KUNANG PESISIR MORTEN - 19
Berakhirnya kemelut yang mencalar kami pada penghujung 1984. Namun di celah-celah kepayahan dugaan, Tuhan sentiasa menjanjikan kehadiran sinar terang. Kemenangan laga ketam akan terus menjadi legenda dan cerita lisan pada tahun-tahun mendatang. Khabar angin pantas tersebar. Mereka mengatakan rombongan besar kanak-kanak ke Kampung Jawa pagi bersejarah itu membawa pulang barang kemas pusaka Haji Ibrahim. Paling tidak masuk akal apabila ada juga cerita mengatakan kami bermain dengan taruhan. Taruhan barang kemas warisan.

Kami sudah tidak peduli. Khabar angin yang dibawa sekumpulan anak kecil penuh dengan tokok tambahan sama seperti mana cerita mengumpat orang dewasa. Hakikatnya pagi cerah itu, aku dan Dhiya telah pergi sendiri ke rumah Haji Ibrahim. Melangkah ke rumah indah bening. Kami datang dengan berita gembira. Orang tua itu seperti telahan kami. Sangat memahami

dan boleh dibawa berbincang. Dhiya telah menerangkan kisah daripada awal bagaimana mereka terjumpa dengan sebahagian barang kemas Haji Ibrahim. Dan bagaimana selepas orang kampung membuat dakwaan ke atas Lim dan bapanya, mereka telah menemui dalang sebenar. Seorang cilik, anak genius Melayu yang melakukan jenayah besar dengan alasan survival dan desakan lingkungan.

Haji Ibrahim yang merenung wajah tulus Dhiya, juga terharu melihat semua barang kemas warisan sudah kembali ke tangan. Orang tua itu memeluk bahu Dhiya. Memandangnya dengan kolam sinar berkaca-kaca.

Maafkan kami nak! Maafkan kami! Kami orang-orang tua yang banyak buat silap dan dosa!

Kami melangkah keluar Villa Sentosa dengan perjanjian lisan. Haji Ibrahim akan menyelesaikan masalah kami berdepan bapa Lim. Menjadi sekutu kami merapatkan jurang antara kedua penempatan yang semakin jauh merenggang. ***

Pertandingan laga ketam itu bagaimanapun, menyebabkan terjadinya lompong dalam hidup. Kehadiran Tam di dalam catatan bukanlah sekadar sebagai watak tambahan. Jauh sekali sebagai antagonis dalam kisah semusim monsun ini. Mungkin ada antara kamu hingga ke penghujungnya tetap memandang skeptik kepada Dhiya dan Tam. Menganggap ianya cuma catatan dongeng berbalut satira. Kau fikir aku cuma anak sembilan tahun yang punya imaginasi melangit mendewa mereka. Tidak mengapa. Aku tidak perlu meyakinkan pembaca pesimis dan dangkal. Kerana besar kemungkinan mereka akan mengabaikan juga kebolehan anakanak dan waris mereka.

Sehingga catatan ini ditulis, statistik menunjukkan pengesanan sehingga 18% kanak-kanak yang dikatakan mempunyai kepintaran dan bakat luar biasa. Malah sebahagian mereka mencecah bacaan IQ melebihi 200 walaupun ukuran IQ itu sendiri adalah relatif. Di dalam banyak aspek pula, ukuran IQ tidak dapat mengenal pasti dengan berkesan. Ia bergantung kepada perkara lebih kompleks. Keterkaitannya dengan budaya, cara dibesarkan seperti kebolehan kognitif tinggi dan bakat kreativiti. Lebih lagi pemikir spatial-visual seperti yang kau temui pada Dhiya. Lebih menghairankan, kajian terhadap mereka memadamkan mitos bahawa kebanyakan mereka datang daripada golongan elit borjuis. Kerana sesungguhnya, mereka telah ditemui di pelbagai latar sosio ekonomi, etnik dan bangsa.

Seperti yang kau lihat pada Tam, mereka adalah kes terpencil anak-anak luar biasa yang tidak dapat dikesan. Ibu bapa yang memainkan peranan terbesar dalam mengenal mereka adalah kelebihan yang tidak ada pada Tam. Mereka punya perspektif dan sensitiviti jauh awal tentang moral dan masalah lingkungan. Dan mengharapkan sistem pendidikan yang dangkal dan tipikal membuatkan mereka tersisih sama sekali.

Kebanyakan mereka yang tidak ditemui ini, akan disia-siakan. Bukan menjadi rahsia lagi, walaupun sebahagian mereka akan ditemui di kelas murid pandai, besar kemungkinan kau akan menemui lebih ramai di kelas-kelas belakang. Bukan kerana malas atau ketinggalan. Tetapi kerana ketirisan silibus pelajaran yang sentiasa saja membosankan. Dengan perumpamaan kata mudah, mereka anak-anak yang dilahirkan sebagai atlet Olimpik tanpa jurulatih dan modul latihan. Dilahirkan di waktu, tempat dan lingkungan salah; yang sama sekali tidak memberi mereka erti keadilan.

Sepemergian kami ke Kampung Jawa keesokan harinya untuk menghantar kuih menyebakkan. Walaupun kami menghantar dua jenis kuih seperti biasa ke kedai Kak Ani kerana malas mendengar marahnya tentang masalah bekalan untuk pelanggan tetap cucur dan popia; tetapi sebab utama kami datang ke sini adalah kerana Tam. Sebesar mana pun konflik yang berlaku di antara kami, Tam tetap dilihat sebagai kawan. Segunung mana pun kesilapan Tam, kami memandangnya sebagai seorang yang istimewa dan tetap akan memaafkan. Sebaik saja kami meletakkan bakul kuih di atas meja, tanpa menghidang dan meminta wang keuntungan hari lepas, kami berlari ke tingkat atas mencari Tam. Sayup kami mendengar suara nyaring Cik Ani yang bising dengan perangai buruk kami. Terus berlari. Di dalam kepala kami, Kampung Jawa bukan lagi sinonim dengan kuih dan keuntungan, tetapi Tam sebagai simbol survival dan ketirisan. Melengkapi pula keadaan Kampung Jawa yang kini sebahagiannya rabak atas nama pembangunan.

Kami sampai ke tingkat dua. Pintu rumah kedai Tam malahan tidak berkunci. Kami menguak bukaan yang renggang. Kosong. Ya. Kami mengerti. Tam telah pergi. Menunggu di situ cuma menanggung risiko. Dan Tam pula bukanlah burung dungu yang boleh dikurung dikunci. Budak sehebatnya telah ditulis takdir hidup sebebasbebasnya.

Kami usai dengan sebu longlai. Merasa kosong dengan kehilangan. Kemanakah budak seperti Tam akan pergi

Mungkinkah kami bertemu dengannya lagi Apakah Tam akan meneruskan hidupnya dengan jalan gelap menyesatkan Adakah satu hari nanti Tam akan menggunakan bakat kebolehan untuk menyinar terang Kami tidak tahu.

Kekosongan jiwa kami hari itu

disempurnakan pula dengan perpindahan semua keluarga setinggan yang dihalau keluar. Apa lagi yang mereka boleh lakukan Taraf mereka bukan lagi seperti bekas penduduk rizab tanah Melayu 60 tahun dahulu. Mereka kini secara literalnya mendirikan setinggan dengan taraf pendudukan haram. Kami mengingati kembali wajah anak-anak yang turut serta pertandingan laga ketam semalam. Seperti yang Tam katakan, mereka telah diberikan permainan terakhir sebelum pergi selama-lamanya.

Dhiya memandang bekas tapak perkhemahan dengan sayu. Memikirkan, lambat laun pengorbanan terpaksa juga dilakukan. Ketua menteri baru itu benar-benar memandang serius isu pencemaran sungai. Jika mereka mahu menaik taraf air coklat yang sudah di tahap serius itu, mereka perlu juga membuang segala punca pencemaran. Dan penyumbang utamanya adalah pendudukan setinggan.

Mendung penghujung monsun itu telah mengghaibkan seorang bintang genius bersama pengikut-pengikutnya juga. ***

Villa Sentosa sejak akhir-akhir ini meriah sekali. Cerah seiring sinar musim baru. Sekaligus memecahkan rekodnya yang selama ini terkenal dengan reputasi bertahun-tahun sunyi terasing. Haji Ibrahim yang dulunya sosok misteri dan ditakuti kini menjadi sahabat. Dan lebih penting seperti yang dijanjikan, Haji Ibrahim juga telah menjadi jambatan antara dua penempatan bertentangan.

Ketika kami mencari Tam, hari yang sama Haji Ibrahim merentasi jambatan Kampung Morten mencari rumah Lim. Pertemuan singkat Haji Ibrahim dengan bapa Lim menjanjikan keputusan yang sudah dijangkakan.

Mereka berdua adalah lelaki matang yang melihat segalanya dengan keterbukaan. Kami mendengar, kata maaf Haji Ibrahim sudah cukup mencairkan segala kemarahan. Dan apabila bapa Lim sudah membuka pintu rumahnya, pintupintu kejiranan penempatan Cina juga menjadi lapang. Sekali lagi peluang melihat kedua tebing bertaut bersinar terang.

Maka pada hari sebelum malam pernikahan anak Haji Ibrahim, kau melihat satu keajaiban yang penduduk Morten tidak pernah menyangka akan berlaku. Mula-mula derap kaki ramai dari jambatan. Berbondong-bondong kejiranan tebing seberang turun dari jambatan besar Kampung Morten. Aku dan Dhiya melihat penuh rasa takjub. Nikmat Tuhan telah turun secara literal dalam bentuk komuniti Cina Peranakan dan Hokkien membawa berkotak-kotak berisi limau mandarin disumbangkan untuk perkahwinan anak perempuan Haji Ibrahim. Malahan, Pak Jasmi dan orang kampung yang lain melongo tidak dapat berkata apa melihat orang seberang datang dengan jemputan. Pada hari ini, secara rasminya sempadan ghaib bangsa di sungai itu hilang. Pengiktirafan Haji Ibrahim menutup mulut prejudis dan kebencian.

Usai rombongan dewasa membawa limau mandarin, kami melihat susuk tubuh anak kecil mampir. Budak yang sangat kami kenal. Sepet yang kami rindukan! Lim dengan sengih tidak dapat ditahan-tahan.

Dhiya berlari mendapatkan Lim. Sengih kerang busuk tidak lekang. Perempuan itu menampar lembut muka Cina sepet.

Dah hilang takut kau masuk kampung ni

***

Kanvas pekat malam tidak lagi muram diselaputi awan mendung. Malam itu meriah diwarnai riuh mercun dan bunga api menyambut pengantin yang diraikan dengan majlis berinai besar. Kami berjanji berbaju tradisional seperti jemputan lain. Dhiya dengan kurti, aku berbaju Melayu dan buat pertama kali, kami melihat Lim berkemeja samfoo. Aku, Dhiya dan Lim sekali lagi duduk di satu sudut. Bersama juga budak-budak kampung termasuklah Lani dan Sidek. Menjadi nikmat besar melihat kami akhirnya dapat duduk bersama. Bahagianya tidak dapat diungkap. Simboliknya barang kemas dipakai anak perempuan Haji Ibrahim malam itu menyatakan warisan ratusan tahun seni campuran Melayu dan Cina Baba berjaya disimpan dan diangkat.

Kepala Dhiya teroleng melihat indahnya busana sepersalinan. Ayu anak manis Haji Ibrahim bersanding di kerusi dibalut kain batik. Kedua mempelai duduk santun diperkarangan disambut silat pulut sebelum masuk untuk istiadat berinai. Alunan kompang rancak dan dondang sayang mengiringi. Pengantin lelaki tinggi lampai berwajah bersih ringkas dengan jubah broked labuh ala parsi sedondon pasangan. Dada yang kosong dihiasi dokoh tiga serangkai.

Mempelai perempuan mengasyikkan. Mata redupnya kontras dengan bibirnya beroles vermillion. Baju broked merah cili berlengkap sibai dan lapik dada bersulam emas. Pinggangnya diikat tali pinggang tembaga dan pending. Kainnya sedikit singkat. Menampakkan gelang kaki tembaga bersama sandal bertekad emas. Dan sanggul tinggi itu. Bahagian belakang sanggul ditutup mawar menyala dan melur berjejeran. Harumnya semerbak. Dengan berat 5 kilogram, sanggul lintang agam adalah satu simbol tradisi pengantin Melaka. Bahawa perkahwinan adalah beban berat yang harus digalas dengan tanggungjawab dan senyuman.

Malam itu kemuncak kegemilangan Villa Sentosa. Di sudut kami berdiri, kami melihat keindahan senibina bergabung dengan alam, cahaya gemilang dan keramaian. Mata Dhiya berkunang lagi. Seperti kau jangka, untuk kali ke-1,376 dengan lirih perempuan itu mengucapkan;

Satu hari, aku akan buat rumah seperti ini. Satu hari nanti

***

Malam telah larut. Kembali sunyi. Yang kedengaran cuma hilai tawa kami tidak berkesudahan. Kami akhirnya berpisah di jambatan besar. Lim sebelum pergi berjanji bertemu kami di sini esok hari. Mengharapkan hari-hari kami gemilang seperti masa manis lalu. Kami usai dengan gontai, meraikan saki baki kegembiraan. Aku menghantar Dhiya pulang. Putus ketawa kami. Tergamam. Seorang lelaki bersama ibu Dhiya berada di depan rumah.

Dan petaka menunggu di pintu itu.