahulu mencelah.

Dia menyambung lagi. Aku dibesarkan oleh arwah atuk semenjak lahir sehingga usiaku mencecah 8 tahun. Atuk yang memberikan nama ini. Namun, ibu mencemarkan dengan didikannya yang jauh dari landasan agama.

Jannah cepat-cepat mengubah hala perbualan. Dia tidak mahu gadis itu terus mencemuh ibunya sendiri.

Di mana sahabatmu itu sekarang Jannah mengharapkan jawapan.

Itu yang membuatku kecewa. Dua minggu yang lalu, sesudah mataku dibedah kerana ada penderma, aku menanti dirinya hadir di sisi. Hampir setiap hari, aku menanti dia di seberang sana. Kampungku. Tempat aku dan dia duduk berdua, aku mendengarkan syarahan agamanya hari-hari. Berpakaian serba putih kerana dia khabarkan dia sukakan warna putih. Katanya, warna putih warna kesukaan Nabi. Namun, dia tidak munculmuncul. Jadi, aku nekad untuk ke sini. Berharap dia yang belum pernah kulihat wajahnya, datang menyapa. Mana tahu, dia sengaja mahu membuat kejutan kepadaku, melihat wajahnya di sisi alam dari arah bertentangan pula Senyum.

Pipi gadis itu merona merah.

Hidup dalam sangkaan romantisnya sendiri.

Jadi Sehingga kini, kamu belum lagi bertemu dan melihat dirinya Soal Jannah, tertarik dengan santun bahasa gadis itu meluahkan rasa.

Belum. Cuma tiga hari yang lalu, sebelum aku datang ke sini, aku menerima sepucuk surat yang membuatku begitu prasangka. Dia menyeluk saku baju kurung putihnya.

Lalu dihulur kepada Nur Jannah.

* * *

Mata hatiku Qudwah Hasanah,

Lama aku berkelana

Mengucup sisa indah dunia yang masih tunduk pada rahmat-Nya.

Aku mendongak ke langit, bukan sekadar menatap birunya awan,

Tetapi terlukis di mataku betapa aku begitu rendah dan mengecil di hadapan-Nya.

Aku menjunamkan mata ke dasar laut,

Mataku dihiaskan dengan peringatan akan gambaran syurga yang alirnya sungai susu.

Aku hamparkan pandangan ke gunung-gunung,

Pandangan itu berkeliaran dengan gugusan kisah perjuangan Nabi Nuh mempersiapkan bahteranya,

Menyelamat umatnya yang dikasihi kerana Allah,

Namun mereka ingkar,

Lalu ummat yang seterusnya Allah perlihatkan akan kebenaran risalah tersebut,

Termakamnya bahtera Nabi Nuh yang kini terpampang di gunung Ararat-Turki.

Mata hatiku Qudwah Hasanah,

Melihat dirimu yang sering bermenung dalam mata yang terbuka namun lelap,

Aku ikhlaskan bibir ini menumpahkan kalimat-kalimat dakwah sebanyaknya,

Kerana deria telingamu masih sudi berkhidmat pada amanah dia diciptakan,

Dan bibirmu yang sering menafikan namun tidak beralasan.

Dan telah pun aku berniat,

Andai saatnya aku kembali kepada Yang Maha Menciptakan,

Mata yang selalu berkhidmat pada diri ini,

Akan kuserahkan kepadamu,

Meneruskan kembara,

Mensyukuri apa-apa yang diperlihatkan kepadamu, Dan tuliskan sesuatu dengan akal fikir hikmah, buat insan yang setia dahagakan ilmu.

Cintaku Qudwah Hasanah,

Indah namamu tamsil wajah wanita syurga,

Kerana sesungguhnya,

Sebaik-baik senjata dakwah, Adalah akhlak mulia.

Carilah amalan yang tidak akan terputus sesudah matimu.

-Zinirah

Sesungguhnya, Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak yang soleh (HR Muslim). Jannah memperjelas.

Dia mengerti akan maksud baris-baris tulisan Zinirah.

Gadis itu tersenyum. Lekas mencatat sesuatu di belakang helaian surat itu menggunakan pen hitam yang dibawanya.

Kemudian berkata kepada Jannah. Inilah yang dia maksudkan! Doa anak yang soleh. Terima kasih Jannah!

Maksudmu Jannah hairan.

Aku pernah bertanya kepadanya apakah nasib seorang ibu yang jahil ketika matinya di akhirat Lalu dia selalu menyebut ayat yang serupa seperti ayat akhir di dalam surat ini. Jannah, aku mahu berhijrah! Semoga aku masih sempat berjasa kepada ibu. Tuhan, limpahkanlah keampunan dan rahmat-Mu atas dirinya. Kini, dia mampu tersenyum.

Majalah Tunas Cipta

April 2014

Hadiah Sastera Penulis Muda 2014