Sambil aku layan Youtube, tangan dan kaki aku digigit nyamuk. Menepis-nepis aku di sana sini sambil membebel marahkan nyamuk. Aku teringat satu cerita masa aku kecil-kecil. Perihal nyamuk. Aku dah gatal tangan nak menulis entry pasal hal yang aku teringat, tapi aku tahankan sebab dah lewat malam. Aku rasa aku patut cerita pada bini aku dulu sebelum aku masukkan cerita aku dalam entry.
Aku panggil bini aku duduk sebelah aku dekat laptop. Bini aku datang tak banyak soal. Taat. Macam tu lah perangai. Aku pun mulakan cerita
1987.
Aku dah masuk tadika Kemas depan rumah Mak Ngah Ani. Baru umur lima tahun tapi gagah juga nak bertadika. Masa tu aku dah reti banyak perkara. Aku dah boleh kayuh basikal dua roda. Tak payah ada roda plastik kecil apit kiri kanan. Aku juga dah pandai basuh berak sendiri. Walaupun kadang-kadang ibu aku buat spot check tak berapa nak lepas. Masa tu juga aku dah boleh mengira satu dua tiga sampai belas-belas. Sifat-sifat duit pun aku dah kenal. Huruf-huruf rumi tak payah cerita. Aku boleh selamba baca pejam mata. Pergi rumah Makcik Wah sorang-sorang beli aiskrim asam boi pun aku dah pandai. Pendek kata semangat hero sudah mula menyerap dalam diri aku dengan hebat.
Setiap hari lepas main petang, salur esophagus aku akan terasa nak makan aiskrim. Dekat sini aku ada masalah sikit. Ibu aku belum balik kerja, ayah aku pun belum balik kerja. Jadi aku tak ada duit nak beli aiskrim. Satu-satu manusia yang aku boleh harapkan ialah Kak Boya. Dia dah besar, sekolah menengah. Mesti ada duit. Pada aku, siapa-siapa yang dah dewasa mesti ada duit. Ini cerita masa aku belum lingkupkan lagi kaset Ramlah Ram beliau.
Kak Boya, mintak seposen nak beli aiskrim!, aku minta dengan muka kesian.
Kak Boya memang suka buat ujian untuk aku sebelum dia bagi apa yang aku minta. Selalunya dia suruh aku mengeja. Ada eja RUMAH, eja LIPAS. Paling susah aku kena test eja FALSAFAH. Bersembur-sembur air liur aku punya nak eja perkataan susah sebegitu. Mujur lepas. Kali ni tak nak test eja-eja dah Kata Kak Boya. Aku panik sekejap. Apa hal tak ada eja dah ni Kali ni Kak Boya nak test tahap hero engkau. Wah, aku teruja! Aku cepat-cepat balas nak aku buat apa Kayuh basikal Basuh berak sendiri Cakap saja! Aku jadi sedikit ego.
Tak. Kali ni lain sikit. Kenal tak ni apa Kak Boya tunjuk aku kotak empat segi kuning ada gambar kepala gajah.
Kisah Aku Dan Ubat Nyamuk Fumakila
Kenal. Itu ubat nyamuk FUMAKILA. Ibu baru beli semalam tak bukak lagi! Aku jawab panjang. Siap aku ejakan kemas-kemas perkataan FUMAKILA tu. Soalan senang nak mampus!
Ok, ujian dia macam ni. Engkau buka kotak ubat nyamuk FUMAKILA tu. Ambil satu ubat nyamuk, cucuk dekat tempat besi dia macam Kak Boya buat selalu tu. Dah siap, cucuh ubat nyamuk tu dengan mancis api ni. Lancar saja arahan Kak Boya kepada aku.
Ini kerja senang. Aku pun jawab lancar juga.
Prap! Patah selingkar ubat nyamuk akibat kegagalan aku menanggalkan lingkaran yang tercantum dua.
Aku cuba lingkaran satu lagi pulak. Prap! Sekali lagi patah patah ubat nyamuk tu.
Sekali lagi. Prap! Prap! Dan prap! Akhirnya, habis sekotak ubat nyamuk baru tu patah-patah aku kerjakan.
Hah baru peringkat satu dah tak lepas. Hero apa benda Kak Boya mengejek aku bersahaja.
Duit aiskrim aku tak dapat sebab tak lepas ujian. Petang tu, ibu aku mengamuk pada Kak Boya sebab kebengapan beliau menyuruh aku buat kerja yang bukan makam aku. Ibu aku juga memberi arahan pada aku, jangan main ubat nyamuk dah lepas ni. Habis patah patah! Buat rugi saja.
Sejak hari tu, aku kekal gagal memisahkan lingkaran ubat nyamuk yang bercantum dua. Pernah sekali dua berjaya tapi salah satu mesti patah juga.
Bini aku mendengar cerita aku dengan khusyuk. Dia tak sampuk langsung. Dengar sahaja. Cerita SEKAR tu pun dia tutup nak dengar cerita aku punya pasal. Lalu aku bagitau dia.
Cerita dah habis. Sekarang saya pula nak uji awak. Cuba fikir, walaupun saya hero, kenapa sampai sekarang saya masih gagal nak bukak ubat nyamuk yang melekat dua tu aku tanya sambil tepis-tepis nyamuk di kaki.
Bini aku diam sekejap, kemudian beliau bangun dari kerusi sambil menjawab soalan aku tadi dengan nada lemah lembut.
Sebab awak pemalas!
Aku senyum. Satu minit kemudian ubat nyamuk yang sudah berfungsi muncul berhampiran aku. Taat. Macam tu lah perangai!