Mencari Kiblat Cinta - 180
Seperti Danira, dia juga bimbang dengan nasib Aliff. Peluru yang keluar dari muncung pistol Faruk menebuk tepat di bahagian dada Aliff. Malah menurut doktor yang membedah Aliff, pembedahan itu mengambil masa kerana peluru itu berada hanya selang beberapa sentimeter dari jantung anak muda itu.

Sama ada awak ataupun Naufal, saya tak mahu awak berdua cedera. Saya tak sanggup. Bisik Danira sebak.

Filman memandang anak gadis itu dalam-dalam. Jika diikutkan hatinya, dia mahu mengusap air mata di pipi anak gadis itu. Dia mahu memeluk Danira dan menenangkan perasaan anak gadis itu. Tapi dia masih sedar jarak dirinya. Dia benar-benar mencintai Danira. Cintanya tak pernah berubah sebelum dan selepas dia mengetahui kaitan Danira dengan abangnya. Sekalipun dia tahu Aliff merupakan punca kematian Firdaus, namun hatinya tidak sanggup berubah. Dia tidak sanggup lagi kehilangan gadis itu.

Abang, pembedahan dah selesai. Suara Najla singgah tidak jauh dari situ. Filman berpaling. Danira ikut menoleh. Melihat Najla memberi isyarat. Kedua-duanya segera bergegas ke suatu arah.

Tidak jauh dari situ, Tengku Amar juga dapat menangkap suara Najla. Tubuhnya disandarkan pada kerusi yang didudukinya. Fikirannya benar-benar kacau. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Dia tidak tahu harus marah atau gembira kerana pembedahan anak muda itu sudah selesai. Dia juga tidak tahu haruskah dia melihat keadaan anak muda itu atau lebih baik dia duduk sahaja di situ tidak berganjak.

Sudah seminggu berlalu, namun Aliff masih terlantar koma di atas katil. Menurut doktor yang memantau Aliff, keadaan anak muda itu tidak berapa baik. Malah denyutan nadi Aliff lemah. Meskipun pembedahan membuang peluru di dada Aliff berjaya dilakukan, namun keadaan Aliff tidak juga beransur baik.

Selama Aliff tidak sedarkan diri, Danira tidak pernah berenggang langsung dari sisi anak muda itu. Dia menjaga Aliff siang dan malam. Kadangkala Pak Maidin dan Mak Minah akan datang menemaninya. Dan kadangkala Tengku Saida akan datang ke situ bersama Najla. Setiap kali keluarga itu datang melawat Aliff, dia akan cuba sedaya upaya menghindar. Entah kenapa dia merasa kekok dengan kehadiran Filman dan keluarganya. Dia perasan Filman seolah mahu mengatakan sesuatu padanya, namun dia sengaja menahan dirinya dari memandang lelaki itu.

Naufal! Sedarlah dik. Buka mata Naufal dan tataplah kakak. Kakak tak boleh hidup tanpa Naufal. Sekalipun suatu hari nanti mereka tahu apa yang telah Naufal lakukan, kakak akan sujud dan minta ampun pada mereka! Bisik Danira seraya mengucup tangan Aliff yang sedang tidur. Airmatanya terburai dari kelopak mata, lalu menitis ke pipi. Dia sendiri enggan mencongak sebanyak manakah airmatanya tumpah kali ini.

Apa yang berlaku malam itu benar-benar membuatkan dia hilang pertimbangan diri. Apabila Faruk menghalakan muncung pistol itu ke arahnya, dia hanya ingat Naufal menerpa ke arahnya. Dan serentak percikan darah mengenai serata wajahnya. Dia terpaku melihat wajah Naufal yang menyeringai. Malah liang besar di dada Naufal membuatkan dia histeria. Apabila anak muda itu terkulai di hadapannya, dia menjerit seperti orang gila.

Ketika dia memangku Naufal, anak muda itu kelihatan lemah. Dia berteriak memanggil Filman, namun Filman sudah diasak lelaki-lelaki bertubuh besar yang bersenjatakan pisau dan pistol. Filman kelihatan berani menentang lelaki-lelaki itu bersendirian.

******

Seorang lelaki menuju ke arahnya lalu mengheret tubuhnya. Dia meronta-ronta cuba melepaskan dirinya dan ketika itulah pisau di tangan lelaki itu menghiris lengannya. Filman yang melihat keadaannya segera membantu. Lelaki-lelaki itu tambah marah dan terus menyerang Filman dari setiap sudut. Ketika itu dia amat takut. Nyawanya seperti di hujung tanduk. Melihat Filman tercungap-cungap, dia merasa tidak berupaya. Melihat Naufal di pangkuannya yang lemah tidak berdaya, dia semakin risau.

Ketika itulah telinganya mendengar bunyi siren polis. Tak semena-mena dia melihat Joshua muncul di situ bersama Umar dan beberapa orang anggota polis. Beberapa orang lelaki bertubuh besar itu berjaya ditangkap. Begitu juga dengan Faruk. Namun dia tidak tahu bagaimana dengan nasib Cobe. Dan dia tak sempat mahu mengambil tahu, apatah lagi keadaan Naufal lebih membimbangkannya.

Danira menarik nafas panjang. Terlalu banyak peristiwa buruk berlaku pada mereka selama ini. Dan kini keadaan Naufal pula! Ya Allah, tolonglah izinkan Naufal sedar semula dan membuka matanya. Aku terlalu ingin memeluknya lagi!

Sebentar tadi Kamila juga ada datang mengunjunginya bersama Zulbhan. Wanita itu memeluknya sebaik melihatnya. Dia juga membalas rangkulan wanita itu dengan perasaan pilu. Entah kenapa kehadiran Kamila benar-benar melegakannya. Di hadapan wanita itu dia tidak malu menumpahkan airmata dan menceritakan segala-galanya. Kamila benar-benar terkejut apabila mengetahui tentang Aliff.

bersambung

Bab akan datang :

Adakah keluarga Filman masih boleh menerima Danira