AURA KEJIRANAN - 19
Pada umumnya manusia suka hidup berteman. Suka berteman ini umumnya didorong oleh pelbagai perkara, di antaranya kerana naluri kemanusiaan yang memerlukan hidup berkumpul. Dari hidup berkumpul inilah manusia dapat memenuhi segala hajat mereka.

Hakikat ini telah dinukilkan oleh ibnu khaldun (seorang pemukir Islam) dalam bukunya Al muqaddimah, beliau menyatakan alinsanu madaniyyun bittobi bermaksud fitrah atau tabiat semula jadi manusia suka bermasyarakat.

Pada ketika manusia memerlukan sebuah rumah, ia tidak akan dapat dibangunkan sekiranya ianya tidak dapat dibantu tanpa manusia yang lain. Pada manusia berfikir pula untuk mendapat keuntungan, maka sudah tentulah mereka akan sedaya upaya berusaha dengan pelbagai cara seperti berniaga, menjadi buruh dan lain-lain lagi. Akhirnya terbentuklah sebuah manusia di dalam usaha memenuhi keperluan mereka sehari-hari. Mulai dari inilah terbentuk satu masyarakat yang terdiri daripada berbilang kaum, saling berhubungan kenal sebagai jiran tetangga.

Kehidupan berjiran bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Perlu juga sesekali cara hidup berjiran ini haruslah dipelajari kerana kerap juga berlaku sebuah keluarga berperang mulut dengan keluarga yang lain, bahkan kadang-kadang ia berlaku sampai ke tahap pukul-memukul. Sepatutnya perkara ini tidak wajar terjadi sekiranya di antara mereka benar-benar memahami apa itu sebenarnya kedudukan dan faedah hidup berjiran.

Rasulullah s.a.w tidak melupakan masalah berjiran ini di dalam ajaran baginda. Ini kerana baginda menganggap ia penting sehingga terdapat dalam hadis-hadisnya yang menerangkan peraturan berjiran

Pada suatu hari baginda datang menemui Abu Zarr yang sedang memasak kuah. Baginda bersabda kepadanya: Hai Abu Zarr, jika kamu memasak kuah, perbanyakan airnya.

Kemudian, berilah jiran tetangga mu dari masakan mu itu dengan baik (Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a anhu berkata bahawa Rasulullah

Sallallahu alaihi wassalam pernah bersabda: Hai wanitawanita Muslimah! Janganlah menganggap remeh merasa rendah memberi sedekah kepada jiran kamu, walaupun,

sekadar kaki kambing. (Riwayat Bukhari dan Muslim) Biasanya terdapat segelintir orang yang membatalkan niatnya memberi sedekah kepada jiran kerana menganggap apa yang akan mereka berikan itu tidak ada harganya dan tidak layak. Padahal, jika kita mengikuti tuntutan Rasulullah Sallallahu alaihi wassalam sebagaimana tersirat di dalam hadis di atas, bukanlah begitu caranya. Kita hendaklah menghargainya walaupun barang yang diberikan itu tidak seberapa harganya. Demikian juga pada jiran yang lain. Hilangkanlah prasangka-prasangka buruk yang tiada asasnya dan tidak pula ada hujung pangkalnya.

Sesungguhnya hadiah atau pemberian seseorang itu boleh menimbulkan rasa persaudaraan dan kasih sayang. Tidak mungkin seseorang akan memberi sesuatu kepada orang lain tanpa didorong seseorang mahu memberi sedekah kepada orang lain.

Memilih rumah dan jiran

Adab-adab yang perlu diambil kira untuk rumah baru ialah seperti berikut:

1. Adab sebelum memilih atau memasuki rumah baru.

2. Adab ketika masuk rumah baru.

3. Adab setelah tinggal di rumah baru.

Adab sebelum memilih atau memasuki rumah baru ialah:

1. Pilih yang jirannya adalah orang yang soleh.

2. Kalau tidak ada yang soleh maka yang tidak menyakiti jirannya.

3. Kalau tiada pilihan lain kecuali berjiran dengan yang suka menyakiti jiran maka berdoa hidayat untuknya serta berbuat baik sebelum pindah. Tiga perkara ini di ambil dari hadis yang menyebutkan Rasulullah s.a.w berdoa supaya dapat jiran yang baik.

4. Pilih tempat yang baik dari sudut ibadahnya, seperti tidak berjauhan sangat dengan masjid hingga akan rasa berat untuk ke masjid. Kerana itu setengah sahabat ada yang ingin pindah dari jauh ke dekat dengan masjid.

5. Datang tiga kali sebelum berpindah untuk dibacakan atau dipasangkan kaset mengaji sebagai berjaga-jaga daripada makhluk halus kerana kemungkinan tapak tersebut adalah tempat tinggal mereka.

Perkara ini ada berlaku di zaman tabiin yang telah diganggu dengan jin yang penduduk asal tapak rumah tersebut. Untuk perkara ini rasanya tak perlulah hingga dipanggil bomoh atau pawang kerana ianya akan membawa kepada kesyirikan, cukuplah hanya dengan dibacakan ayatul kursi, amanarasuul... dan empat Qul.

Adab ketika masuk rumah baru :

1. Seelok-eloknya waktu masuk ke kawasan perkampungan atau taman perumahan rumah baru bacalah doa ini Allahumma rabiissamaawatissabi wamaa azlalna warabbil ardinassabi wamaa aqlalna warabisyayaatiina wamaa adlalna wa rabbarriyaahi wamaa zaroina nas aluka khaira hazihil qaryati wa khaira ahlihaa wakhaira maa fiihaa wa auuzubika min syarrihaa wa syarri ahlihaa wa syarri maa fiihaa.

2. Seelok-eloknya sebelum sampai ke rumah baru tersebut singgah dulu di masjid atau surau terdekat untuk solat sunat dua rakaat untuk memohon hajat kebaikan kampung tersebut.

3. Sewaktu jejak kaki ke laman rumah membaca doa Auzu bikalimaatillahit taammaati min syarri maa khalaq (aku berlindung pada Mu ya Allah dari kejahatan makhluk Mu), kerana mengikut hadith bahawa sesiapa yang baca doa ini ketika pindah atau menginap di sesuatu tempat maka tidak akan dimudaratkan oleh apa-apa pun hinggalah ia berpindah dari situ. termasuk selamat dari gangguan rompakan, kebakaran dan lain-lain lagi.

4. Membaca bismillahi walajnaa wa bismillahi khorajnaa wa alallhi tawakkalnaa (dengan nama Allah Aku melangkah masuk dan keluar dan kepada Mulah akau bertawakkal) sewaktu membuka pintu untuk masuk ke rumah.

5. Memberi salam assalaamualaikum.... jika dalamnya ada orang, jika tiada orang maka ucapkanlah assalaamualainaa wa alaa ibaadillahis solihiin (selamat sejahteralah ke atas kamu dan kepada hamba-hamba Allah yang soleh). Maka jika ada makhluk ghaib seperti malaikat dan sebagainya maka mereka akan jawab cuma kita mungkin tidak akan dengar.

Adab setelah tinggal di rumah baru:

1. Menjaga hubungan dengan jiran tetangga.

2. Mencari sahabat-sahabat yang soleh.

3. Mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

4. Ikut program masyarakat yang tidak bercanggah dengan agama.

5. Hidupkan masjid dengan solah fardhu lima waktu berserta dengan majlis ilmu. Sepertimana Rasullullah s.a.w tidak akan singgah di mana sahaja kecuali Beliau akan mendirikan masjid dan hidupkan solah lima waktu serta letakan sesiapa yang layak untuk mengajar di situ dan membentuk jemaah untuk amar makruf nahi mungkar serta ambil tahu tentang penduduk setempat.

Satu realiti kehidupan pada hari ini ialah kita dikelilingi oleh manusia yang mempunyai pelbagai cita rasa, pandangan, minat, AURA KEJIRANAN gaya, sikap, akhlak, perangai, bahasa dan budaya yang berlainan dan berbeza-beza. Jenis dan ragam manusia yang bermacam-macam ini ditambah lagi tidak semua mereka memiliki hati yang suci bersih dan luhur menyebabkan usaha mewujudkan suasana kerukunan hidup berjiran menghadapi sedikit kesulitan dan kerumitan.

Walau bagaimanapun, perkara ini dapat diatasi sekiranya masing-masing mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling faham memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar-tukar pendapat, mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan yang renggang dengan penuh hikmah dan mahabbah. Di samping itu, sikap-sikap yang negatif seperti berburuk sangka, irihati, dengki, fitnah dan sebagainya perlulah dikikis dan dijauhkan.

Sememangnya diakui bahawa usaha memupuk semangat kejiranan perlu dilakukan dengan gigih dan berterusan. Pelbagai pendekatan dan amalan boleh dibuat bagi memenuhi hasrat tersebut. Antaranya,

1. Bertegur Sapa

Amalan bertegur sapa sesama jiran adalah titik permulaan terjalinnya hubungan yang erat dan mesra. Membiasakan diri bertanya khabar dan kesihatan diri serta anak-anak jiran dapat menjadi penghubung kepada amalan bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman sesama jiran apabila ditimpa masalah atau kesulitan yang akhirnya memberi jalan penyelesaian kepada kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Oleh itu, amalan bertegur sapa perlu dilakukan oleh setiap orang dan menjadi syarat utama dalam membentuk hubungan akrab sesama jiran.

2. Kunjung-Mengunjung

Meluangkan masa untuk berkunjung ke rumah jiran dapat mengeratkan dan menghidupkan lagi semangat hidup berjiran. Kita akan lebih mengenali jiran apabila berkunjung atau menziarahinya. Ini kerana peluang masa berbicara yang lebih panjang dan suasana rumah yang lebih tenteram memungkinkan kita mengenali dan menyelami suka dan duka jiran secara lebih dekat.

Namun demikian, kita perlulah pandai memilih waktu yang sesuai agar kunjungan kita itu tidak mengganggu waktu rehat mereka yang boleh mengakibatkan kesan yang negatif pula. Sekurang-kurangnya amalan berkunjung ke rumah jiran dilakukan pada hujung minggu atau sempena hari-hari perayaan tertentu.

3. Menghulurkan Bantuan

Kemuncak hubungan kejiranan yang baik adalah apabila sanggup mengetepikan kesenangan dan kerehatan diri semata-mata untuk membantu jiran pada masa diperlukan. Pengorbanan seumpama ini sememangnya tidak mudah dilupakan oleh sesiapapun apatah lagi jiran yang terdekat.

Semakin kerap kita menolong jiran maka pada masa yang sama semakin kuat pula ikatan kejiranan. Dengan sebab itu, amalan menolong jiran adalah amalan yang paling berkesan dalam mengekalkan hubungan kejiranan yang baik sekalipun telah berpindah rumah. Seharusnya amalan ini dilakukan oleh setiap daripada kita.

4. Bergotong-Royong

Aktiviti bergotong-royong membersihkan kawasan kampung, masjid, balai raya, longkang dan sebagainya ataupun membaiki rumah atau jambatan akibat bencana alam seperti banjir, ribut, kebakaran dan sebagainya sememangnya dapat memupuk dan menyemai hubungan baik dan semangat kejiranan.

Aktiviti bergotong-royong ini dapat menyatupadukan penduduk setempat kepada satu tujuan yang murni seperti menjaga kebersihan, memelihara alam sekitar, membantu jiran dan lain-lain lagi. Sewajarnyalah amalan ini dihidupkan bagi menjana satu masyarakat yang bersatu padu dan hidup harmoni sesama mereka.

5. Perkelahan Keluarga

Mengadakan program perkelahan keluarga adalah amalan terbaik dalam menjalinkan kemesraan penduduk setempat. Seharusnya kita memanfaatkan sebaik mungkin destinasidestinasi pelancongan yang banyak terdapat di negara kita bagi menjayakan program ini seperti Batu Layar di Kota Tinggi, Johor, Pantai Kundur di Melaka, Hutan Lipur Lentang di Bentong, Pahang dan sebagainya.

Banyak acara dan permainan yang boleh dijalankan dalam mengisi program perkelahan keluarga ini sama ada untuk dewasa, kanak-kanak atau keluarga seperti berebut kerusi, mencari barang, mencari harta karun, tarik tali, tiup belon dan sebagainya. Siapa sangka keseronokan yang dirasai secara tidak langsung boleh mengeratkan lagi hubungan kejiranan!

Banyak lagi amalan yang boleh dilakukan bagi menguatkan hubungan kejiranan seperti bertukar-tukar juadah atau kuihmuih, mengadakan kelas kemahiran seperti jahitan dan sulaman, mengadakan progran lawatan sambil belajar, mengadakan rumah terbuka dan sebagainya. Apa yang penting ialah adanya kesungguhan dari dalam diri setiap daripada kita dalam mengorak langkah bagi mewujudkan masyarakat yang mempunyai semangat kejiranan dan seterusnya membawa kepada kesejahteraan dan kebahagiaan.

Jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Impian mempunyai jiran yang baik tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi seorang jiran yang baik terlebih dahulu. Walau sebesar mana sekalipun gelombang perubahan yang melanda masyarakat kita namun semangat kejiranan tetap menjadi keutamaan.

Kekuatan hubungan kejiranan yang sempurna dan harmoni mengukuhkan ikatan ukhuwah Islamiah dan kasih sayang yang kadangkala melebihi daripada keluarga sendiri. Kehidupan yang mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t adalah kehidupan yang sentiasa dikelilingi dengan kebaikan dan kesejahteraan serta jauh daripada anasir kerosakan dan kebinasaan.

Islam mengiktiraf persaudaraan kemanusiaan. Persaudaraan kemanusiaan terjalin kerana Tuhan pencipta manusia adalah satu, bapa mereka adalah satu dan ibu mereka juga adalah satu. Nilai persaudaraan kemanusiaan ini sangat tinggi mengikut neraca Islam.

Islam mendahului semua dalam persoalan persaudaraan kemanusiaan. Ini terbukti dengan penegasan Nabi sendiri mengenai perkara ini lebih daripada 1400 tahun yang lalu.

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Nabi bersabda,

Ya Allah, Tuhan kami dan Tuhan setiap sesuatu dan

Penguasanya, akulah penyaksi bahawasanya hamba semuanya adalah bersaudara.

Petikan tersebut adalah bahagian ketiga daripada penegasan nabi yang didahului dengan penegasan bahawa Allah adalah Tuhan yang Esa dan Muhammad adalah rasul.

Persaudaraan kemanusiaan ini melangkaui bangsa bahkan agama. Ia menyatukan manusia dengan kepelbagaian warna kulit, bahasa dan kedudukan. Persaudaraan ini diikat oleh satu asas iaitu manusia adalah hamba kepada Allah.

Pengiktirafan nabi mengenai kedudukan persaudaraan kemanusiaan ini dibuktikan dengan doa baginda. Apabila dikaitkan dengan doa, ini bukan sekadar ucapan atau dakwaan biasa tetapi ini adalah satu hakikat keagamaan yang tidak boleh dibantah lagi.

Tambah istimewa lagi, persaudaraan kemanusiaan ini menjadi doa yang diulang-ulang kan oleh baginda setiap kali selesai solat. Semua ini adalah bukti perhatian istimewa baginda nilai persaudaraan ini.

Setiap Muslim meyakini bahawa perbezaan agama berlaku dengan kehendak Allah seiring kebebasan dan keupayaan memilih. Kehendak Allah tidak mungkin dibantah. Kerana itu, tidak boleh terlintas di dalam fikiran Muslim untuk memaksa manusia semuanya menjadi Muslim.

Muslim tidak ditugaskan untuk menghukum orang yang sesat kerana kesesatan mereka. Persoalan itu terpulang kepada Allah pada hari akhirat.

Penerimaan manusia terhadap Allah sebagai Tuhan sama ada betul atau salah meletakkan mereka pada kedudukan hamba. Maksudnya, manusia semuanya adalah hamba. Pertama dia adalah manusia dan kedua dia adalah hamba. Inilah pengikat persaudaraan kemanusiaan.

Persaudaraan kemanusiaan adalah ruang dakwah yang terbuka dan berkesan. Hanya mereka yang tidak sayangkan Islam sahaja yang berusaha menutup ruang dakwah ini. Titik pertemuan persaudaraan kemanusiaan itu ialah Allah.

Kalau orang Kristian tidak takut penganut agama mereka terpengaruh dengan Islam kerana menggunakan kalimah Allah, mengapa orang Islam perlu takut orang Islam terpengaruh dengan Kristian dalam perkara ini