Mencari Kiblat Cinta - 195
Saat ini, dia benar-benar ingin mendekati Danira dan memujuk anak gadis itu sendiri. Tapi mengenangkan kedua orang tua itu lebih berhak berada di sisi Danira berbanding dirinya, dia hanya mampu memandang Danira dari jauh. Melia yang menangis di sisinya segera dirangkul lebih erat. Anak gadisnya seolah-olah memahami pemergian Pak Su Aliffnya adalah untuk selama-lamanya.

Majlis pengebumian Aliff selesai dilakukan tengah hari itu. Atas persetujuan mereka dan permintaan Danira sendiri, Aliff dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan dengan pusara arwah ayah dan ibu kandungnya. Dia sendiri terpaksa merelakan meskipun pada awalnya dia mahu anak muda itu dikebumikan di sebelah pusara Firdaus. Biar kedua-duanya lebih dekat agar dia dapat mengenang kembali kasihnya pada kedua-dua anak muda itu. Meski Aliff tidak mempunyai pertalian darah dengannya, namun ikatannya dengan anak muda itu begitu kuat dan tulus dirasakannya.

Dia memang kesal kerana tidak menjenguk muka melawat anak muda itu di hospital selama ini. Dan rasa kesalnya menjadi derita yang kini menghambat jiwanya setiap detik. Dia kehilangan peluang untuk berbicara buat kali terakhir dengan Aliff. Malah dia tidak berada di sisi Aliff pada saat-saat kematian anak itu.

Aliff, maafkan ayah Aliff. Ayah terlalu pentingkan diri sendiri selama ini. Sering menganggap diri ayah paling menderita kerana kehilangan Firdaus, tapi saat ini hati ayah lebih menderita kerana kehilangan Aliff. Ayah memang tak berguna! Bisik Tengku Amar sebak seraya merenung potret wajah Aliff yang sedang tersenyum riang.

Air mata yang mengalir di cerun pipinya tiba-tiba diseka seseorang. Dia berpaling lalu terpandang kelibat isterinya Tengku Saida. Wanita itu memandangnya penuh kesedihan. Sisa-sisa airmata masih berbekas di wajah isterinya.

Filman dah panggil orang masjid untuk tahlil malam ni. Nanti abang turun ya. Pinta Tengku Saida lemah. Dia sekadar mengangguk tanpa mahu berbicara lebih panjang dengan isterinya.

Oh ya, abang dah buka surat Aliff Tanya Tengku Saida.

Dia terpinga-pinga. Kata-kata wanita itu membuatkan dahinya berkerut seribu. Surat Surat apa

Filman kata Aliff ada titipkan surat pada abang sebelum dia meninggal. Filman letakkan surat tu atas meja abang sebelum kita ke tanah perkuburan pagi tadi.

Tengku Amar terpegun. Dia segera bingkas bangun lalu beredar dari situ. Langkahnya pantas di hala ke arah bilik kerjanya. Melihat ada sekeping sampul surat terletak elok di atas mejanya, nafas Tengku Amar bertukar kencang. Dia duduk di hadapan mejanya lalu mengambil surat tersebut. Tulisan yang terpampang di atas permukaan kertas itu adalah tulisan Aliff sendiri. Pandangan matanya mulai berbalam. Dan tanpa dapat ditahan, titis demi titis airmatanya gugur semula membasahi surat yang dipegangnya. Aliff masih mengingatinya meskipun dia berlaku kejam pada anak muda itu. Itu yang membuatkan dia sedih.

Ayah,

Aliff tak tahu bagaimana mahu memulakan bicara ini. Berhari-hari lamanya Aliff menanti ayah, tapi ayah tak pernah muncul melawat Aliff. Meskipun ma dan abang Filman memberi seribu alasan, namun Aliff tahu ayah sebenarnya sudah tahu semua perkara tentang Aliff. Mungkin saat ini ayah masih marah dan membenci Aliff.

Perkara enam tahun lalu adalah dosa yang telah Aliff lakukan pada ayah dan ma.Dan dosa ini telah mengheret Aliff ke kancah penyesalan yang tak mungkin terhapus begitu sahaja. Dahulu Aliff memang remaja liar. Kerana kenaifan Aliff, Aliff telah terlibat jauh ke dalam masalah yang tak pernah Aliff sangkakan. Dan masalah ini telah membuatkan kakak Aliff menjadi mangsa dan menderita sekian lama. Dia dipenjarakan kerana salah Aliff dan Aliff menerima habuannya sendiri. Malam itu Aliff dipukul sehingga nyawa-nyawa ikan dan dicampak ke sebatang anak sungai di Dengkil.

Tapi Allah telah menghantar ayah sebagai penyelamat Aliff. Meskipun ayah tidak mengenali Aliff, tapi ayah ambil Aliff dan jaga Aliff sehingga sembuh. Malah nama Aliff ini ayah yang berikannya sebagai ganti nama Naufal Benjamin yang sudah lama mati.

Tahukah ayah, kasih sayang ayah pada Aliff sebenarnya merupakan hukuman terbesar yang pernah Aliff terima sepanjang hidup Aliff. Ia lebih sakit dari tubuh Aliff yang dihiris-hiris. Mengecewakan hati ayah adalah perkara terakhir yang ingin Aliff lakukan. Menyakiti hati ma seperti ini adalah dosa terbesar yang pernah Aliff rasakan.Maafkan Aliff ayah. Maafkan dosa Aliff pada ayah dan ma. Tolong ampunkan Aliff kerana menjadi insan berdosa di sisi ayah selama ini. Halalkan makan minum Aliff dan ilmu yang telah ayah berikan pada Aliff.

Selepas ini Aliff akan serah diri Aliff pada pihak berkuasa. Aliff tahu, ini mungkin tidak cukup untuk menebus nyawa abang Firdaus yang sudah Aliff ragut. Tapi kalau boleh Aliff serahkan nyawa Aliff pada ayah, seribu kali Aliff sanggup melakukannya.

bersambung

Bab akan datang:

Mungkinkah ada hikmah disebalik semua ini