Dah lama aku tak berbual dengannya. Kali terakhir aku di rumah ini adalah ketika aku nyaris-nyaris mahu menumbuknya. Pada ketika itu bapa aku akhirnya memberitahu kepada mak aku tentang pilihan yang terpaksa dilakukannya. Aku masih hairan bagaimana mak aku mampu berada di samping bapa aku sepanjang masa ketika perbicaraan diadakan. Segala tohmahan telah dikeluarkan oleh masyarakat tentang mak aku pada waktu itu, tetapi dia tetap bersabar. Ada orang yang mengatakan mak aku tidak pandai menjaga bapa aku sendiri sehingga membuat bapa aku mencari perempuan lain. Walau pun dia dituduh bukan-bukan, mak aku tetap menghadapi ini semua dengan tabah.
Sebulan selepas bapa aku dibebaskan daripada sebarang tuduhan membunuh, bapa aku akhirnya memberitahu kepada mak aku bahawa dia sedang mengadakan hubungan intim dengan Fatin. Sebelum bapa aku mengenali Najwa yang mempunyai pekerjaan sambilan sebagai GRO itu, bapa aku telah terlebih dahulu mengenali Fatin. Melalui Fatinlah dia akhirnya mengenali Najwa yang jauh lebih cantik dan lebih muda itu.
Fatin sebenarnya sudah lama menaruh hati kepada bapa aku walau pun dia menjadi perempuan simpanan kepada seorang eksekutif berbangsa Cina yang tinggal serumah dengannya dan Najwa.
Ketika bapa aku bertengkar dengan mak aku pada hari itu, dia ada berkata tentang konspirasi seorang kenamaan yang melibatkan Fatin. Sejumlah wang yang banyak telah bertukar tangan. Bapa aku juga terpaksa menurut kemahuan Fatin jika tidak katanya, Fatin akan memberitahu kepada pihak berkuasa apa yang sebenarnya telah berlaku pada hari Najwa dibunuh.
Fatin mahukan cinta dari bapaku setelah dia ditinggalkan eksekutif Cina yang telah menjaganya selama ini. Dia mahu bapa aku meninggalkan mak aku begitu sahaja... Mak aku cukup-cukup kecewa bila dia dikhianati bapa aku sebegini rupa. Dalam keadaan sedihnya, dia tanya bapa aku jika dia telah membunuh Najwa. Bapa aku tidak menjawab. Dia tidak memberikan sebarang jawapan kepada soalan mak aku itu, tetapi dia telah berkata:
Kalau memang betul aku sayangkan kau, aku tak akan cari perempuan-perempuan macam ni untuk menggantikan tempat kau!
Ketika itu aku tidak mampu berdiam diri lagi. Ketika itulah aku terlalu marahkannya kerana telah membuatkan mak aku meratapi nasibnya dicela oleh suaminya sendiri.
Aku memasakkan telur goreng untuk bapa aku. Aku suruh dia makan. Aku kata aku perlu pulang ke KL. Dia tanya jika aku ada kelas pagi ini. Aku kata aku tak ada kelas pada hari Sabtu. Dia tanya aku jika aku akan ke mana-mana pada hari ini. Aku menggeleng.
Aku lihat bapa aku hanya merenung ke arah makanannya. Aku mengucapkan selamat jalan kepadanya. Aku ke ruang tamu lalu mengambil buku nota keratan akhbar kepunyaan ibuku. Bapa aku tidak memerlukannya. Dia tidak perlu ini semua untuk mengingatkannya tentang kesilapan yang telah dilakukannya lalu menghancurkan hidupnya dan orangorang yang disayanginya.
Aku terus keluar lalu menghidupkan enjin motor kapcaiku.
Aku rasa bapa aku perlu belajar untuk menerima hakikat bahawa dia tidak mungkin boleh mendapatkan kembali kebahagiaan yang pernah dikecapnya ketika kami hidup sebagai sebuah keluarga. Lagi pun, apa yang telah berlaku ke atas dirinya adalah tindak balas kepada apa yang dilakukannya di atas pilihannya sendiri dan kini dia perlu menerima padahnya. Dari Shah Alam, aku terus ke Kuala Lumpur. Aku telah ke McDonalds yang terletak di sebelah Central Market dengan harapan untuk menemui rakan Melati yang bernama Siew Ling itu. Aku bernasib baik. Dia sedang bekerja ketika aku mahu menemuinya di sana.
Aku telah bertanyakan kepada Siew Ling apa yang harus aku lakukan kepada Melati untuk memberitahunya bahawa aku menyayanginya. Siew Ling mengajarku isyarat tangan untuk aku sayang kamu satu isyarat tangan yang pernah aku lihat Melati tujukan kepadaku tanpa aku fahami maksudnya sebelum ini.
Selama ini, tanpa aku sedari, Melati telah berkali-kali memberitahu aku bahawa dia menyayangiku.
Aku mengucapkan terima kasih kepada Siew Ling.
Aku rasa bersalah terhadap Melati.
Dalam rasa bersalahku, aku terus ke Kampung Baru. Aku ke tempat rahsiaku. Aku perlu menenangkan fikiranku di sana.
Aku ke tingkat teratas flat PKNS itu. Aku terus duduk di tangga besi sambil memandang ke arah panorama Kuala Lumpur yang tersergam indah di sekelilingku. Aku memikirkan tentang Melati. Aku memikirkan tentang segala kesilapan yang telah aku lakukan kepadanya.
Aku sayang kepadanya. Dialah satu-satunya manusia yang berjaya melembutkan hati aku dan membuat aku fahami bahawa dunia ini penuh dengan keindahannya.
Mat. Namaku dipanggil oleh suara yang aku kenali. Aku menoleh. Aku melihat Melati ada di situ. Dia telah memberanikan dirinya untuk berdiri sendiri di atas tangga besi untuk menemui ku.
Mel! Sahut ku. Aku berdiri. Aku memandang ke
arahnya. Mana awak tahu saya ada di sini
Dia memandang terus kepadaku. Dia tidak menjawab soalanku itu. Tapi daripada raut wajahnya aku dapat membaca bahawa dia tahu ini tempat rahsiaku dan dia tahu jika aku ada masalah, aku pasti akan ke sini untuk mengadu nasibku kepada sebuah kota bernamakuala Lumpur yang mampu memberikan segala-galanya dan mengambil segala-galanya daripada manusia-manusia yang bercinta dengannya.
Dia menunjukkan sesuatu ke dalam buku notanya.
Tulisan yang telah ditulisnya sebelum ini:
Tamrin dah jelaskan kepada saya apa sebenarnya telah berlaku.
Saya minta maaf Mel, kataku dengan menggunakan isyarat tangan. Melati mengangguk. Dia memahami dan memaafkan.
Aku memegang tangannya. Aku meminta dia duduk di sebelahku. Aku tunjukkan kepadanya buku nota keratan akhbar kes pembunuhan Najwa. Di bahagian terakhir buku nota ini aku terjumpa dengan sekeping gambar keluargaku yang terselit di antara keratan-keratan akhbar yang ada. Gambar ini telah diambil di Pantai Teluk Chempedak setahun sebelum peristiwa ini hadir untuk menghancurkan kebahagiaan kami. Aku tak tahu mengapa mak aku selitkan gambar ini di dalam buku nota ini. Tetapi aku pasti dia mempunyai sebab untuk melakukannya.
Aku tatap gambar itu lama-lama. Aku beritahu kepada Melati bahawa mereka adalah manusia-manusia yang paling aku sayangi - bapa aku, mak aku, Hani dan Nani.
Kemudian tanpa aku sedari air mataku berlinangan membasahi pipiku. Segala saat-saat bahagia yang pernah aku alami bersama mereka sebagai sebuah keluarga tiba-tiba terlintas di fikiranku. Kini semuanya hanya tinggal sebagai memori manis yang akan aku simpan sampai bila-bila di hatiku. Melati mengesat air mataku. Dia kata mak aku cantik dan adik-adik aku comel. Aku pula mempunyai iras-iras wajah bapaku.
Awak tak boleh terus hidup di masa lampau dan membiarkan apa yang telah berlaku terus menghantui hidup awak, tulis Melati di dalam buku nota kecilnya. Aku setuju dengan pendapatnya. Aku simpan gambar keluargaku ke dalam kocek kemejaku kemudian aku terus siat kandungan buku nota di hadapanku satu persatu lalu aku campakkan kertas-kertas yang telah aku siat ini ke hadapan dan biarkan ia berterbangan dibawa angin.
Aku akhirnya menjumpai cara untuk mengubati hatiku yang luka selama ini.
Kenapa awak cari saya Aku akhirnya bertanya kepadanya. Saya fikir saya dah kehilangan awak... Saya fikir awak bencikan saya... Saya fikir dunia ini tak ada erti lagi kalau awak tidak lagi menjadi sebahagian daripada hidup saya...
Melati meletakkan jarinya ke mulutku untuk meminta aku diam. Barulah aku sedar, aku juga suka membebel.
Seterusnya dia buat isyarat tangan yang mengatakan dia sayang kepadaku. Satu isyarat yang baru sahaja aku belajar pagi tadi.
Saya tahu awak pakai sayap awak untuk buktikan awak sayang kepada saya. Sekarang satu universiti tahu awak sayangkan saya!
Sejurus selepas aku membaca tulisannya, aku memintanya berdiri lalu memandang ke arah panorama Kuala Lumpur di hadapan kami. Aku mencari sebentuk awan yang dapat dengan tepat menjelaskan perasaanku kepada dirinya.
Aku menjumpai awan yang aku cari. Awan yang aku pilih itu berkepul di tengah-tengah langit yang membiru. Warnanya putih seperti kapas. Kemudian aku membuat isyarat tangan bahawa aku menyayanginya.
Dengan pantas Mel mengeluarkan kameranya. Dia mengambil gambar awan tersebut. Dia kemudian memberitahuku bahawa inilah dia awan yang perfect yang dicari-carinya selama ini.
Tapi kenapa awan ini
Kerana kehadiran awak di dalam hidup saya telah membahagiakan saya dan awan ini adalah buktinya. Itulah jawapan yang diberikan kepadaku.
Aku terus memandang ke arah Melati. Dia terus memandang ke arahku. Aku membuka sayapku lalu meminta dia memakai sayapku itu. Dia menurut sahaja tanpa banyak soal. Kemudian, buat beberapa minit seterusnya kami hanya diam sambil saling berpandangan. Kesepian yang terwujud di antara kami dapatku rasakan seperti bunga-bunga indah menari-nari dalam hatiku. Tanpa meluahkan sepatah perkataan pun, aku terus dapat memahami isi hatinya pada ketika itu, begitu juga dirinya. Barulah aku fahami bahawa pada saat itu, hati kami akhirnya lebur menjadi satu.
Walau pun kewujudan cinta tidak mampuku lihat, tetapi aku yakin cinta yang diungkai Melati dan diriku ini indah dan cantik seperti awan-awan di langit.