Mengapa Kita perlu Berjiran
Islam amat menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia adalah salah satu daripada cara hidup Islam. Dalam konteks kejiranan, umat Islam berkewajiban mengekalkan hubungan baik dan mesra sesama mereka. Ini kerana ia memainkan peranan penting dalam menjana satu kehidupan setempat yang aman dan harmoni yang boleh memberi kemudahan, kelapangan dan jalan keluar bagi satu-satu kesulitan atau masalah. Tuntutan supaya menjalinkan hubungan baik sesama jiran dijelaskan di dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud:
..dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, ibnu sabil dan juga hamba yang kamu miliki.
(An-Nisa : 36)
Bagi memantapkan hubungan kejiranan dalam masyarakat maka tidak dapat tidak kita perlulah terlebih dahulu menyedari keperluan dan kelebihan hidup berjiran. Antaranya:
Bantuan Ketika Kecemasan
Jiran adalah orang yang paling hampir dengan tempat tinggal kita. Segala perkara yang berlaku ke atas diri kita, ahli keluarga, harta benda dan sebagainya terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Kerana itu, jiran adalah orang yang paling dekat untuk memohon pertolongan pada saat kita ditimpa bencana atau musibah seperti kebakaran, kecurian, kemalangan, kematian dan lain-lain lagi.
Alangkah beruntungnya mereka yang mempunyai jiran yang sedia menolong pada bila-bila masa sahaja. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak-pihak berwajib atau sanak saudara. Hanya jalinan dan kemesraan yang kuat antara jiran yang dapat melahirkan suasana seperti ini.
Menambah Kenalan
Mempunyai jiran yang berbeza latar belakang seperti pekerjaan, pendidikan, agama, bangsa, keturunan, budaya, adat resam dan sebagainya akan menambahkan lagi pengetahuan dan kenalan kita. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal
mengenali. (Al-Hujurat : 13)
Mempunyai kenalan yang ramai dan rapat lebih-lebih lagi hidup berjiran banyak memberi manfaat kepada kita. Antaranya mendapat tunjuk ajar jika berjirankan seorang guru atau pensyarah, mendapat nasihat kesihatan jiran berjirankan seorang doktor, mendapat nasihat guaman jika berjirankan seorang peguam atau majistret, membaiki kerosakan pada rumah dan kenderaan jika berjirankan seorang mekanik dan begitulah seterusnya. Ini tidak termasuk ilmu atau kepakaran lain yang dimiliki oleh jiran seperti ilmu bercucuk tanam, landskap, jahitan, gubahan, masakan, komputer dan lainlain lagi.
Menjamin Keselamatan Setempat
Jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan kawasan setempat daripada ancaman kecurian, pecah rumah, najis dadah, penculikan, samseng dan sebagainya. Ini dapat dilakukan sama ada melalui Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan Kawasan atau kempen-kempen kesedaran.
Budaya bantu membantu seperti inilah yang sangat dikehendaki oleh Islam seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud:
Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketakwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. (Al-Maidah : 2)
Menjaga Keharmonian Masyarakat
Segala perkara yang mencemar keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah dengan semangat kerjasama, prihatin dan kesatuan sesama jiran. Gejala-gejala sosial seperti bersekedudukan, berkhalwat, mendera anak, lari dari rumah, bohsia, bohjan dan banyak lagi dapat dibendung jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkan kepada pihak berwajib setiap kali menyedari berlaku perkara-perkara yang ganjil dan meragukan.
Apakah kita perlu tunggu sehingga gejala tersebut menimpa keluarga kita barulah kita hendak memperkukuhkan hubungan sesama jiran Bukankah elok dan bijak sekiranya kita beringat sebelum terjadi bak kata pepatah Melayu Sediakan payung sebelum hujan. Oleh itu, membina ikatan yang kuat sesama jiran adalah syarat utama bagi menjamin keharmonian masyarakat dan kawasan.
Menjaga Kebajikan Penduduk Setempat
Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya dapat menjana satu program atau aktiviti yang menyumbang kepada kebajikan masyarakat setempat. Bagi memenuhi hasrat ini maka pelbagai jawatankuasa boleh diwujudkan seperti Jawatankuasa Kemajuan Pembelajaran Anak-anak. Jawatankuasa ini berperanan menilai pencapaian pelajaran anak-anak, mengenal pasti kelemahan dan masalah serta mengadakan program-program yang dapat meningkatkan mutu pelajaran mereka.
Di samping itu juga, menerusi penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Insan Remaja maka pelbagai aktiviti dapat disusun bagi memenuhi keperluan dan kebajikan golongan remaja seperti kem motivasi, program jati diri dan sebagainya. Ke semuanya ini menjadikan kebajikan masyarakat setempat baik anak-anak, para remaja, ibu bapa dan sebagainya sentiasa terjamin dan terpelihara. Sudah semestinya, rahsia kejayaan program ini adalah terletak kepada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud: dan urusan mereka dijalankan secara bermusyawarah sesama mereka... (Al-Syura : 38)
Integrasi NasionalPerpaduan antara kaum adalah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara kita. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam aman damai. Bagi memastikan perpaduan dan kemakmuran ini kekal ianya perlu dimulai dengan hubungan baik sesama jiran.
Jiran yang baik adalah jiran yang berjaya memupuk semangat toleransi, percaya mempercayai dan perkongsian bijak antara mereka. Sekiranya ini diabaikan maka lambat-laun ia akan mencetuskan bibit-bibit permusuhan dan perkauman yang akhirnya merebak kepada huru-hara, perpecahan dan perbalahan.
Dari anas bin Malik menyatakan Rasulullah bersabda janganlah kamu saling membenci, iri hati dan berpaling muka. Jadilah hamba Allah yang bersaudara. Dan tidak halal bagi seorang Muslim memutuskan hubungan dengan saudara dan jirannya lebih dari tiga hari. (Hadis Muslim)