Urus niaga pertama di Langkawi benar-benar mengajar aku banyak perkara. Daripada jenis-jenis udang, jenis-jenis ikan dan pelbagai lagi. Aku juga belajar bagaimana untuk kerja pemprosesan makanan laut dengan cara kiriman segar ataupun sejuk beku mengikut spesifikasi antarabangsa. Dan sehingga saat itu, aku masih lagi seorang trader. Aku tidak ada kapal menangkap ikan, aku tidak ada kilang memproses ikan dan aku tidak ada apa-apa walaupun sebidang pukat ikan. Yang aku ada ialah semangat dan kesungguhan besar untuk mendapatkan pelanggan.
Umpan ayat pemasaran aku di forum trading antarabangsa mengena, aku terima e-mel daripada seorang warga Korea Selatan bernama Yoon. Setelah membaca e-mel beliau berulang kali, aku faham bahawa beliau seorang pengedar udang di Seoul dan mewakili bosnya yang sedang mencari pembekal baharu dari Malaysia. Kami saling berutus emel dan kerap juga bersembang di Yahoo Messenger. Aku cuma mahu pastikan bahawa makhluk bernama Yoon ini benar-benar serius dan bukan seorang joy buyer. Selepas puas menceritakan apa yang beliau mahu, aku jadi seram sejuk pula. Mana aku hendak dapatkan udang sebanyak yang dia mahu Minimum dua kontena sebulan sebagai percubaan dan selebihnya ialah sepuluh kontena sebulan sekiranya lulus edisi percubaan.
Gila! Aku segera telefon Nookie, partner-in-crime aku dalam bisnes trading. Aku cakap pada beliau segala yang berlaku dan meminta tolong beliau untuk menyokong aku dari belakang. Kami sama-sama mengkaji jenis-jenis udang yang budak Kpop ini minta. Ada dua jenis, Vannamei dan Monodon. Namapun macam Transformers. selepas membuat carian di internet, barulah aku tahu bahawa nama saintifik bagi udang putih ialah Paneous Vannamei dan nama bagi udang harimau ialah Paneous Monodon. Ambik kau! Tak pasal-pasal aku kena kaji pasal udang gara-gara si mamat Korea ini. Nasib baiklah aku memang minat sains dan biologi.
Urusan trading begini bukannya senang. Ia memerlukan pengetahuan mendalam mengenai sesuatu produk yang pelanggan minta. Kemudian, kau mesti kena kenal pasti di mana kau boleh dapatkan stok barang yang pelanggan mahu. Seterusnya, kau mesti pastikan spesifikasi yang pelanggan mahu itu diikuti sepenuhnya, ini termasuklah sijil-sijil piawaian eksport yang mereka perlukan seperti HACCP, GMP dan sebagainya. Selepas itu, kau mesti tahu bagaimana susunan barang ke dalam kontena dan urusan kargo. Dan akhir sekali, kau mesti faham dengan jelas apakah itu Proforma Invoice, Payment Terms dan terma-terma import eksport seperti FOB Price, CNF Price, CIF Price, BL, Airway Bill, Consignment, CBM dan terma bayaran seperti TT, LC dan sebagainya lagi. Ini semua aku belajar apabila berurusan pertama kali dengan si Korea ini.
Selang beberapa ketika, Yoon mengirim e-mel berbunyi, I want to come to Malaysia. Please arrange my visit accordingly as this trip is my first time to your country.
Aku terus pening, apa yang aku perlu buat sekarang Aku cuma ada kereta Perodua Kancil dan aku memang tak biasa melayan orang Korea. Akhirnya, aku buat keputusan untuk menyewa sebuah kereta, mendapatkan hotel untuknya berhampiran Sungai Wang Plaza dan menyusun atur jadual untuknya selama si Korea itu berada di sini selama beberapa hari. Ini termasuklah lawatan ke kolam-kolam udang di sekitar Klang dan Kuala Selangor. Dipendekkan cerita, aku dan Nookie berjaya menjadi supir seterusnya menyantuni rombongan Yoon dengan baik sekali. Aku menerima Purchase Order pertama daripada Yoon sebaik saja beliau selamat tiba di Seoul dari Malaysia. Kami berjaya menguruskan tempahan pertama dengan penuh keterujaan.
Bisnes trading begini untungnya kecil, kita main untung sen-sen sahaja sekilo. Tetapi kita fokus kepada volume besar. Penat dan kesungguhan kita untuk menguruskan setiap shipment sama sahaja. Yang membezakan semua ini ialah jumlah tempahan yang diterima oleh pelanggan. Semua trader yang bermain di dalam sektor inipun mahu mengejar volume tinggi. Satu kontena 20 kaki boleh membuatkan sehingga 15 tan udang dan sebuah kontena bersaiz 40 kaki boleh memuatkan sehingga 25 tan udang. Satu tan itu bersamaan dengan seribu kilogram. Kau kiralah sendiri berapa banyak untung yang kau boleh dapat dengan keuntungan sen-sen sekilo.
Kontrak pembekalan aku kepada Yoon terputus apabila industri udang di dalam negara kita dilanda wabak white spot. Satu wabak penyakit udang yang menyerang kolam tanpa belas kasihan. Namun, aku tidak berputus asa ataupun kecewa. Pada aku, proses begini cukup baik untuk aku belajar tentang perihal import dan eksport khususnya dalam bidang makanan laut. Aku tidak pernah melupakan kisah ini dan sehingga ke hari ini aku masih lagi menjalankan bisnes ini apabila ada permintaan.