KILL ME WITH LOVE - 19
I AM so sorry, kak. Saya tak dapat buat apa-apa bila waran dikeluarkan untuk menahan kakak, seru Khairul Rasheed apabila dia menemui Linda yang ditahan tengahari itu. Wajahnya suram, menunjukkan yang dia benar-benar sedih dengan arahan yang dikeluarkan mahkamah.

Linda tidak berkata apa-apa. Dia hanya tersenyum tawar.

Linda dibiarkan sendiri, tanpa peguam di dalam ruang bilik yang bertutup rapat. Detektif Howard mengajak Khairul Rasheed ke tempat kejadian kononnya ada satu bukti lagi ditemui. Dia mengarahkan Sarjan Boone dan beberapa orang anak buahnya menyoal siasat Linda dan meminta kenyataan sekali lagi. Kali ini dia mahu satu tekanan dibuat ke atas perempuan itu, sehinggalah dia mengaku apa yang sebenarnya terjadi pada malam itu.

Sarjan Boone melakukan segala yang disuruh.

Kekerasan mulai dikenakan ke atas wanita malang itu. Linda dituduh mengupah seorang pembunuh upahan professional. Dan dia diminta mendedahkan identiti pembunuh tersebut. Jika Linda masih terus menafikannya, tidak mustahil hukuman berat akan dijatuhkan ke atasnya kerana melindungi penjenayah.

Puan masih tak mahu mengakui segalanya adalah atas arahan puan Puan yang mengupah penjenayah tu supaya melakukan pembunuhan bagi pihak puan. Puan membayar sejumlah wang kepadanya. Puan masih mahu berselindung

Siapa yang puan lindungi tu Siapa Beritahu kami! kata salah seorang anak buah Detektif Howard.

Saya tak bersalah. Saya tak tahu. Saya takkan ubah apa-apa kenyataan yang saya dah buat.

Penipu! tengking Sarjan Boone.

Wanita Asia ni memang penipu. Dia gilakan duit. Kahwin dengan Martin demi harta.

Kurung dia dalam bilik gelap sampai dia mengaku. Jangan beri air atau makanan! arah Sarjan Boone.

KHAIRUL RASHEED menghubungi ibu bapanya menceritakan segala yang menimpa Linda. Dua hari kemudian tuduhan ke atas George digugurkan. Dia kembali bebas. Lelaki itu terus menghilang diri. Tidak sempat Khairul Rasheed menemuinya.

Kini Linda pula yang terkurung di sebalik tirai besi. Pihak berkuasa menjalankan interogasi keras ke atas Linda yang akhirnya akan melemah dan mematahkan semangat. Lalu setelah lemah, Linda akan mengakui semua adalah perbuatannya walaupun hakikat sebenar dia tidak bersalah. Ia adalah satu perang psikologi, hanya orang yang kuat, tabah dan berani yang akan menang.

Khairul Rasheed sedar, semangat Linda semakin goyah. Lambat laun dia akan jadi lemah dan kalah.

Kak! Kakak jangan sesekali mengalah. Jangan! Saya sedang usaha untuk dapatkan peguam yang terhandal. Kakak banyakkan sabar.

Kakak dah tak ada apa-apa, Kay! Kakak dah lama putus asa dengan hidup ni. Mungkin ni masa yang baik untuk kakak pergi. Dulu pun kakak pernah berniat untuk mati. Tapi papa dan mami telah menyelamatkan kakak daripada maut. Sekarang ni, tiada sesiapa yang akan menyelamatkan kakak lagi.

Kak! Jangan cakap macam tu! Tuhan tak suka hamba-Nya yang berputus asa. Kakak sekarang sedang putus asa. Sedangkan ini semua hanyalah ujian. Ujian kak! Hidup kakak belum berakhir. Percayalah! Kakak akan dapatkan semula kebebasan dan kebahagiaan tu. Perjalanannya tak jauh, mungkin hanya di sebalik selekoh.

Sekarang hidup kakak sedang diuji, Khairul Rasheed cuba sedaya upaya untuk menyedarkan Linda.

Namun Linda sudah semakin lemah dan semangat untuk meneruskan hidup sudah tiada sama sekali. Semuanya sudah menjunam jatuh ke angka kosong.

Keesokan harinya, Detektif Howard memberitahu Khairul Rasheed bahawa Linda telah mengubah kenyataannya. Dia mengakui bahawa semua yang berlaku adalah perbuatannya. Dia mengupah pembunuh upahan untuk membunuh suaminya kerana cemburu.

Khairul Rasheed terduduk mendengar kenyataan Linda. Dia datang ke lokap untuk menemui Linda. Wajahnya kusam dan sedih.

Kenapa kak Kenapa kakak buat kenyataan tanpa kehadiran peguam Kan saya minta kakak bersabar.

Linda diam. Dia tidak mahu bercakap apa-apa lagi. Dia mengatup bibirnya serapat yang mungkin. Dia sedia menerima hukuman mati. Bukankah dahulu dia pernah meminta kematian Namun kematian itu tertangguh. Mungkin sudah tiba masanya dia kembali kepada sang pencipta. Dia sudah kehilangan segala-galanya.

Kak! Cakaplah kak. Kenapa kakak diam

Linda mengunci bibirnya. Beberapa jam tadi, dia mengaku mengupah seorang pembunuh upahan. Dia mencari maklumat di internet. Dia mendapat satu nombor telefon, menghubungi seseorang dan meminta pembunuhan itu dijalankan. Dia membukakan pintu belakang. Dia membenarkan pembunuh itu masuk. Dia melakukan segala-galanya. Dia mahu seksaan ke atasnya dihentikan. Dia mahu segalanya berakhir. Biar dia yang terhukum. Kes itu ditutup.

Kak! Jangan macam ni kak! Cakap dengan saya, pinta Khairul Rasheed sambil menggoncang bahu Linda.

Tetapi Linda diam, seperti batu tidak memberikan reaksi walaupun tubuhnya digoncang keras. Khairul Rasheed hairan dengan sikap baru Linda. Dia tidak mengerti. Setitis air matanya mengalir kala melihat Linda dibawa pergi, masuk ke dalam lokap.