KARKUMA - 19
Sementara itu, Jameng terus memulakan peranan jahatnya, yang berpakat dengan ketua tentara istana. Apabila mereka hampir tiba di pekarangan istana. Hanya Jameng dan ketua tentara membawa Karkuma masuk ke dalam istana.

Tiba-tiba pengikut-pengikut Jameng dan 100 orang bala tentera istana berpatah balik menuju ke Madrasah Pagai, untuk menyerang orang-orang Karkuma yang ada di sana.

Maka terjadilah pertarungan hebat antara bala tentera istana dan orang-orang Karkuma di bawah sinaran matahari terik. Apakah pertempuran kali ini akan menyebelahi 44 orang Karkuma yang hanya bersenjatakan keris Mereka menentang pengikut Jameng dan 100 orang tentera istana berkuda yang lengkap bersenjata pedang.

Beberapa orang pengikut Karkuma tumpas bergelimpangan di tanah. Manakala hampir semua orang-orang Jameng tewas dan separuh dari tentera istana tumpas. Orang-orang Karkuma masih meneruskan pertarungan dengan bersemangat dan tangkas.

Tidak lama kemudian Jameng tiba, dia cemas menyaksikan apa yang berlaku di Madrasah Pagai itu. Dia langsung tidak menyangka orang-orang Karkuma yang sedikit dengan senjata yang terbatas, mampu memberi tentangan hebat kepada orang-orangnya dan bala tentera istana.

Melihat keadaan yang mencemaskan itu, Jameng dan beberapa orangnya menyalakan api, lalu melontarkan ke arah madrasah. Memang dari awal-awal lagi orang-orang Jameng sudah membanjiri madrasah dengan minyak. Mereka hanya menunggu masa untuk membakarnya.

Lintang-pukang orang Karkuma cuba memadamkan api yang marak membakari Madrasah Pagai. Dalam pada itu mereka juga terpaksa bertungkus-lumus menentang lawan. Orang Jameng dan tentera istana juga semakin marak menyerang orang-orang Karkuma. Dan saat itu pula makin ramai orang-orang Karkuma yang tumpas.

Asap terkibar berkepul-kepul ke langit menandakan api sedang kekenyangan mengunyah tiang-tiang kayu bangunan Madrasah Pagai, yang hampir separuh ditelannya.

Tiba-tiba tanpa diduga, turun hujan lebat mencurah-curah sedangkan matahari di langit langsung tidak ditutupi awan. Pelik juga, ribut tidak, mendung pun tidak, malahan cuaca panas terik di waktu tengah hari, tidak semena-mena ada hujan yang lebat turun. Kegarangan api yang menyelimuti madrasah kini lesu. Orang-orang Karkuma terus bertarung dengan pengikut Jameng dan bala tentera istana tanpa menghiraukan hujan yang mencurah-curah. Bertambah ramai yang bergelimpangan di tanah.

Saat itu, Teggal teringatkan pesanan Karkuma tentang hujan panas. Dia pun segera mengarahkan orangnya yang cuma tinggal 11 orang supaya berhenti berlawan dan beredar.

Lekas! Beredarlah kami dari tempat inen, sekarang! Jerit Teggal. Serta-merta, orang-orang Karkuma berlari laju meninggalkan Madrasah Pagai. Jameng dan tentera istana, ketawa besar mengejek.

Sebaik sahaja orang-orang Karkuma beredar pergi, satu lagi keajaiban berlaku. Tanah di persekitaran kawasan madrasah tiba-tiba bergegar kuat. Jameng dan orang-orangnya tidak perasan tanah bergegar seperti berlaku gempa bumi. Sebaliknya mereka seronok mentertawakan orang-orang Karkuma yang bertempiaran lari.

Kawasan sekeliling madrasah mulai merekah sedikit demi sedikit, tidak seorang pun orang-orang Jameng menyedarinya. Apabil hujan lebat berhenti, Jameng mengarahkan orang-orangnya merobohkan sisa-sisa Madrasah Pagai. Jameng berdiri bercekak pinggang dengan megahnya memberi arahan.

Rutuhkan lekas! Biar lebur kabehnya! Usah teragak-agak! Arah Jameng dengan megah.

Maka hancurlah, musnah berkecailah Madrasah Pagai dimusnahkan orang-orang Jameng. Tidak lagi seperti madrasah tetapi sudah menjadi longgokan sampah dan arang kayu. Jameng tercegat berdiri dan ketawa besar.

Inen baru kacangnya, belum pokoknya, Karkuma! Mika tengoklah karang, habis keturunan mika akan daku leburkan bagai pondok utu! Jameng dengan angkuh melaungkan perasaan di hadapan orang-orangnya. Ternyata, Jameng belum puas berdendam dengan Karkuma, walaupun Karkuma sudah berada dalam kurungan di Istana Bijinga.

Tiba-tiba Jameng terasa tanah yang dipijaknya bergegar. Dia berhenti ketawa dan hairan melihat tanah di sekeliling Madrasah Pagai merekah dan keluar asap di celah-celah rekahan itu. Sekonyong-konyong Jameng melompat naik kuda dan bergegas dari situ tanpa mempedulikan sesiapa. Orang-orangnya tercengang memandang satu sama lain, tubuh mereka mulai bergoyang dek gegaran tanah. Asap yang keluar dari rekahan bumi semakin tebal.

Baharu setapak kaki mereka melangkah, mereka semua jatuh terperosok ke dalam rekahan tanah. Masing-masing terkial-kial dan terpekik terlolong meminta tolong daripada orang-orang kampung yang melihat kejadian itu.

Tubuh orang-orang Jameng dihimpit dan diperah hingga berketul-ketul muntah darah keluar dari mulut dan hidung mereka. Dalam pada itu, rupa-rupanya Jameng berada tidak jauh dari Madrasah Pagai, memerhatikan orang-orangnya dan tentera istana menjerit, melalak meminta tolong.

Tolong kami, Ketua Jameng! Tolong! Jerit Warak Langkus yang azab meronta-ronta.

Tergamak Ketua Jameng tengok akan saja Jerit Warak Dongga pula. Dan tiada seorang pun orang kampung yang berani menolong mereka, mahupun Jameng. Jameng tersengih melihat mereka semua yang sedang azab dihimpit bumi. Hancur lebur hati Dongga dan Langkus disisih oleh Jameng begitu sahaja. Sia-sia segala taat setia mereka terhadap Jameng selama ini.

Tidak lama kemudian, habis semua tubuh-tubuh itu hilang ditelan bumi. Sesekali kedengaran bunyi, krekk iaitu bunyi-bunyi remuk tulang belulang dari jasad-jasad yang dihimpit bumi merekah tadi. Seketika kemudian suasana sekeliling Madrasah Pagai kembali seperti sediakala seolah-olah tiada apa yang berlaku. Tanah kembali bersih, yang tinggal hanya longgokan sisa bangunan madrasah yang hangus.

Peristiwa bumi merekah di sekitar kawasan Madrasah Pagai telah menjadi buah mulut seluruh rakyat Nabui, hingga mendapat perhatian serius Maharaja Sutan Lembayung.

Ketua Jameng dititah menghadap Sutan Lembayung untuk memberi penjelasan. Jameng melaporkan bahawa kejadian itu semua adalah angkara Karkuma.

Idak mentak kuasa sihir si Karkuma lebih perkasa daripada sihir Pawang Dukut di gua Manuk Tanya Sultan Lembayung kepada Jameng dengan keras.

Ampun yang teramat mulia. Bukan utu agannya. Jawab Jameng.

Andai bukan utu, apa pula helahnya! Tempik Sultan Lembayung

Agannya..err..agannya...err, Jameng tergagap-gagap tiada jawapan diberikan pada Sultan Lembayung. Ketahuilah padahnya jika seseorang gagal menjawab pertanyaan dari Sutan Lembayung, tambahan pula ia berkaitan dengan keselamatan negara.

Bangsat mika! Tempik Sultan Lembayung, lalu diperintahkan pegawal istana supaya membawa Karkuma menghadapnya serta merta. Jameng terketar-ketar ketakutan memikirkan untung nasibnya kelak.

Karkuma dibawa masuk ke balairung seri. Dalam keadaan kedua tangannya terikat, Karkuma disuruh duduk bersila di sebelah Jameng.

Ampun yang teramat mulia tuanku. Kula yang hina datang menghadap. Sembah Karkuma. Maharaja Sultan Lembayung meggangguk dan terus memulakan bicaranya.

Ketua Warak Jameng memberi cerita bahawa mika adalah dalang terjadinya persetua tanah merekah tempoh hari. Kita juga ingin tau, benarkah sihir mika lebih perkasa daripada sihir pawang istana Titah Maharaja Sultan Lembayung.

Dengan tenang dan yakin Karkuma pun menceritakan segala-galanya kepada baginda, kenapa dan mengapa ada di antara rakyat Nabui ingin memeluk agama selain Huku. Kerana kezaliman Jameng membunuh Ketua Labot, dan cara Jameng mengendalikan Bangkir Ghadabi tidak disenangi oleh seluruh rakyat. Walaupun Jameng ada mencelah kata-kata Karkuma untuk mempertahankan dirinya, tetapi Sultan Lembayung melarangnya. Akhirnya Jameng terpaksa mendengar segalanya dengan hati yang pedih.

Bagaimanapun, peristiwa bumi merekah lebih menarik minat Sultan Lembayung. Karkuma pun menyatakan bukan dia dalang peristiwa itu. Tambahnya lagi, jika benar dia memiliki ilmu sihir yang lebih hebat daripada sihir pawang istana, bukan tapak Madrasah Pagai menjadi sasaran, sebaliknya Istana Bijingalah yang menjadi sasarannya. Sungguh logik dan masuk akal apa yang dikatakan oleh Karkuma itu.

Entah bagaimana setiap patah kata-kata dari Karkuma sungguh memberi perhatian kepada baginda Sultan Lembayung. Dia yakin bahawa Karkuma tidak memiliki ilmu sihir. Segala niatnya hendak jatuhkan hukuman pancung terhadap Karkuma pada besok harinya, telah dibatalkan. Sebaliknya Sultan Lembayung menyatakan untuk mengambil alih tapak tanah Madrasah Pagai.

Karkuma dibebaskan, dan rakyat Nabui Arshi juga diberi kebebasan beragama tetapi dengan bersyarat iaitu tidak dibenarkan berdagang dengan pedagang asing, dari luar Pulau Tanah Nabui, kecuali melalui orang tengah dari golongan Nabui Huku. Segala keistimewaan atau kebajikan dari kerajaan yang mereka miliki selama ini, tidak dibenarkan lagi untuk dimiliki oleh golongan Nabui Arshi.

Beredar mika dari sini! Titah Sultan Lembayung kepada Karkuma.

Junjungan mangaseh, yang teramat mulia tuanku. Sembah Karkuma kepada Maharaja Sultan Lembayung dan ikatan tangannya pun dilepaskan oleh pengawal istana. Tanpa membuang masa Karkuma terus beredar dari Istana Bijinga. Tinggallah Jameng menunggu untung nasibnya.

Dalam pada itu, segala kegiatan Jameng selama ini telah disiasat rapi oleh pihak istana. Jameng harus selalu adakan pembersihan di hatinya. Memang ada pertalian di atara kebersihan badan dan kebersihan hati. Rasakanlah sendiri apabila kain yang kotor ditangggalkan dari badan lalu kita mandi bersabun, badan sudah bersih tetapi belum cukup bersih selagi hati belum bersih.

Kepulangan Karkuma ke pangkuan Sirehpani dan orang-orangnya disambut dengan ceria dan penuh kesyukuran. Meskipun suasana gembira, mereka juga disaluti rasa kelam bila mengingati kaum kerabat yang telah pergi buat selama-lamanya.

Biduk berlalu, kiambang bertaut, itulah kata-kata hikmah pendamai perasaan mereka apabila terkenangkan Khaufli dan lapan orang anak muda yang pergi berlayar. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia dengan muafakat. Sebuah Madrasah baharu telah dibina di kawasan belakang rumah Karkuma dan namanya kekal sebagai Madrasah Pagai.

Ketua Warak Jameng telah dijatuhkan hukuman oleh Maharaja Sultan Lembayung, kerana kegagalannya mentadbir Bangkir Ghadabi hingga rakyat Nabui terpengaruh memeluk agama selain Huku. Seluruh rakyat Nabui dan pemimpin-pemimpin kerajaan serta Datuan Tinggi, ayah kepada Jameng sendiri telah dikerah hadir untuk menyaksikan hukuman yang bakal dilalui oleh Jameng.

Laksanakan upacara melewar leher! Utu hukumannya! Titah Sultan Lembayung sangat rangginya. Jameng pun dibawa naik ke atas pentas hukuman.

Jameng meronta-ronta di pentas. Mulutnya diikat tidak boleh bercakap lagi. Matanya memandang tepat pada ayahnya mengharap pertolongan, agar dapat diselamatkan di saat akhir. Tetapi ayahnya tidak berdaya berbuat apa-apa untuk selamatkan anaknya. Dia kuatir kedudukannya sebagai Datuan Tinggi Negara akan dipecat jika menegur keputusan yang telah dibuat oleh Maharaja Sultan Lembayung.

Datuan Tinggi Lukut hanya mampu melihat sahaja anaknya, Jameng diheret ke atas pentas hukuman. Dengan penuh rasa keliru dua beranak berpandangan dan di saat itulah kepala Jameng terpisah dari tubuhnya, jatuh ke dalam bakul yang disediakan.

Bakul berisi kepala Jameng itu kemudiannya dibawa menghadap Sultan Lembayung. Baginda tersengih dan bertitah, Lendat kepala utu! Dengan pantas dua pegawai istana mengambil kepala Jameng, lalu dilontar ke arah orang ramai yang menyaksikan upacara itu. Semua berebut-rebut memijak-mijak dan melanyak kepala Jameng. Sudah lama mereka menyimpan dendam terhadap Jameng.

Jika ular menyusur akar, ular tidak akan hilang bisanya. Perlakuan rakyatnya diperhatikan Sultan Lembayung sambil tersenyum riak, menyemarakkan darjatnya. Kemudian baginda memberi titah, Lempi badan utu! Pantas jasad tanpa kepala Jameng, dilempar ke arah orang ramai. Terbujur bergelimpangan di tanah, lalu jasad itu dipukul-pukul dengan kayu oleh orang ramai, hingga hancur menjadi santapan anjing.

Salah cotok terkudung paruh, salah telan belah perut. Kata Sultan Lembayung lagi. Ternyata, kesalahan yang dilakukan Jameng telah dikenakan hukuman mengikut undang-undang yang ditetapkan.

Sedang anjing-anjing melahap mayat Jameng, seluruh rakyat Nabui yang hadir di upacara pancung kepala di Bangkir Ghadabi itu juga mendapat hidangan berbagai jenis makanan sedap-sedap yang disediakan oleh pihak kerajaan. Sedang kesemuanya enak menikmati hidangan yang masih banyak, tau-tau hujan yang dahsyat turun mencurah-curah tidak henti-henti. Makin lama makin lebat seperti butiran-butiran batu pula menimpa bumi. Bertempiaran orang ramai berlari mencari tempat berteduh.

Tengok nun di sana, Pulau Tanah Nabui dihujani dengan lebat. Kata Khaufli dengan penuh nada terkejut. Khaufli Shuhada dan lapan sahabatnya sedang melayari bahtera di tengah lautan dalam, semuanya memandang ke arah Pulau Nabui yang jauh mereka tinggalkan. Dengan rasa sebak, mereka menerima hakikat, apa pun bencana yang melanda Pulau Nabui.

Wajah ayah dan ibu masing-masing bermain di dalam fikiran anak-anak muda itu. Sekilas lalu, wajah Bini juga melintas di dalam fikiran Khaufli. Rindunya dia kepada Bini ditelannya seperti menelan pasir. Rindunya pada ayah dan ibu akan terus menjadi teman hidupnya, mengharap suatu hari nanti dia akan dapat bertemu mereka semula. Jika tidak di dunia mungkinkah di syurga.

Perlahan-lahan kapal berlayar meninggalkan Pulau Tanah Nabui, makin jauh, makin tidak kelihatan lagi.

Pagi yang hening telah berlalu, matahari semakin tegak di atas kepala. Khaufli memandang sekeliling lautan biru, didapati walaupun panas terik tetapi suasananya umpama mendinginkan jiwa. Siang berganti malam. Hari berganting minggu. Kini sudah genap tujuh hari tujuh malam Khaufli dan sahabat-sahabatnya berada di tengah lautan. Khaufli teringatkan pesan ayahnya, Karkuma.

Karkuma pernah mengizinkan dirinya masuk dalam golongan yang menyatakan agama tidak sesuai lagi dengan zamannya. Zaman kepimpinan Jameng sebagai Ketua Warak digunakan untuk kepentingan diri sendiri. Kejahatan Jameng akhirnya terdedah kerana manusia tidak dapat sembunyikan niat yang tidak ikhlas kerana adanya Tuhan Yang Maha Melihat atas tiap isi dada manusia.

Bersihnya hati setelah selesai bersembahyang. Betapa lapangnya dada setelah habis sembahyang. Kebersihan hati tadi membawa pengaruh pula kepada kebersihan sikap hidup, keikhlasan dan kejujuran. Itu sebabnya berkali-kali Jameng cuba membunuh Karkuma tetapi semua niat jahatnya digagalkan oleh Tuhan, kerana kebersihan hati Karkuma yang sentiasa dilihat Tuhan.

Di sini kita mendapat pengajaran di satu cabang dari ilmu jiwa tentang kejahatan. Tidak kira agama apapun. Agama sentiasa menyuruh manusia menjauhi perbuatan jahat. Kalau satu kali menusia terjerbak jatuh ke dalam kejahatan sukarlah baginya untuk kembali ke pangkal jalan.

Kejahatan sangat memberi berkas pada jiwa atau hati manusia sehingga jadi kesat dan kasar. Sehingga keturunan Nabi Adam mampu menjadi lebih jahat daripada keturun Iblis iaitu syaitan dan jin.

Jameng pernah satu kali membunuh, tidak semena-mena jadi mudah baginya membunuh lagi. Sehingga dia ketagihan hendak membunuh lantaran cintanya terhadap Sirehpani. Setiap nyawa orang-orang Karkuma yang diragutnya samalah seperti membunuh secebis rasa cintanya terhadap Sirehpani yang masih hidup di dalam dirinya, dan itulah kepuasan jiwanya yang samalah dengan jiwa iblis.