ASKAR BERJALAN KAKI - 18
Sejarah Infantri di Malaysia telah bermula semenjak penubuhan Rejimen Askar Melayu pada 1 Mac 1933. Anak Melayu dalam Tentera sebenarnya telah bermula pada tahun 1796 apabila berkhidmat dengan Kompeni India Timur British di Ceylon (Sri Langka). Anak -anak Melayu telah berjuang bermati-matian dalam beberapa siri peperangan di sana. Pasukan yang berkekuatan seramai 5 Kompeni itu kemudiannya telah dibubarkan dalam tahun 1874.

Cadangan penubuhan Askar sendiri dari bangsa Melayu telah diperjuangkan oleh 4 orang pembesar yang mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap betapa pentingnya mempunyai pasukan keselamatan.

Mereka ialah Almarhum DYMM Sultan Perak Iskandar Shah Almarhum DYMM, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tungku Muhammad Ibni Yam Tuan Antah, Almarhum Undang Rembau Datuk Abdullah bin Hj Damat.

Dengan tertubuhnya Kumpulan pertama yang terdiri dari 25 Anak Melayu , Maka ia telah mengembalikan semula kegemilangan Angkatan Tentera Melayu yang telah hilang sejak abad ke 18 lagi.

Di sinilah bermulanya sejarah penubuhan Tentera Darat Malaysia yang hari ini berusia 70 tahun. Hari ini Tentera Darat dan rakyat Malaysia patut berbangga kerana memiliki satu angkatan yang sangat tinggi mutu disiplinnya, berwibawa dan diiktiraf, samada di peringkat Negara mahupun di peringkat antarabangsa.

Pada Perang Dunia ke Dua kewibawaan Askar Melayu Diraja terselah apabila telah berjuang bermati-matian untuk menyangah pencerobohan musuh. Banyak kejayaan telah dicapai sehingga pada 23 Mac 1963, RAMD telah dianugerahkan gelaran Diraja. Kini Askar Melayu mempunyai 22 panji. Iaitu satu simbol kebanggaan sesebuah pasukan.

Kubur Askar Melayu yang terletak di Port Dickson iaitu tempat bersemadinya wira bangsa yang telah berjuang demi mempertahankan kedaulatan Negara sering menerima penghormatan DiRaja dari Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah selaku kol Yang Dipertua Rejimen Askar Melayu Di Raja.

Berbagai aktiviti dijalankan setiap tahun sebagai tanda peringatan rasmi termasuk tahlil dan pembersihan kubur. Semoga Allah mencucuri roh mereka dan memberi balasan yang sewajarnya di atas jasa yang telah dicurahkan.

Selama setahun aku menjadi orang awam ketika menuntut di UKM. Kini tibalah masanya untuk aku meneruskan tugas sepenuh masa. Pilihan yang diberi adalah menjadi jurulatih di PALAPES, balik ke pasukan Infantri atau menjadi Staf di Institut Pengurusan Tentera Darat (IPDA).

Permohonan ku diterima untuk ditempatkan di IPDA berkuatkuasa 1 Jun 1998. Dalam seminggu aku bertungkus lumus membungkus barang sehingga siap. Sehari sebelum memulakan tugas aku telah berada di Port Dickson.

Daerah ini bukanlah asing buatku. Malah ini adalah kali ke lima aku ke sini. Kali pertama ketika aku menyertai expedisi berbasikal dari Sabak Bernam ke Port Dickson. Temuduga pegawai kadet dan 3 kali menghadiri kursus.

Namun debaran tetap tinggi kerana tugas baru ini adalah asing buatku. Aku tetap positif untuk hadapinya kerana segala yang baru adalah pengalaman menarik buat diri ini. Aku memilih rumah di taman P.D Utama dengan sewa RM 350.00 sebulan.

Rumah 3 bilik ini aku pilih bagi menyambut isteriku yang akan pulang ke tanah air sebulan dari tarikh aku melapor diri. Rumah tersebut aku basuh dan bersihkan sebelum pindah dengan barang-barang yang lain.

Malam itu aku bermalam seorang diri dan bangun awal pagi. Selepas solat subuh aku panjatkan doa agar pertukaran ini akan diberkati allah dan dimudahkan urusan. Maklumlah.. kejayaan sesuatu perkara bukan hanya bergantung kepada kemampuan kita semata-mata.

Malah faktor teman sepejabat, persekitaran dan yang paling utama ialah keizinan dari Ilahi. Adalah penting bagi kita memperolehi suasana kerja yang sempurna.

Bumi P.D pernah mencatat banyak sejarah dan sejarah bermulanya penubuhan tentera merupakan catatan penting negara.. Di sinilah 25 orang platun pertama seramai 25 anak Melayu dilahirkan. Dan di sinilah juga terdapat kubur RAMD yang mensemadikan pejuang-pejuang terawal yang terlibat di dalam perang dunia ke dua.

Walaupun aku merupakan generasi yang jauh lebih muda dari pejuang-pejuang tersebut, namun di hati kecil ini, aku cukup bangga memilih Institusi ini sebagai kerjaya. Di sinilah aku berpeluang memberikan khidmat Bakti Tanpa Limitasi.

Tepat jam 0730 aku melapor di pejabat Ajutan (kapten Azman bin Majid) dan mendapatkan taklimat pentadbiran darinya. Sesuatu yang aku tidak sangkakan terpaksa aku hadapi. Aku dikehendaki mengisi rumah kelamin satu tingkat yang Jaraknya tidak sampai 200 meter dari kem.

Tanpa berlengah lagi aku setuju dan membatalkan sewaan di taman PD utama. Walaupun agak terkilan kerana tidak dapat menetap di taman awam, aku tetap merasakan keputusan aku ini adalah yang paling tepat.

Rumah kelamin pegawai tersebut sangatlah cantik serta istimewa. Rumah tersebut bercorak zaman kolonial, Indah dan lapang sekali. Aku terbayang jika di Kuala Lumpur rumah ini tidak kurang RM 2000.00 sewanya. Selama 1 bulan aku bersendirian. Orang dapurku akan pulang selepas graduasi.

Beberapa pegawai yang terserempak dengan aku bertanya tentang jawatan apa yang akan aku pikul di IPDA. Bila aku jelaskan tugas ku adalah PS 3 Latih dan PS 2 Latih, mereka segera menjawabmampuslah engkau Bukan apa.! Tugas tersebut sangatlah mencabar. Ia memerlukan seseorang yang cekap dan efektif bagi mengawal selia 10 cawangan dan lebih dari 100 siri kursus setahun.

Bagiku apabila ada ujian disitulah cabaran bermula. Disinilah aku kenal ramai penuntut, jurulatih serta pelawat dari berbagai kor dan perkhidmatan. Peluang membuat tugas sementara di berbagai tempat mematangkan fikiranku.

Tiada yang lebih bahagia apabila dapat bertemu semula dengan isteri. Seawal pagi aku bertolak ke lapangan terbang Kuala Lumpur (KLIA). Kemunculan isteriku benar-benar mengubat rinduku. Terasa seperti jejak kasih. Namun tak banyak dapat aku lakukan kerana kedua orang tuanya ada bersama.

Malah dia memencilkan aku sekiranya orang tuanya ada. Aku simpan sahaja perasaan ini kerana aku perlu bersangka baik, bahawa dia lebih rindukan keluarganya dari suaminya sendiri.

Selepas ke dua orang tuanya pulang kami bersiar-siar di pantai Port Dickson. Memang terasa janggal sebab dah lama berjauhan. Agak lama juga untuk kami hendak serasi semula. Tahun 1998 adalah tahun gawat. Isteriku juga turut menjadi mangsa. Hampir setahun beliau tidak bekerja.

Aku mula risau kerana masa lapang beliau berlalu begitu sahaja. Dia juga asyik merungut sebab tak ada apa hendak di buat. Satu hari aku membawanya ke kedai menjual ikan. Dia begitu gembira dan ingin memelihara ikan. Bermulalah hobi baru kami membela ikan emas. Nampaknya berseri rumah apabila penghuninya ceria.

Cuti panjang sempena perayaan kami ambil kesempatan untuk balik bercuti 3 hari ke Kluang. Habis cuti kamipun balik ke rumah. Tiba-tiba beliau menangis. Kenapa nie Tanyaku.

Rupa-rupanya semua ikannya terapung (mati). Jenuh aku memujuk. Entah macamana pada petang itu ketika kami duduk di tangga tiba-tiba seekor kucing mengiau-ngiau di hadapan kereta ku.

Melompat isteri ku mendapatkannya. Pelik kucing tu pun merelakannya. Maka bermulalah hobi baru si ibu kucing. Rupa-rupanya kuching itu adalah abang kepada 3 ekor kucing lagi. Tak tahulah salah silahnya. Kucing yang kami namakan Tiger bersama 3 anak kucing tersebut. Si Tiger sanggup tak makan asalkan adik-adiknya kenyang. Selalunya adik-adiknya akan menyondol-nyondol perut si Tiger ini kerana hendak menyusu.

Mulia sungguh keperibadian si Tiger itu. Dia layak diberi anugerah abang mithali. Tak kisahlah tu. Asalkan isteriku dapat sibukkan diri dengan hobinya yang baru. Aku pun dah mula sibuk dan terasa halal gajiku kerana kerja tanpa mengira waktu bagi mempastikan segala aspek pentadbiran dan perlaksanaan kursus dapat dibereskan.

Satu kepuasan yang aku perolehi kerana setiap tahun 4800 ke 5000 penuntut di latih di dalam berbagai bidang. Ia adalah meliputi kursus-kursus kerjaya dan sampingan. Pergaulan dengan berbagai peringkat anggota dan pegawai kanan menjadikan aku benar-benar matang.

Di Quarters kerajaan kami mula merasakan kerugian kerana tinggal di rumah yang terlalu besar sedangkan kami hanya suami isteri. Akhirnya kami membuat keputusan untuk berpindah ke Condo P.D Perdana Resort yang terletak tidak sampai 1 KM dari Kem Tempat aku bertugas.

Rumah baru ini benar-benar memberi keselesaan kepada kami. Bukan hanya kerana rumah itu cantik dan selesa, tapi juga kerana kemudahan yang banyak dan sewanya cuma RM 350.00 sahaja

Di IPDA aku mempunyai ramai kawan rapat di kalangan pegawai dan PTT kanan yang berbagai pangkat. Kami sering mengadakan majlis bersama keluarga dan perjumpaan yang sudah tentu menjalinkan silaturrahim. Seperti adek beradek lah boleh dikatakan.

Bila hubungan baik, maka kamipun boleh mudah bekerja. Dalam banyak keadaan kami dapat menyelesaikan kerja dengan mudah dan berkesan. Hari raya juga meriah kerana ziarah menziarahi telah menjadi satu kebiasaan. Hingga ke larut malam kami ketuk pintu. Namun semuanya gembira.

Aku juga banyak terlibat dalam mesyuarat-mesyuarat penting di peringkat Markas Latihan Tentera Darat. Dari situ aku lebih faham perjalanan serta perancangan tentera pada masa hadapan.

Latihan adalah elemen yang paling penting dan ia merupakan keperluan yang paling utama untuk mempersiapkan tentera bagi menghadapi apa jua situasi dalam masa perang dan aman. Sebab itulah aku merasa amat bertuah kerana memikul jawatan ini kerana di sinilah aku dapat memberi sumbangan secara optima.

Lagi 3 bulan genaplah 4 tahun aku berkhidmat di IPDA. Kini aku perlu mengambil kira masa depan aku. Walaupun aku menbuat tugas saorang Mejar, aku tetap menerima gaji kapten kerana banyak jawatan di sini merupakan jawatan gantung. Jadi selama 4 tahun aku kerugian yang sangat banyak dari segi gaji.

Tapi tidak mengapa kerana aku tidak memikirkan itu semua. Aku tidak mahu menjadi seperti sebahagian pegawai yang bersungguh-sungguh untuk melakukan berbagai cara untuk mendapatkan pangkat tetapi tidak mahu berusaha meningkatkan potensi diri.

Namun kini aku perlu keluar dari pasukan ini untuk mendapatkan pangkat aku. Ia juga ada kaitannya dengan moral and prestasi kerja. Tidak pernah sekalipun aku mendapat kurang dari menegak dalam penilaian prestasi kerja aku.

Sokongan komandan aku sentiasa tinggi terhadap aku. Seperti biasalah! apabila lapuran prestasi aku sampai ke Jabatanarah, aku tidak akan di kenali atau di abaikan. Ia sudah menjadi lumrah kerana sudah ada calun yang akan di beri sokogan gaji menegak atau melintang.

Aku dah sedia maklum fenomena itu dan aku tidak mahu memikirkan perkara tersebut. Yang pasti aku akan membuat yang terbaik dan tidak ada siapapun boleh mempertikaikan kredabiliti aku.

Aku memohon bertukar ke bahagian selatan atau ke pasukan di kawasan kuala Lumpur kerana isteriku berkhidmat di sana. Namun aku terpaksa akur kerana di arahkan bertugas di Sabah.

Pertukaran aku ke sana adalah tanpa keluarga dan aku terpaksa menghadapi situasi ini. Entah kali ke berapa aku terpaksa berjauhan dengan keluargaku. Apa nak buat aku kena mengikut arahan.

Ia tidak mendapat kelulusan kerana Jabatan arah mempunyai perancangan yang lebih baik kononnya untuk mempercepatkan pangkat dan gaji Mejarku.

Itu hanya dakyah yang terbukti hingga kini aku masih kapten. Tak apalah kerana aku sudah lali dengan fenomena ini, asalkan aku masih boleh berkhidmat itu sudah cukup baik.