KITAB XX - 30 Langkah Memikat Lelaki - 18
Gadisku yang terkenal dengan lemah-lembut, pastinya kamu tidak mahu jika ada yang mengatakan kamu adalah orang yang kasar dan tidak sopan. Tentu kamu suka jika ada yang memujimu kerana kelembutan tutur bicara dan kesopananmu.

Menjaga tutur percakapanmu bukan sahaja akan membuatkan si dia semakin tertarik denganmu, malah ia juga boleh meyerlahkan keanggunan kamu sebagai seorang gadis yang sepatutnya.

Sudah dikenali sejak dahulu lagi, bangsa kita adalah bangsa yang terkenal dengan kelembutan, kesopanan dan penuh adab.

Walaupun lelaki kelihatan sasa dan ganas, itu hanya luaran. Secara umum sahaja. Jika kamu melihat lelaki dari sudut berbeza, kamu akan dapat melihat sisi feminin si lelaki.

Mereka tidak suka dengan gadis yang bercakap kasar dan mencarut. Walaupun kamu berusaha bergaul dengannya dan mengikuti gayanya, ketahuilah apa yang sebenarnya. Jika kamu cuba bersikap seperti si dia, kamu bukan lagi menjadi pilihannya untuk dijadikan teman. Kamu hanya akan dianggap seperti rakan-rakannya yang lain.

Bukankah ia merupakan satu kerugian yang amat sangat

Jadi, untuk mendapatkan perhatian si dia, kamu perlu melembutkan bahasa kamu. Bertutur dengan sopan dan jangan sesekali mengeluarkan perkataan kasar, sekurang-kurangnya di hadapan si dia.

Mungkin kamu sudah terbiasa memarahi adik-adik kamu di rumah. Dek kerana kebiasaan itu, kamu terbawa-bawa sehingga secara tidak sengaja mengeluarkan perkataan-perkataan kasar di hadapannya.

Saranan untuk kamu yang terbiasa dengan ayat kasar, cubalah mengawal emosi kamu setiap kali berbicara. Yang penting kamu sentiasa dalam keadaan tenang dan terkawal.

Jika secara tiba-tiba kamu berasa marah, mungkin kerana emosi dalaman kamu tidak stabil, cepat-cepat pergi ke tempat lain atau cari sesuatu yang dapat bantu kamu meredakan emosi.

Gadisku, kamu adalah insan hebat yang penuh dengan kelembutan dan keayuan. Kekasaran pertuturan kamu mampu menghilangkan terus kelembutan yang ada pada dirimu.