Penulis berkongsi pengalaman beliau menjalankan penyelidikan PhD di Jabatan Patologi, Fakulti Perubatan di Hospital Universiti Tohoku yang terletak di Sendai, Jepun. Beliau telah menerbitkan beberapa buah manuskrip di peringkat antarabangsa yang bereputasi dan berimpak tinggi seperti Journal Steroid Biokimia dan Molekul Biologi (Impak Faktor 3.6), juga dalam bidang patologi manusia yang diiktiraf peringkat antarabangsa Human Pathology (Impak Faktor 2.8) dan review manuskrip. Antara kajian yang di jalankan tertumpu kepada penyakit berkaitan kulit, seperti barah kelenjar peluh, penyakit ektramamari Paget, Merkel sel karsinoma dan juga berkaitan kelenjar adrenal. Semasa menuntut di UPM. Beliau sangat berminat mengenai kajian dalam bidang patologi dan menjalankan kajian bagi projek tahun akhir dalam bidang perubatan herba yang menggunakan teknik patologi bagi kajian tersebut. Bidang bioperubatan menjadi pilihan kerana bidang sains kesihatan dan perubatan ini sangat penting dalam mendiagnosis penyakit. Penyelidikan bioperubatan merangkumi bidang seperti anatomi, biokimia, fisiologi, kesihatan, epidemiologi, mikrobiologi, patologi, farmakologi, hematologi, dan imunologi.
Kajian yang ditekuni
Penulis berpeluang menjalankan penyelidikan PhD beliau di Hospital Universiti Tohoku yang menjadi rujukan utama di wilayah Tohoku dengan persekitaran yang mesra penyelidikan. Namun tidak dinafikan, masalah bahasa merupakan cabaran utama di sini. Bidang kajian yang ditekuni sekarang di Jepun adalah endokrinologi. Endokrinologi adalah cabang bidang perubatan yang melibatkan sistem endokrin, penyakit-penyakit berkaitan serta spesifik perembesan yang dikenali sebagai hormon di dalam badan manusia. Pentingnya kajian yang melibatkan sistem endokrin ini adalah kerana gangguan pada sistem ini akan menyebabkan pelbagai penyakit seperti gangguan adrenal, penyakit pada sistem pembiakan, hipertensi, diabetes dan sebagainya.
Salah satu kelenjar yang terdapat pada badan manusia ialah kelenjar peluh. Kelenjar peluh terdapat pada keseluruhan kulit yang meliputi seluruh tubuh manusia kecuali tapak tangan dan tapak kaki. Ia merupakan komponen penting yang bertindak sebagai pelembap dan memberi perlindungan pada kulit. Kerosakan dan gangguan pada kelenjar ini boleh menyebabkan penyakit seperti jerawat, dan penyakit pada kelenjar tersebut seperti sebaceous nevus, sebaceoma, sebacous hyperplasia, dan sebaceous carcinoma.
Kajian ini menggunakan teknik imunohistokimia bagi mendiagnos sel-sel yang tidak normal pada sel-sel barah. Immunohistokimia adalah suatu proses menentukan lokasi protein ke dalam sel berdasarkan prinsip antibodi yang akan berinteraksi dengan antigen spesifik tertentu sewaktu tindakbalas. Teknik ini digunakan secara meluas bagi mendiagnosis sel-sel abnormal seperti sel barah. Dalam kajian in-vitro, tisu kulit pesakit dikaji menggunakan antibodi-antibodi tertentu dan akhirnya keputusan kajian dapat dilihat dari tindakbalas dengan menggunakan mikroskop. Selain daripada itu, teknik sel kultur (in-vivo) juga dijalankan menggunakan sel kelenjar peluh (sebocyte) dan seterusnya teknik kuantitatif reaksi berantai polimerase (PCR) dilakukan bagi mengetahui penghasilan paras mRNA oleh enzim-enzim steroid, faktor-faktor transkripsi dan reseptor-reseptor nuklear yang terlibat pada tisu dan sel tersebut.
Steroidogenesis adalah proses di mana sel tertentu dalam spesifik tisu mensintesis hormon steroid. Walaupun terdapat pelbagai jenis hormon steroid yang mempunyai kepelbagaian fungsi, namun semuanya bermula dari laluan dan langkahlangkah yang sama. Salah satu contoh kumpulan hormon steroid adalah seks steroid (sex steroids) seperti progesterone, androgen dan estrogen yang bertindakbalas melalui reseptor mereka sendiri (reseptor progesterone, reseptor androgen dan reseptor estrogen). Setiap langkah-langkah dalam perembesan hormon ini memerlukan bantuan dari enzim-enzim steroid spesifik. Seterusnya adalah kajian mengenai tindakbalas reseptor nuklear dan transkripsi faktor pada kelenjar peluh normal dan barahnya. Reseptor nuklear adalah molekul yang boleh larut dan menggunakan faktor transkripsi dalam pengawalan bagi mempercepatkan kesan-kesan biologi di dalam proses penghasilan steroid hormon. Reseptor androgen dan reseptor progesteron adalah reseptor nuklear yang dikesan dalam kelenjar peluh. Beberapa kajian terdahulu berjaya membuktikan bahawa reseptor androgen terlibat dalam proses penghasilan jerawat yang dirembeskan daripada kelenjar peluh.
Hasil dari kajian tersebut membuktikan bahawa kulit terutamanya kelenjar peluh merupakan organ steroid biosintesis. Enzim-enzim steroid yang biasa terlibat dalam organ adrenal juga berjaya ditemui pada kelenjar peluh yang normal. Buat pertama kalinya, menggunakan kajian in-vitro dan in-vivo, penulis berjaya membuktikan bahawa penghasilan steroidogenesis pada kelenjar peluh normal adalah tinggi berbanding kelenjar peluh yang tidak normal dan kurang perembesannya pada barah kelenjar peluh. Daripada penemuan ini, kajian yang lebih mendalam boleh dilakukan bagi merawat barah kelenjar peluh. Penyakit kulit memberi kesan pada kualiti hidup manusia kerana melibatkan emosi pesakit dan ianya boleh dilihat oleh orang awam yang menyebabkan pesakit menjadi malu serta hilang keyakinan diri. Penyakit ini juga menyebabkan kesengsaraan, penderitaan dan ketidakmampuan serta kerugian dari segi ekonomi.
Selain daripada kajian mengenai kulit, penulis juga terlibat dalam siri pembentangan kemajuan penyelidikan bersama penyelidik lain dalam pelbagai bidang pada setiap minggu. Antara kajian yang lain dijalankan adalah melibatkan barah payudara, kelenjar adrenal, barah neuroendokrin, barah prostat dan lain-lain penyakit yang melibatkan endokrin, hormon, sel kultur, imunohistokimia, kajian molekular dan genetik dan sebagainya. Dengan pembentangan mingguan ini, penyelidik dapat membentang dan berbincang hasil kajian serta dapat menambah pengetahuan dalam bidang selain kajian. Pengalaman menjalankan ujikaji di Jepun dengan teknologi dan peralatan makmal yang moden serta persekitaran sangat berbeza dengan berbanding di Malaysia menjadikan ianya suatu pengalaman yang sangat bermakna dan berharga. Penulis berharap dengan perkongsian pengalaman dan pengetahuan beliau ini boleh bermanfaat kepada pelajar-pelajar, masyarakat dan negara. Penulis juga berjaya menyiapkan tempoh penggajian PhD beliau lebih awal 6 bulan daripada tarikh yang sepatutnya iaitu 4 tahun. Beliau berterima kasih pada kerajaan Malaysia dan UniSZA yang membiayai penggajian PhD di Jepun dan memberi peluang kepada rakyat Malaysia dengan kemudahan biasiswa untuk mendalami ilmu di luar negara bagi meningkatkan tahap keilmuan negara Malaysia seterusnya menjadikan Malaysia antara negara terbaik di dunia.
Kenapa bidang teknologi dan sains berkembang pesat di Jepun
Untuk menjadi sebuah negara maju bukan mudah. Seperti Jepun, mereka berkerja kuat untuk mencapai hasrat mereka dengan cara mereka sendiri. Sehingga hari ini, mereka masih terkenal dengan budaya kerja dan displin yang tinggi. Jepun membangun dengan pesat dengan menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri. Terdapat banyak bahan bacaan, buku-buku, termasuk buku-buku teks dan jurnal dalam bahasa Jepun dan bukannya dalam bahasa asing.
Pembelajaran asas sains yang seronok bermula di sekolah
Penulis juga berkongsi pengalaman anak-anak beliau daripada sesi pembelajaran sekolah rendah di Jepun. Seperti pendedahan pada ilmu sains bermula dari pembelajaran di peringkat sekolah rendah lagi. Contohnya, setiap pelajar sekolah rendah dikehendaki menanam sendiri pokok bunga atau sayur-sayuran di sekolah setiap tahun. Ini dapat memupuk minat sains terhadap pelajar dalam suasana yang menyeronokkan melalui pengalaman pelajar itu sendiri. Pelajar akan menjaga dan mencatat pembesaran pokok yang ditanam oleh mereka, bermula dari biji benih, seterusnya menjadi anak pokok, penghasilan bunga dan buah. Pendedahan ini juga membolehkan mereka belajar keperluan pokok untuk hidup, iaitu air, udara (gas karbon dioksida) dan cahaya matahari. Hasil daripada ujikaji sebenar, iaitu sayur tersebut akan dimasak oleh tukang masak bertauliah di dapur sekolah. Setiap bulan ibubapa akan diberikan menu sihat pemakanan anak-anak di sekolah dan semua pelajar akan makan makanan yang sama iaitu mengandungi makanan seimbang seperti susu, sayur, buah, karbohidrat dan sebagainya. Semua pelajar akan menikmati makanan yang disediakan oleh pihak sekolah bersama guru kelas di dalam kelas dan setiap pelajar akan bergilirgilir untuk menghidangkan makanan tersebut kepada rakan-rakan lain. Selepas makan, pelajar akan mengemas dan membersihkan kawasan sekolah termasuk kelas dan tandas. Pendidikan sekolah rendah di Jepun mementingkan pembentukan sahsiah diri, berdikari, bertanggungjawab dan juga kebersihan. Setiap kelas hanya dijaga oleh seorang guru, yang bertugas untuk mengajar semua subjek seperti matematik, bahasa jepun, muzik, sukan, sains dan pendidikan seni. Semua pelajar tidak ada yang terkecuali dalam mengambil bahagian sama ada acara sukan atau persembahan seni di sekolah. Setiap tahun semua pelajar secara automatik akan naik darjah tanpa perlu melalui sistem peperiksaan. Para pelajar juga banyak didedahkan dengan kehidupan sebenar di luar kelas seperti aktiviti lawatan ke zoo, akuarium, kilang makanan, kedai bunga, pasar, pasar raya, taman dan sebagainya. Hasil daripada setiap lawatan berkumpulan tersebut, setiap pelajar akan membentangkan di hadapan kelas tugasan mereka dan apa yang mereka pelajari. Tiada istilah ponteng sekolah kerana mereka melalui sesi pembelajaran yang menyeronokkan di sekolah. Pembelajaran asas yang penting seperti menjaga kebersihan diri dan persekitaran, pemakanan sihat, pendidikan jasmani, pendidikan moral, dan kreativiti pelajar (muzik dan pendidikan seni), diajar di peringkat sekolah rendah dengan kaedah yang menyeronokan, justeru menimbulkan minat belajar dengan cara yang sihat.
Jepun telah dikejutkan dengan peristiwa gempa bumi besar bermagnitud 9.0 yang melanda persisir Tohoku di Lautan Pasifik pada 11 Mac 2011 yang menyebabkan ombak tsunami besar setinggi 40.5 meter. Bencana tersebut telah menyebabkan banyak kerosakan seperti di Lapangan Terbang Sendai, landasan keretapi, jalanraya, sekolah, hospital, bangunan dan juga menyebabkan beriburibu orang terkorban, hilang dan cedera. Setahun selepas peristiwa tersebut, kedatangan penulis ke Sendai telah banyak berubah. Lapangan terbang beroperasi seperti biasa, masyarakat juga bangkit semula walaupun memberi kesan yang nyata pada ekonomi serta kehidupan harian. Hospital Universiti Tohoku juga menerima kesan daripada peristiwa gempa tersebut, namun kini telah beroperasi seperti biasa agar penyelidikan dapat diteruskan untuk mempertingkatkan kualiti kesihatan masyarakat sekeliling.
Kepentingan ilmu sains kesihatan dan perubatan
Penyelidikan dalam bidang kesihatan dan perubatan adalah sangat penting bagi meningkatkan kesejahteraan dan taraf kesihatan manusia sejagat. Dengan kemunculan pelbagai penyakit barah yang wujud pada masa kini, keutamaan bagi kita adalah mengkaji dengan lebih mendalam punca penyakit tersebut, bagaimana untuk mendiagnosis penyakit di peringkat awal dan kaedah mengubati. Oleh yang demikian, hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai pakar-pakar tempatan daripada pelbagai bidang perubatan perubatan seperti endokrinologi, histopatologi, genetik, farmakologi dan dalam bidang perubatan yang lain adalah sangat signifikan.
Rujukan :
Azmahani A, Nakamura Y, Felizola S. J. A, Ozawa Y, Ise K, Inoue T, McNamara K M, Doi M, Okamura H, Zouboulis C C, Aiba S, Sasano H. Steroidogenic enzymes, their related transcription factors and nuclear receptors in human sebaceous glands under normal and pathological conditions. The Journal of Steroid Biochemistry and Molecular Biology, 144, 268279, 2014.
Azmahani A, Nakamura Y, Ozawa Y, McNamara KM, Fujimura K, Haga T, Hashimoto A, Aiba S, and Sasano H. Androgen receptor, androgen-producing enzymes and their transcription factors in extramammary Pagets disease (EMPD). Human Pathology, 46 (11) 1662-1669, 2015.
Azmahani A, Nakamura Y, McNamara KM, Sasano H. The Role of Androgen under Normal and Pathological Conditions in Sebaceous Glands: The Possibility of Target Therapy. Curr Mol Pharmacol. Accepted on July 2015.
Pawin H, Beylot C, Chivot M, Faure M, Poli F, Revuz J, Drno B. Physiopathology of acne vulgaris: recent data, new understanding of the treatments. Eur J Dermatol 14: 4-12, 2004.
Biodata
Dr. Azmahani binti Abdullah kini berkhidmat di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebagai pensyarah. Berkelulusan ijazah Kedoktoran Falsafah (PhD) Patologi, Fakulti Perubatan, Universiti Tohoku, Jepun. Kelapangan masa, beliau gemar membaca. Telah menerbitkan beberapa manuskrip di peringkat antarabangsa