RETRO BOLA SEPAK - 19
Pada tarikh 24 Oktober 1857, sekumpulan anak muda yang terdiri daripada para pemain kriket telah bertemu di Parkfield House yang terletak di sebuah kawasan pinggir bandar Sheffield berdekatan dengan Highfield, lalu menubuhkan sebuah kelab bola sepak yang pertama di dunia.

Kelab itu dinamakan sebagai Sheffield F.C.

Kelompok pemain mereka waktu itu sudah bekerjaya, terdiri daripada peguam, doktor, tukang besi, pembuat arak dan pedagang.

Anggap sahaja lah sukan bola sepak di England pada zaman itu umpama satu permainan tradisi. Ia popular di kalangan rakyat marhaen.

Misalannya permainan konda-kondi yang popular tidak lama dahulu di negara kita, tiba-tiba sekumpulan anak muda dari Permatang Bonglai sepakat hendak menubuhkan Kelab Konda-Kondi Permatang Bonglai, yang pertama seumpamanya pertama di Malaysia.

Jadi analogi penubuhan Sheffield FC pada tahun 1857 juga begitu.

Mereka kemudiannya membuat satu peraturan perlawanan dikenali sebagai Sheffield Rules yang kemudiannya menjadi asas kepada bola sepak meden masa kini. Antara perkara yang terdapat dalam peraturan tersebut adalah seperti undang-undang sepakan bebas, fouls, sepakan sudut dan tiang gol berpalang.

Football Association - badan induk yang mengawal selia bola sepak di Britain pada waktu itu masih lagi belum ditubuhkan. Malah sukan bola sepak atau football dimainkan mengikut undang-undang dan peraturan pelbagai berdasarkan tempat. Lain bandar atau kota, lain pula cara sukan tersebut dimainkan.

Dan Sheffield Rules ini antara perintis kepada undang-undang bola sepak moden setelah begitu banyak kelab-kelab mengadaptasikan undang-undang tersebut dalam tatacara perjalanan permainan bola sepak mereka.

Hari ini kelab ini masih lagi bertaraf separa amatur, bermain di North Premier League dalam Division One South, aras ke-8 dalam hierarki bola sepak Inggeris.