SELESTIAL - 19
Ia mimpi ngeri. Aku lihat jasadku berubah dari satu bentuk ke bentuk yang lain. Untuk seketika ia menyerupai Robert. Sesudah itu ia bertukar pula menjadi Luke. Sebelum sempat aku menghadam apa yang aku tatap, ia menjelma pula menjadi Sumiryati. Aku sudah mahu menjerit tatkala tubuh Sumiryati mula membengkak sebelum ia terjalin dalam bentuk Simon. Tatkala tubuh Simon kembali menjadi jasadku kembali, aku pejamkan mata. Tidak sanggup rasanya menatap wajahku sendiri.

Mengapa Ya Allah Mengapa harus aku hadapi semua ini Jiwaku kalut, hatiku gusar, getar yang menggugah rasa ini seolah mahu membunuhku tetapi mengapa aku tidak lagi menghadap maut itu

Kami takkan biarkan kau mati ujar jasadku itu.

Ketika itu aku cuba memahami apa yang terjadi dengan diriku. Jika jasad di depan itu adalah aku, maka apakah keadaan aku kini Bagaimana aku boleh berdepan dengan jasad sendiri

Aku hulurkan tanganku tetapi aku tidak dapat lihat apa-apa.

Aku cuba usap wajahku, tetapi tiada sebarang sentuhan pun berlaku. Sebelum sempat aku memahami apa yang terjadi, aku dapati aku telah kembali ke dalam jasadku. Cuma bezanya, aku berasa seolah terkurung dalam sejenis tubuh yang bergerak sendiri.

Jasadku bergerak dan menyentuh dinding yang dipenuhi lumut. Ia terurai dengan sentuhan tanganku dan hawa panas dari luar mula menerjah masuk diiringi oleh debu-debu merah planet Marikh. Biarpun begitu, jasad ini tidak pula terhakis sifatnya. Aku dapati mayat-mayat rakanku pantas saja rentung tubuh mereka tatkala diterpa angin Marikh yang ganas itu. Ia tak lama. Dalam sepintas lalu sahaja, tubuh mereka pantas ditelan debu-debu Marikh tadi.

Dalam keadaan tubuhku yang tidak berbalut sebarang pakaian, aku mengorak langkah melintasi batu-batuan Marikh yang memenuhi landskap. Terasa dinginnya meresap ke dalam kulit tetapi tidak pula ia merosakkan jasadku. Cahaya mentari yang aku ketahui tidak ditapis ultravioletnya atmosfera barangkali sudah menggigit ganas jasad ini. Dinginnya begitu nyata. Entah berapa tahap radiasi yang sudah dijamah oleh sel-sel tubuh ini. Gubahan drastik ke atas penstrukturan sel-sel jasad ini cukup menggemparkan. Ia begitu imun dengan keadaan cuaca yang teruk. Diharap mekanisme ini mampu dipelajari

Tanpa sebarang kepayahan, jasadku dibawa melonjak lalu memanjat tebing tinggi ini dengan satu kebolehan luar biasa. Mudah benar geraknya, seolah graviti bukan lagi halangan yang harus ditakutkan. Lincah dan aku tak percaya jasadku itu punya kebolehan sebegitu rupa.

Dalam masa beberapa minit sahaja, aku sudah berada di puncak tebingan. Ketika itulah aku dapat lihat segerombolan pasukan pencari dari komuniti sedang berlegaran di atas sisi tebing. Mereka terpegun dengan kehadiranku. Ya, tanpa sebarang sut angkasawan, bagaimana aku boleh kelihatan normal di mata mereka Aku rasa mereka akan tembak aku. Namun begitu, aku sedar juga kami tidak punya senjata sebegitu. Kami selama ini optimis, Marikh tidak punya kehidupan kompleks yang memudaratkan populasi kami. Marikh adalah planet yang sudah mati. Dan misi kami ke sini adalah untuk menghidupkannya.

Pengimbasan dibuat. Aku dapat rasa bagaimana mereka menembakkan jalur X-Ray untuk membuat pengesanan ke atas fizikalku. Ia menggerunkan. Aku dapat bayangkan mereka sedang melihat bagaimana makhluk-makhluk parasit itu menjajah tubuhku.

Biarpun begitu, aku masih tiada kuasa ke atas tubuh ini. Kakiku tenang sahaja melangkah di atas permukaan Marikh tanpa sebarang lapik. Aku tak rasa apa-apa. Aku hanya melihat dari lensa mata seolah-olah ia paparan simulasi grafik yang dipersembahkan dengan keadaan badanku terikat.

Aku tampak laras senjata. Aku cuba mengingati apakah yang bersifat seperti pistol itu. Kenapa tiada dalam protokol rasanya Tatkala rentetan peluru membuntil keluar dan menghentam jasadku, aku sedar kini apakah objek itu. Renjatan elektrik menggugah visi penglihatanku. Aku akan rebah. Itu andaian pertama.

Ah, ia tak terjadi. Bahkan, tubuh ini terus melangkah mendekati mereka. Masing-masing kaget. Aku cuba mengenalpasti identiti mereka, tetapi deburan debu-debu Marikh yang begitu garang telah mengaburi wajah-wajah mereka yang terlindung di balik bebola kaca mampat yang menutup kemas ruangan yang ada. Dengan tenang, aku melompat ke atas salah satu dari kenderaan yang ada. Bergegar ia dibuatnya. Lalu aku duduk bersila seolah ia tiada apa. Sedangkan aku percaya suhunya pasti mencecah tahap beku yang cukup untuk membunuh kulitku dan organ-organ dalamanku. Darah yang mengalir di dalam pembuluhnya akan terhenti dan merapuh pantas. Air yang menjadi komposisi utama tubuhku akan membeku tanpa sempat otakku menggira detiknya.

Dan hal itu tak terjadi juga.

Bawa aku balik ke Space X2. Aku akan jelaskan semuanya. Aku bukan Razali. Aku penghuni Marikh ini. Aku akan kongsi apa yang aku tahu dengan kamu semua

Kekok nadanya. Aku tak percaya kebolehan bersuaraku turut diajuk mereka. Pemilihan diksinya kelakar bagiku, kerana aku percaya aku takkan gunakan ayat-ayat sebegitu rupa. Dalam kepalaku aku dapat dengar bunyi desisan yang saling bertingkahan dengan bingit bunyi umpama loceng. Ia bertingkahan tanpa henti dan cukup menjengkelkan. Aku berharap bunyi itu hilang semerta kerana jiwaku tidak dapat menahan seksaannya.

Mereka ketakutan. Pantas ditinggalkan kenderaan itu. Tanpa menunggu lama mereka bergegas meninggalkan kawasan itu meninggalkan kami. Angin ribut kembali menerobos suasana. Namun aku sedar jasad ini akan dapat mengharunginya.

Tanpa menunggu lama, aku terus masuk ke dalam kenderaan pacuan lapan roda tersebut. Kekok benar rasanya melihat bagaimana makhluk parasitik itu menggunakan pengetahuanku untuk mengawal kenderaan tersebut tanpa kesukaran langsung. Tertera koordinat penempatan kami di paparan skrin pemanduan. Automatik.

Setelah memasukkan parameter-parameter yang tepat, kenderaan itu mula bergerak perlahan. Angin ribut menunjukkan kelajuannya pada 175 km/jam. Ngeri benar sekiranya ditempuh tanpa peralatan khas. Namun begitu kenderaan pacuan lapan roda ini telah direkabentuk untuk menahan keganasan ribut Marikh pada kelajuan begitu. Aku tak perlu risau. Aku tak peduli sebenarnya. Aku tak mahu jasad itu menyinggah di komuniti itu dan membiarkan makhluk-makhluk parasitik ini menjajah koloni manusia yang baru hendak bertapak di Marikh ini.

Ketika ini aku hanya mengharap bateri kenderaan ini akan habis sebelum ia tiba di kawasan komuniti itu. Aku berharap aku dapat melaraskan sistem pemanasan ini ke tahap maksimum untuk menyingkatkan lagi jarak perjalanannya.

Kedengaran bunyi radio transmisi dari pusat induk cuba berkomunikasi. Aku percaya mereka tahu pergerakan aku kerana kenderaan ini memang telah dilengkapi dengan alat pengesan begitu. Namun aku sedar aku tidak punya kaedah untuk berkomunikasi dengan mereka dengan menggunakan keinginan diri. Tubuhku telah dijajah parasit secara mutlak. Tambahan pula ia parasit yang licik dan punya intelektualiti luar biasa. Semakin lama perjalanan ini berlangsung, semakin tipis harapan untuk komuniti manusia untuk terus bertakhta di Marikh ini.

Razali, dengar, Razali suara itu gemersik pada pendengaranku, mungkin kerana transisi gelombang tak sempurna, tetapi pada hematku ia adalah disebabkan oleh kerosakan pada gegendang telingaku. Sesuatu meliputi telingaku dengan membran aneh, mungkin satu kaedah makhluk itu untuk mencuri apa yang aku dengar itu selaku miliknya sendiri.

Ya, Razali di sini

Apa yang dah jadi Mana ahli pasukan yang lain

Ini satu kaedah berkomunikasi. Saya adalah Razali, tetapi saya bukan Razali. Maaf, ahli-ahli pasukan yang lain sudah terkorban. Ribut Marikh bukanlah sesuatu yang patut kamu pandang rendah. Sebab ribut Marikh yang dingin itulah kami semua berlindung di bawah tanah, jauh dari permukaan

Razali Apa yang kau merepek ni Shuhh

Aku dapat dengar orang yang bercakap di balik mikrofon sedang ditukar. Kedengaran bunyi tubuh ditolak tepi dan sedikit pertengkaran yang kabur-kabur dialognya. Setelah beberapa ketika, aku dengar satu lagi suara gemersik, tetapi lebih parau dan tegas nadanya. Ah, walau sesiapa pun yang cuba berkomunikasi, ia bukan suaraku dan kehendakku. Apa yang dijawab adalah sepenuhnya milik makhluk parasitik Marikh ini.

Siapa kau sebenarnya Kau bukan Razali bukan

Betul. Aku bukan Razali. Akulah penghuni Marikh. Sudah lama kami tidak berinteraksi dengan komuniti luar. Dan kami mulanya percaya kami keseorangan dalam alam semesta ini. Rupanya tidak

Kedengaran suara perbincangan yang kabur-kabur dari balik mikrofon. Aku tak tahu apa lagi strategi mereka. Aku harap kenderaan ini dapat dihentikan. Aku berharap juga makhluk parasitik ini tidak dapat menyakinkan pihak atasan komuniti untuk membenarkan dia itu masuk. Namun harapan hanya tinggal harapan tanpa ada upaya langsung untuk aku menidakkannya.

Dengar, dengar ini. Kami sedang menikmati perbualan ini, dan sungguh aneh rasanya menggunakan bahasa anda semua dengan lidah aneh ini. Namun kami telah berevolusi secara biologikal, oh, betulkah terma ini Biologikal Hah, kami telah mampu berkomunikasi dengan setiap makhluk bergerak hanya dengan menyentuh mereka. Kami jajah minda mereka, untuk memastikan kami memahami bagaimana mekanisme mereka selaku makhluk itu berfungsi. Kami berintegrasi, oh, integrasi Betulkah terma ini Integrasi. Ha ha ha, kami mahu kita mendapat manfaat antara satu sama lain. Setuju

Kami juga berminat untuk berkomunikasi dengan pihak anda, tetapi kami mahu anda tunggu di satu tempat tidak jauh dari tempat awak berada, sebelum kami pergi ke sana

Usah risau, aku sedang meminjam pengetahuan Razali untuk kembali ke Space X2. Kita jumpa di sana. Boleh

Kata-kata makhluk itu membuatkan perbualan demi perbualan yang agak hingar-bingar terbit dari kerisik alat pendengar suara. Mereka sebenarnya risau. Aku berharap mereka akan melihat makhluk ini selaku ancaman terlebih dahulu, sebelum membuat sebarang perundingan. Entah apa lagilah kemampuan makhluk ini, aku sendiri pun tidak tahu.

Baik, kami tunggu anda di luar komuniti. Kami jangkakan kamu telah mengubah fizikal Razali agar dapat bertahan dengan keadaan atmosfera Marikh bukan

Betul. Ia satu benda mengagumkan. Aku mahukan perundingan. Kamu boleh sediakan syarat-syaratnya. Aku akan terima sepenuhnya

Sekali lagi kekecohan menular dari balik pembesar suara itu. Alangkah bodohnya jika sebarang perbincangan sulit didengar oleh makhluk ini. Aku harap aku boleh berkomunikasi dengan makhluk ini secara terus, tetapi aku telah dibisukan dari berbicara. Mungkin dia tidak sudi mendengar, ataupun hanya melihatku selaku satu alat yang tidak wajar dipertimbangkan kehendak-kehendak individualiti.

Ia tidak tepat.

Setelah beberapa ketika, aku dapat kembali fungsi tubuhku. Sebaik sahaja aku dapat mengerakkan tanganku, aku mendapati jasadku telah hampir rosak dek kerana kesejukan melampau. Jari-jemariku mula mereput pantas tetapi ia juga tidak lama sebelum tubuhku diambil alih kembali oleh makhluk itu.

Bagaimana Razali Sebelum kita sampai ke komuniti kau, kita bincang dulu. Boleh

Baik

Sistem perhubungan dimatikan. Kenderaan meluru perlahan. Ribut kelihatan jauh tetapi aku tak tahu berapa lama lagi ia akan tiba di laluan kenderaan ini. Ribut Marikh. Aku mahu ia datang ke sini dan rosakkan kenderaan ini. Aku mahu mati bersama makhluk ini. Aku tidak boleh membenarkan ia tiba di komuniti dan menjadikan kesemua mereka menjadi hos.