Francisco cukup sinonim dengan Golden Gate yang dikenali kerana kecantikan dan disenarai dalam kelompok tujuh jambatan gantung terpanjang di dunia. Pembinaan yang mengambil masa empat tahun itu pada awalnya diragui ketahanannya kerana hanya disokong dua tiang utamanya yang jaraknya 1.9 kilometer (km).
Ia dibina bagi menghubungkan San Francisco dengan Sausalito, di utara merentasi Lautan Pasifik. Jika anda melalui mercu utama kepada bandar yang mempunyai lebih 750,000 penduduk itu, akan berpeluang melihat pulau penjara yang cukup terkenal, Alcatraz dan juga jambatan Bay Bridge yang rupanya seakan sama. Jika pelancong mahu melihat dengan lebih dekat keistimewaan Golden Gate Bridge yang panjangnya lebih 2.7 km itu, satu laluan pejalan kaki dibuka.
Penulis yang menyertai 100 pengedar syarikat jualan langsung produk makanan tambahan, Shaklee Products (Malaysia) Sdn Bhd berkunjung ke bandar ini bagi menyertai sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan syarikat itu di San Francisco. Bagi pengunjung yang gemar membeli-belah pula, Union Square yang menempatkan lebih 150 butik pakaian berjenama pastinya menjadi tumpuan.
Pelancong yang meminati perkembangan sejarah industri marin, termasuk perkapalan dan perikanan pula boleh berkunjung ke Fishermans Wharf yang terletak di Pier
39 kerana di situlah letaknya Muzium Maritim dan Taman Akuatik, selain menjadi pangkalan untuk ke Alcatraz, sebuah pulau yang pernah dijadikan penjara sejak 1933 hingga 1963.
Penulis sempat mencuba perkhidmatan kereta kabel melawat sekitar bandar berkenaan. Kenderaan itu digerakkan menggunakan kabel yang terletak di bawah tanah, berbeza dengan kereta kabel biasa yang mana kabelnya di atas. Kereta kabel itu yang menjadi antara sistem pengangkutan terpenting San Francisco mula diperkenalkan pada 1873 memandangkan keadaan struktur muka buminya yang berbukit.
Ketika itu, penggunaan kereta kabel didapati lebih selamat, berbanding kereta kuda yang pernah menyebabkan beberapa kemalangan. Perkhidmatan unik itu masih dikekalkan sehingga kini dan pada 1964 diwartakan sebagai warisan sejarah negara. Seperti masyarakat Barat lain, warga San Francisco amat meminati dan menghargai karya seni dan kebudayaan warisan bangsa mereka. Oleh itu, tidak hairan di bandar itu saja ada lebih 30 muzium dan galeri seni yang mendapat perhatian lebih 18 juta pelancong setiap tahun.
Di bandar itu, pelancong asing juga biasanya tidak melepaskan peluang berkunjung ke Castro, iaitu pusat kediaman dan aktiviti golongan yang lebih dikenali sebagai LGBT (lesbian, gay, biseksual dan pondan). Kumpulan itu mempunyai satu bendera khas yang menggunakan tujuh warna pelangi. Sejajar langkah kerajaan tempatan mengiktiraf kewujudan kumpulan itu dan menghalalkan perkahwinan sejenis, lokasi kumpulan itu turut dipromosi sebagai destinasi pelancongan.
Bagaimanapun, apa yang cukup menawan hati penulis ketika berkunjung ke San Francisco adalah melawat pulau penjara yang cukup terkenal, Alcatraz atau The Rock. Tentu anda pernah menonton filem The Rock lakonan Sean Connery dan Nicholas Cage yang mengisahkan bekas perisik terbaik Amerika yang cuba menawan semula The Rock atau Alcatraz. The Rock sebenarnya nama pendek sebuah pulau yang terpisah dari Teluk San Francisco dan penjara persekutuan Alcatraz dibina pada 1934.
Pernah menempatkan sejumlah penjenayah paling berbahaya di negara berkenaan, iaitu Al Capone, `Machine Gun Kelly dan Robert `The Birdman `Stroud. Begitupun, Alcatraz kini bertukar menjadi tumpuan pelancong selepas penjara itu ditutup pada 1963. Malah, mercu tanda bersejarah itu dilawati 1.3 juta orang setiap tahun, iaitu bilangan pelawat paling tinggi di San Francisco.
Penulis menaiki bot dari Jeti 41 dekat Fishermans Wharf dan perjalanan mengambil masa 10 minit untuk sampai ke bahagian penjara utama dan sekumpulan pelancong lain sudah menunggu di situ. Kami dibawa meninjau dan memasuki bilik penjaranya yang begitu kecil, sehingga untuk menghayun kayu besbol di dalamnya juga sukar. Setiap bilik diperuntukkan katil besi, meja kecil, kerusi dan tandas duduk.
Begitupun, kawasan paling menakutkan ialah Lubang Hitam, sebuah bilik kurungan menempatkan banduan sendirian di dalam gelap selama berhari-hari. Ia berbeza sekali dengan kawasan rekreasinya yang luas bertembok tinggi, tempat banduan bersenam. Mungkin inilah tempat paling cerah bagi banduan di sini dan pasti mereka seronok dapat keluar dari bilik masingmasing. Bagaimana ke sana
Anda boleh menaiki penerbangan
Cathay Pacific dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke San Francisco dengan harga tiket RM6,077.
Jika anda melawat Alcaltaz ketika musim panas (Jun hingga Ogos), buat tempahan dengan Red & White Ferry Service, sehingga 24 jam sebelum bertolak.
Pakai kasut dan baju yang selesa kerana lawatan ini memerlukan anda berjalan kaki serta naik turun tangga.
Tambang feri pergi balik antara pangkalan Pier 41 dan Alcatraz adalah AS$11.50 (RM42.55).
Golden Gate, Alcatraz Tarikan San Francisco
Oleh Anwar Hussin 17/09/2006