Mencari Kiblat Cinta - 20
Nira, beritahu Pak Maidin kenapa kamu tidur kat sini Cerita semuanya. Pinta Pak Maidin. Dia benar-benar ingin tahu apa sebenarnya yang sudah terjadi pada kedua-dua beradik itu.

Perlahan-lahan matanya beralih ke wajah Pak Maidin. Dia serba salah. Selama ini, orang tua itu tidak tahu apa-apa tentang masalah yang menimpa keluarganya. Malah alasan yang diberikannya pada lelaki itu semasa meminta kerja tempohari adalah semata-mata kerana kemiskinan keluarganya. Kerana itulah, lelaki itu setuju mengambilnya bekerja di situ. Entah apa reaksi Pak Maidin jika tahu dirinya dibohongi.

Nira, kenapa diam Cakap dengan Pak Maidin kenapa kamu boleh ada kat sini Desak lelaki itu sekali lagi.

Dia mengigit bibir. Dia tahu dia tidak boleh mengelak diri lagi. Lebih banyak dia berbohong, lebih sukar untuk dia berterus-terang. Dengan perasaan berat, akhirnya dia membuka mulut pada orang tua itu.

Bercerita tentang nasib keluarganya yang dirundung malang tak henti-henti. Sesekali dia memandang Naufal di sisinya yang terkelip-kelip memandang Pak Maidin.

Jadi selama ini kamu berbohong dengan Pak Maidin Lelaki itu mengeluh panjang. Kesal dengan apa yang telah berlaku.

Pak Maidin, Nira minta maaf. Nira bukan sengaja nak berbohong. Tapi kalau Nira beritahu hal yang sebenar, Pak Maidin takkan kasi Nira kerja kat sini. Ujarnya beralasan.

Memang Pak Maidin tak kasi. Sepatutnya dari awal lagi kamu beritahu Pak Maidin masalah kamu. Ini tak, kamu rela berbohong dengan Pak Maidin semata-mata sebab nak kerja kat sini. Keluh lelaki itu lagi.

Nira tak tahu bagaimana Nira nak berterus terang dengan Pak Maidin. Nira perlukan duit untuk belanja sekolah Nira dengan Naufal. Sebab tu Nira minta kerja dengan Pak Maidin. Dia cuba menjelaskannya.

Pak Maidin terdiam. Lelaki itu mengalihkan pandangan ke arah budak lelaki di sampingnya. Ini adik kamu Lelaki itu bertanya sekadar mahu memastikan. Dia mengangguk lesu.

Jadi sepanjang malam kamu berdua tidur kat sini

Sekali lagi dia mengangguk.

Nira dah tak tahu nak ke mana lagi Pak Maidin. Nira minta maaf sebab tidur kat sini tanpa kebenaran Pak Maidin. Suaranya sebak. Dia bimbang lelaki itu memarahinya lalu menghalau mereka berdua dari situ.

Pak Maidin mengelengkan kepala. Teruk betul ayah saudara kamu ni. Sanggup dia buat macam ni. Tak apalah Nira, buat sementara waktu ni, kamu tinggal aje dengan Pak Maidin dan Mak Minah kamu. Kami pun berdua aje kat rumah, anak-anak pun jauh. Putus Pak Maidin akhirnya.

Dia memandang lelaki tua itu. Hampir tidak percaya dengan kata-kata lelaki itu. Sangkanya lelaki itu akan menghalau mereka dua beradik dari situ.

Hah yang kamu tengok Pak Maidin sampai macam tu sekali kenapa Lelaki itu mengerutkan dahi. Hairan kerana dipandang sebegitu rupa.

Nira tak mahu susahkan Pak Maidin. Tapi kalau Pak Maidin boleh tolong Nira cari bilik sewa yang kecil pun tak apa. Nira nak tinggal dengan Naufal. Pintanya.

Lelaki itu terdiam sejenak.

Kamu mampu ke menyewa bilik Nira Soal Pak Maidin.

Gilirannya pula terdiam. Betul juga! Dengan keadaannya sekarang, bagaimana dia mahu mencari duit untuk menyewa walau hanya sebuah bilik kecil Tiba-tiba dia teringatkan rantai di lehernya. Rantai itu adalah hadiah pemberian arwah ayahnya sebelum lelaki itu meninggal dunia. Dia segera menanggalkan rantai berplat emas itu dari tengkuknya.

Pak Maidin, Nira cuma ada rantai ni saja. Pak Maidin ambillah rantai ni, jual pun tak apa. Tapi Nira nak minta tolong Pak Maidin carikan bilik murah untuk Nira. Kalau boleh yang dekat-dekat sini. Pintanya.

Pak Maidin tergamam. Seketika lelaki itu memandangnya. Rantai yang diserahkannya tadi dipulangkan semula lelaki itu. Dia terpinga-pinga memandang Pak Maidin, bimbang lelaki itu tidak mahu membantunya.

Tak apalah Nira, ambilah semula rantai Nira ni. Dekat belakang rumah Pak Maidin ada sebuah rumah kosong. Dah lama tuan punya rumah tu pindah ke Johor Bharu. Kalau Nira nak, nanti Pak Maidin telefon mereka tanyakan tentang rumah tu. Mahu Cadang orang tua itu.

Matanya bersinar-sinar sebaik mendengar cadangan Pak Maidin. Lekas-lekas dia menganggukkan kepalanya. Hatinya benar-benar girang dengan usul lelaki itu. Meskipun jauh di sudut hati dia kesal kerana terpaksa meninggalkan rumah yang banyak menyimpan kenangan zaman kecilnya, tapi demi kerana Naufal dia terpaksa. Dia tidak sanggup melihat Naufal membesar di dalam keadaan begitu, berdepan dengan seribu satu kerenah pakcik dan makciknya yang tidak berperikemanusiaan.

Sekurang-kurangnya di rumah baru nanti, dia dan Naufal hanya berdua berkongsi suka duka. Itu lebih baik dari didera mental dan fizikal oleh pasangan suami isteri itu.

bersambung

Bab akan datang:

Bagaimanakah keadaan Danira dan Naufal semasa tinggal di rumah baru itu