Labah-labah gajah yang bersarang di pintu gua itu, ibarat seorang mahaguru, seolah-olahnya bertapa di situ, entah sudah berapa lama. Makanan muda didapati pada jejaringnya yang lebar dan besar. Macam-macam jenis serangga yang bersayap terjerat di jejaringnya itu. Ada pula air jernih dan dingin yang senantiasa meleleh di kiri kanan pintu gua itu. Tetapi kelawar dan kelarah yang agaknya ramai diam dalam gua itu, tidur sepanjang hari, tetapi keluar dari gua itu apabila malam untuk mencari makanan, tidak pernah merempuh sarang atau jejaring labah-labah gajah itu. Memang ada lubang besar yang terdedah di pintu gua itu, di bawah jejaring labah-labah besar itu, yang kerap-kali menasihatkan LLB G supaya berehat, bertenang dan janganlah terlalu sangat memikirkan dunia dan hal ehwal kaum serangga.
Kaum tani di Benua China, menurut satu berita Reuter dari Peking katanya pada suatu hari kepada LLB G - memelihara berbagai-bagai jenis labahlabah dan tidak kaum kita sebagaimana yang berlaku di negara Malaysia saintis-saintis di negaranegara maju juga sedang mengkaji darihal gunanya kaum labah-labah kepada kaum tani dan pertanian. Malahan, kaum tani di tanah besar China juga tidak membunuh dan memusnahkan angkut-angkut dan tebuan kerana berguna untuk membasmi berbagaibagai jenis ulat, kutu dan bubuk yang merosakkan batang padi, bunga padi, buah padi dan gandum dan juga berbagai-bagai jenis sayuran dan buah-buahan.
Pada suatu hari yang lain pula penunggu Pintu gua itu bercerita pula daripada hal berbagai-bagai pengalaman hidupnya selama sudah entah berapa tahun.
Suatu hari, waktu pagi, seekor burung sepah puteri telah terperangkap pada jejaring saya ini. Tahukah engkau bagaimana rupa dan warna burung kecil itu Oh, sungguh cantik, berwarna-warni dan berkilatkilat cahaya bulunya. Dalam bahasa Inggeris burungburung jenis itu digelar humming bird. Sayangnya, kaum muda-mudi di Tanah Semenanjung ini tidak mengenali apa yang dinamakan burung sepah puteri itu. Saya telah melepasnya daripada terjerat hingga mati, sebab ia adalah sesuatu benda yang sangat indah. Burung-burung kecil dan banyak di bumi kita ini. Di antaranya ialah burung padi, burung kelicap dan berbagai-bagai jenis pipit. Dalam bandar raya Kuala Lumpur, saya agak, sudah tidak ada lagi burung-burung kecil itu. Yang banyak dan semakin banyak ialah burung gagak, demikian labah-labah gajah bercerita kepada saya, LLB G, yang sekarang diarahkan pula oleh Profesor Doktor Mentadak Mentadu, membuat kajian di Kampung Janda Baik.
Setelah kira-kira satu bulan lamanya LLB G berehat dan tumpang bertapa di pintu gua sebuah bukit dalam kawasan Kampung Janda Baik, dengan ihsan dan baik budi labah-labah gajah, penunggu gua itu, tanpa dapat menghubungi rakan-rakannya yang mungkin masih berada di taman RR dekat bangunan bandar raya Kuala Lumpur, ia memberanikan dirinya bertanya kepada labah-labah gajah apakah pendapat dan pandangan beliau berkenaan masa depan Kampung Janda Baik dan para penduduknya yang terdiri dari orang-orang Melayu dan Orang
Asli.
Barangkali mereka itu terpaksalah berpindah ke kawasan lain, kalau tidak semuanya pun, sebilangan besar daripada mereka itu, demikian jawapan pendek labah-labah gajah.
Tetapi ke mana mereka itu hendak pindah, tuan
Ahh, tanah-tanah hulu masih banyak dan luas. Orang-orang Melayu di sekitar bandar Bentong ramai yang telah pindah ke Kampung Ulu Lebu, ke Lembah Bilut dan ke Felda Sungai Sertik, dan ramai juga orang-orang Melayu dalam daerah Raub yang telah pindah ke Ulu Kelau. Mengikut kata seorang tua di kampung ini mereka sudah pun merancang hendak pindah ke Ulu Sungai Kenaboi, jawab labah-labah gajah. Tuan sendiri bagaimana pula tanya lagi LLB G.
Kalau nanti kawasan ini dimajukan menjadi Wilayah Persekutuan yang ketiga, bandar kembar Kuala Lumpur yang kedua, dan satu lebuh raya baru akan dibuat untuk menyambungkan Janda Baik dengan Hulu Kelang dan bukit ini pun akan diruntuhkan maka saya juga akan terpaksa pindah entah ke mana saya pun belum tahu.
Tetapi mengapakah orang-orang Melayu di sini akan pindah ke tempat lain, semakin jauh di huluhulu sungai, di kaki-kaki gunung
Alahai, jawabnya mudah sangat. Orang-orang Melayu pantang dapat duit banyak. Katakanlah nanti satu ekar tanah kampung di Janda Baik ini naik harga tiga ratus ribu ringgit. Tapak tangan orang-orang kampung di sini mulalah gatal-gatal. Dan apabila dapat duit banyak mereka bukan tahu nak melabur dalam ASN, dalam Bank Simpanan Nasional dan sebagainya. Malahan mereka sudah pun mula pandai bercakap darihal pelaburan BMF di Hong Kong. Apa sudah jadi, kata mereka itu. Contohnya awak sudah nampak. Itu tuan punya kereta Honda yang awak tumpang dari Genting Highland ke mari, pada adatnya, tidak lama lagi akan jadi papa kedanalah, kata labah-labah gajah.
Tetapi begini, tuan, LLB G cuba memberikan pendapat dan pandangan. Kalau Kerajaan Malaysia atau Kerajaan Negeri Pahang dapat mengadakan sesuatu rancangan khas atau yang istimewa untuk menjamin kedudukan orang-orang Melayu di Kampung Janda Baik, saya fikir mereka itu tidak perlu pindah, bagaimana pula pendapat dan pandangan jauh, tuan
Saya tidak berani nak menjawab pertanyaan seperti itu, tidak sanggup hendak meramalkannya. Tetapi mudah-mudahan akan diadakan sesuaturancangan yang bertujuan begitu, tegas labah-labah gajah.
Tiba-tiba seekor belalang terjerat di jejaring labah-labah gajah, terkial-kial mencuba hendak melepaskan dirinya, tetapi ia terjerut semakin teruk.
Ahh, makan besarlah kita hari ini, kata penunggu pintu gua yang mungkin mengandungi banyak rahsia. Awak pun boleh tumpanglah. Binatang belalang ini, macam-macam jenisnya, ialah musuh manusia ....
Jenis yang besarnya amat merbahaya. Kalau sesekali beratus ribu datang menyerang sawahsawah padi maka sekejap sahaja habislah binasa beribu-ribu ekar padi, diputus-putuskannya batangbatang padi yang belum berbuah atau yang sedang berbuah. Nampaknya saja segala jenis belalang tidak merbahaya, tetapi angan-angan mereka jahat. Bak kata pepatah Melayu: di tengah padang, belalang ingin jadi burung helang. Manusia memang mempunyai banyak musuh, bahkan di antara satu bangsa, satu agama, satu parti politik pun mereka itu bermusuh-musuhan, berbunuh-bunuhan.
Oleh kerana kekenyangan maka darah dan lemak seekor belalang yang besar yang terjerat pada jejaring labah-labah gajah, penunggu gua di sebuah bukit sebelah kanan jalan masuk ke Kampung Janda Baik itu maka LLB G termamai-mamai dan tidur nyenyak. Cuaca disekitar kampung itu mula-mula redup dan kelabu. Tak lama kemudian senjakala pun tiba, dan labah-labah gajah pun tertidur juga.
Tidaklah kedua-dua ekor labah-labah itu sedar bahawa beberapa ekor ular yang besar dan keci, yang hitam, kuning, putih dan berbelang-belang telah masuk menyelinap ke dalam gua itu. Beberapa ekor tikus mondok, burung-burung jampuk, tenggiling, kala dan jengking juga mencari perlindungan dalam gua itu.
Sebaliknya pula, manusia dari berbagai-bagai kaum dan puak, berbagai-bagai bahasa, agama dan kebudayaan semakin terpengaruh oleh kemajuan sains dan teknologi. Genting Highland terangbenderang dengan cahaya api hingga pagi, bergema dengan lagu dan nyanyi, tari-menari, sorak-sorai yang menang judi dan keluh-kesah yang kalah ....