Mood harus diambil untuk naik ke pentas. Kalau nak fikir soal Idlan yang melamarnya semula, sampai ke sudah pun takkan selesai.
Lupakan soal Idlan. Hambat jauh-jauh segala rasa tentang lelaki itu. Biar otak berehat seketika. Sekarang kelas tarian baru bermula. Dia pun dah lama tak ikuti kelas tarian kerana kecederaan pada sebelah kakinya. Sekarang, ia dah sembuh sepenuhnya.
Bunyi rebab kedengaran. Diikuti gendang dan gong. Dia membuka mulut. Bersedia mengalunkan nyanyian, tapi suara tertahan apabila menangkap kelibat Idlan yang baru mengambil tempat di barisan hadapan.
Bong wei... membalik tipo gak
Dage membue silolah cik wei
Dage membue silolah cik wei
Ayuhlah cik wei
Seperti suloh memain angin la Eh... bemban gugor di tapok
Selude cik wei... meningga maye la...
Ayuh tua wei
Seperti aur menarik suse la
Eh... sawo kami menggorok likaghe Aur cik wei menarik suse la...
Ayuh tue wei
Liuk litok tekula blalai la...
Eh... liuk ko kiri
Luk ko kane
Liuk ko kiri kulai ko kane la
Ayuh tue wei
Seperti denok menanti la...
Eh... berdiri kami tapok tigo
Kami nok adap ke timor Jagolah...
Ayuh tue wei
Kami nok pecah lakoh lima la...
Ika membuat gerak seni jari sambil diikuti penari-penari lain. Badan turut sama bergerak mengikut alunan alat muzik tradisional yang bersatu menghasilkan bunyi sangat menarik. Tumpuan diberi sepenuhnya pada tarian dipersembahkan. Biarpun terkadang mata Idlan dan matanya bersatu, dia buatbuat tak nampak.
Idlan tersenyum. Leka melihat tarian di pentas. Tak sangka, suara Ika sangat merdu hingga buat dia asyik dalam dunia khayalan sendiri.
Kalau suara semerdu itu menghembus ke telinga lalu membisik kata-kata cinta, alangkah bahagianya dia. Seandainya gerakan tangan lemah gemalai, gerak tubuh yang mempersonakan itu setiap hari dipersembahkan cuma padanya seorang, rasa bertuahnya dia.
Idlan usap dahi. Membuang peluh sedang merenik. Cuba menghindar perasaan berkocak-kocak. Fantasi yang tak terjangkau di akal fikiran waras. Kalau Ika tahu dia berimaginasi tentang gadis itu, tentu Ika berasa jengkel dan menganggapnya lelaki miang.
Namun, makin lama dia semakin fokus pada tarian Ika. Lemah gemalai setiap gerakan tangan dibuat gadis itu, membuat pandangannya langsung tak beralih.
Hoi...
Idlan menoleh apabila bahu dicuit. Seorang lelaki tak dikenali duduk di sebelah tiba-tiba. Memberi salam pun tak, main terjah macam tu saja. Sungguh tak beradab.
Jange tenung lamo-lamo anok daro Mok We tu (Jangan tenung lama-lama anak dara Mak Wan tu), keras lelaki itu bersuara.
Kenapa Soal Idlan. Hairan.
Dio tu nati nok jadi gewe ambo (Dia tu nanti nak jadi kekasih saya). Demo jange nok koya (Awak jangan nak berangan). Kang tok pasal-pasal lebe biji mato (Nanti tak fasal-fasal lebam biji mata). Jange nok rapah hok ore (Jangan nak rampas hak orang).
Baru nak jadi kekasih, tapi mengaku Ika sebagai hak. Banyak lawa muka kau
Lelaki itu berdecit geram. Mata mencerlung ke arah Idlan, Demo jange kecek banyok (Awak jangan cakap banyak).
Siapa nama kau
Tengku Afnan Bin Tengku Aminurashid dari keturune pahlawe (keturunan pahlawan) tersohor Klate (Kelantan), arwoh (arwah) Haji Mat Hassan bin Munas. Demo kenal dok (Awak kenal tak) Idlan menggeleng. Rasa nak tergelak apabila lelaki itu perkenalkan diri.
Haji Mat Hassan Bin Munas tu, Tok Janggutlah. Demo jange nok wak main nge ambo (Awak jangan nak buat main dengan saya). Semetar lagi ambo buko silat, demo seminggu duduk spital! (Sekejap lagi saya buka silat, awak seminggu duduk hospital!)
Idlan mencebik. Tak hairan. Lelaki itu nampak kurang siuman. Jadi, tak perlu dia melayan. Pergi baliklah. Dah malam ni. Nanti mak ayah kau cari.
Tengku Afnan nampak tak puas hati. Setajamtajamnya dia mencerlung ke arah Idlan. Dia bangun dari kerusi. Satu tumbukan dilepaskan tepat ke wajah Idlan. Serta-merta Idlan jatuh terlentang.
Ika dan penari-penari lain yang buat persembahan, terus berhenti. Ika menerpa ke arah Idlan yang bergelut dengan Tengku Afnan. Lelaki itu kurang waras dan sering buat kacau dalam kampung. Tentu Idlan tak mengenalinya.
Orang ramai mententeramkan Tengku Afnan. Penat mengamuk, dia dihantar pulang oleh Nik Asmawi yang kebetulan ada di situ.
Abang tak apa-apa Soal Ika sambil membantu Idlan.
Idlan menggeleng. Kepalanya pening. Tak. Tak ada apa-apa. Lelaki tu kenapa Tiba-tiba mengaku Ika hak dia.
Abang jangan layanlah Tengku tu. Dia bukan betul sangat.
Abang tak tahu. Tak pernah kenal dia siapa.
Macam mana abang nak tahu kalau jarang balik sini Bila abang balik, mulalah orang tu abang tak kenal. Orang ni abang tak ingat, bidas Ika.
Dalam kepayahan dia tarik sebuah kerusi dan diberikan pada Idlan.
Beratnya abang ni...
Idlan kesat hidung. Ada kesan darah di tangan. Tentu hidungnya yang berdarah. Kuat betul lelaki itu pukul dia. Kalau tak dihalang orang ramai, tentu pengsan dia dikerjakan.
Melihat darah mengalir dari hidung dan bibir Idlan, Ika panik dan segera mengambil beg tangan. Tisu dikeluarkan.
Ika menyapu perlahan sekitar hidung dan bibir Idlan untuk hentikan pendarahan. Sempat dia membebel memarahi Tengku Afnan yang mencederakan Idlan.
Kenapalah Mak Yah tak hantar Tengku ke hospital gila. Sebelum abang balik kampung, dia mengamuk juga. Satu balai raya dia kejar dengan kayu. Nasib baik bukan parang. Kalau tak, tentu ada yang meninggal. Sekarang, abang pula yang kena. Ermmm... sakit tak
Idlan senyum. Senang hati bila lihat wajah Ika dilanda kebimbangan. Ika risaukan dia Wah, ini dah bagus. Dia yakin, Ika menyimpan perasaan sayang padanya. Tapi, saja Ika tak mengaku.
Tadi sakit. Sekarang dah tak sakit lagi.
Ika balas senyum. Perasaan lega mula menggamit. Nasib baik abang tak apa-apa. Kalau tak, Ika susah hati. Sebelum Tengku pukul abang, dia cakap apa
Dia marah sebab abang asyik tengok Ika. Dia kata, Ika hak dia. Abang tak sangka Ika ramai peminat.
Lain kali kalau terserempak dengan dia lagi, abang buat tak tahu aje. Kalau dia kata Ika hak dia, sebenarnya dia tak maksud macam tu pun. Setiap katakata yang keluar dari mulut orang tak waras, kita tak boleh ambil kira. Ikut suka dia aje nak cakap apa. Dia bukan peduli hati dan perasaan orang lain.
Siapa yang peduli perasaan abang Ika peduli tak Idlan tukar tajuk perbualan. Langsung tak ada kena-mengena dengan topik Tengku Afnan.
Ika buang tisu ke tanah, Kalau Ika tak kisah dan tak peduli fasal abang, Ika tak perlu susahkan diri turun dari pentas dengan kain sempit untuk selamatkan abang. Tapi, kenapa abang tak melawan
Sebab abang dah syak dia kurang siuman. Kalau abang lawan, kasihan dia. Orang waras bertumbuk dengan orang separuh gila, sangat tak patut. Bukan anak jantan namanya, kata Idlan dan kemudian mengaduh. Menahan sakit akibat kecederaan.
Abang datang dengan apa
Jalan kaki.
Abang pergilah balik berehat. Teruk juga abang cedera ni...
Ika baliklah dengan abang. Tak elok jalan sorang. Lagi tambah tak elok kalau kita balik sama-sama.
Nanti timbul fitnah.
Ika sengaja nak elak dari abang. Idlan menelah.
Ika tunduk merenung kostum yang membalut tubuh. Tuduhan Idlan susah nak dipangkah.
Idlan merenung lembut wajah Ika. Mengharap jawapan jujur dari gadis itu. Biarpun jawapannya nanti menyakitkan, dia rela mendengar asal tak perlu menunggu. Pandangan Idlan jatuh pada cincin tersarung di jari manis Ika. Bibir mengorak senyum.
Ika dah tak tanggalkan cincin, itu bermaksud Ika terima abang Soalnya ingin tahu.
Ika mendongak memandang Idlan yang memiliki susuk tubuh lebih tinggi. Kalau diukur, dia hanya separas dada lelaki itu.
Sebenarnya, dari awal lagi cincin ni susah nak tanggal. Lepas mak ayah abang datang putuskan pertunangan kita, Ika sungguh-sungguh nak tanggalkan. Ingat tak, masa dalam kereta abang, Ika cuba tanggalkan dengan minyak rambut Itulah kali pertama sepanjang tempoh 7 tahun, cincin ni berjaya Ika tanggalkan. Tapi, tak lama lepas tu, abang sarung semula dalam keadaan paksa. Kalau mak ayah Ika tahu, nanti apa mereka kata Itu belum lagi kalau Abang Afi tahu. Jenuh Ika nak jawab kalau mereka tanya.
Kalau Ika takut kena marah, abang sanggup jumpa mak ayah Ika untuk jelaskan keadaan. Biar abang beritahu niat abang nak kahwin dengan Ika.
Ika melangkah untuk tinggalkan Idlan. Balikbalik itu yang Idlan kata. Kahwin, kahwin, kahwin. Kenapa nak dipaksa kalau dia dah tak mahu Takkan Idlan bodoh sangat tak boleh fikir kenapa dia tak nak terima lamaran itu semula Susah sangat ke Idlan nak faham Dia tak mahu bersuamikan lelaki yang sudah berkahwin.
Ika, tunggu abang! Idlan mengejar. Cuba bersaing dengan Ika yang melangkah pendek. Kain yang sempit buat Ika susah berjalan laju. Macam perempuan Jepun pakai kimono.
Ika menjeling dengan hujung mata. Membiarkan Idlan berjalan seiring.
Ika, berhenti! Abang belum habis cakap. Sekarang abang nak tahu jawapan Ika. Setuju atau tak
Ika terpaksa berhenti melangkah. Rasa serba salah kalau soalan itu tak dijawab.
Jawablah. Bukan susah.
Ika berdecit. Memang bukan Idlan kalau tak mengasak dan memaksa dia memberi kata putus, Ika... Ika tak tahu. Ika sendiri tak pasti dengan apa yang Ika rasa.
Ika setuju Pantas Idlan memotong.
Ika tak tahu...
Idlan cekak pinggang. Menunduk seketika. Mencari akal untuk terus memujuk, Abang perlukan Ika di sisi abang. Mendengar keluh kesah, menyemai kasih sayang untuk terus teraju sebuah kapal yang hampir tenggelam.
Maksudnya, Ika kena kongsi abang dengan dia
Dalam kepayahan, Idlan mengangguk, Sebelum abang tinggalkan rumah, dia cabar abang untuk berkahwin dengan perempuan yang abang suka.
Ika senyum sinis. Jadi... abang nak ambil Ika jadi isteri sebab nak sahut cabaran isteri abang aje
Ika jangan salah faham. Bukan itu maksud abang. Ya, memang dia mencabar, tapi untuk kahwin dengan Ika, abang sungguh-sungguh ikhlas. Abang dah jatuh hati pada Ika.
Ika menyilang tangan ke dada, Senangnya lelaki lafazkan kata cinta. Maaf, Ika memang tak boleh. Lagipun, tak mungkin Ika dapat terima abang lepas apa yang abang buat pada Ika. Satu pengkhianatan yang tak mungkin Ika akan lupa sampai bila-bila.
Ika berdendam dengan abang
Ika senyum nipis. Tangan yang bersilang ke dada, dilerai sebelum nafas dihela panjang.
Ika tak berdendam. Cuma apa Ika rasa sekarang, abang terlalu mudah lupa perkara abang dah buat. Jadi, apa yang Ika cakap tadi, hanya sebagai peringatan kalau abang terlupa. Bertahun-tahun Ika tunggu abang, tapi Ika tertipu dengan ikatan pertunangan yang entah apa-apa dari keluarga abang. Seolah-olah hati dan perasaan Ika dipermain-mainkan. Mentang-mentang Ika masih remaja masa tu, senang abang bodohbodohkan. Ika melangkah dan terus tinggalkan Idlan.
Ika... panggilan itu tak ke mana. Hanya bisikan kedengaran. Idlan membongkok. Menahan rasa yang begitu mencengkam dada. Sungguh, kata-kata Ika umpama bara. Hanya menanti masa menjadi api menjulang-julang.