Sesungguhnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta adalah hati yang ada di dalam dada ( Al Hajj: 46)
Bagaimana mata melihat Sinar-sinar yang terang dari suatu objek jatuh pada retina mata. Di sini, sinar ditransmisikan ke dalam signal elektrik oleh sel-sel, mencapai suatu pusat penglihatan. Signal ini dipersepsikan dalam pusat otak ini sebagai suatu gambaran setelah melalui serangkaian proses. Otak diisolasi dari cahaya. Ini bererti di dalam otak benar-benar gelap. Ternyata yang menakjubkan, pusat penglihatan ini tempat yang benarbenar gelap di mana tidak ada cahaya sedikit pun pernah mencapainya, mungkin tempat yang paling gelap yang pernah kita tahu. Akan tetapi, kita melihat dunia yang terang dan indah berkilauan pada kegelapan yang gelita tersebut.
Di dunia kini, ironinya begitu banyak manusia yang hidup dalam kegelapan, dan tak tentu arah. Ketika mereka menggunakan mata sebagaimana fungsinya yang terbatas, selalu menghadap keluar, tak mampu melihat ke dalam dirinya sendiri. Ketika mata berfungsi seperti pusat penglihatannya yang gelap, tidak mampu merasakan kedalaman nuraninya sendiri. Ketika itu pula manusia terperangkap dalam kesengsaraan, ketakutan, kekhuatiran, serta segala kesulitan hidup.
Entah mereka lupa atau melupakan diri bahawa mereka tak boleh melihat dunia dan diri mereka sendiri hanya dengan mata. Namun diperlukan juga sebuah bentuk kesedaran, iaitu roh. Ruh yang tercipta hanya oleh Yang Maha Kuasa, Allah SWT. Ruh yang dengan segala eksistensinya menjelma dalam sebuah hati.
Panglima hati adalah mata. Sebuah jendela yang mengekspresikan jiwa. Hampir semua perasaan dan perilaku awalnya dipandu oleh pandangan mata. Imam Ghazali mengungkapkan, mata adalah pintu paling luas yang boleh memberi banyak pengaruh pada hati. Mata adalah penuntun, hati adalah pendorong dan pengikutnya.
Dalam dunia nafsu keduanya adalah sekutu yang mesra. Jika terperuk dalam kesulitan, maka masing-masing saling menyalahkan, Maka kekerasan hati jua yang membuat mata rohani (mata hati) menjadi beku atau buta. Dunia terasa sempit, mereka tidak boleh menikmati kebahagiaan dari hal-hal yang indah diakibatkan oleh kebutaan rohaniahnya. Dan di kala kebahagiaan demi kebahagiaan datang, mereka menjadi lupa diri. Mereka menjadi kosong makna. Harga diri mereka telah terhalang oleh kenikmatan dunia yang hanya sesaat.
Seorang pemikir, Dale Carnegie menyebutkan bahawa kebahagiaan tidak tergantung pada keadaan di luar anda. Apa yang anda miliki, siapa anda, di mana anda berada, atau apa yang anda kerjakan bukanlah penentu apakah anda bahagia atau tidak. Sesungguhnya, kebahagiaan anda lebih ditentukan oleh apa yang anda fikirkan. Frank W. Mann, Jr. pun menyebut, dengan mengenang (memikirkan) kembali pemandangan-pemandangan yang mengesankan, akan mempertajamkan fikiran dan daya ingatan serta mengasah apresiasi terhadap saat-saat berharga dalam perjalanan hidup. Dengan cara itu kita akan belajar sesuatu yang sangat berharga tentang diri sendiri.
Memang nyatanya hanya mereka yang menggunakan hatinya dengan pemikiran yang jujur yang akan merasakan keagungan dan keajaiban segala yang Allah ciptakan untuknya. Hanya mereka yang bisa membaca fakta ini lah yang bisa hidup dalam kedamaian. Bahawa kebahagiaan boleh dicapai dengan melihat setiap kebaikan yang terkandung dalam berbagai peristiwa baik mahu pun buruk yang terjadi pada mereka. Hal ini tak lain dengan senantiasa memelihara mata dan hati mereka.
UBATI MASALAH HATI
Berkata seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas RA: Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut. Pertamanya, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandungannya. Kedua, mengosongkan perut dari terlalu kenyang atau berpuasa. Ketiga, bangun ( beribadat ) di waktu malam. Keempat, menghampirkan diri kepada Allah ( beribadat ) di sepertiga malam dan yang kelimanya, sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh .
Sesungguhnya manusia diciptakan oleh Allah dengan sebaik-baik penciptaan. Bermulanya dengan setitik air yang hina sehinggalah bergelar seorang insan bernama manusia. Diberikan pula berbagai-bagai nikmat yang tak ternilai banyaknya tanpa mengira siapa kita. Namun, kita sering lalai dan lupa untuk mensyukuri di atas anugerah yang dikurniakan, bahkan kita masih lagi berlumba-lumba mengejar kemewahan yang bersifat sementara itu.
Nikmat yang paling berharga dikurniakan kepada manusia ialah nikmat hati, yang merupakan raja segala gerak-geri dan tingkah-laku yang dipertontonkan oleh manusia. Hati yang diciptakan Allah semuliamulia kejadian, di situlah akal manusia, di situlah buruk, baik, sihat, lemah manusia, di situlah segala-galanya.
Benarlah apa yang diucapkan oleh Rasulullah SAW: Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging, jika sekiranya baik daging itu, maka baiklah seluruh diri manusia itu. Jika sekiranya buruk daging itu, maka buruklah seluruh diri manusia itu. Ketahuilah, bahawa ia adalah hati . (Riwayat Al-Bukhari).
Hatilah punca segala-galanya. Jika tidak berpunca dari hati yang kotor, manusia tidak akan melakukan maksiat terhadap penciptanya. Namun, kita sentiasa tidak menghiraukan gelagat hati kita. Kita sering biarkan hati kita dikutori titik-titik hitam dan dihinggapi berbagai-bagai penyakit yang menjijikkan. Lantas, hasilnya segala gerak-geri yang dipertontonkan melencong dari jalan yang dikehendaki Allah SWT.
Al-Quran yang diturunkan kepada kita melalui insan agung SAW merupakan mukjizat yang tidak ada tolak bandingnya, bahkan ia juga sebagai ubat bagi mengubati hati yang berpenyakit. Dengan kita melazimkan membacanya dan mentadabbur apa yang terkandung di dalamnya, akan memperolehi ketenangan hati yang akan menyebabkan hati sentiasa tidak lalai mengingati Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:
ketahuilah, dengan mengingati Allah itu, hati akan tenang. (Surah ArRad : 28)
Begitu juga dengan mengosongkan perut dari terlalu kenyang akan mengubati segala penyakit yang tersemat di hati kerana dengannya hati akan beroleh kerehatan dan meringankan untuk melakukan ibadat kepada Allah SWT serta menjauhkan dari segala penyakit yang memudaratkan. Rasulullah SAW pernah bersabda: Sesiapa yang sedikit makannya, sihatlah perutnya dan bersihlah hatinya. Barang siapa yang banyak makannya, maka sakitlah perutnya dan keraslah hatinya.
Sabda Rasulullah SAW lagi: janganlah kamu matikan hati kamu dengan membanyakkan makan dan minum, sesungguhnya hati itu seumpama tumbuh-tumbuhan, jika banyak disirami air maka ia akan mati .
Seterusnya, di antara ubat bagi mengubati hati ialah dengan sentiasa bangun malam beribadat kepada Allah SWT kerana dengannya akan menjauhkan diri kita dari tipu daya syaitan dan menjauhkan dari melakukan dosa serta mendapat keredhaan dari Allah SWT. Rasulullah SAW sentiasa mengingati umatnya: hendaklah kamu bangun malam ( beribadat ) walaupun hanya mengerjakan satu rakaat sembahyang .
Oleh itu, bagi memastikan hati kita dalam keadaan sentiasa bersih dari segala penyakit, hendaklah kita melazimkan dengan membanyakkan beribadat kepada Allah disepertiga malam kerana waktu itulah Allah SWT turun ke langit dunia bagi melihat siapa diantara hambanya yang berjaga malam dan beribadat kepadaNya.
Begitu juga, hati akan terubat dari segala penyakit dengan sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh. Ini akan menyebabkan sedikit sebanyak akan terikut dengan tingkah laku, perbuatan dan percakapan mereka yang sentiasa mengingati Allah SWT. Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda: Berkata Luqman Al-Hakim kepada anaknya, wahai anakku, sentiasalah kamu berada dalam majlis alim ulama ( orang-orang yang soleh ) dan dengarlah kata-kata hikmah dari mereka. Sesungguhnya Allah SWT akan menghidupkan hati yang mati dengan cahaya hikmah sebagaimana Allah menghidupkan bumi dengan siraman hujan yang lebat .
Berkata seorang hukama : Sesungguhnya Allah SWT mempunyai sebuah kebun di atas dunia ini, sesiapa yang masuk ke dalamnya maka bahagialah hidupnya. Kemudian ditanya padanya: apakah kebun itu, lantas dijawab bahawa kebun itu adalah majlis-majlis ilmu ( mengingati Allah ).
Kawallah diri agar tidak terbawa-bawa dengan kekecewaan. Menyimpan perasaan kepada dia yang enggan menerima kehadiran kita memang sukar. Sebagai khalifah kita boleh atasi masalah hati dengan beberapa pendekatan berikut:
1) Biar apa pun yang berlaku dalam perjalanan hidup kita, ucaplah syukur! Jangan sekali-kali mempersoalkan kenapa begini nasib diri kamu. Allah mengetahui semua yang kita alami. Malah, dia yang menentukan jalan hidup kita..
2) Yakinlah Allah tahu apa terbaik untuk hidup kita. Kita hanya melihat satu langkah di depan tetapi Allah melihat sejuta langkah kita terlebih dahulu. Kalau sudah tersurat si dia bukan untuk kamu, itu sudah ketentuannya.
3) Relakan pemergiannya. Relakan dia pergi jika cintanya bukan milik kamu. Berdoalah kebahagiaan dia. Memang sukar sekali melihat kebahagiaan insan tersayang di sisi orang lain. Namun teruskan mendoakan dia. Nescaya, ketulusan kamu akan mengubat hati sendiri. Hulurkan doa untuk diri sendiri juga. Nyatakan dengan jelas kamu sudah merelakan dia pergi. Pasti jiwa kamu akan sembuh sedia kala.
4) Percaya adanya hikmah di sebalik kejadian ini. Perasaan cinta adalah anugerah yang tidak perlu dikesali kehadirannya. Tetapi Allah tidak mengizinkan kamu bersama mungkin kerana ada sebab musababnya tersendiri yang hanya Dia yang maha mengetahui. Pasti Allah sedang melakukan yang terbaik dalam kehidupan kita.
Begitulah di antara penawar-penawar yang digariskan oleh ulama bagi mengubati hati-hati kita dari segala penyakit yang menyebabkan gerak geri kita melencong ke arah kemurkaan Allah SWT. Mudah - mudahan kita digolongkan di kalangan hamba-hambanya yang sentiasa dalam keadaan hati bersih dari segala penyakit-penyakit yang menyebabkan kita lalai mengingati Allah SWT.