BINTANG AL-NILAM DI LANGIT MENTAKAB - 19
Mak Leman membuka mata. Mengejutkan ibunya yang sedang tidur melekap di hujung katil hospital.

Leman, alhamdulillah. Lekas Cikgu Muhammad memeluk erat Leman. Mak Cik Vijaya juga terus sahaja menangis semahunya. Mencurah-curah air mata yang dari awal lagi tertahan.

Mak... Duli mak...

Mak Cik Vijaya mengangguk. Duli dah tak ada Leman

Mak! Mak! Jangan cakap Mak! Leman menghempas-hempas tangannya ke katil dengan menjerit-jerit nama Faduli. Bergema seluruh hospital yang tersergam di atas bukit.

Sabar sayang, sabar. Mak Cik Vijaya menenangkan Leman dan memberi kucupan di dahinya.

Mak. Man sayang Duli. Duli yang selamatkan Man, Mak.

Mak Cik Vijaya mengangguk perlahan. Disapu air mata yang belum lagi berhenti di pipi Leman perlahan-lahan.

Cikgu Muhammad mencari satu sudut kecil dan menangisi di sana. Ditekup wajahnya dengan kedua belah tangan dan terus terduduk. Insan yang telah menyelamatkan anaknya kini pergi buat selamanya.

Cikgu Muhammad dan Mak Cik Vijaya meninggalkan Leman sendiri di katil wad. Leman hanya berbaring dan menghadap tingkap-tingkap hospital yang langsung tidak punya apa makna. Air mata terus sahaja mengalir tanpa henti. Leman biarkan sahaja air itu menitik satu demi satu dan membasahi bantal putih hospital.

Mak Cik Vijaya dan Cikgu Muhammad berkejar ke rumah Mak Cik Cah. Mahu menghormati buat kali terakhir jenazah penyelamat yang telah memberi nyawa kedua buat anak mereka.

Saat sudah sampai, jenazah Faduli sudah pun siap dimandikan. Dibukakan sedikit di bahagian wajah. Faduli dijumpai oleh skuad bomba lebih kurang seratus meter dari jeti Kerayong. Saat dijumpai itu, tangan kanan Faduli masih memegang erat cebisan baju Leman yang dirangkul pergi bersamanya. Wajahnya damai. Luka di wajahnya sedikit. Hanya ada calar di bahagian pipi. Manakala tangan, kaki dan seluruh badan juga tidak ada yang pecah dan berdarah. Semuanya baik-baik. Faduli meninggal dunia akibat lemas.

Mak Cik Cah menyerahkan cebisan itu kepada Mak Cik Vijaya. Mereka berpelukan sepuas-puasnya. Saling meminta maaf dan mengucap sabar. Itu sudah kali kelima Mak Cik Cah pengsan dan bangun kembali. Masih tidak percaya anak bongsu kesayangannya itu telah pergi buat selama-lamanya.

Jenazah masih lagi diletakkan di ruang tamu rumah. Menanti ayah Faduli yang masih belum sampai. Hampir kesemua penduduk kampung turut meratapi pemergian Faduli. Tok Penghulu juga menangis dan mengingati kisah-kisah Faduli yang sentiasa mencuit hatinya. Nurul dan ibunya juga ada. Mak Lang, Mak Tehteh serta Bilal Pak Yus juga turut menziarahi Faduli.

Mak Cik Cah bangun dan berjalan lemah dipimpin Mak Cik Vijaya, kemudian duduk di bahagian kepala jenazah. Dikesat air mata sekering-keringnya kemudian dikucup sehingga hidung Mak Cik Cah singgah di dahi Faduli. Mata Mak Cik Cah dipejam seerat-erat kemudian lekas bangkit dan menutup mulut dan muka. Tiada suara kedengaran, tetapi air mata terus kembali laju membasahi pipi. Semua yang melihat turut sebak dan bersedih.

Sedang malam sedang semakin lewat, Pak Imam menjenguk luar rumah. Ayah Faduli berjalan perlahan dan membasuh kaki di tepi tangga. Kemudian menaiki tangga dan melihat sekujur tubuh yang sentiasa dirinduinya kini berbaring sepi di bahagian tengah rumah.

Mak Cik Cah bangun dan terus memeluk erat suaminya. Sekali lagi semua penduduk Pasir Rawa bersedih melihat kelakuan Mak Cik Cah. Sesudah semuanya selesai, Pak Imam menutup wajah Faduli dengan kain yang sudah pun diikat dari bawah. Ditutup perlahan-lahan dan diikat kemas. Kemudian diambil sebidang besar kain batik lepas dan ditutup sekali lagi jasad Faduli.

Jenazah Faduli disolatkan. Kemudian diangkat beramai-ramai menuju ke perkuburan yang betul-betul di belakang surau Pasir Rawa. Saat jemaah surau sampai membawa keranda berisikan Faduli, Raslan dan keluarganya sudah lama menanti. Masingmasing bersedih dan menangisi pemergian Faduli.

Ibu bapa Raslan terus sahaja memeluk erat ibu bapa Faduli, dimohon kemaafan berjuta-juta kali kerana tragedi tersebut. Mak Cik Cah dan suami sudah tidak punya perasaan lagi. Hanya mahu menyelesaikan pengebumian anaknya sebaik mungkin. Itu adalah hak Faduli yang perlu dilunaskan oleh ahli keluarga yang paling dekat.

Mak Cik Vijaya memeluk erat Mak Cik Cah sedang suaminya sudah pun turun membawa jenazah anak kesayangannya. Air mata masih lagi mengalir panas di pipi masing-masing. Faduli telah tiada. Telah pergi meninggalkan semua.

Rutin kini berubah. Ruji semuanya beralih arah. Hilang. Lenyap.

Raslan berjalan perlahan menghampiri Bahari yang masih mengelap-ngelap mata dan muka.

Aku minta maaf.

Bahari mengangguk. Tak terkata sepatah perkataan pun. Lalu pergi mengikut jenazah.